CSI-RAMONA ~BAB 6~

BAB 6

Kisah itu sudah lama berlaku. Sudah hampir lima belas tahun sejak kampung itu digegarkan dengan berita kematian penduduk mereka yang berturut-turut. Mulanya Hasnah, kemudiannya Hussein selepas itu mayat bidan Som pula ditemui dengan kepala yang sudah bercerai dari badan. Pegawai polis, Ahmad Roni yang dibawa oleh Abu dari pekan juga pusing kepala mahu ditulis apa di dalam laporan.

Akhirnya semuanya dapat diselesaikan. Kesemua jenazah dapat disempurnakan pada hari yang sama. Keseluruhan orang kampung turun padang untuk turut membantu. Selepas kejadian itu, agak lama kampung itu senyap dari misteri atau kisah tergempar yang lain. Setiap dari mereka pasti cuba merungkai misteri di sebalik kesemua kematian itu, tetapi tiada siapa yang lantang bercerita.

Rashid juga masih hilang tanpa sebarang jejak. Puas Tok Anjang mengarahkan orang-orang kampung mencari menantunya itu di dalam hutan. Juga dikhabarkan ke kampung-kampung sekitar tentang pencarian lelaki bernama Rashid. Diperincikan wajah dan tubuh badan Rashid, hidup atau mati lelaki itu Tok Anjang ingin tahu. Tetapi sehingga kini, masih tiada sebarang khabar berita berita.

Bayi itu? Bayi itu hidup. Tetapi di bawah jagaan Mbah Wedok. Tok Anjang tidak pernah sekali pun mahu menyentuh cucunya itu. Bahkan Mak Mah juga jarang-jarang dapat menjenguk kerana khuatir derhaka kepada arahan suami. Dalam 15 tahun ini, Mak Mah sering kelihatan berdiri di tepi tingkap dapur memerhati ke rumah Wak Shoib, mencari-cari kelibat cucunya itu.

Ramona binti Rashid. sudah berusia 15 tahun kini. Tidak seperti kanak2 sebayanya yang lain, wajahnya tidak mulus. Tetap berkedut dengan kulit yang berlipat-lipat. Rambutnya jarang-jarang, itu pun selepas puas dilumur dengan minyak oleh Mbah Wedok. Jika tidak kepalanya botak dengan kulit kepala turut berlipat-lipat.

Tubuh badannya pula bongkok. Ramona perlukan tongkat untuk berjalan supaya dapat menampung tubuhnya. Itupun dari bayi lagi Mbah Wedok mengurut tubuh badan anak itu, dia tidak pernah jemu melakukannya dengan doa tubuh itu menjadi lembut dan kurang mengerekot. Kasihan dia mengenangkan nasib anak itu, seringkali termenung, entah apa yang difikirkannya.

Kadangkala dapat juga mata anak itu dan mata Mak Mah saling bertatapan. Pasti Mak Mah akan  mengesat airmata melihat satu-satunya cucu yang ada, manakala Ramona hanya melihat dengan pandangan kosong. Dia bukan tidak tahu siapa perempuan tua yang sering memerhati dari tingkap dapur itu. Dia tahu perempuan tua itu neneknya. Tetapi hatinya sebal. Hatinya sedih dan pilu. Hatinya dirundung duka.

Satu masa dulu, dengan terbongkok-bongkok dia berjalan di belakang rumah. Dia terasa bosan hanya duduk termenung di dalam rumah saja. Wak Shoib yang dipanggil bapak belum pulang lagi dari menjala ikan, manakala Mbah Wedok yang dipanggil emak sedang lena usai solat Asar.

Waktu itu lah dia terdengar perbualan datuk dan neneknya dari kebun pisang mereka yang terletak bersebelahan dengan tanah bapaknya. Tiada niat dia mahu memasang telinga. tetapi angin telah membawa suara-suara mereka ke pendengarannya.

“Aku tak akan terima anak syaitan tu!! Dah jangan kau nak merayu lagi!” bentak Tok Anjang kasar. Parang panjang dicampak jauh. Takut kerana marahnya nanti, isterinya pula ditetak.

“Abang..itu anak Hasnah. Hasnah tu anak kita bang, budak tu cucu kita,” rayu Mak Mah dengan linangan airmata. Tok Anjang mendengus kasar. Dia memang pantang bila dikaitkan sebagai datuk kepada budak yang berkedut seribu itu.

“Selagi aku belum jumpa Rashid, aku anggap budak tu anak setan! Rashid bawa cucu aku lari! Budak tu bukan darah daging aku!” marah Tok Anjang lagi. Melengking-lengking suaranya memecah kesunyian petang.

Ramona terkaku. Pada mulanya dia tidak faham apa yang digaduhkan oleh dua suara itu. Dia tahu siapa pemilik suara-suara tersebut, namun pokok-pokok pisang yang berserakan ditambah dengan pokok-pokok senduduk yang tumbuhnya dekat-dekat menghalang penglihatannya. Kalau boleh dia mahu melihat wajah datuk dan neneknya itu. Dia mahu tahu bagaimana wajah marah dan benci datuknya. Mungkin mudah untuk dia menanam rasa benci terhadap mereka.

Mulanya dia tidak faham sama sekali. Anak syaitan kah dia? Syaitan yang syaitan atau manusia yang seperti syaitan atau bagaimana. Namun apabila nama ayahnya disebut, baru lah dia faham semua. Airmata mula terbit dan bergenang di kelopak mata yang tidak begitu jelas kelihatan. Barulah dia tahu kenapa ada beberapa tahun pada hari raya neneknya akan datang lalu memeluknya erat, seperti tidak mahu dilepaskan.

Barulah dia mengerti kenapa lelaki tua sebelah rumah langsung tidak mahu memandangnya ketika lelaki itu datang berjumpa bapaknya. Dia faham sekarang kenapa setiapkali hari raya, emaknya tidak pernah membenarkan dia keluar berhari raya di rumah besar dan cantik di sebelah rumahnya itu, sedangkan rumah itu sahaja yang boleh dikunjungi kerana terletak berdekatan.

“Abang..kita tak ada waris lain bang, itulah satu-satunya darah daging kita,” rayu Mak Mah lagi. Airmata seolah-olah tidak mahu berhenti mengalir membasahi pipi.

Tok Anjang memandang muka isterinya sepi. Malas benar dia mahu melayan perbualan mengenai budak setan itu. Hatinya kuat mengatakan yang Rashid sudah membawa lari cucunya. Walaupun dari cerita yang disampaikan berulangkali oleh Sulaiman, kerana ditanya juga berulangkali, ketika Rashid ditemui meracau dulu, tiada bayi di sisinya. Tetapi Tok Anjang masih percaya cucunya ada di tempat lain.

“Sudah lah Mah. Aku tak mahu cakap apa-apa lagi. Keputusan aku muktamad. Budak itu bukan darah daging aku. Budak itu tak akan jadi cucu aku. Kau tengok sendiri mukanya, Mah. Ada kau nampak iras Hasnah? Atau iras Rashid? Tak ada.” Kata Tok Anjang sinis.

“Anak setan tu  Mah,” sambung Tok Anjang lagi.

Mak Mah hanya berdiam. Dia tahu sudah tak ada gunanya dia cuba mempertahankan cucunya. Suaminya sudah hilang akal. Sudah lupa pada qada’ dan qadar tuhan. Hanya berpegang dengan teori dan kefahaman sendiri.

Ramona menahan tangis. Dia lalu menjauh. Pulang ke rumah yang mahu menerimanya. Lagipun sudah kedengaran olehnya bunyi kayuhan basikal bapaknya walaupun masih tidak terlihat bayang Wak Shoib pulang. Gadis itu pulang dengan linangan airmata. sudahlah tidak beribu berayah, datuk dan nenek kandung juga tidak mahu menerimanya. Ditambah lagi dengan gelaran anak setan yang dihadiahkan oleh datuknya sendiri. Dalam tangis ada kecewa, dalam kecewa wujud dendam. Ramona mengesat air matanya.

‘Janganlah kau menangis lagi. Cekal lah wahai hati.’ Bisik Ramona perlahan.

*****

“Emak..rupa Mona hodoh, kan? kenapa nasib Mona begini mak?” tanya Ramona dalam sedu sedan yang panjang. Mbah Wedok turut sama mengesat airmata dengan hujung lengan baju kurung kedah yang dipakainya.

Sudah setengah jam berlalu sejak Ramona mula menangis mengadu nasib diri. Diusap-usap lembut kepala gadis itu. Sudah hilang rasa ngeri di hati dan di mata Mbah Wedok melihat keadaan fizikal Ramona, yang ada hanya kasih sayang seorang ibu kepada anaknya. Walaupun Ramona mungkin lebih sesuai menjadi cucunya.

Mengongoi-ngongoi tangisan Ramona, seperti tiada hujungnya. Tubuh tua Mbah Wedok dipeluk erat walau dalam penuh kepayahan. Tubuhnya yang bongkok menyukarkan gadis itu untuk melekap erat memeluk tubuh tua Mbah Wedok.

“Emak… jangan tinggalkan Mona ye mak. Mona tak ada siapa-siapa lagi. Baik Mona  mati kalau mak tinggalkan Mona.” Ujar gadis itu lagi dalam esakan yang semakin kuat. Deras airmata yang laju menuruni pipinya yang berkedut.

“Sayang emak..shhhh, jangan cakap macam tu nak. Ajal maut di tangan Allah. kita bukan siapa-siapa yang boleh memilih bila kita akan mati, “ pujuk Mbah Wedok dengan suara yang tertahan-tahan. Dia menepuk lembut bahu Ramona.

“Kalau Allah sayang Mona, Dia bagi Mona mati dulu.” Mona merengek dalam sendu.

“Mona tak mahu hidup sendirian, semua orang akan lari bila nampak Mona. Semua orang mesti rasa jijik dengan Mona. Biar lah Mona mati dulu ye mak.”

Ramona mengangkat muka mahu melihat wajah emaknya. Dia mahu tahu apa yang emaknya sedang fikirkan. Dia mahu tengok benarkah emaknya menyayanginya. Sedangkan datuknya sendiri menggelarnya anak syaitan, jadi kenapa emak dan bapaknya tidak takut. Mereka bukan emak dan bapak kandungnya. Sepatutnya mereka juga takut dan menjauhkan diri.

Dia anak setan!! Itu kata datuknya sendiri. Kenapa dua orang tua ini mengasihinya sedangkan dia hanya lah satu beban. Sedangkan dia begitu hodoh untuk disayangi. Jauh lagi untuk ditangisi. Tetapi, kenapa sekarang emaknya menangis?

Mbah Wedok turut melabuh pandang ke wajah Ramona. Perempuan tua itu cuba mengukir senyum tetapi hati yang sedih dan sayu membuatkan senyumannya kelihatan herot dan pelik. Namun dia tetap melemparkan senyuman kepada anaknya dengan tangis yang ditahan-tahan. Bahu Ramona ditarik ke dalam dakapannya sehingga terlentok kepala gadis itu di dada wanita tua itu.

“Ye nak..emak takkan tinggalkan Mona.” Kata Mbah Wedok sambil mengusap wajah Ramona dengan tangannya.

“Mak janji?”

Mbah Wedok mengangguk kepala. Tidak tahan hatinya melihat kesedihan gadis itu. Dia berjanji tanpa berfikir panjang. Dia cuma mahu membuang rasa gusar dan takut dalam jiwa Ramona walaupun dia tahu siapalah yang boleh menduga ajal.

“Mona tak nak hidup kalau mak tak ada.”

Semakin kuat Mbah Wedok menangis mendengar kata-kata anaknya. Semakin erat pelukan dua beranak itu. Pipi Ramona dicium bertalu-talu tanda kasih yang tak terhingga.

“Ya Allah Ya Tuhanku, berilah kami jalan dan petunjukMu, Ya Allah!” desah hati kecil perempuan Mbah Wedok. Sayu benar hatinya kala itu. Panjangkah umurnya untuk terus menjaga Ramona? Sedangkan dia sendiri sudah melewati usia separuh abad. Mampukah dia mengotakan janji?

Wak Shoib yang terpaku di jenang pintu memerhati kelakuan dua beranak itu juga mengesat airmata. kehadirannya tidak disedari sama sekali. Wak Shoib melepaskan keluhan lalu turun kembali ke halaman rumah. Biarlah urusan dua beranak itu Mbah Wedok yang tangani. Dia sendiri sebagai lelaki mana mungkin dapat memujuk hati gadis yang terluka itu.

Di luar rumah, ada tubuh yang memerhati. Ada senyuman yang terukir. Ada mata yang membulat kerana terlalu teruja melihat dua beranak itu berendam airmata.

‘Hanya menunggu masa.’ Si empunya tubuh berbisik seperti pasir berdesir.

*****

“Adik..adik tengah buat apa ni?” satu suara menyapa Ramona dari belakang. Terkejut gadis kecil itu dibuatnya. Cepat-cepat dia mahu berlalu pergi. Tidak pernah dalam usianya yang sudah menjangkau 15 tahun, dia bercakap dengan orang lain selain dari emak dan bapaknya.

Dia memandang si empunya suara dengan penuh kemusykilan. Tidak takutkah orang ini berdepan denganku? Getus hati kecil Ramona. Lalu dia mula mengengsot untuk turun dari pondok. Tongkatnya dicapai, dgn susah payah dia bangun.

