CSI-RAMONA~BAB 36~

BAB 36

“Ayah jenis apa kau ni Rashid? Anak sendiri pun kau tak tahu dia pergi mana?” hampir terjojol mata Tok Anjang memarahi menantunya itu. Rashid menikus, tidak ada sepatah kata yang keluar dari bibir nipisnya. Dia hanya menunduk sedangkan pada masa yang sama, Mak Mah cuba menenteramkan suasana dengan meminta Tok Anjang supaya bersabar.

Sudah hampir 2 minggu Haslina tidak pulang-pulang. Saban hari Tok Anjang bertanya, namun tiada seorang yang memberi jawapan pasti. Semakin hari semakin membuak-buak kemarahan lelaki tua itu. Lebih-lebih lagi keluarganya kini menjadi tumpuan orang kampung. Kes-kes kematian mengejut yang sudah beberapa kali berlaku tidak memihak langsung kepadanya. Malah dia tahu keyakinan orang kampung sudah mula hilang. Banyak khabar-khabar angin yang menular ke seluruh pelusok kampung hingga dia tidak senang duduk dibuatnya.

Kini, cucunya pula tidak pulang-pulang. Jangan nanti orang kampung membuat cerita cucunya mati dibaham harimau akibat tindakannya menerajui kepimpinan kampung itu tidak betul.  Disebabkan dia tidak benar-benar menjaga kebajikan orang kampung, maka cucunya sendiri menerima bahana. Tok Anjang melepaskan keluhan yang sangat berat. Wajah Rashid masih lagi ditenung tajam.

“Apa nak jadi dengan kau ni Rashid? Macam orang dungu. Masa kau kahwin dengan anak aku dulu tak ada la kau bodoh alang macam ni!” sambung Tok Anjang dengan marahnya yang tidak berlapis. Rashid hanya mampu menelan liur. Dia memang tidak tahu ke mana Ramona menghilang.

“Kenapa ayah cakap begitu pada suami saya?” satu suara dari bawah rumah mencelah. Tok Anjang menoleh, kelihatan Laila yang berkebaya pendek berkain batik lepas sedang mendongak ke atas sambil mengerut dahi.

“Mana Haslina?” tanya Tok Anjang tidak mengendahkan teguran Laila. Berubah airmuka Laila.

“Kamu tu memang bukan ibu kandungnya, tapi anak seorang tak tahu ke mana pergi, ibu jenis apa kamu ni?” tegur Tok Anjang keras. Laila pantas menaiki tangga untuk sampai ke beranda rumah. Dia membalas tenungan lelaki tua itu. Tiada senyuman yang terukir seperti selalu.

“Sudah lah tu bang, balik lah Haslina tu nanti. Mungkin dia ke rumah kawannya. Seronok sangat dengan kawan-kawan sampai tak sedar hari,” kata Mah Mah lembut. Dia menggosok-gosok lengan suaminya yang sedang memegang hulu parang yang tersisip kemas di pinggangnya. Bergerak-gerak misai orang tua itu walau dipujuk oleh isteri tercinta.

“Assalamualaikum…” satu suara lelaki memberi salam dari bawah rumah. Masing-masing tergamam seketika, kemudiannya Mak Mah menjawab salam. Ada beberapa orang tetamu berada di halaman rumah. Tidak sedar bila sampainya mereka semua itu.

“Kamu Shamsul…naiklah. Jemput yang lain-lain naik sekali,” Mak Mah beramah. Dia langsung meninggalkan Tok Anjang yang masih cuba memujuk hatinya sendiri. Tetapi sempat dicuit orang tua itu, sebagai amaran supaya melupakan pergaduhan mulut tadi. Tok Anjang cuba mengukir senyum pada tetamu-tetamu yang tidak dikenalinya itu. Pandangannya difokus kepada Shamsul. Laila dan Rashid sudah hilang ke dalam rumah.

“Jemput masuk…Mah, bawakan apa-apa untuk tetamu kita ni,” kata Tok Anjang berbahasa. Mak Mah mengangguk. Shamsul melangkah masuk ke ruang tamu rumah besar itu, diikuti oleh Haji Syakirin, Haji Salleh manakala Hajah Salmah diajak oleh Mak Mah untuk mengikutnya ke dapur. Hajah Salmah menurut.

“Ada hajat apa kamu ke rumah Tok?” tanya Tok Anjang kepada Shamsul. Shamsul berdehem sebelum dia bertanyakan di mana Haslina. Berubah airmuka Tok Anjang ketika itu sehingga dia terdiam seketika tidak tahu mahu dijawab apa.

“Ada apa dengan cucu Tok tu?” Tok Anjang membalas dengan soalan juga. Shamsul mengeluh perlahan. Dia berkalih pandang kepada Haji Syakirin dah Haji Salleh. Haji Syakirin memberi isyarat jari supaya perbualan itu diteruskan tanpa melibatkan dirinya.

“Kalau boleh saya mahu jumpa dengan Haslina, Tok. Ada beberapa perkara yang mahu saya tanyakan pada dia,” jawab Shamsul lancar. Sebenarnya dia sendiri tidak tahu di mana mahu bermula. Takkan lah dia mampu memberitahu Tok Anjang yang Haslina itu syaitan, atau iblis atau pemuja iblis.

‘Arghh!! Payah kalau begini’ getus hati kecil Shamsul.