“Eh..adik nak ke mana tu?” tegur si empunya suara.

Ramona tetap tidak menyahut. Soalan itu dibiarkan sepi. Dengan bertongkat dan memegang tiang pondok, Ramona melangkah turun; tetapi tubuhnya yang bongkok itu sememangnya melambatkan langkahnya. Sempat juga Ramona berpaling melihat sama ada orang yang menegurnya masih berdiri di tempat yang sama atau sudah pergi ke arah lain.

Ini tempatnya melepak melepaskan rasa hati. Wak Shoib sendiri yang membina pondok kecil ini atas permintaan Ramona. Pondok yang terletak hanya di belakang rumah tetapi agak tersorok sedikit dari pandangan orang. Ada pokok-pokok durian dan manggis dia sekitarnya.

Tanah itu bersebelahan dengan kebun pisang datuknya. Ada masanya dapat juga dia mendengar mereka berbual-bual walau tidak jelas butir bicara. Kadangkala hatinya meronta-ronta mahu berada disampiñg neneknya, tapi apakan daya, anak syaitan ini tak mungkin ada tempat di dalam hidup datuknya. Itu yang sering dikata oleh hatinya sendiri.

“Adik..duduk lah dulu. Kakak mahu berbual dengan adik.” Ramona berhenti melangkah. Dia menoleh memandang perempuan cantik yang masih lagi berdiri di tepi pondoknya. Dia berkira-kira sendiri sama ada mahu terus pergi atau mendengar dulu apa yang mahu disampaikan oleh perempuan itu.

Akhirnya Ramona memusing tubuh. Dia mahu tahu siapa si cantik yang berani menegur sedangkan orang lain pasti akan lari bertempiaran jika melihatnya. Itu dia pasti. Perempuan cantik itu tersenyum lebar.

Wajahnya putih gebu dengan tubuh tinggi yang langsing; sesuai dengan kebaya labuh yang dikenakan ke badannya, perempuan itu nampak sungguh mempesona. Matanya bundar, alis matanya lentik seperti orang Arab, hidungnya juga mancung terletak. Bibirnya mugil dengan senyuman manis yang pasti akan mencairkan hati setiap yang memandang.

“Kakak selalu lihat adik duduk bersendirian di sini. Kerana itulah hari ini kakak datang mahu menegur. Mana tahu kita boleh berkawan.” Jelas perempuan cantik itu sambil melabuhkan punggungnya di atas pelantar pondok kayu itu. Ramona tetap membatukan diri.

“Mari…kakak ada bawa kuih gula hangus. Kita makan bersama, mau?” ajak perempuan itu lagi. Dia menggamit Ramona yang tetap tidak berganjak dari posisi yang sama sejak tadi. Dirinya yang tidak pernah dalam berinteraksi dengan manusia lain membuatkan dia tidak tahu mahu menurut atau pergi sahaja.

Dalam hati terasa seperti mahu menurut. Seronok juga ada teman berbual. Lagipun kakak itu tampak masih muda, mungkin lebih seronok berbual dengan dia berbanding berbual dengan emak yang sudah tua. Omel Ramona dalam hati.

Perempuan cantik itu dengan kulit putih gebu, memakai kebaya labuh berkain batik serta rambut yang disanggul kemas masih lagi melemparkan senyuman pada Ramona. Dia masih setia memujuk Ramona dengan menunjukkan bekas yang mengandungi kuih gula hangus yang sememangnya menjadi kegemaran gadis itu.

“Kakak ni sebenarnya kawan ibu adik, adik mesti tak tahu kan?” pancing perempuan cantik itu dengan senyum yang semakin manis. Kali ini dia berjaya menarik perhatian Ramona.

Bersinar mata gadis itu bila mendapat tahu perempuan itu mengenali ibunya. Bukan kepalang gembira hatinya kerana selama dia hidup tidak ada siapa yang menceritakan perihal ibunya, baik dalam perbualan harian mahupun semasa dia mencuri-curi dengar perbualan Mbah Wedok dengan neneknya apabila sesekali mereka berbual di dapur dan dia disuruh berdiam diri saja di rumah atas. Malahan, emak dan bapaknya sendiri tidak tahu yang sebenarnya dia sudah tahu siapa dirinya, siapa pasangan kaya dan berpengaruh yang menghuni rumah besar di sebelah rumahnya. Mereka tidak tahu dia sebanarnya sudah tahu.

“Mari…kakak ceritakan pasal ibu.” Perempuan itu menggamit Ramona supaya mendekat. Dia menepuk-nepuk perlahan lantai papan pondok mengajak Ramona duduk di sebelahnya. Ramona mula lembut hati. Tetapi dia masih lagi tidak berganjak dari tempatnya berdiri.

“Siapa nama ibu saya?” soal Ramona secara tiba-tiba membuatkan perempuan itu ketawa kecil.

“Hasnah…Hasnah binti Anjang Halim, betul tidak?” perempuan itu memberi jawapan pantas seraya menguntum senyuman manis di bibir. Ramona secara tidak sedar menganggukkan kepala.

“Nama kakak?” soal Ramona kembali.

Perempuan cantik itu tidak menjawab, dia kembali menepuk-nepuk papan lantai pondok sambil memberi isyarat supaya Ramona datang mendekat. Akhirnya kerana terlalu ingin mengetahui tentang ibunya, Ramona mengatur langkah menurut.

*****

CSI-RAMONA ~BAB 5~

BAB 5

“Eeekeeekekkeeeekekee..” ketawa yang pelik, halus tetapi meremangkan bulu roma.

Sulaiman cuba  menguatkan semangat untuk melangkah ke satu anak tangga lagi. Tiada apa yg terjadi. Dengan hati sedikit lega dia mahu melangkah ke anak tangga berikutnya, diangkat kaki kiri tinggi. Pada masa itu lah bunyi derapan tapak kaki semakin kuat dan laju. Datang dari dalam rumah Mak Som.

Prapp!!prappp!!kreekk!!!kerriukkk!! Pap!!pak!!pakkk!! Bunyi terhasil mengikut tebal nipis papan lantai di beranda rumah Mak Som. seperti ada orang yang sedang berlari di sepanjang beranda rumah bidan itu ataupun bunyi hentakan kaki yang sebenarnya entah dari mana puncanya. Kemudian..

Dummmm!!!! Pintu yang tertutup rapat terbuka sendiri lalu berdentum dengan dinding rumah.Terkejut bukan kepalang semua yang ada. Ada yang sampai melatah kerana terlalu terkejut.

Sulaiman kaku di tempatnya. Samad dan Basir sudah lari susup sasap meninggalkan halaman rumah Mak Som, yang tinggal hanya Jamil dan Sidek sahaja yang sedang berpegangan tangan tanpa disedari mereka.

“Jemput lahhh masukkkk semuaaaaaa….” Satu suara halus tetapi jauh dari dalam dada menjemput mereka masuk ke dalam rumah. Bila dijengah memang tiada kelihatan kelibat sesiapa waima bayang pun tidak ada. Sulaiman jadi sedikit goyah. Perlahan-lahan dia menuruni anak tangga dengan cara mengundur.

“Tok..saya tak berani, Tok. Saya tak berani,” kata Sulaiman dengan nada perlahan sambil menundukkan muka. Dia berasa malu mahu memandang rakannya yang lain iaitu Jamil dan Sidek. Biasanya di kalangan pemuda kampung, Sulaiman memang terkenal dengan sikap riak tidak takut barang apapun di dunia ini malah dia lah yang sepatutnya harus ditàkuti. Itu yang selalu dicanangnya. Tapi kini, egonya dicabar sehingga dia langsung tewas.

Tok Anjang hanya tersenyum. Dia menggamit Wak Shoib agar menghampirinya.

“Bagaimana Wak?” tanya Tok Anjang. Matanya tertancap kukuh ke arah ruang di dalam rumah yang agak kelam, hanya diterangi oleh tirisan cahaya matahari yang berjaya masuk melalui celah-celah dinding dan tingkap.

“Firasat Wak, kita perlu hadapi juga. Tidak boleh tidak. Ada yang tidak kena di dalam rumah ini.” Jawapan Wak Shoib membuatkan Jamil dan Sidek kembali berdiri dekat di belakang Tok Anjang, manakala Sulaiman pula lekas-lekas menyertai mereka.

Tiba-tiba seperti ada angin puting beliung menerjah ke halaman rumah. Hanya Tok Anjang dan Wak Shoib yang tetap tegak berdiri. Ketiga mereka yang lain terpaksa berpegangan tangan kerana takut diterbangkan angin yang begitu kuat.

Pokok asam jawa di tepi rumah bergoyang-goyang dengan dedaunan dan ranting yang bergeselan sesama sendiri menghasilkan bunyi yang agak menyeramkan. Pokok-pokok pisang dan beberapa batang pokok durian di belakang rumah juga turut bergoncangan seperti dilanda angin taufan.

Berdesing telinga jadinya. Atap bumbung rumah Mak Som ada yang terpelanting ke tanah. Ada yang terbang betul-betul seinci dari paras kepala mereka. Ada yang pergi jauh sehingga tersangkut di dahan pokok durian yang tinggi di belakang rumah. Semuanya berlaku dengan sangat pantas.

Angin kuat itu disertai dengan hujan daun kering dan pasir sehingga beranda rumah mak Som dipenuhi dengan dedaun kering dan ranting pokok. Rumah yang sedia usang dan uzur kini kelihatan seperti rumah berhantu. Tak ubah seperti rumah yang sudah lama ditinggalkan.

Dummm!!!!! Tiba-tiba kilat memancar di dada langit disertakan dengan bunyi guruh yang sangat kuat. Cuaca berubah dalam sekelip mata menjadi gelap dan mendung. Mereka masing-masing terpaksa menutup mata dengan tangan kerana takut dimasuki pasir yang turut sama berterbangan dibawa angin kencang.

Tok Anjang membuka kain lilit kepalanya lalu terkumat-kamit membaca sesuatu. Tidak lama kemudian dia menghentak tanah dengan tumit kaki kanannya. Angin kencang yang tadinya seperti ribut, berhenti secara tiba-tiba, sama seperti waktu ianya bermula tadi. Kemudian Tok Anjang menggumpal kain hitam itu lalu dengan teriakan Allahuakbar, orang tua itu membaling gumpalan kain masuk ke dalam rumah.

Gedegangg!!!! Bunyi yang kuat terhasil seperti ada objek berat yang menghempas dinding. Serentak dengan itu kedengaran suara tangisan yang mendayu dayu, teramat sedih dan sayu jika mendengarnya. Suara perempuan yang sedang berada dalam kesakitan yang teramat sangat dan  memerlukan bantuan.

Sulaiman dan Jamil sudah ke depan mahu menerpa masuk. Disangka mereka suara itu adalah suara bidan Som yang meminta pertolongan dengan nada sayu dan sendu. Baru sahaja mereka mahu melangkah menapak ke tangga, kain hitam yang di baling oleh Tok Anjang tadi terbang deras dari dalam rumah mengena tepat ke dada Jamil. Jatuh terduduk anak muda itu dibuatnya. Dia seperti diterjah oleh satu jasad yg tidak kelihatan.  Jamil mengaduh sakit sambil tangannya menekap dada dengan keadaan membongkok.

Kain hitam jatuh bergolek di atas tanah dalam keadaan masih lagi bergumpal. Wak Shoib mengambilnya, orang tua itu memerhati dengan lebih jelas dan melambung-lambung gumpalan kain tersebut dan akhirnya menoleh ke muka Tok Anjang.

“Ada sesuatu di dalamnya, Tok. Kainnya terasa berat.” Kata Wak Shoib.

Pada masa itu, Sulaiman memapah Jamil yang masih di dalam kesakitan lalu dibawa duduk di bawah pokok asam jawa kerana kawasan itu agak redup. Dia cuba memulihkan semangat Jamil yang hilang disebabkan kejadian tadi. Sidek pula turut serta, tidak mahu dia berseorangan di belakang Tok Anjang dan Wak Shoib. Entah apa pula akan terjadi padanya nanti.

“Wak buka kain tu,” kata Tok Anjang memberi kata putus. Wak Shoib mengangguk akur.

Lelaki tua berjanggut nipis itu lalu membuka lipatan kain tersebut di atas tanah. Dibukanya satu bahagian demi satu bahagian, cantik lipatan kain itu. Hanya kerana terbangnya ke arah Jamil berbentuk segumpal kain, rupanya kain itu bukan digumpal. Tetapi dilipat kemas sebelum dikeronyok dan dibuang ke udara.

Wak Shoib membuka lipatan yang terakhir. Sulaiman segera mengajak Sidek untuk melihat sama. Walaupun takut-takut, tetapi bila memikirkan tenaga mereka mungkin diperlukan, itu lah yang menyuntik sedikit semangat kepada mereka. Jamil masih lagi duduk di bawah pokok asam jawa hanya mendiamkan diri, hanya sesekali terdengar dia mengeluh menahan sakit. Dan akhirnya lipatan terakhir dibuka.

“Ya Allah!!! Masya Allah!!! ” Wak Shoib mengurut dada menahan rasa terkejut.

Tok Anjang segera menunduk mahu melihat dengan lebih jelas. Sulaiman dan Sidek sudah mengundur ke belakang semula. Sulaiman, seperti juga Wak Shoib terkejut bukan kepalang sehingga dia terjelepuk jatuh ke tanah. Sidek sudah terjeluak menahan muntah.

Di atas kain hitam, menggeleber sekeping kulit wajah manusia yang dibasahi darah pekat likat dan hanyir. Ada sedikit daging yang melekat di bawah kulit muka itu. Tok Anjang mengambil ranting kayu lalu dia menguis-nguis kulit wajah itu untuk melihat secara menyeluruh. Seperti membuka lipatan kain hitam itu, begitu lah Tok Anjang membuka lipatan kulit wajah tersebut.

Uwekk!!!! Sidek sudah tidak mampu menahan mual tekaknya. Dia termuntah di situ juga. Apa yang dapat dilihat Sidek bukan sesuatu yang boleh dilihat acap. Mungkin seumur hidupnya, itu lah kali pertama dan terakhir dia melihat sesuatu yang mengerikan seperti itu.

Di atas kain hitam itu juga terdapat dua biji bebola mata dicucuk dengan jarum lalu disembat di atas kulit tersebut. Bebola mata yang berurat dan masih lagi berdarah. Ada sekeping lidah yang dipotong bergerigi disembat dengan jarum di bahagian kulit bibir manakala telinga masih lagi terlekat elok seperti asal wajah manusia. Sidek terus saja pengsan. Tiba-tiba satu suara kedengaran dari kawasan sekitar rumah Mak Som.

“Tolong Tok.. Tolong.” Mendayu-dayu suara itu meminta pertolongan. Suara tak ubah seperti suara bidan Som. Sulaiman yang sudah berasa sedikit lega kembali berdiri di sebelah Tok Anjang. Tok Anjang mengambil segenggam  tanah lalu diramas dan dikepal-kepal, mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Kemudian, kepalan tanah itu dilambung ke bumbung rumah. Berdesir bunyinya.

“Aku datang mahu melihat bidan Som!” jerit Tok Anjang kuat.

Beberapa saat kemudian, satu suara lunak merdu kedengaran dari dalam rumah. Suara itu sama ada sedang ketawa atau mengilai, sukar untuk  dibezakan.

“Dia tak adaaaa…yang ada aku ni ajeeee, Anjang oii.” Jawab suara dari dalam rumah dengan nada separuh mengejek. Kemudian suara itu mengilai nyaring.

“Kau tak nak jumpa aku ke?” mendayu-dayu suara itu bertanya. Lembut suaranya. Disertai dengan ketawa kecil yang panjang dan berterusan.

Hihihihihi..

“Betul  kau tak nak jumpa aku? Main-main dengan aku? Aku cantik tau.” Kata suara itu memujuk. Kemudian dia ketawa lagi.

“Abang Sulaimannnnnnnn…oooo Abang Sulaiman..Mari lah masuk ke dalam..” Kali ini suara itu mensasarkan Sulaiman pula. Menelan air liur lelaki itu dibuatnya. Mahu gugur jantung Sulaiman ketika itu apabila mendengar ajakan yang manja namun sangat menakutkan.

Tok Anjang hanya membiarkan sahaja. Agaknya dia sengaja memberi peluang kepada apa sahaja di dalam rumah itu untuk mengawal keadaan. Begitu juga Wak Shoib yang berterusan terkumat kamit membaca surah2 Al-Quran. Sidek sudah mulai sedar, tetapi Jamil pula yang pengsan. Mereka membiarkannya sahaja.

“Tak ada siapa pun nak temankan Som ni..marilah Abang Lemannn.” Rajuk dan pujuk suara itu lagi. Berdetap lagi jantung Sulaiman. Mak Som memanggilnya Abang? Sedangkan Mak Som sendiri senang-senang sudah menjangkau umur 60 tahun. Abang?? Sulaiman menggosok gosok lehernya yang meremang.

Tok Anjang yang sejak tadi hanya berdiri tenang, tiba-tiba mengorak langkah berlari laksana orang muda berumur 20 tahun, berdesup dia masuk ke dalam rumah Mak Som. Lariannya seperti angin. Wak meminta mereka berdua untuk azan di dua penjuru rumah iaitu dibahagian kiri dan kanan rumah. Sulaiman dan Sidek akur. Walaupun keduanya muntah sebentar tadi namun dalam keadaan darurat, mereka mula melaungkan azan.

Daun pintu rumah Mak Som tiba-tiba berdentum tertutup rapat kembali. Rumah kayu itu bergegar kuat. Tiada angin waktu itu. Segala-galanya hening, terlalu hening sehingga berdesing telinga masing-masing. Daun-daun kering dan ranting-ranting kayu bergetar di atas lantai seperti sedang berlaku gempa bumi di kawasan itu.

Suara memujuk manja itu hilang. Bertukar dengan suara hilaian yang panjang.

Tidak lama kemudian, Tok Anjang muncul kembali di muka pintu. Dia mengarahkan Sulaiman dan Sidek naik ke atas rumah. Dengan teragak-agak, dua orang lelaki bertubuh sasa itu lambat-lambat menurut perintah Tok Anjang.

Bau hamis dan hanyir semerbak menusuk ke lubang hidung. Mereka terjengket-jengket kaki mengelak takungan darah yang penuh di atas lantai rumah. Begitu juga terdapat banyak tompokan dan percikan darah di dinding rumah bidan tua itu. Berulangkali mereka berpandangan sesama sendiri sambil menelan air liur. Ikutkan hati, masing-masing mahu cabut sahaja dari situ. Tetapi, atas dasar ego seorang lelaki, satu demi satu langkah kaki mereka menapak.

Di atas lantai rumah, ada sekujur tubuh tua yang masih memakai kain batik dan berbaju. Namun kepalanya sudah putus dari badan. Tubuh itu tertiarap dengan kesan hirisan kasar di leher. Kesan darah sudah kering di bahagian tepi leher tetapi masih mengalir keluar dari salur darah yang sudah terputus. Sidek sudah menekup mulut, Sulaiman pula cuba menenangkan hati Sidek walaupun dirinya sendiri sudah rasa mahu rebah. Keduanya melihat sekitar mahu mencari kepala bidan Som, tetapi tidak kelihatan di mana-mana.

“Ini kepalanya.” Tunjuk Tok Anjang kepada mereka berdua. Tok Anjang menggenggam rambut beruban Mak Som dengan muka yang tidak berwajah. Kepala Mak Som yang dipegang Tok Anjang bergoyang-goyang. Cebisan daging di mukanya sudah pucat tetapi ada lompang-lompang kosong yang tidak berdaging, seolah-olah kulit wajahnya direntap kuat.

Teringat pada kulit menggeleber di dalam kain hitam lilit kepala Tok Anjang. Jelas ada cebisan daging yang masih melekat. Mereka terkaku melihat kepala Mak Som yang masih bergoyang-goyang, dengan mulut terngaga dan ruang mata yang kosong. Tidak tergambar oleh  mereka, tak kan mampu terucap dengan kata-kata. Akhirnya, di situ juga Sidek sekali lagi rebah. Sulaiman pula terus  berlari terus melompat turun ke tanah.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

CSI-RAMONA ~BAB 4~

BAB 4

Hussein masih lagi tersandar lemah di bawah pokok rambutan di halaman rumah Rashid. Dia dipapah oleh Musa di sepanjang jalan dari baruh ke rumah anak menantu ketua kampung itu. Keadaan Hussein yang masih lemah kerana muntah dan sawan diberi bantuan oleh Wak Shoib. Hussein sudah boleh membuka mata namun hanya seketika, dia akan meracau dan kemudian pengsan semula.

Musa juga muntah-muntah. Bajunya melekat di badan kerana dibasahi peluh. Dia mencangkung di sebelah Hussein dengan tangan menekan perut. Wak Shoib menyapukan air yang sudah dibaca dgn ayat-ayat suci Al-Quran ke muka dua orang pemuda kampung itu. Keadaan Musa akhirnya bertambah pulih.

Orang kampung yang tadinya berdiri mengelilingi Tok Anjang mula membuka jalan. Tadinya mereka memberi perhatian akan kata-kata Tok Anjang yang sangat disegani itu. Tok Anjang memaklumkan bahawa anaknya, Hasnah sudah meninggal dunia semasa melahirkan bayi kandungannya. Pada masa itu lah munculnya Musa dengan keadaan pucat dan termengah-mengah memapah Hussein yang sudah terkulai tidak bermaya.

“Sekarang kau dah boleh bercakap atau belum, Musa?” tanya Tok Anjang tegas. Musa yang masih pucat mengangguk kepala. Dia gagahkan diri untuk bangun berdepan dengan orang tua itu. Orang kampung yang lain masing-masing memasang telinga.

Musa memulakan cerita.

“Si Leman, Tok.. Dia minta saya dan Hussein ke rumah Mak Som.”  Kata-kata Musa mati di situ kerana Hussein kembali meracau.

Rupanya, tanpa disedari sesiapa, Hussein sudàh pun bertenggek di atas dahan pokok rambutan yang besar, tinggi dengan dedaun yang merimbun. Melihat dari sudut dia bertenggek, seperti ada sesuatu yang sedang memegangnya kerana kalau dalam keadaan biasa sekalipun, orang yang bekerja di sarkas sendiri akan menggigil kaki hendak menstabilkan diri. Hussein dengan mudah bertenggek di hujung dahan yang bergoyang-goyang ditiup angin.

Seluruh mereka yang berada di halaman rumah mendongak. Semakin lama, semakin ramai yang datang menjenguk sehingga kelibat Pak Ya yang terkenal dengan warungnya yang tidak pernah cuti itu juga turut kelihatan. Semuanya mendongak melihat gelagat Hussein yang pada masa itu hanya diam merenung ke bawah. Agak tinggi juga dahan rambutan yang dipilih oleh Hussein. Di dalam rumah, hanya kaum wanita yang menunggu jenazah sambil membaca surah Yassin di ruang tengah.

Tiba-tiba, pecah tawa Hussein yang panjang dan meleret dengan suara yang halus. Ketawa yang meletus itu panjang, seperti dia tidak perlu menarik nafas sama sekali. Berselang-seli dengan suara mendayu merengek manja. Suara yang jauh dari dalam perut seolah-olah memang ada jasad lain di dalam badan Hussein yang sedang bersuara seiring dengan ledakan tawa lelaki itu. Kemudian pemuda bertubuh sasa itu senyap tiba-tiba. Tidak ada mana-mana bahagian tubuhnya yang bergerak sedangkan dirinya sendiri berada di hujung dahan rambutan yang sedang dibuai angin.

Orang kampung leka memerhati. Hussein pula secara perlahan meletakkan tangannya memegang satu lagi dahan pokok di atas kepalanya lalu digoncang-goncang. Namun Hussein tetap melekat di atas dahan tempatnya bertenggek seperti tiada masalah graviti sama sekali.

“Mahu apa kamu?” jerit Wak Shoib dari bawah pokok rambutan. Semakin kuat dahan rambutan itu digoncang-goncang dengan wajah yang mula menyeringai.

Orang-orang kampung sudah mula mengatur langkah beberapa tapak ke belakang. Hussein ketawa lagi. Ada beberapa orang lelaki tua membawa Musa masuk ke dalam rumah, mungkin takut nanti Musa akan terjangkit sama.

“Aku tak mahu apa-apa,” kata Hussein dari atas pokok seperti mengejek pertanyaan Wak Shoib. Dia tersenyum menampakkan barisan gigi atas bawah yang terkatup. Dalam masa dia tersenyum ngeri itu, masih lagi dia ketawa yang tertahan-tahan.

“Aku cuma…mahu bermain-main dengan kamu semua.” Sambung Hussein lagi dengan suara halus persis seorang perempuan. Lalu dia sambung ketawa. Kali ini ketawanya bukan lagi terkekek-kekek tetapi bertukar menjadi hilaian panjang yang menaikkan bulu roma.

Orang kampung yang tadinya berkumpul sudah berpecah kepada dua bahagian. Ada yang masih gagah berdiri mahu melihat sendiri apa seterusnya akan berlaku tetapi ramai juga di antara mereka sudah masuk ke rumah ke tempat orang-orang perempuan membaca surah Yassin.

Tok Anjang mengarahkan beberapa orang lelaki berdiri di bawah pokok rambutan, betul-betul di bawah tempat Hussein bertenggek. Empat orang semuanya yang berbadan agak sasa. Sempat Tok Anjang berbisik kepada salah seorang dari mereka supaya bersiap sedia untuk menyambut tubuh Hussein sekiranya dia terjatuh nanti. Abu, orang yang dtitipkan pesan mengangguk faham.

Hussein berubah cara. Tadinya dia ketawa, kemudian mengilai dan sekarang dia menyanyi pula. Menyanyi lagu keroncong lama.

‘Bunga mawar darimu…yang kubawa sebagai gantimu

Untuk menjaga hati yang rindu…mawar merah kasihku

Bunga mawar kusimpan…yang mengandung cinta dalam hati

Biarpun layu tetap kusimpan…janjiku sampai mati

Mawar merah indah permai…mawarku

Menjadi kenang-kenangan…selama hidupku

Bunga mawar darimu…harum bunga menawan hatiku

Rindu dalam hati sanubari …aku pergi sendiri’

Habis sahaja menyanyi, Hussein ketawa panjang sambil tersenyum manja melihat satu persatu wajah-wajah yang terlalu asyik mendengar nyanyiannya tadi.