“Begini Tok, saya pernah memberitahu Tok yang saya sudah bertunang kan?” Shamsul memulakan. Dalam hati tak putus-putus dia membaca bismillah, semoga Allah permudahkan dan melancarkan pertuturannya.

“Tunang saya hilang. Sudah dua minggu dia hilang tanpa sebab,” perlahan sahaja Shamsul menuturkan ayat tersebut. Kata-katanya terbantut disebabkan Mak Mah muncul bersama dulang kendi air juga sepiring kuih kuaci. Shamsul melebar senyum, sekadar berbahasa dengan orang tua itu.

Tok Anjang mengusap misainya yang melentik itu. Dia melebarkan pandang ke arah dua orang lelaki lain yang ikut menjadi tetamunya petang itu. Wajah-wajah yang tidak dikenali sama sekali. Melihat Tok Anjang memandang kepada Haji Syakirin dan Haji Salleh, Shamsul memperkenalkan mereka berdua.

“Syakirin…” Tok Anjang mengulang nama Haji Syakirin. Dia lupa yang Shamsul akan mengahwini anak buah teman seperguruannya dahulu.

“ Ya Anjang…aku ni, Syakirin.”

Akhirnya Haji Syakirin bersuara. Sekali lagi mereka bersalaman, kali ini saling berpelukan sesama mereka. Masing-masing menepuk bahu tanda kesyukuran dipertemukan kembali. Tetapi selepas beberapa ketika,Tok Anjang kelihatan agak terganggu dengan penampilan dan keperibadian temannya itu, juga terganggu dengan kisah lama yang telah jauh dan lama ditinggalkan dulu.

Petang sudah beranjak ke senja. Tetamu-tetamu Tok Anjang dijemput untuk bermalam di rumah memandangkan mahu pulang juga sudah lewat. Pada mulanya Shamsul menolak, tetapi pahanya dicuit oleh Haji Syakirin. Maka Shamsul segera mendiamkan diri, tidak membantah lalu menurut arahan senyap tuan gurunya itu.

Laila berjalan mundar-mandir di dalam bilik. Rashid menikus lagi. Petangnya tadi dia menikus di hadapan Tok Anjang, malam ini dia menikus di depan wanita itu pula. Jika di depan Tok Anjang, ada juga sesekali dia mengangkat muka melihat wajah bapa mertuanya itu, tetapi kali ini tidak sekali pun dia berkalih pandang. Sudah beratus kali dia mengira jari jemari kakinya sendiri. Pernah beberapa kali dia mengira jari kaki Laila selain dari jari kakinya.

Dia sudah biasa ditunjal Laila. Dia sudah lali berasa takut dengan kehadiran Laila. Tetapi kali ini marah Laila bukan seperti biasa. Marah Laila kali ini, tiada sepatah kata yang keluar. Membuatkan Rashid lebih gusar. Dia tidak dapat menjangka apa-apa tindakan daripada Laila. Rashid bungkam.

“Kau tak tahu dia ke mana?” tanya Laila lembut tetapi sinis. Rashid menggeleng-gelengkan kepala. Kali terakhir dia melihat Ramona, dia sendiri tidak ingat bila. Masakan dia boleh tahu ke mana gadis itu pergi, sedangkan bercakap sesama mereka juga tidak pernah.

“Tak guna kau ni!” keras suara Laila tetapi tertahan-tahan kerana tetamu petang tadi masih ada di ruang tamu rumah. Sejak petang tadi dia tidak keluar dari bilik.

“Aku tak boleh nak panggil sesiapa minta tolong carikan budak tu. Hurmm..orang di luar tu bukan calang-calang. Kau pergi!” arah Laila jelas. Rashid mengangkat muka kali ini. Dengan pandangan mahu dicari di mana anak gadisnya itu. Dia buntu tidak tahu mahu mulai dari mana.

Laila menyinga. Marah benar dia dengan kebodohan Rashid. Berubah-ubah wajah Laila menahan marah. Wajahnya yang cantik berubah berselang seli dengan wajah kerepot seorang nenek tua, yang  menakutkan, pandangan nenek tua itu lebih menyeramkan daripada tenungan Laila. Berdegup jantung Rashid. Dia menunduk lagi.

“Kau bawa aku keluar dari rumah ni. Aku panas!”

Elok sahaja habis kata-kata itu ditutur Laila, pintu bilik mereka diketuk dari luar. Dari cara ketukan itu, mereka sudah kenal itu ketukan Tok Anjang, kuat dan agak kasar, seperti orang yang tidak sabar-sabar. Kedua-dua mereka terkejut.Laila menoleh ke wajah Rashid memberi isyarat agar dia membuka pintu. Laila sudah siap berbaring di atas katil menghadap ke dinding. Kejadian petang tadi dijadikan alasan untuk dia tidak keluar dari bilik.

“ Tetamu kita ajak bersolat jemaah bersama. Kau pergi bersiap sekarang,” Rashid terpempan. Tidak pernah Tok Anjang mencampuri urusan yang satu itu. Walaupun dulu, semasa menjadi suami Hasnah, dia biasa menjadi imam solat jemaah di surau, tetapi kali ini batang hidungnya sebagai makmum juga tidak pernah dilihat orang. Tetapi Tok Anjang tidak pernah masuk campur.

“Isteri kau mana?” tanya Tok Anjang dengan suara yang agak keras. Matanya dikerling ke dalam bilik. Seimbas dia boleh melihat belakang badan Laila.