“Suka kan? Hihi hiii hiii..” ejek Hussein dengan lirikan mata yang cuba untuk menggoda. Ada di antara orang-orang kampung yang berpaling mahu menyembunyikan senyum. Mungkin geli hati melihat seorang lelaki berbadan sasa seperti Hussein tiba-tiba berubah sikap seperti seorang perempuan.

Ada juga yang saling berhimpit kerana sememangnya suara yang mereka dengari itu bukan suara Hussein, waima bukan suara seorang lelaki. Suara itu terlalu mendayu dan begitu gemersik yang meremangkan bulu roma sesiapa sahaja yang mendengar. Orang-orang tua kampung masing-masing mengurut dada sambil beristighfar.

Wak Shoib memandang Tok Anjang. Tok Anjang mengangguk kepala seolah-olah memberi arahan. Wak Shoib tidak menunggu lama terus sahaja dia melaungkan azan. Kuat dan bergema suaranya. Tok Anjang pula melangkah ke perdu pokok rambutan itu lalu dikibas-kibas batang pokok dengan kain hitam yang dipakai untuk melilit kepala. Bukan calang-calang orang tua itu rupanya.

“Jangan ingat aku tak tahu, Tok…” berlagu-lagu suara Hussein menegur Tok Anjang. Orang tua itu buat tidak peduli.

Melihat keadaan itu, semakin banyak pasang kaki yang mengundur ke belakang. Abu dan tiga orang yang lain pun sudah terketar lutut menunggu di bawah pokok. Tok Anjang masih buat tidak peduli, diteruskan juga memukul batang pokok rambutan dengan kain lilit kepalanya. Wak Shoib meneruskan azan untuk kali kedua. Ada beberapa orang yang lain turut sama melaungkan azan.

“Aku akan datang lagi Tok..hiiiiiiiii hi hi hihiiiiiii..”

Serentak dengan itu tubuh Hussein tercampak ke atas. Tubuh pemuda itu mengena tepat pada hujung dahan yang patah dua. Berdetap bunyi tulang temulang Hussein. Dia jatuh tersembam ke tanah tanpa dapat disambut oleh Abu dan tiga lelaki yang lain. Mulutnya berbuih dengan darah merah, pekat dan likat. Dengan mata terbuka luas sebelum secara perlahan-lahan kepalanya terlentok ke tepi dengan cairan likat itu terus-terusan mengalir keluar membasahi rumput yang dalam sekejap sahaja bertukar warna menjadi merah.

*****

“Angkat jenazah Hussein masuk ke rumah.” Arah Tok Anjang kepada mereka yang berkumpul mengelilingi mayat Hussein di bawah pokok.

“Abu, kau guna motosikal aku kau pergi ke pekan, panggil Ahmad Roni ke mari. Cepat!” arahnya lagi sambil menghulurkan segugus kunci kepada Abu. Kelam kabut Abu mencapai kunci tersebut dari tangan Tok Anjang, kemudian berlari deras meninggalkan perkarangan rumah Rashid menghala ke rumah Tok Anjang yang berjarak lebih kurang 500 meter dari situ.

Belum pun reda keadaan kalut itu, muncul pula Sulaiman dengan dua orang pemuda yang lain. Tercungap-cungap mereka mengambil nafas. Tok Anjang menanti dengan bermacam rasa di hati. Wak Shoib pula segera mengarahkan kepada mereka yang lain agar begotong-royong menggali kubur dan meminta yang lain ke surau untuk mengambil peralatan memandikan jenazah. Mereka yang lain diminta untuk membuat persiapan lain terutama menyediakan kain kafan.

“Tok..kami tak dapat cari Rashid, Tok. Dia hilang.” Kata Sulaiman dgn dada turun naik mahu mencuri nafas. Merah padam wajahnya dengan peluh mengalir laju dari kepala dan lehernya.

“Maksud kau apa, Leman?” tanya Tok Anjang agak keras. Bulat matanya memandang muka Sulaiman.

“Betul Tok..saya sendiri ikut Leman masuk ke dalam hutan tadi. Tempat yang dia ikat Rashid tu kami tak jumpa Tok.” sahut Jamil pula. Dahinya berkerut sedikit, mungkin masih pelik dengan apa yang dialaminya.Tok Anjang memandang keduanya dengan pandangan tidak percaya.

“Hilang? Kamu berdua ni mahu main-main dengan aku?” meletus marah Tok Anjang. Jamil dan Sulaiman menelan air liur. Walaupun ada ilmu di dada tetapi berdepan dengan Tok Anjang bukan semudah dikata.

“Kami tak jumpa pokok tualang yang Leman maksudkan tu Tok. Puas kami berpusing, denai yang ditebas Leman tu ada tapi pokok tualang tu tak ada Tok.” Jelas Samad yang turut serta bersama Sulaiman dan Jamil masuk ke hutan mahu membawa pulang Rashid. Tok Anjang menggumam. Akhirnya dia terangguk-angguk.

“Tak apa lah, soal Rashid kita tunggu Sarjan Ahmad sampai kemudian aku sendiri akan putuskan. Sekarang kita kena ke rumah bidan Som. Kamu yang muda-muda ni boleh ikut aku.” Tok Anjang berkata tegas dengan memandang kesemua yang berkumpul di hadapannya ketika itu. Kain hitam dililit kembali di kepala. Tok Anjang memulakan langkah dengan Bismillah.

Wak Shoib mengikut sama. Begitu juga Sulaiman, Jamil, Basir, Samad dan Sidek. Hati muda mereka terpanggil untuk mengetahui dengan lebih lanjut apa yang sedang dan bakal berlaku.

Rumah bidan Som sunyi sepi, tiada langsung bunyi pergerakan di dalam rumah. Sulaiman, Jamil dan Samad duduk di atas akar pokok asam jawa yang besar dan rendang, betul-betul di bahagian tepi rumah bidan tua itu. Manakala Basir dan Sidek berdiri terkebelakang sedikit dari tempat Tok Anjang berdiri.

“Som!!! Ooo Som!!! Assalamualaikum!” jerit Wak Shoib dari halaman rumah. Kepalanya terjengah-jengah mahu melihat ke dalam rumah bidan Som melalui jenang tingkap yang sedikit terbuka.

Tiada sebarang sahutan dari dalam rumah mahupun dari sekitar rumah kayu kecil itu. Mak Som sudah lama hidup seorang diri. Dahulu dia mempunyai suami dan anak-anak yang agak ramai. Tetapi selepas beberapa tahun dia menjadi bidan, takdir hidupnya berubah. Suami dan anak anaknya meninggal dunia seorang demi seorang sehinggalah Mak Som akhirnya hidup hanya mengabdi diri untuk membantu bakal-bakal ibu di seluruh kampung,  juga kampung-kampung lain yang berdekatan.

Ada yang berkata Mak Som dimakan sumpah, ada juga yang membuat andaian benda peliharaan Mak Som menuntut nyawa ada juga yang langsung tidak menghiraukan apa orang lain kata. Sementelah sikap Mak Som yang ceria dan ringan tulang, jauh dari imej bidan jahat pengamal ilmu hitam. Mak Som boleh dikatakan disenangi oleh kebanyakan orang kampung.

“Assalamualaikum!” salam diberi oleh Wak Shoib lagi. Keadaan tetap sama, tiada siapa yang menjawab. Tok Anjang mengangguk-angguk kepala. Basir dan Sidek pula sudah berkali-kali menelan air liur, terasa menyesal pula kerana mahu tunjuk hero di depan Tok Anjang.

Sulaiman, Jamil dan Samad yang masih tidak tahu perihal kejadian yang menimpa Hussein laju membalut rokok gulung. Tak lama selepas itu asap tengik mula berkepul-kepul keluar dari mulut mereka bertiga. Muka masing-masing jelas kelegaan dapat menghisap rokok.

“Siapa di antara kamu yang paling berani?” tanya Tok Anjang tiba2.

“Leman, Tok!” hampir serentak mereka yang lain menjawab, kecuali Wak Shoib.

Tok Anjang menjatuhkan pandangan ke wajah Sulaiman yang nyata terkejut. Rasanya berbakul sumpah seranah mahu dilemparkan kepada kawan-kawannya. Sebal hati Sulaiman kerana terasa dirinya seperti menjadi mangsa keadaan.

Namun begitu, dia bingkas bangkit mendapatkan Tok Anjang. Lagi pula dia tidak mahu berlama di rumah bidan Som. Matahari sudah meñinggi di atas kepala mencurahkan terik panas yang membakar kulit. Ditambah pula perutnya yang berkeroncong dan tubuhnya yang sudah kepam dengan bau peluh. Dia mahu lekas pulang. Dia mahu mandi dan mengisi perut. Itu perancangan Sulaiman.

“Ye Tok,” ujar Sulaiman sambil memijak baki rokok daun dengan seliparnya.

“Tok nak kamu naik dan masuk ke dalam rumah.” Arah Tok Anjang tegas. Terkulat-kulat muka Sulaiman dibuatnya.

“Tapi kenapa saya, Tok?” tanya Sulaiman seperti orang dungu.

“Kamu yang paling berani, Tok serahkan pada kamu.” Jawab Tok Anjang pendek. Sulaiman tidak punya ruang untuk membantah. Dengan hati terpaksa, dia terpaksa akur juga.

Praappp!!! Langkah pertama Sulaiman mendaki anak tangga disertai dengan bunyi kayu yang sudah semakin mereput. Kaki kirinya diangkat mahu memijak anak tangga kedua. Kriiukkkk!!! Ada bunyi yang terhasil dari arah anak tangga sedangkan kaki kiri Sulaiman belum lagi menginjak ke papan kedua tangga.

Sulaiman terus menoleh memandang Tok Anjang. Orang tua itu sekadar mengangguk namun meminta sulaiman meneruskan hajatnya. Sulaiman menelan air liur. Mereka yang lain semakin mundur ke belakang. Tinggal masa untuk cabut lari.

Sulaiman memijak tangga kedua dengan kaki kirinya, serentak ada suara entah dari mana mengekek ketawa seolah-olah lucu benar dengan tingkah laku Sulaiman yang sudah pucat lesi. Semakin jauh mereka yang lain mengundur. Tinggal Tok Anjang dan Wak Shoib sahaja kekal di tempat masing-masing.

*****

 

 

 

 

 

 

 

CSI-RAMONA ~BAB 3~

BAB 3

“Tok!! Tok!!!” jerit Leman dari halaman rumah. Dia melilau ke hulu ke hilir sambil menjerit memanggil tuan rumah, tetapi yang dipanggil masih tidak menyahut. Angin pagi yang bertiup sepoi-sepoi bahasa membawa suara Leman jauh ke dalam kebun pisang di belakang rumah.

“Tok!! Tok Anjang!! Oooiii Tok!!” jerit Leman lagi. Kali ini dia melompat-lompat cuba menjengah kelibat tuan rumah melalui tingkap kayu tinggi yang mempunyai penghadang berukir. Leman semakin tidak keruan. Berita yang dibawanya ini sangat penting untuk disampaikan kepada Tok Anjang.

“Mak Mah!! Ooo Mak Mah!” kali ini Leman memanggil nama isteri Tok Anjang pula. Diharapkan orang tua itu ada di dapur, lalu Leman cuba menjengah dari tingkap dapur pula. Tetapi masih tiasa sahutan. Leman menggaru-garu kepalanya yang nampak berminyak. Bajunya sudah mulai basah akibat peluh yang sudah lama terbit di leher dan belakangnya.

Mana Tok Anjang ni?? Getus Leman di dalam hati.

“Assalamualaikum Tok..Tok Anjang! Mak Mah! Jawab la saya nak jumpa Tok ni.” Panggil Leman lagi dengan nada agak kecewa. Dia tidak tahu ke mana harus dituju. Patutkah dia memberitahu akan hal itu kepada Wak Shoib yang tinggal berjiran dengan Tok Anjang? Leman bersoal jawab dengan dirinya sendiri.

Sedang dia leka bermain dengan naluri dan mindanya, sayup-sayup dari arah belakang rumah, salam yang diberi tadi dijawab oleh seseorang. Leman segera mengorak langkah berkejar ke belakang rumah Tok Anjang.

“Hah Sulaiman, kenapa dengan kamu ni? Terjerit-jerit dari tadi. Aku ada menebas rumput di kebun pisang aku tu.” Tegur Tok Anjang separuh marah. Tok Anjang memang terkenal dengan ketegasannya. Tak ramai pemuda kampung yang berani membantah kata-kata Tok Anjang.

Leman  mengibas-ngibas kolar bajunya. Mungkin cuba menyejukkan hatinya saat itu. Peluh yang semakin banyak di dahi diseka dengan belakang tangan. Matanya mencari jika ada sesiapa di belakang Tok Anjang. Tok Anjang memacakkan parang panjangnya ke tanah. Seriau hati Leman dibuatnya.

“Begini Tok..Pagi tadi saya ke hutan memburu pelanduk.” Leman terhenti.

Tok Anjang membulatkan mata memandang ke anak mata Leman. Leman jadi serba tidak kena pula. Tetapi dia tetap mahu menyampaikan apa yang dilihatnya tadi.

*****

Sulaiman atau lebih mesra dipanggil Leman oleh orang kampung, meranduk pohon-pohon renek yang tumbuh subur di pinggir hutan di tepi kampung. Sesekali dia menebas pokok-pokok yang berbatang besar yang menghalang laluannya. Dia mahu membuat denai baharu. Denai yang sedia ada sudah biasa digunakan dan tidak sesuai untuk berburu. Ramai orang kampung yang keluar masuk hutan untuk mencari damar dan rotan.

Leman memang biasa pergi berburu berseorangan. Dia tidak takut dengan hutan. Dia tidak gentar dengan penghuni rimba. Ilmu yang dituntut dan dipelajari di Gunung Wali masih utuh dalam diri. Hanya kadangkala dia mengajak anak buahnya Salim untuk menemani sekiranya dia dapat merasa habuan pemburuannya nanti besar ataupun banyak.

Sedang asyik dia membuat laluan, kedengaran suara tangisan dari celah-celah pokok tualang dan pokok merbau yang tinggi menjulang ke langit. Kelibat yang empunya suara tidak kelihatan, tetapi tangisan itu jelas mengongoi-ngongoi seperti terlalu hiba. Leman memejamkan telinga. Memang benar tangisan itu datangnya dari perdu pokok tualang yang berjarak 20 meter dari tempatnya berdiri.

Tiba-tiba suara tangisan bertukar jeritan pula. Jeritan makian namun yang panjang dan melerat-lerat. Kemudiannya suara itu ketawa berdekah-dekah. Leman mendekati pokok tualang itu. Hatinya tidak sabar mahu tahu siapa gerangan pemilik suara yang dipengaruhi emosi itu.

Suara unggas rimba sahut-sahutan, berselang seli dengan bunyi lotong di dahan pokok. Beberapa ekor daripadanya mengacah-acah Sulaiman yang sedang berhati-hati melangkah, takut mengejutkan si empunya suara.

“Rashid?”

Sulaiman separuh menjerit bila didapati rakan sekampungnya yang juga menantu ketua kampung sedang bersandar di perdu pokok sambil ketawa menyeringai. Rambut Rashid berserabai tidak terurus. Wajahnya comot dengan kesan lumpur kering di pipi dan dahinya. Tangannya penuh dengan luka-luka tersayat duri. Baju yang dipakainya koyak rabak. Rashid berkaki ayam, jelas kelihatan luka-luka di kakinya yang sudah kering.

Leman mendekati lelaki itu namun Rashid langsung tidak mengendahkan rakan mengajinya sewaktu kecil dahulu. Dia seperti dipukau oleh sesuatu sehinggakan teguran Leman tidak berkesan sama sekali.

“Ya Allah Shid! Kenapa dengan kau ni, Rashid?”

Leman cuba menyedarkan Rashid dengan menggoncang-goncang tubuh lelaki itu. Rashid masih buat tidak tahu seolah-olah Leman tidak wujud di depannya. Leman yang duduk berjarak kurang semeter dari Rashid menutup hidung kerana tidak tahan dengan bau busuk dan hanyir dari tubuh Rashid. Parang pendek di tangan tidak dilepaskan. Manalah tahu kalau-kalau Rashid mengamuk sehingga boleh mendatangkan mudarat kepadanya. Leman atau nama sebenarnya Sulaiman, bersiap siaga akan sebarang kemungkinan.

Rashid masih ketawa berdekah-dekah. Disulami dengan maki hamun yang tidak berlapik sama sekali. Sesekali dia menyeringai seperti seekor serigala yang kelaparan. Sulaiman mengambil dua langkah ke belakang. Bukan dia takutkan Rashid, tetapi dia tidak mahu Rashid terkejut lalu mengamuk. Dia khuatir parang pendek itu dengan pantas akan mencantas batang leher Rashid nanti. Sulaiman tahu kemampuan sendiri.

*****

“Betina sundal! Sial! Berani kau tipu aku?” jerit Rashid dengan mata mencerlang garang. Dia hanya memandang ke depan seperti objek yang dimarahinya itu ada di depan mata. Tangannya tergawang-gawang seperti mahu memukul sesuatu.

“Rashid…bersabar Rashid. Siapa yang kau maksudkan sundal dan sial tu?” Sulaiman bertanya lembut. Dia cuba menenangkan jiwa Rashid yang sedang berantakan. Rashid tidak peduli, malah dia seperti tidak mendengar pertanyaan Sulaiman.

“Ya..ya..aku akan bunuh dia..tapi dia dah mati..kikikikiiii.” Panjang ketawa Rashid. Terkejut Sulaiman dibuatnya. Berdetup jantungnya mendengar kata-kata Rashid. Siapa yg mati?? Rashid sudah membunuh orang kah?? Wajah Rashid diperhati. Pandangan matanya turun ke baju Rashid yg kotor dan koyak rabak itu.

Ada kesan seperti darah kering di baju lelaki itu. Bertompok-tompok di beberapa tempat terutama di bahagian sekitar dada dan perut. Mengucap panjang Sulaiman bila menyedari kemungkinan Rashid bukan merepek sama sekali.

“Hasnahhhhhhh!!!!” Rashid menjerit tiba-tiba. Terkejut seisi belantara. Berkepak burung-burung terbang ke pokok lain menjauh dari lelaki gila itu. Lotong yang tadinya terjengah-jengah dari dahan pokok melompat pantas ke dahan pokok lain kerana terkejut. Riuh rendah rimba jadinya.

“Maafkan abang Nah.. Abang sayangkan Nah… Abang sayangkan Nah.” Jeritan bertukar tangisan. Melolong bunyinya. Panjang dan sayu. Rashid memujuk mukul kepalanya dengan tangan yang dikepal menjadi penumbuk.

Pak!! Pakk!! Duk!! Duk!!! Dia menumbuk mukanya sendiri. Kemudian dia memukul kepalanya pula. Sulaiman terpaku seketika. Tidak tahu mahu dibuat apa dengan Rashid yang berada di dalam keadaan separuh waras itu. Atau sebenarnya Rashid sudah tidak waras?

“Huuuuuu..huuuu..Nah..Bangun Nah. Abang janji abang jaga Nah.” Rengek Rashid. Dia meletakkan kepalanya di antara dua lutut yang dinaikkan. Tangannya diramas-ramas. Sulaiman masih menjadi pemerhati.

“Rashid.” Pujuk Sulaiman perlahan. Dia sekadar mencuba nasib. Mana lah tahu dalam keadaan sedih begini Rashid akan mengendahkan panggilannya. Namun tetap hampa.

Sulaiman mengambil keputusan untuk pulang ke kampung bagi memberitahu kisah ini kepada Tok Anjang. Biar Tok Anjang yang mengambil tindakan. Lagipun Rashid anak menantu Tok Anjang dan Mak Mah manakala Hasnah pula satu satunya puteri cahaya mata mereka.

Sulaiman menetak anak rotan lalu tubuh Rashid diikat di perdu tualang.

“Maafkan aku, Shid. Belantara ini luas. Aku lakukan apa yang perlu.” Ujar Sulaiman sebelum melangkah laju meninggalkan Rashid. Rashid hanya ketawa mengekek seperti mengejek perbuatan Sulaiman terhadapnya.

“Mak Som!!! Aku bunuh kau nanti!!! Kau tunggu!!!!” jerit Rashid dengan sekuat hati.

Jeritan yang membuatkan Sulaiman menoleh. Terhenti langkah Sulaiman mendengar ugutan Rashid. Kemudian dia mengambil keputusan tidak mahu berpatah balik. Biarlah Rashid menjerit sehingga hilang suara sekali pun. Rashid tidak dapat ke mana-mana dengan tubuh berikat ketat begitu.

Setiap langkah Sulaiman diiringi tangisan dan gelak tawa Rashid yang bercampur baur. Sulaiman mempercepatkan lagi langkahnya. Sesekali dapat dilihat dia melompat-lompat dan meredah semak samun tanpa menebasnya terlebih dahulu. Bunyi ungka dan burung seperti menemani lariannya. Dia mencari jalan utk tembus ke denai yang biasa digunakan supaya dapat lekas sampai ke kampung. Dia mahu cepat. Dia berkejar dengan masa.

*****

“Kau kumpul mana-mana pemuda kampung yang ada, pergi bawa Rashid balik! Jangan diapa-apakan dia. Bawa dia terus ke rumah aku!” arah Tok Anjang dalam kekalutan cerita Leman yang baru didengarinya tadi. Leman mengangguk kepala laju-laju lalu terus berlari susup-sasap menuju ke warung kopi Pak Ya. Pasti ada ramai pemuda kampung yang merenung masa depan duduk di situ.

“Minta Tok imam bawa ahli masjid ke rumah bidan Som. Cepat!!!” arah Tok Anjang separuh menjerit. Leman menoleh memandang orang tua itu seraya mengangguk tanda faham. Kemudiannya dia sambung berlari.

Tok Anjang pula bergegas ke rumah Wak Shoib. Sempat dia menjerit memanggil nama isterinya. Kain hitam yang disangkut di bahu dibuatnya lilit kepala pula. Parang panjang yg tercacak di tanah ditarik kasar. Langkahnya luas dengan parang terhayun-hayun mengikut hayunan tangan.

Mak Mah keluar dari celah-celah pokok pisang tanduk yang rata-rata sedang berbuah. Wajahnya jelas menunjukkan rasa hairan melihat tingkah suaminya. Namun dia hanya mengekor, tidak berani mahu bertanya.

*****

“Ya Allah!!! Hasnah!!!” jerit Mak Mah di muka pintu bilik. Terjelepuk orang tua itu melihat mayat anaknya yang sudah mula dihurung semut. Isteri Wak Shoib yang ikut sekali masuk ke bilik cuba menahan badan Mah Mah dari terus tersungkur ke lantai.

Pecah tangisan Mak Mah. Tersengguk-sengguk bahunya menahan esak yang semakin panjang. Mbah Wedok cuba memujuk hati jirannya itu tetapi tidak berjaya. Tangisan Mak Mah masih panjang, penuh hiba hati seorang ibu.

“Siapa yg buat kau jadi begini, Nah?” Mak Mah meratap pilu. Dia cuba menggapai tubuh anaknya tetapi kesedihan yang teramat membuatkan tangannya lemah tidak berdaya.

Beberapa lagi orang wanita yang turut sama masuk ke dalam rumah cuba mengintai dengan menginjak-injak kaki mahu memanjangkan leher melihat apa yang berlaku di dalam bilik. Keadaan agak sesak berhimpit-himpit di hadapan bilik kerana sudah ramai yang tercegat di muka pintu mahu mengambil tahu apa yang sedang dan sudah berlaku.

Melihat kepada keadaan mayat Hasnah yang sangat mengaibkan malah mengerikan itu, cepat-cepat Mbah Wedok, isteri kepada Wak Shoib mencapai selimut di penjuru bilik lalu diselimutkan mayat Hasnah yg sudah keras terkangkang dengan isi perut terburai. Keadaan di sekitar perut arwah Hasnah dipenuhi dengan darah kering tetapi pada luka di kemaluannya,  masih nampak basah kerana ada lendir yang belum lagi kering sepenuhnya.

Isi perutnya nampak terkeluar melalui tempat sulit Hasnah. Ada antara mereka yang berjaya masuk ke dalam bilik, menekup mulut mahu muntah. Ada juga yang sudah ke ruang tamu kerana mahu pitam. Ada yang terus ke halaman rumah lalu memuntahkan segala apa yang dihadam di rumah sebelumnya.

Tok Anjang yang menunggu di pintu utama rumah bergegas masuk bila mendengar jeritan isterinya. Wak Shoib membontoti langkah Tok Anjang. Beberapa lagi orang tua kampung mundar-mandir di halaman rumah Rashid. Tidak mahu mengambil langkah sendiri memandangkan Tok Anjang adalah orang yang paling dihormati di kampung itu. Sedangkan jika keluarga lain yang mendapat musibah, Tok Anjang akan diutamakan dahulu, ini kan pula musibah melanda keluarga anak menantunya sendiri.

“Hasnah..Ayah ni nak..kenapa boleh jadi macam ni? Allahuakbar!” Tok Anjang menangis di hujung kepala Hasnah. Dipangku kepala mayat di atas pahanya lalu diusap-usap rambut Hasnah yang sudah jatuh melurut ke bahu dan lantai.

“Siapa yang membuat onar terhadap puteri kesayangan aku ni?” ratap Tok Anjang lagi. Wak Shoib menepuk nepuk bahu Tok Anjang cuba menyabarkan ketua kampung itu. Tok Anjang hanya membiarkan tetapi esakan dan ratapannya masih tidak juga reda.

“Sabar Anjang..sabar..kelak nanti diketahui juga. Sekarang ini ya, jenazahnya perlu disempurnakan terlebih dahulu,” ujar Wak Shoib dengan telo jawa yang pekat.

Mbah Wedok cuba merapatkan kaki Hasnah yang terkangkang luas. Sisa-sia isi perut Hasnah dikumpul dan dimasukkan ke dalam besin. Walaupun terasa ngeri di hati tetapi Mbah Wedok tetap tenang. Hasnah sudah seperti anaknya sendiri. Dari bayi lagi Mbah Wedok melihat Hasnah membesar menjadi gadis sunti pujaan teruna di kampung itu.