“Dia uzur, yah.”

Jawab Rashid teragak-agak. Tok Anjang berdehem kuat sebelum melangkah meninggalkan pintu bilik. Derap kakinya kedengaran menuju ke dapur.

Pintu bilik kemudiannya ditutup rapat, dia segera mencapai tuala lalu disangkut di bahu. Pandangan tajam Laila dibiarkan sahaja menembusi dinding. Dia segera membuka pintu bilik, melangkah keluar lalu menutup semula pintu tanpa sebarang kata.

*****

*****

*****

CSI-RAMONA~BAB 35~

BAB 35

“Bagaimana pendapat mu, bang. Perlu atau tidak aku batalkan majlis mereka ini?” Haji Salleh merenung ke dalam anak mata abangnya, Haji Syakirin yang baru semalam sampai dari Sumatera. Berita kehilangan Kartini segera dikhabarkan. Masuk hari ini sudah hampir 2 minggu Kartini hilang.

“Bagaimana pendapatmu, Shamsul?” tanya Haji Syakirin kepada Shamsul pula. Sudah hilang senyum di bibir lelaki itu. Dahinya sentiasa berkerut memikirkan ke mana perginya Kartini. Janji sudah diikat, masakan Kartini lari mengikut lelaki lain. Sedangkan mereka sama-sama jatuh hati.

“Saya ikut sahaja mana yang Tok fikirkan baik untuk semua pihak,” jawab Shamsul dengan suara lemah dan perlahan. Haji Syakirin menepuk-nepuk bahunya memberi semangat. Shamsul cuba mengukir senyuman, mengambil hati bekas gurunya itu, merangkap bakal bapa saudara itu. Itupun jika ada jodohnya dengan Kartini.

‘Ya Allah!! Selamatkan lah dia Ya Allah!’ getus hati Shamsul.

“Undangannya udah disebar?” tanya Haji Syakirin. Haji Salleh mengangguk.

“Barang-barang kenduri juga ada yang sudah aku beli,” kata Haji Salleh. Haji Syakirin mengangguk kepala. Nampak jelas  dia sedang cuba membuat keputusan yang terbaik.

“Ya begini aja lah. Kau teruskan aja majlisnya. Jadi atau tidak ya kita serahkan pada Allah. Aku akan usahakan untuk mencari Kartini.” Kata Haji Syakirin sebagai pembuat keputusan akhir.

Haji Syakirin kemudiannya bangkit dengan pantas. Ditepuk sekali lagi bahu Shamsul kemudian mereka berdua sama-sama turun ke tanah dengan kain berikat di kepala. Ada parang tapik tersangkut di pinggang masing-masing. Langkah yang diatur kemas, kelihatan gagah dan penuh keyakinan.

Haji Salleh menghantar langkah keduanya dengan doa dipanjat ke hadrat ilahi. Semoga usaha mereka akan membuahkan hasil.

*****

Haji Syakirin menghentak-hentak tumitnya ke tanah. Pada waktu itu,  mereka berdua berada di belakang rumah Haji Salleh, lebih tepat lagi di kawasan Haji Salleh berkebun ubi kayu.  Serentak dengan hentakan tumit Haji Syakirin, sekawan burung terbang serentak dari pokok rambutan tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Riuh sekejap kawasan belakang rumah itu dengan kicauan burung.

Shamsul mendongak memandang langit. Cuaca yang tadinya cukup redup bertukar mendung. Keadaan sekitar menjadi sedikit gelap. Tetapi dada langit cantik membiru. Shamsul agak tergamam dengan fenomena tersebut. Tangannya dicuit, Haji Syakirin membuat isyarat supaya fokus apa yang ada di depan mata sahaja. Shamsul akur.

“Tok masuk dahulu, kau tunggu saja di sini. Kalau Tok panggil, mulai dengan langkah kanan berselawat, biar tenggelam dalam selawatmu. Faham?” kata Haji Syakirin dengan nada lembut. Shamsul mengangguk kepala tanda faham.

Haji Syakirin kemudiannya melangkah ke depan dengan kaki kanannya, separuh badannya hilang. Diangkat sahaja kaki kiri, suasana sekitar terus menjadi hiruk pikuk. Dari jauh kedengaran suara ungka, kera dan lotong saling bertingkah. Pokok-pokok bergegar sehingga banyaknya daun kering gugur seolah-olah sedang musim luruh. Burung-burung berterbangan tanpa arah dengan kicauan yang membingitkan.

Haji Syakirin meneruskan langkah kirinya, tubuhnya lenyap. Hilang begitu sahaja. Shamsul masih tegak berdiri. Niatnya diperbetul, semangatnya diperkukuh. Dia mahu bersedia jika dipanggil oleh Haji Syakirin nanti.

Lima minit berlalu, seseorang menepuk bahunya. Shamsul menoleh. Kelihatan Haji Syakirin berdiri tegak di belakangnya. Shamsul agak terkejut kerana dia menjangka Haji Syakirin akan muncul dari tempat dia hilang tadi. Orang tua itu senyum sahaja sambil mengajak Shamsul pulang.

“Bagaimana tadi Tok?” Shamsul tidak boleh bersabar. Satu soalan segera diajukan.

“Kartini masih hidup, tetapi kita mesti pantas. Sudah di ambang benar anak itu,” jawab Haji Syakirin dengan nada kesal. Persoalan di benak Shamsul semakin banyak. Kalau boleh mahu dipaksa orang tua itu.