Kaki Hasnah tidak dapat dirapatkan sepenuhnya. Tetapi nasib baik kaki jenazah dapat diluruskan dengan mudah. Selesai mengutip sisa isi perut Hasnah yang sudah mula berbau, Wak Shoib memanggil beberapa orang lelaki dari halaman rumah supaya jenazah dapat dipindahkan ke ruang tengah rumah. Tok Anjang merelakan anaknya diangkat oleh pemuda kampung.

Mbah Wedok menarik tilam yang berada di hujung bilik selari dengan tingkap. Tilam ringan itu dihulur kepada Wak Shoib supaya boleh dijadikan alas meletak jenazah. Mata Mbah Wedok tertancap pada suatu objek yang bergerak-gerak di atas lantai. Didekatkan mukanya mahu melihat dengan lebih dekat. Mengucap panjang Mbah Wedok sambil mengurut dada.

“Allahuakbar Paknye..ada bocah iki!” Mbah Wedok menggamit bahu Wak Shoib. Dia cuba berbisik dengan suara paling perlahan tetapi wajah terkejutnya tidak dapat disorokkan.

Mak Mah yang turut mendengar pantas memandang ke arah yang diperkatakan oleh Mbah Wedok. Lantas dia bangkit untuk melihat dengan lebih dekat. Tok Anjang juga mengengsot mendekat dengan bahu terhenjut henjut masih menahan sebak.

“Cucu kita bang, syukur Ya Allah!” meletus suara Mak Mah mengucap syukur. Tetapi sebaliknya bagi Tok Anjang. Dia hanya memandang sepi, melihat bayi perempuan yang mengerekot dengan kulit berkedut itu dengan pandangan tiada langsung walau sezarah  penerimaan.

“Tok Anjang!” suara dari halaman rumah terjerit-jerit memanggil Tok Anjang yang masih lagi terpinga-pinga menatap wajah cucunya.

Mbah Wedok sudah pun membalut tubuh bayi itu dengan kain batik lepas lalu digendongnya. Pelik tetapi benar, bayi itu tidur lena walaupun mungkin sudah beberapa hari ditinggalkan di atas lantai tanpa perhatian sesiapa sejurus selepas dilahirkan. Sedangkan boleh dikatakan semua bayi akan menangis bagai nak terkeluar anak tekak disebabkan lapar jika ditinggalkan untuk jangka waktu beberapa lama.

“Jangan bawa keluar budak ni. Wak, aku mohon kau bawa pulang dulu anak ini ikut pintu belakang. Sesiapa yang ada di sini jangan terlepas kata atau nahas nanti!” arah Tok Anjang dengan tangan menuding ke setiap mereka yang ada di bilik itu. Dia lalu keluar untuk melihat apa yang sedang berlaku di halaman rumah.

“Ingat..jangan buka mulut tentang bayi ini,” pesan Wak Shoib kepada dua tiga orang yang masih berada di dalam bilik. Mereka hanya mengangguk laju tanpa ada sesiapa pun yang berani bersuara.

“Mak nye..balik dulu ke rumah, bawa Mah sekali. Urusan di sini biar diputuskan dulu. Bayi ini pun perlukan rawatan. Entah hidup entah kan mati nanti,” arah Wak Shoib pula. Mbah Wedok mengangguk kepala akur dengan kata-kata suaminya. Mak Mah pula dengan esakan yang masih bersisa perlahan-lahan bangun. Dia memegang lembut hujung kaki cucunya yg berada di dalam gendongan Mbah Wedok.

Wak Shoib lantas keluar dari bilik untuk menyertai himpunan orang kampung yang berkumpul di halaman rumah. Dari ruang tengah dia sudah dapat melihat ramai orang kampung yang mengerumuni Tok Anjang yang berdiri di tengah-tengah mereka. Segera langkahnya dilajukan.

Di dalam rumah pula, dengan dilindungi oleh beberapa tubuh orang kampung yang menyimpan rahsia, Mbah Wedok dan Mak Mah dapat keluar dari pintu dapur tanpa disedari oleh mereka yang sedang menunggu jenazah di ruang tengah.Keadaan yang cukup kalut ketika itu sedikit sebanyak membantu bayi itu dibawa keluar tanpa pengetahuan orang kampung yang semakin ramai berkumpul di rumah Rashid. Mak Mah sempat menoleh ke arah anak tunggalnya yang telah kaku. Sayu hatinya meninggalkan Hasnah seorang diri terbujur kaku di situ. Hatinya meruntun hiba.

*****

CSI-RAMONA ~BAB 2~

            BAB 2

“Huh!!! Makan!!! Makan!!!” suara Mak Som masih lagi seperti meratib. Diulang-ulang perkataan yang sama sambil menggoyangkan kepala. Sambil meratib begitu, gumpalan darah yang sudah memekat ditolak dengan telapak tangannya supaya jatuh ke bawah rumah melalui rekahan lantai kayu. Sesekali kelihatan dia tersenyum lebar, tetapi lebih kepada menyeringai sebenarnya.

Hasnah sudah seperti nyawa-nyawa ikan. Dalam keadaan penuh azab, dia serahkan segalanya kepada Allah yang Maha Esa. Tiada lagi kudrat untuk mengekalkan nyawa, hanya kepadaNya dia berserah jiwa dan raga. Hasnah sudah tercungap-cungap. Dadanya berombak kencang. Air mata mengalir dari tubir matanya yang dahulunya redup dan memukau.

Selepas puas bidan tua itu mengalirkan darah ke bawah rumah, dia mengaut segumpal darah pekat likat lalu dihirupnya rakus. Matanya meliar seperti harimau yang baru sahaja membaham mangsanya, takut jika ada yang datang mahu merampas habuannya.

Sluurrppp!!! Slurrppp!!! Chap!! Chap!!! Slurppp!!! Kalau dilihat perlakuan Mak Som, pasti termuntah pada masa itu juga. Darah hanyir yang sudah mula membeku seperti jeli itu dihirup rakus, seolah-olah itulah makanan yang paling lazat di dunia.

Dikautnya lagi lalu dihirup lagi. Keadaan itu berlaku berulang kali sehingga dia langsung tidak menghiraukan keadaan Hasnah yang sudah mahu putus nyawa itu.

Muncul pula satu makhluk berlidah panjang entah dari mana datangnya. Mak Som membiarkan sahaja apabila lidah yang panjang itu menjilat licin bayi berlendir tersebut. Malah, makhluk itu menjilat bahagian sulit Hasnah yang sememangnya mudah untuk diuruskan kerana wanita itu berkeadaan bogel dan terkangkang luas. Tersentak-sentak tubuh tak bermaya Hasnah apabila lidah panjang dan besar itu menusuk masuk melalui celah pahanya.

“Sudah!! Pergi!!” Mak Som menolak lidah panjang yang melekat di celah kangkang Hasnah.

Makhluk itu mengundur tetapi tidak pergi. Mak Som membiarkan sahaja. Dia kemudiannya menusukkan tangannya ke dalam rongga tubuh Hasnah.

“Allahuakbar!!!” Hasnah menjerit nyaring sejurus sebelum dia terkulai tidak bernafas lagi.

Tangannya yang masuk sehingga hampir ke pangkal siku ligat mencari sesuatu. Akhirnya dikeluarkan uri dari dalam rahim mayat Hasnah. Mak Som mengekek kesukaan. Kemudian dia berbagi habuan dengan si lidah panjang. Bukan main gembira wanita itu jadinya. Uri di tangan di bawa masuk ke dalam mulut lalu dikunyah rakus, seperti sudah seminggu tidak menjamah makanan.

*****

Pada waktu yang sama, betul-betul di bawah rumah Rashid sedang berlangsungnya sebuah pesta. Pesta yang sudah dirancang, tetamunya sedia dijemput tetapi yang peliknya, tuan rumah sendiri langsung tidak tahu menahu akan pesta tersebut. Rashid yang kebingungan hanya duduk bersandar ke dinding, berteleku memandang lantai. Dia tidak sedar akan sebarang perubahan di sekitarnya. Hatinya gundah hanya memikirkan isterinya yang masih bersama Mak Som. Tiada bunyi tangisan, malah suara Hasnah meronta juga sudah hilang, suasana sunyi sama sekali.

Di luar, angin yang sejak tadinya mati tiba-tiba bertukar corak dan wajah. Angin bertiup kuat sehingga menghasilkan bunyi bersahut-sahutan apabila ia cuba menerobos masuk melalui rekahan-rekahan di dinding rumah kayu itu. Dedaun pokok hebat bergesel sesama sendiri, ada ranting-ranting kering yang menerjah bumbung rumah menghasilkan bunyi yang menyentak ketenangan hati.

Bunyi cengkerik yang tadinya bingit, hilang diganti dengan lolongan anjing yang semakin mendekat. Langit gelap pekat. Hilang terus suara burung hantu, ada suara yang mendayu-dayu, sekejap hilang sekejap timbul sehingga, kalau diamati pasti ada yang terkucil pada masa itu juga. Berdiri seluruh bulu roma, namun Rashid langsung tidak sedar akan itu semua.

Pesta di bawah rumah semakin hebat, semakin banyak yang berkumpul. Lidah masing-masing terjelir panjang menjilat papan lantai. Ada yang menolak-nolak kepala yang lain, kerana mahu mendapat habuan yang lebih. Beberapa ekor mahkluk tersebut melekap seperti cicak di permukaan bawah lantai rumah. Darah yang mengalir mengikut ira papan dijilat rakus.

“Ghrumm…Ghrummm..chap..chap…chap,” halus bunyinya tetapi sangat menyeramkan. Sesekali makhluk-makhluk itu mengangkat muka memandang antara satu sama lain. Tetapi hanya seketika, darah merah pekat dan hanyir itu benar-benar menyelerakan. Mereka bertolak-tolakan untuk dapat menjilat lebih darah pekat yang likat itu. Satu pemandangan yang mengerikan, juga memualkan.

Ada satu makhluk lain bertelinga luas dan bermulut lebar sedang mencangkung di atas tanah. Kepalanya terdongak-dongak dengan lidah panjang terjelir, tangannya menepuk-nepuk tanah. Tubuhnya yang besar itu terhenjut-henjut cuba merebut titisan darah yang menitis ke bawah. Matanya besar dan agak tersembul seperti mata katak, melilau tidak melihat setempat.

Dari arah hutan pula, muncul satu makhluk yang datangnya menderu mengikut deruan angin. Terbang melayang lantas hinggap di atas bumbung rumah. Berkeriut kuat bunyi yang terhasil hingga membuatkan lamunan Rashid tersentak. Dia pantas mengangkat kepala melihat ke arah bumbung rumah. Rashid menunggu kalau-kalau ada lagi bunyi ataupun itu cuma khayalannya sahaja. Berselang minit, tiada apa lagi bunyi jelas yang kedengaran. Rashid kembali menyambung menungan.

Trrrr trrrrrr!!! Tiba-tiba kedengaran bunyi di dinding rumahnya pula. Sekali lagi Rashid mengangkat muka. Ada rasa tidak puas hati di dalam hati, pantas dia bingkas bangun menuju ke jendela. Dibukanya selak, jendela kayu itu ditolak. Angin kuat yang menerobos masuk melayangkan langsir menutup mukanya. Dialihkan langsir, dia menjenguk ke luar namun tiada apa yang dapat ditangkap oleh anak matanya melainkan suasana malam yang pekat likat.

Seperti dirancang, angin yang tadinya menderu seperti mahu taufan tiba-tiba mati begitu sahaja. Jauh di sudut hatinya, dia merasa pelik. Malah bulu romanya tegak berdiri. Cepat-cepat dia menutup kembali jendela. Serentak dengan itu, pokok-pokok di tepi rumahnya hebat bergoncang. Rashid kembali membuka luas daun jendela, mahu melihat apa sebenarnya yang sedang berlaku di luar rumah. Dan seperti ada yang mengarahkan, suasana menjadi hening sehening-heningnya. Tidak menunggu lama, Rashid menutup terus jendela rumahnya dan tidak menoleh lagi. Walaupun keadaan yang sama berulang.

Dari bumbung rumah, kelihatan susuk lembaga hitam besar dan tinggi. Sesekali apabila awan beralih menampakkan bulan, cahaya yang samar-samar itu memperlihatkan betapa hodohnya makhluk yang sedang berdiri tegak itu.

Kelihatan dua benjolan di atas kepalanya, seolah-olah berupa gading gajah. Makhluk hitam tinggi bertanduk dua dengan mata semerah biji saga itu berdiri tegak memerhati makhluk-makhluk lain yang sedang berpesta seperti meraikan sesuatu. Dia tidak bergerak mahupun seinci berganjak dari tempatnya berdiri. Dengusan nafasnya kuat dan kasar. Makhluk itu melayang turun ke tanah, tercegat berdiri tanpa berbuat apa-apa.

Sejurus yang lain menyedari kehadiran si tanduk dua, cepat-cepat mereka berlari menuju ke arah makhluk tinggi hitam itu. Masing-masing menunduk tetapi tidak tertib, masih dengan lidah yang panjang menjilat dagu dan muka sendiri. Namun jelas mereka memberi tunduk hormat kepada makhluk bertanduk dua itu.

*****

Di dalam rumah pula, tanpa sebarang sebab rumah kayu sederhana besar itu bergegar kuat. Rashid yang seperti baru tersedar dari mimpi bergegas menuju ke bilik untuk melihat keadaan Hasnah. Daun pintu ditolak kuat selepas tiada sahutan dari dalam bilik. Tak cukup ditolak dengan bahu, Rashid mula menendang daun pintu tersebut. Sambil tak putus menjerit nama Hasnah dan Mak Som.

Dum!!! Daun pintu yang terbuka menghentam dinding menghasilkan bunyi yang agak kuat dan mengejutkan. Rashid melangkah masuk ke dalam bilik, apa yang tinggal hanyalah jasad isterinya yang sudah tiada seurat benang tergelimpang di atas lantai.  Rashid segera mengambil pelita lalu didekatkan lampu pelita ke wajah isterinya. Mengalir airmatanya bila melihat keadaan Hasnah yang sangat tragis. Disuluh pula ke sekitar bilik, langsung tiada kesan wanita bersalin. Lantai rumah basah tetapi tiada palitan darah atau lendir atau yang boleh dikaitkan dengan wanita melahirkan anak.

Rashid meninggikan pelita sehingga lebih tinggi dari aras kepalanya, agar curahan cahaya api pelita lebih meluas ke seluruh bilik. Lelaki itu dapat merasa seperti ada sesuatu di bumbung rumah. Rashid mendongak, serentak suara mengilai memecah hening malam. Suara hilaian yang panjang dan menyeramkan diikuti oleh bunyi atap rumah yang dihentak oleh banyak pasang kaki.

Rashid gugup, dia tersandar lagi ke dinding rumah. Dia meraup mukanya dengan tangan kanannya. Selepas bunyi bising di atas bumbung rumah reda, dia kembali mengitari sekitar bilik, walaupun dadanya masih berdegup kencang. Dia mahu mencari kelibat bayinya.

Rashid sekali lagi meraup wajah. Dia cuba sedar dari kebingungan. Dia masih belum percaya Hasnah sudah tiada, dia juga tidak percaya dia anaknya sudah lahir. Dalam keadaan separuh sedar begitu, dia tidak pasti apa yang perlu dilakukan terlebih dahulu. Mayat isterinya masih terbujur dengan keadaan isi perut terkeluar melalui alat sulitnya, dengan keadaan terkangkang luas yang sangat mengerikan. Tetapi Rashid kaku untuk berbuat sesuatu. Paling tidak untuk mencari selimut bagi menutup mayat arwah Hasnah pun tidak terlintas di akalnya.

Selepas beberapa lama mencari, mata Rashid tertancap pada satu objek di lantai bilik. Menguik-nguik betul-betul antara tubuh Hasnah dan lantai bilik. Objek itu mula merengek dan menggapai-gapai tangan seolah-olah tahu dia sudah dijumpai oleh ayahnya. Laju Rashid mendapatkan bayi tersebut. Namun sesaat selepas itu dia terjelepuk ke lantai dengan mata yang terbuntang luas.

Bayinya dalam keadaan mengerekot seperti udang. Kulitnya berkedut-kedut seperti nenek kebayan berusia ratusan tahun. Kepalanya botak tiada walau sehelai rambut. Rashid cuba mendekatkan tangan untuk menyentuh bayinya, namun ditarik tangannya semula. Rashid menangis. Dia mencuba sekali lagi, kali ini dia berjaya menyentuh permukaan badan anaknya yang menggerutu itu. Semakin kuat esakan lelaki itu. Dadanya berombak, matanya merah merenung tubuh kaku Hasnah.

“Tak sangka isteri yang aku ingat taat kepada Allah seperti kau ni bersekutu dengan syaitan!!” tiba-tiba Rashid menjerit seraya menumbuk dinding. Hilai tawa di luar rumah kedengaran kembali.

“Kau lahirkan anak syaitan untuk aku? Betina sundal!!!” Rashid menjerit lagi. Angin kembali bertiup kencang. Suara syaitan di luar rumah semakin menggila. Seronoknya dapat menyesatkan hati cucu cicit Adam.

“Kau..” dia menuding jari ke arah mayat Hasnah.

“Kau memang elok mampos!!” Rashid memandang Hasnah dengan penuh kebencian.

“Kau?” dia menuding pula ke arah bayinya.

“Kau pun elok mampos sama!!!” Rashid meludah ke tubuh bayi itu. Bayi yang mengerekot dan berkedut tubuhnya itu mula menangis kuat, seolah-olah faham ayah kandungnya tidak mengakunya anak.

Rashid meninggalkan rumah pada malam itu juga. Dia tidak peduli mayat isterinya tidak diurus, dia tidak kisah akan nyawa bayinya. Dia biarkan hilaian yang memanjang mengekori langkah egonya. Hilang sudah akalnya, lenyap sudah ilmunya. Apa yang ada hanyalah sumpah seranah dan maki hamunnya terhadap dunia.

*****

 

CSI-RAMONA ~BAB 1~

BAB 1

“Kau beritahu aku sekarang! Baik kau buka mulut, Hasnah! Buka mulut sebelum aku bunuh kau!”

Rashid bertempik kuat bagai mahu terkeluar anak tekaknya. Anak matanya membulat dengan urat-urat merah yang berselirat. Raut wajahnya bengis, tangannya sudah diangkat tinggi. Hanya menunggu masa untuk menampar muka Hasnah yang sedang menangis teresak-esak memaut kakinya.

Suasana malam yang sepi berubah sama sekali. Cengkerik semakin kuat bersahut-sahutan disusuli dengan bunyi jeritan katak selepas hujan. Lolongan anjing liar dari sebalik bukit kedengaran sayup-sayup tetapi berterusan. Sahutan burung hantu di tepi rumah berselang-seli dengan bunyi deruan angin yang cuba menerobos celahan jendela kayu sememangnya menaikkan bulu roma.

Di dalam rumah pula, Rashid masih lagi mengamuk bagai singa kelaparan. Ditumbuknya dinding rumah sehingga jatuh beberapa barang hiasan dinding termasuk sebuah cermin berbingkai rotan. Pecah berderai cermin itu mencium lantai.

“Abang, setiap kali abang balik ke rumah abang mengamuk begini. Mengucap bang, Nah tengah sarat ni, abang. Jangan pukul Nah lagi,” sayu suara Hasnah merayu namun hanya dibiar sepi oleh Rashid.

Hati lelaki itu masih belum lagi puas. Dia berkalih mata memandang tepat ke mata Hasnah, berkalih lagi ke seluruh wajah wanita itu. Seraut wajah jelita yang pernah menjadi igauan dan siulan seluruh penduduk kampung. Baik yang masih remaja, mahupun yang sudah bernikah. Tidak kurang yang sudah tinggal gusi, malah yang baru mahu masuk akil baligh pun akan menelan liur bila mengenang bentuk tubuh isterinya.

Manalah hatinya tidak sakit apabila terdengar perbualan di antara Hamid dan Salleh di Warung Pak Ya tadi. Menyirap darahnya naik ke kepala. Kalau diikutkan hati yang sakit, mahu sahaja kepala Hamid dilibas dengan sabit yang kejap digenggam.

“Kau cakap dengan aku, Nah. Jangan buat main dengan kepala gila aku ni. Anak dalam perut kau tu anak siapa? Kau jangan buat aku makin gila, Nah. Kau suka aku jadi gila ye? Senang kau cari jantan lain, kan?” Amuk Rashid lagi.

Dia mundar-mandir di sekitar ruang tamu rumahnya yang hanya beralaskan sekeping tikar mengkuang itu. Rambutnya digosok kasar. Sesekali terdengar dia mendengus geram. Entah sampai ke mana syaitan bermain dengan amarahnya.

Hasnah menangis lagi. Sedih hatinya bukan kepalang. Daripada berpuluh lelaki yang cuba mendekatinya, Rashid yang menjadi pilihan hati. Walau lelaki itu tiada harta atau rupa, tetapi Rashid ada agama. Rashid berguru di seberang, Rashid pulang ke kampung dengan bekalan akhirat yang penuh di dada.

Tetapi kini, hakikat yang terjadi ini jauh menyimpang daripada apa yang diharapkan. Hasutan syaitan telah mengubah pendirian Rashid sehingga bersikap cemburu buta begini. Sehingga ada kalanya Hasnah menyesal dengan rupa parasnya sendiri. Andainya dia tiada anugerah kecantikan yang begini, mungkin nasibnya berubah, tidak begini penderitaan batinnya.

Pang!!! Tiba-tiba satu tamparan kuat mengena di pipi putih mulus Hasnah. Terteleng kepala wanita itu dibuatnya. Terjelepuk tubuhnya ke dinding rumah. Serentak dengan tamparan tersebut, lolongan anjing yang tadinya sayup-sayup di sebalik bukit, menjadi kuat seolah-olah semuanya berkumpul di halaman rumah. Kali ini lolongan itu panjang dan menyeramkan.

“Aku dah kata jangan diam bila aku tanya! Aku tanya sekali lagi, kau buntingkan anak siapa?” Suara Rashid melantun tinggi.

“Anak ni anak abang. Nah tak pernah berselingkuh dengan lelaki lain. Berjumpa lelaki lain tanpa abang pun tak pernah bang.” Getar suara Hasnah menjawab dengan tangan menggosok pipinya yang sudah membengkak. Setitik airmatanya jatuh mengalir di pipi. Terketar-ketar jarinya mengesat air mata yang melurut jatuh ke dagu itu. Merah matanya menahan esak.

Hasnah tidak pernah keluar rumah tanpa Rashid. Hasnah tidak pernah ke kedai tanpa ditemani Rashid malah Hasnah tidak pernah melawat jiran tetangga tanpa izin Rashid. Rashid tahu ketaatan Hasnah tetapi hatinya tetap tewas. Ditambah lagi dengan kata-kata Salleh dan Hamid di Warung Pak Ya tadi.

“Aku ni dari dulu memang terliur dengan si Hasnah tu, lenggang lenggok dia uishhhh terasa macam nak ikut balik ke rumah, kau tau?” Kata Hamid dengan lagak hero kampung. Pecah tawa berdekah-dekah disambut oleh gelak ketawa Salleh yang rongak gigi depannya.

“Kau dah selesai, jangan tak pass kat aku pulak.” Berderai lagi ketawa keduanya.

Rashid yang sejak awal lagi sudah sampai di Warung Pak Ya terkaku mendengar perbualan dua hero kampung tersebut. Beberapa lagi pengunjung warung hanya menunduk wajah bila menyedari Rashid yang sedang tercegat berdiri mengepal menggenggam bilah sabit. Pak Ya menepuk-nepuk bahu Rashid perlahan, mengajak Rashid keluar dari warungnya.

Rashid terus melangkah laju, seperti tidak jejak ke tanah. Seolah-olah dia sedang berlari. Semakin hampir dia dengan rumah, semakin kuat gigilan tangannya menahan marah. Telinganya memerah, nafasnya seperti gajah naik minyak. Kain pelikat yang menjadi kain lilitan kepala dikibas ke kiri dan ke kanan. Baru sahaja kaki menapak masuk ke halaman rumah, dia sudah menjerit memanggil nama Hasnah.

Itu kejadian yang sudah hampir satu jam berlaku. Kini tangan Rashid sedang mencengkam rambut Hasnah lalu diseret kepala Hasnah ke dinding rumah. Melolong tangisan wanita itu seiring dengan bunyi burung hantu dan lolongan anjing di luar rumah.

Rashid sudah kesetanan. Hilang sudah segala ilmu agama yang dipelajarinya dahulu. Hasnah yang kesakitan memegang perutnya yang tiba-tiba sahaja mengeras. Sakit yang dirasakan hanya sekadar seperti dicucuk-cucuk sejak pagi tadi semakin bertambah. Dia mengerang kuat. Darah yang mengalir dari kepalanya yang luka dihentak dan diseret tadi dibiarkan sahaja mengalir di pipi lalu menitik ke dadanya.

Rashid masih menggenggam rambut Hasnah yang panjang dan hitam berkilat itu.

Dum!! Dum!! Dum!! Berkali-kali kepala Hasnah dihentak ke dinding rumah. Semakin banyak darah pekat likat yang mengalir membasahi leher baju isteri malang itu. Dia semakin lemah, Rashid pula semakin menggila. Kesakitan di perut dan pinggangnya semakin kerap, menambah perit dan seksa yang dirasakan.

“Abang…” Hasnah merayu sayu.

Tergapai-gapai tangannya cuba mencapai tubuh Rashid. Rashid mengelak daripada disentuh. Malah dia menarik rambut Hasnah tinggi, sehingga wanita itu terdongak-dongak sambil berkerut menahan sakit.

“Abang…dah sampai masa ni, bang. Perut Nah sakit,” ujar Hasnah separuh merayu.

Rashid buat tidak dengar. Tetapi dia melepaskan rambut Hasnah dari genggamannya. Dia melangkah ke penjuru rumah lalu duduk bertinggung di situ. Kepalanya dikepit di antara dua pahanya, matanya tajam merenung lantai.

“Abang…berilah kesempatan untuk Nah lahirkan anak kita ni. Kemudian abang nak bunuh Nah pun Nah rela. Abang buatlah semahu hati abang.” Rayu Hasnah dalam kesakitan. Kain batiknya sudah lencun dibasahi air ketuban.