“Kamu kenal Ramona?” tanya Haji Syakirin.

Shamsul pantas menggeleng. Nama itu seperti pernah didengar, tetapi dia tidak kenal siapa Ramona. Haji Syakirin terangguk-angguk. Dia mengajak Shamsul pulang sementelah hari sudah mahu menjelang senja.

*****

BAB 28

Pulang sahaja dari surau, Haji Syakirin bertanya lagi tentang Ramona. Shamsul cuba memerah ingatannya kerana dia yakin benar, nama itu bukan asing padanya. Tetapi lagi cuba diingat lagi sakit kepalanya dirasakan. Ada dia memberitahu kepada Haji Syakirin bahawa nama Ramona itu seperti penah didengar, tetapi bila cuba diingati, hilang bagai asap dibawa angin.

Sampai sahaja di rumah, Hajah Salmah sudah siap sedia menyediakan hidangan makan malam. Haji Syakirin mengucap syukur, begitu juga Haji Salleh dan Shamsul. Usai makan, Hajah Salmah duduk bersimpuh mahu mendengar pendapat dari abang iparnya itu.

Haji Syakirin menepuk paha Shamsul. Dia membuat isyarat bertanya sama ada sudah boleh mengingat atau belum. Shamsul menjawab dengan gelengan. Wajahnya sugul.

“Berselawat. Adapun dengan berselawat itu, Rasulullah bersabda, Apabila kalian lupa sesuatu maka berselawatlah atasku nescaya kalian akan mengingatnya insya Alla Taala.” Haji Syakirin memulakan bicara. Shamsul segera berselawat di dalam hati.

“Namun, hadis ini sangat lemah sifatnya. Tetapi tidak ada salahnya jika kita perbanyakkan selawat. Bisa-bisa diberi syafaat oleh baginda,” Haji Syakirin mengukir senyum.

Haji Syakirin membaca sepotong ayat lalu diajarkan kepada Shamsul.

وَلَا تَقُولَنَّ لِشَيْءٍ إِنِّي فَاعِلٌ ذَلِكَ غَدًا إِلَّا أَنْ يَشَاءَ اللَّهُ وَاذْكُرْ رَبَّكَ إِذَا نَسِيتَ وَقُلْ عَسَى أَنْ يَهْدِيَنِ رَبِّي لِأَقْرَبَ مِنْ هَذَا رَشَدًا

“Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu: “Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu besok pagi, kecuali (dengan menyebut): “Insya-Allah”. Dan ingatlah kepada Tuhanmu jika kamu lupa dan katakanlah: “Mudah-mudahan Tuhanku akan memberiku petunjuk kepada yang lebih dekat kebenarannya daripada ini”.” (QS. Al-Kahfi: 23-24)

Usai mengajar Shamsul untuk menghafal ayat tersebut, Haji Syakirin memandang lembut ke wajah adiknya, Haji Salleh. Dia turut melabuh pandang ke wajah Hajah Salmah, adik iparnya yang baru pulih dari lemah semangat semenjak kehilangan Kartini. Tanpa disedari sesiapa, dia meniup lembut ditujukan ke ubun-ubun kepala Hajah Salmah, dengan doa semoga wanita itu kekal cekal hatinya.

“Si Tini…ya masih hidup. Tapi itulah keadaannya persis mayat saja. Aku bisa melihatnya tetapi ilmu kurungannya itu hebat. Pasti tidak sehebat ilmu Allah S.W.T, tetapi aku ngak bisa memperlaku seorang diri,” terang Haji Syakirin dengan bahasa yang teratur sekali.

Haji Salleh dan Hajah Salmah mengucap syukur ke hadrat ilahi. Senyuman terukir di wajah masing-masing. Haji Syakirin turut sama melebar senyum.

“Tok,” Shamsul tiba-tiba bersuara. Tiga pasang mata langsung tertumpu kepadanya.

“Beberapa bulan lepas, pemuda-pemuda di kampung saya mati dibaham harimau. Itu pendapat polis dan juga rata-rata orang kampung sendiri. Seorang pemuda lain meracau-racau, menyebut-nyebut nama cucu ketua kampung,” Shamsul memulakan cerita. Matanya terpejam-pejam cuba mengingat. Mereka yang lain mendengar dengan teliti cerita pemuda itu.

“Rahim ni kami anggap sudah mereng kerana butir bicaranya itu sama sekali sudah tidak jelas. Boleh kalau Tok gambarkan wajah Ramona itu Tok?” minta Shamsul sopan. Haji Syakirin memperkemas silanya.

“ Gadis itu cantik. Mukanya bujur sirih, matanya bulat bundar, hidung terpacak mancung, rambutnya itu mengurai panjang, ada satu tahi lalat di alis matanya,” perjelas Haji Syakirin. Degup jantung Shamsul menjadi kencang, seperti mahu meletup di dalam tulang rusuknya.

Shamsul memperincikan lagi wajah Haslina, dan butiran yang diberinya Haji Syakirin mengiakan. Shamsul menelan air liur. Haslina itu Ramona? Jadinya apa yang Rahim karutkan dahulu itu benar? Bahawasanya cucu Tok Anjang itu hantu?

Shamsul cepat-cepat membuka cerita. Apa yang telah berlaku di kampungnya. Bagaimana mereka menemukan mayat-mayat hancur dan juga mayat Rahmat yang ditebuk di perut, yang terburai segala isi perut. Bagaimana Malim mengutip cebisan-cebisan organ dalaman Rahmat yang tercarik-carik seperti daging direbus empuk lalu dicarik-carik mahu dibuat serunding.

Haji Syakirin hanya mendengar dengan teliti manakala Haji Salleh dan Hajah Salmah tidak putus-putus beristighfar. Malam sudah lewat, sudah menghampiri jam 11 malam. Burung hantu mula sampuk menyampuk. Mereka berempat masih lagi duduk bersila di beranda rumah sambil mendengar cerita Shamsul.

“Kamu kenal keluarganya?” tanya Haji Salleh. Shamsul pantas mengangguk.

Belum sempat Shamsul membuka mulut mahu menjawab, Haji Syakirin mengangkat tangan kanannya, mereka semua menikus dan bersiap siaga. Haji Salleh menguit lengan isterinya, menyuruh Hajah Salmah supaya masuk ke dalam dengan mengengsot. Hajah Salmah laju menggeleng kepala, lengan Haji Salleh dipeluk erat.

Di tepi rumah Haji Salleh, ada sebatang pokok kelapa yang menjulang tinggi. Berjarak lebih kurang 30 langkah dari tiang tepi rumah. Masing-masing perasan ada sesuatu yang sedang bersandar atau berdiri di tepi batang pokok kepala itu. Besar tubuhnya, tidak kelihatan kepalanya.

Terkumat-kamit mulut Haji Syakirin membaca sesuatu, jelasnya dia sedang membaca surah al-Baqarah sambil tangan dinaikkan tinggi di udara. Seiring dengan bacaannya yang semakin kuat semakin tinggi tangannya dan akhirnya, lantai rumah bergegar ditepuk oleh lelaki berilmu itu.

Ada sesuatu yang jatuh terperosok di halaman rumah melanggar anak pokok pisang yang baru tumbuh separas pinggang. Putus dua anak pokok pisang itu jadinya. Tetapi apa yang melanggar, tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Tak!!!

Tiang beranda bergegar seperti ada kayu besar yang dipukul di situ. Bumbung rumah Haji Salleh juga turut bergegar. Hajah Salmah sudah mula mahu mengongoi ketakutan tetapi ditenangkan oleh Haji Salleh. Shamsul pula mengambil tempat di sisi kanan Haji Syakirin, dia turut melagukan surah al-Baqarah dengan lancar dan tenang.

Angin bertiup kencang, geseran pelepah-pelepah pokok kelapa mewujudkan keadaan yang seram dan menakutkan. Tiang rumah diketuk-ketuk lagi. Kali ini semakin kuat dan laju. Sekejap tiang di sebelah kanan, sekejap di sebelah kiri dan sekejap bumbung rumah dihentak-hentak.

Haji Syakirin sudah bangun mempersiap kuda-kuda mahu berpencak. Bunga dibuka, kuda-kuda diperkukuh. Haji Syakirin berpencak seperti sedang berlawan dengan penjahat halimunan. Yang kedengaran hanyalah bunyi hempasan benda berat di dinding dan lantai rumah. Angin masih lagi menderu-deru. Bacaan Shamsul mujur tidak terganggu, dia khusyuk sehingga dia boleh nampak dirinya yang sedang bersila, Haji Salleh dan Hajah Salmah yang sedang merapat antara satu sama lain, juga Haji Syakirin yang sedang berpencak dengan sesuatu yang jangankan mahu merenung, jika boleh tidak mahu terlihat kelibatnya langsung.

Makhluk itu bertanduk dua, matanya merah menyala. Taringnya panjang, tubuhnya hitam besar. Sekali pandang, makhluk itu tidak la huduh seperti hantu-hantu yang diceritakan orang, dengan daging muka yang sopak di sini sana. Mata yang tersembul atau lidah yang terjelir. Tetapi aura makhluk itu, auranya boleh menundukkan manusia. Auranya boleh mematikan hati manusia. Sesiapa yang merenung merah matanya, seperti sedang melihat api yang marak menyala, membakar tidak henti-henti.

“Jangan masuk campur urusan aku!!” suara makhluk itu jauh ke dalam. Jauh ke dalam tenggorok. Antara dengar dan tidak. Antara nyata atau khayalan. Tetapi ayat itu lah yang dijeritkan kepada Haji Syakirin yang tidak menjawab walau sepatah. Tetapi orang tua itu Shamsul pasti tidak berhenti berzikir, sebagaimana yang sedang dilakukannya waktu itu.

Makhluk bertanduk dua itu menjadi semakin marah. Dia menghentak kakinya  apabila Haji Syakirin menghentak kaki kanannya. Masing-masing melambung sehingga tubuh orang tua itu menghentak tiang rumah. Makhluk itu pula terpelanting ke pokok kelapa sehingga beberapa biji buah kelapa gugur serta-merta.

Shamsul membuka mata, dia tidak lagi nampak dirinya seperti tadi, tetapi dia nampak Haji Salleh yang bergegas mendapatkan abangnya yang tersandar di tepi beranda. Tercungap-cungap Haji Syakirin mahu mengambil nafas.

“Siapa nama datuk gadis itu?” tanya Haji Syakirin dengan nafas yang kuat.

“Tok Anjang, Anjang Halim.” Jawab Shamsul laju.