Sekilas Rashid menoleh memandang mata isterinya yang semakin layu. Dia terpempan. Dia terus jatuh terjelepuk ke lantai lalu pecah tangisnya. Hasnah sudah semakin tidak bermaya, tersembam dengan muka mencium lantai. Dia merintih perlahan. Ada masa kakinya seolah-olah menendang-nendang dan badannya mengejang keras. Pada masa itu meletus raungan kesakitan wanita itu dengan suara yang lemah dan tersekat-sekat.

Dengan kudrat yang hanya tinggal sisa, dialihkan badannya supaya dapat menelentang. Kakinya dikangkangkan luas. Tangannya menekan perut yang mengeras berselang masa. Hasnah merintih lagi.

“Abang…tolong anak kita ni, bang.”

Rashid seperti diketuk kepala lalu tersedar dari lamunan yang panjang. Dia bingkas bangun, turun ke halaman rumah lalu bergegas menuju ke rumah bidan Mak Som yang terletak agak jauh di baruh. Hasnah ditinggalkan begitu sahaja.

Belum sempat Rashid berjalan jauh, kelibat Mak Som muncul dari sebalik denai yang dipagari belukar senduduk separas pinggang. Rashid yang terkejut pada mulanya segera mengurut dadanya kelegaan. Keadaan sekitar yang hanya diterangi cahaya bulan hanya cukup-cukup untuk dia dapat mengecam wajah bidan Som. Dalam keadaan kalut, dia hanya mampu bersyukur wanita tua itu muncul di saat-saat genting seperti itu. Perkara lain nanti sahaja difikirkan.

*****

“Mak Som…macam mana Mak Som boleh tahu saya memang nak ke rumah Mak Som?” Tegur Rashid dari anak tangga terakhir sebelum kakinya melangkah masuk ke dalam rumah. Mak Som yang ditegur hanya berdiam diri tidak langsung peduli. Dia menjinjit sebuah bakul rotan yang bertutup. Mak Som terus menuju ke ruang tengah rumah. Rashid hanya mampu berkalih badan sewaktu orang tua itu berjalan laju melintasinya.

“Kau jangan banyak soal, aku tahu lah kerja aku,” suara Mak Som seperti berbisik di cuping telinga Rashid. Lelaki itu jadi kelu dan terpaku. Longlai sahaja langkahnya mengekori langkah Mak Som yang semakin mendekati sekujur tubuh lemah Hasnah.

“Kau jangan fikir banyak, kau angkat Hasnah bawa masuk ke bilik. Kemudian kau tunggu di luar sampai selesai. Jangan kau panggil sesiapa, faham?” Arah Mak Som keras. Rashid angguk kepala akur dengan perintah keras bidan tua itu.

Mak Som mengetuai langkah masuk ke dalam bilik. Rashid pula mencempung tubuh isterinya yang sudah terkulai tak bermaya. Apa yang tinggah hanya saki baki semangat yang tinggal dalam diri wanita malang itu. Hasnah dibaringkan di atas tilam nipis yang menjadi alas tidur mereka suami isteri. Mak Som kemudiannya mengarahkan Rashid supaya lekas keluar, sekali lagi Rashid akur tanpa banyak soal.

Sejurus tubuh Rashid berada di luar bilik, dengan segera Mak Som menutup pintu  dan selaknya ditarik. Bidan itu menarik tubuh Hasnah ke lantai. Tilam nipis yang menjadi alas ditolak ke bucu bilik. Mak Som membuka penutup bakul rotan yang dibawanya tadi. Dia menyusun beberapa jenis barang di atas lantai.

Hasnah hanya membatu diperlakukan dengan kasar oleh orang tua itu. Dia redha dengan apa sahaja, asalkan bayinya selamat dilahirkan.  Dibiarkan sahaja Mak Som melakukan kerjanya. Perutnya semakin lama semakin sakit. Rasa ingin meneran semakin kuat dan berselang masa yang pendek. Pinggangnya terasa seperti mahu tercabut. Dan semakin berselang masa, sakitnya semakin kerap sehingga dia menjerit-jerit menahan azab.

Mak Som menarik kain batik Hasnah sehingga lucut terus dari tubuh wanita itu. Bidan Som duduk bersila, memandang terus ke bahagian bawah tubuh Hasnah yang bertelanjang itu. Hasnah hanya merelakan walaupun di dalam benaknya sudah ada tanda tanya yang terbit. Tetapi kesakitan yang sangat hebat itu membuatkan dia tidak peduli lagi, asalkan dirinya dibantu. Dia mahu melihat zuriat di dalam kandungannya. Maka, apa cara sekali pun asalkan hasrat yang satu itu tercapai, dia tidak peduli.

Hasnah merintih semakin kuat. Kukunya mencakar-cakar lantai kayu kerana hanya itu yang boleh dibuatnya untuk menahan sakit. Wajahnya yang sudah membengkak disebabkan penangan Rashid sebelumnya menambah azab kesakitan yang dirasai ketika itu. Dia tercari-cari sesuatu yang dapat digenggang, namun tiada apa. Sesekali dia menjerit apabila kontraksi kuat berlaku. Kakinya sudah dikangkang seluasnya, bahkan semasa Bidan Som menolak kuat kedua-dua kakinya supaya terbuka lebih luas, dia menjerit kuat kerana dipaksa berbuat begitu.

Ada kalanya, dek kerana tidak tertahan oleh sakit akibat kontraksi, punggungnya terangkat sedikit, begitu juga kakinya spontan mahu dikatup. Tetapi, Mak Som sudah bersedia menahan kakinya agar terus terbuka seluasnya. Orang tua itu tidak bersuara sama  sekali, hanya sesekali terdengar suaranya berdehem-dehem garau apabila Hasnah semakin kerap meneran.

Riak wajah bidan tua itu sepertinya dia tidak sabar menunggu kelahiran anak dalam kandungan Hasnah. Mak Som berulangkali menelan air liur melihat darah merah yang mengalir banyak dari kemaluan Hasnah. Kalau ditenung lama, pasti dapat menangkap raut wajah tua itu yang sesekali menguntum senyum yang sukar ditebak.

“Mak Som… tolong Nah, Mak Som…Allah!! Sakitnya,” Hasnah merayu. Menggigil kedua pahanya yang cuba dirapatkan. Kalau boleh dia mahu menekan perutnya ke lantai, seperti sakit semasa datang bulan. Dia mahu berguling-guling sahaja menekan perut.

“Kau teran lagi…teran kuat-kuat. Aku dah nampak kepala budak ni,” Mak Som memberi galakan diiringi ketawa kecil yang agak menggerunkan. Suaranya jauh di dalam tenggorok.

“Kau jangan risau, Hasnah. Mak Som ada. Sekejap lagi hilanglah sakit yang kau rasa tu,” orang tua itu memujuk Hasnah untuk terus meneran dengan lebih kuat. Hasnah menjadi bersemangat kembali. Dia mahu tunjukkan anak itu kepada Rashid, pasti bayinya akan ada iras-iras suaminya itu. Maka tuduhan tidak berasas yang Rashid lemparkan dapat dikuburkan sedalam-dalamnya.

*****

“Teran kuat-kuat!! Teran lagi! Terannn!!” jerit Mak Som lantang.

Dia mendepakan lagi kaki Hasnah. Wajah Mak Som sudah mulai berubah. Langsung tidak nampak rasa empati pada raut wajahnya, yang sewajibnya ada tatkala membidani wanita mahu bersalin. Nampak jelas Mak Som sudah hilang sabar.

“Aku tak boleh tunggu lagi…aku tak boleh tunggu lagi,” omel Mak Som seorang diri. Dia menggelang-gelengkan kepala seperti meratib. Hasnah sedar kejanggalan yang dipamerkan Mak Som, namun tiada dayanya untuk berbuat apa-apa.

“Mati budak ni nanti,” tambah orang tua itu lagi. Kali ini dia seolah-olah berbisik pada dirinya sendiri, tetapi masih juga dalam keadaan seperti meratib.

Sejurus selepas itu, dia menyinsing lengan bajunya sehingga ke siku. Dengan tidak teragak-agak, tangannya ditusuk masuk ke dalam kemaluan Hasnah. Kepala bayi yang sudah kelihatan tertolak ke tepi. Hasnah menjerit sekuatnya. Tangan Mak Som yang dipaksa masuk itu seperti mengaup tubuh bayi Hasnah yang tersekat di bahagian bahu. Menggeletek kaki Hasnah menahan azab apabila tangan orang tua itu ditarik keluar bersama-sama bayinya sekali. Darah membuak-buak keluar. Satu jeritan terakhir dari Hasnah menggegar keheningan malam.

Dari celah pahanya tersembul satu objek seperti separuh badan bayi yang berlendir dengan darah pekat merah. Mak Som menarik begitu sahaja badan bayi itu dengan kasar. Tersentak dengan tindakan kejam orang tua itu, meletus tangisan sang bayi. Mak Som membiarkan sahaja bayi itu meronta-ronta di atas lantai rumah tanpa beralas walau senipis-nipis kain sekalipun.

“Mak Som!! Mak Som!! Buka pintu ni, Mak Som!” Jerit Rashid dari luar bilik. Berdentum-dentam bunyi pintu ditumbuk Rashid. Mak Som hanya membiarkan Rashid menggila di luar bilik. Seiring dengan amukan Rashid, lolongan anjing bergema kembali.

“Kau tunggu saja di luar, aku tahu macam mana nak uruskan bini kau ni. Sekejap lagi kau boleh masuk,” laung Mak Som dari dalam bilik.

“Nah..abang ada di luar ni, Nah. Abang minta maaf banyak-banyak sayang. Nah kuat ye,” rintih Rashid. Hasnah yang berada di dalam keadaan sedar tak sedar cuba mengukir senyum mendengar suara suaminya yang lembut itu. Lega hatinya Rashid tidak lagi memaki hamun seperti sebelumnya. Cukup lah walau hanya sekelumit itu yang Hasnah peroleh.

Di dalam bilik, Mak Som masih lagi belum puas. Dia mengambil satu batang kayu yang sudah diraut menjadi halus dan tajam, yang sebelumnya disusun di atas lantai bilik. Dikangkangkannya lagi kaki Hasnah yang sudah terkulai itu, lalu ditoreh bahagian sulit Hasnah. Tubuh wanita itu terangkat-angkat menahan sakit, namun tiada lagi daya untuk dia meraung atau menjerit.

Darah semakin banyak yang keluar dari luka torehan tersebut. Mak Som mengesat darah itu dengan hujung jarinya, lalu dibawa masuk ke mulut lalu dikulum dengan penuh selera. Kemudian meletus ketawanya yang halus tetapi menaikkan bulu roma jika didengar.

CSI-RAMONA~Prolog~

CINTA SANG IBLIS ~ RAMONA

Prolog

   ‘Kalau itu memang bahagianku di dunia ini, perlukah aku terus melawan takdir?’ Gadis itu bermonolog lagi.

Suara hati yang sering melagukan bait-bait cinta, luahan rindu yang menyesakkan dada, hasrat dan impian yang membuatkan hati sering terguris, yang mahu tak mahu semakin pudar seperti kabus yang hilang bila terbitnya matahari.

‘Jika itu yang mereka mahu, dan apabila aku memberi, adakah aku akan dapat apa yang didamba hati?’

Gadis itu mengesat air mata yang mula mengalir di pipi lalu jatuh dari bawah dagunya. Dia mengesat dengan tapak tangannya, yang jelas kelihatan kedut-kedut kulit yang berlapis-lapis.

Bahunya tiba-tiba ditepuk dari belakang.Gadis kecil itu menoleh lalu menguntum senyum. Tidak manis senyumannya, malah tiada kata yang boleh menggambarkan senyuman itu. Padanya mungkin dia sedang tersenyum gembira, tetapi pada yang melihat, gembira atau sedih, senyuman itu tetap tidak boleh ditafsir. Mengerikan barangkali. Atau lebih kepada menyeramkan? Atau lebih dahsyat dari itu?

“Mona sudah sedia?” tanya Laila dengan senyuman manis terukir di bibir. Gadis itu mengangguk.

“Mona mahu jadi cantik kan?” tanya Laila lagi, sengaja membuat provokasi.

Sekali lagi gadis itu mengangguk. Tangannya yang menggerutu ditarik lembut oleh Laila. Ramona bingkas bangun, dengan tubuh badan yang bongkok, Nampak sukar untuk dia mengimbang badan. Mujur Laila ada untuk sentiasa menyokongnya. Ramona memulakan langkah, cuba seiring dengan langkah Laila.

“Mona akan jadi cantik kan, ibu?” Ramona bertanya seraya mendongak memandang Laila. Dia nampak wanita itu mengangguk kepala.

“Iya sayang, Mona akan jadi gadis yang paling cantik.” jawab Laila dengan senyuman.

“Tolong Mona untuk jadi cantik ye. Mona tak mahu hidup sebatang kara, orang tak mahu pun terima Mona ni. Mona nak ada kawan, nak ada orang sayang,” kata gadis itu dengan suara sebak. Hampir-hampir dia menangis kembali.

Dia menoleh ke belakang, masih jelas bahagian atas rumah kayu yang besar dan cantik. Dia mahu jadi ahli keluarga rumah itu. Namun hari ini, dia pasrah untuk pergi jauh.