“Bawa Tok ke rumahnya esok pagi,” kata Haji Syakirin sebelum dia dipimpin masuk oleh adiknya, Haji Salleh. Shamsul mengangguk. Dia bersandar di dinding memerhati gelap malam. Dari ekor matanya, dia dapat melihat susuk tubuh itu masih ada tercegat di tepi pokok kelapa. Dia membiarkan saja.

*****

CSI-RAMONA~BAB 34~

BAB 34

Kartini keseorangan di rumah itu. Celik sahaja matanya, baru dia sedar dia tertidur bersandarkan dinding rumah yang sudah mereput. Terkejut dengan keadaan itu, dia bingkas bangun lalu mencari pintu keluar. Seingatnya dia masuk ke dalam rumah melalui pintu utama di sebelah kirinya. Maka di situ lah dia menuju.

Terpandang dapur, Kartini semakin terkejut. Tidak ada unsur-unsur dapur kayu itu digunakan untuk satu tempoh yang lama. Malah keadaan dinding dapur juga sudah berlubang di sana sini. Ada talam rotan terperosok di bawah dapur, agak tersorok dari pandangan mata. Kartini mendekat, mahu mencapai talam tersebut. Dia masih ingat malam tadi dia dijamu dengan makanan yang lazat menggunakan talam tersebut. Itu percaturan hatinya kerana itu satu-satunya talam rotan yang ada di dapur usang itu.

Sebaik talam itu ditarik keluar, Kartini terus berasa perutnya bergelodak. Isi perutnya mendesak untuk diluah. Kartini menutup mulut. Tetapi matanya masih kaku melihat apa yang melekat di atas talam rotan yang sudah pecah di sana sini. Kartini nampak jelas masih kelihatan cacing-cacing yang meliuk-liuk cuba melepaskan diri kerana tersangkut pada rekahan-rekahan anyaman talam rotan tersebut.

Rupanya bukan hanya di dalam talam tersebut, sebaik Kartini mencampakkan talam itu ke lantai, pandangan matanya terfokus pada segumpal benda yang kelihatan seperti bola- bola kecil sebesar duit lima puluh sen. Kartini mendekat, membongkok dan mahu mengambil gumpalan tersebut. Niatnya mahu memerhati lebih dekat, kerana ada lebih daripada sepuluh gumpalan yang serupa yang merata di lantai dapur.

Sebaik sahaja jarinya menyentuh gumpalan tersebut, gumpalan itu terbuka menjadi cacing-cacing yang panjang dan besar. Bukan kepalang terkejutnya Kartini sehingga dia berlari menjauhi dapur. Tidak sanggup dia mahu berada lama-lama bersama populasi cacing yang merayap merata di lantai.

Sebaik mahu mencapai daun pintu rumah, gadis itu perasan gelas yang digunakannya untuk meminum air campuran bunga-bunga yang disebut Ramona. Gelas itu elok terletak di atas alang dinding rumah. Masih ada tanda-tanda merah yang melekat. Kartini mencapai gelas tersebut, dia yakin itu lah gelas yang digunakannya semalam.

Didekatkan gelas itu ke hidung. Kartini terus muntah. Busuk dan hanyir menusuk rongga hidungnya sehingga membuatkan perutnya sekali lagi bergelodak. Tetapi kali ini dia tidak dapat menahan lagi. Apa yang ada di dalam perutnya, semua keluar. Dia muntah dan muntah lagi tanpa dapat ditahan. Kartini mula menangis apabila melihat dari isi perutnya menguik-nguik cacing yang sama seperti yang ada di dapur.

Bukan seekor dua, tetapi terlalu banyak sehingga berbentuk gumpalan bersama lendir di atas lantai. Ada beberapa ekor yang berjaya meleraikan diri dari kawanan tersebut, menguik-nguik cecair perutnya mahu membebaskan diri dari muntah yang terlalu banyak itu.

Kartini menangis semakin kuat. Dia takut, dia panik. Mulutnya dilap dengan tangan. Terasa pula ada sesuatu yang melekat di anak tekaknya sehingga dia terbatuk-batuk.  Dia cuba batuk dengan lebih kuat cuba untuk melegakan tekaknya. Tetapi terasa seperti ada yang tersekat pula. Lantas dia memasukkan jari cuba mencari apakah yang sebenarnya yang tersangkut ditekak atau di celah giginya.

Dia menguis-nguis dengan hujung jari. Memang benar ada sesuatu yang tersangkut, seperti tersangkutnya tulang ikan di tekak. Kartini batuk lagi. Dimasukkan jarinya semula. Benda itu semakin dapat dikuis. Dia mengulang perbuatannya. Benda itu semakin tidak mustahil untuk dikeluarkan.

Dalam tangisan yang semakin kuat, bahu yang terhenjut-henjut cuba untuk menahan tangis, dia memasukkan jari telunjuk dan jari tengahnya ke dalam mulut, kartini mengepit benda itu lalu ditarik keluar. Percubaan pertama dia gagal kerana terlalu licin. Dicubanya sekali lagi kerana dia takut dan mahu benda itu cepat-cepat hilang dari mulutnya. Percubaan kedua juga gagal, tetapi kali ini dia batuk kuat.

Percubaan ketiga lebih mudah. Benda itu dapat ditarik. Terasa mahu terjeluak sekali lagi isi perutnya. Kembang kuncup tekaknya bila benda itu ditarik sedikit demi sedikit. Akhirnya, gadis malang itu tidak dapat lagi bertahan, dia muntah.

Terselit di jari telunjuk dan jari tengahnya, seekor cacing hidup yang meliuk-liuk cuba melepaskan diri. Kartini yang melihat terus jatuh pengsan.

*****

“Kau dengar?” tanya Ramona dengan senyuman lebar.

Cempaka mengangguk. Dia tahu apa yang Ramona maksudkan. Dia tahu apa yang ada di dalam hati gadis jelita itu. Dia tahu Ramona sedang melayan dendam yang perlu dilunaskan. Cempaka tidak peduli apa yang mahu dibuat gadis itu. Dia tidak wujud, dia tidak berupa, dia adalah dia seperti yang diwujudkan. Apa yang Ramona mahu, dituruti sahaja.

Ramona ketawa dengan lebih kuat. Hatinya senang. Dia hanya duduk-duduk di bawah pokok rendang mendengar jerit pekik Kartini yang terperangkap di dalam rumah. Dia tidak boleh membunuh wanita sepertimana dia membunuh lelaki-lelaki yang mejadi taruhan untuknya menjadi jelita, jadi apa salahnya dia membunuh Kartini dengan cara ini.

“Kenapa kau tak biarkan saja mereka berkahwin? Kalau kau bunuh gadis itu, habis di situ saja kepuasan hati kau. Kau biarkan lah mereka berkahwin, lagi banyak yang kau boleh permainkan mereka,” kata Cempaka yang pada ketika itu hanya berupa hembusan angin di telinga Ramona.

Ramona mencebik. Dia jelas-jelas menolak cadangan khadamnya itu. Dia tidak boleh memiliki Shamsul, maka tiada siapa yang boleh memiliki lelaki idamannya itu. Tiada siapa! Matinya Kartini, sekiranya ada gadis lain yang disukai Shamsul, mati pula gadis itu nanti.

“Aku mahu mandi-manda.”

Ramona bingkas bangun. Dia lantas berjalan meranduk semak meninggalkan Kartini yang sudah diam tidak bersuara lagi.

Krekkkk!!!!

Bunyi daun pintu dibuka. Kartini membulatkan biji mata cuba untuk melihat siapa yang masuk ke dalam rumah. Ramona! Kartini mengengsot merapatkan diri ke penjuru dinding. Walaupun keadaan sekitar hanya diterangi oleh cahaya bulan penuh, dia masih dapat mengecam susuk tubuh itu kepunyaan Ramona.Dia takut dengan gadis cantik itu. Dia benar-benar takut.

*****

Kartini menggigil. Dia takut mahu bergerak malah dia takut mahu bernafas sekalipun. Takut dengusan nafasnya dapat didengar oleh Ramona. Walaupun sememangnya, rumah yang kecil itu tidak dapat menyorokkan dirinya dari gadis ataupun syaitan itu.

Ramona memegang pelita, kecil saja sumbunya menjadikan cahaya yang tersebar juga terhad di kawasan yang kecil. Pelita disangkut pada paku di dinding rumah. Ramona membuka daun tingkap, angin kuat menderu masuk. Kartini hanya memerhati dengan penuh tanda tanya.

‘Ooooohhhhh ke marilah sekalian yang diciptakan~~

Aku menyerah diriku dengan darah berketurunan~~

Darah bertemu darah, nyawa berikat nyawa~~

Hidupku atas matiku..matiku tidak berpenghujung~~’

Ramona bersenandung sambil mendongak wajah menghadap bulan yang sedang mengambang penuh. Dia langsung tidak memperdulikan Kartini yang sedang tajam memandangnya. Dia tahu gadis itu ada di penjuru rumah, sememangnya Kartini tidak mungkin akan berjaya keluar dari rumah itu. Tidak sesekali, selagi dia mengawal segalanya.

Dari luar rumah, kedengaran senandung Ramona dibalas. Suara itu halus dibawa angin malam, mendayu-dayu seperti memujuk menusuk ke hati menundukkan fikiran. Tepejam-pejam mata Kartini kerana begitu asyik mendengar melodi yang tidak jelas butir perkataan itu.

Suara senandung dari luar semakin kuat tetapi masih tidak jelas apa yang disenandungkan. Cumalah melodi yang mendayu-dayu, dengan suara halus lunak bak buluh perindu memukau hati yang mendengar. Kartini sudah tidak berpeluk tubuh lagi. Dia sedang asyik, hilang sudah rasa takutnya terhadap Ramona.

Ramona pula ketika itu mula menari-nari. Lemah gemalai tariannya seperti sedang memanggil-manggil sesuatu. Dia berpusing-pusing sambil ketawa kecil. Sesekali dia memandang ke luar tingkap. Daun tingkap pula mula terhempas-hempas perlahan, api pelita pula meliuk-liuk laju namun tidak pula terpadam. Angin yang menerjah masuk semakin kuat.

Dia bersenandung lagi. Kali ini bersahut-sahutan dengan senandung dari orang kedua di luar sana. Kartini cuba memanjangkan leher mahu melihat sekiranya ada seseorang yang lain berdiri di tepi tingkap, namun cahaya yang sedikit tidak membantu usahanya.

Secara tidak diduga, Ramona mendekati dirinya. Langkah tarian gadis itu membawa dia dekat kepada Kartini. Entah sengaja atau pun tidak, yang pasti pada waktu ini Ramona sedang menghulur tangan meminta disambut. Kartini memejam mata mahu pura-pura tidur. Tetapi lakonannya mudah saja ditebak.

Tangannya ditarik kasar. Dengan senyuman yang penuh makna tersembunyi, Ramona menarik tubuh Kartini supaya ikut menari dengannya. Terkial-kial gadis itu cuba mengikut rentak yang tidak berlagu. Senandung dari luar juga turut berhenti. Hanya deruan angin yang sesekali menerobos dinding-dinding rumah yang berlubang, menghasilkan satu irama tak sekata yang kadangkala ngeri untuk dihayati.

‘Nyawa terikat nyawa, jasad berdiri rohku terbang~

Pergilah kasih biar aku seorang~

Berkerat rotan bara menjadi arang~

Putih mata sehingga nyawa melayang~

Ramona mula bersenandung lagi. Kartini berdiri kaku tetapi disuruh Ramona agar dia menggerakkan tubuh menari ala-ala tarian ulik mayang. Kartini menurut.

Derita batin jangan sampai ketahuan~

Tubuh ngiur bukan milik bertuan~

Gadis jelita itu menyambung. Kemudian dia ketawa sekuat-kuat hatinya. Ketika itulah deruan angin menjadi mati. Suasana bertukar hening sehingga telinga seakan-akan berdesing. Ramona masih lagi ketawa manakala Kartini sudah berlari ke sudut rumah, kembali memeluk tubuh ketakutan.

Kreeekkkkk!! Daun pintu berkeriut.

Semakin galak Ramona mengekek.

“Buk!!” bunyi hentakan di daun tingkap. Ramona menoleh, dia terkekeh-kekeh ketawa. Kartini yang menutup matanya dengan kedua tapak tangan, mengintai dari celahan jemarinya. Terasa mahu terjojol keluar biji matanya, jantungnya seperti meletup di dalam dada. Di atas jenang tingkap, kelihatan satu mahkluk besar seperti orang utan, bukan, lebih kepada beruk sedang bertenggek dengan menghenjut-henjut badannya. Bezanya makhluk itu dengan beruk, tiada beruk di dunia yang berlidah panjang menyerupai lidah anjing kepanasan.

“Masuk,” arah Ramona. Makhluk seperti beruk itu melompat tinggi lalu mendarat hampir dengan Kartini.

“Bersihkan,” arah Ramona lagi.

Pantas makhluk itu berjalan menuju ke dapur.

Srupppp!!! Srappppp!!! Bunyi kuat kedengaran dari dapur. Kartini mengintai lagi namun tidak kelihatan makhluk tersebut. Yang kedengaran hanyalah bunyi kuat seolah-olah ada benda yang sedang menyedut sesuatu. Menjilat atau menyedut. Entahlah, sukar untuk dipastikan.

Takk!!! Takkk!!! Takkkkk!!!! Bunyi yang datangnya dari bumbung rumah pula. Bunyi yang terhasil apabila bumbung rumah diketuk sesuatu. Ketukan yang terhasil pula tidak seragam, seolah-olah ketukan itu datangnya bukan dari satu punca.

“Lambat kamu semua,”  omel Ramona seorang diri. Tariannya dihentikan, dia menjenguk ke luar dari daun tingkap.

“Sudah!! Jangan diketuk lagi!”

Bunyi ketukan berhenti. Ramona menoleh ke arah dapur.

“Sudah! Bagi yang lain pula. Balik!” arah gadis itu dengan mata yang terjegil seperti mahu keluar. Tidak lama selepas itu, bunyi daun pintu dihempas kuat. Ramona berpusing-pusing dengan tangan yang melambai-lambai. Dia seperti sedang membuat ritual pemujaan.

Wajahnya berubah. Perlahan-lahan tubuhnya yang tinggi lampai bertukar menjadi bongkok. Rambutnya yang ikal panjang mengurai, luruh begitu sahaja. Kulit tubuhnya yang halus mulus, bertukar menjadi berkedut-kedut.

“Kau siapa sebenarnya?” Kartini yang sedari tadi dalam ketakutan, tiba-tiba membuka mulut. Ramona lantas menoleh dengan pandangan yang sangat tajam. Menakutkan. Sangat menakutkat apabila ditenung oleh makhluk bongkok, botak yang berkedut seribu. Soket matanya jauh ke dalam.

“Kau lihat saja siapa aku,” jawab Ramona dengan nada mengejek.

“Apa…apa kau nak dari aku?” tanya Kartini lagi. Dia cuba menguasai rasa takut yang menguasai hati dan mindanya.

“Kau tahu juga nanti,” jawab Ramona acuh tak acuh.

Bunyi di atas bumbung kedengaran lagi. Kali ini seperti ada kaki-kaki yang sedang berlari. Kartini juga ingin lari tetapi niatnya sampai di situ sahaja. Dia tidak punya kekuatan sama sekali. Derapan tapak kaki yang banyak di atas bumbung semakin menghilang. Kartini menarik nafas lega.

Baru sahaja dia mahu merasa sedikit tenang, muncul pula di ruang tengah rumah beberapa makhluk kecil, lebih kecil dari orang kerdil tetapi besar sedikit dari tubuh anak kecil berusia 2 tahun. Makhluk-makhluk itu melompat-lompat di sekeliling Ramona. Ramona melayan mereka seperti melayan anak-anak kecil.

Salah satu darinya, berhenti melompat dan berpusing menghadap Kartini. Barulah Kartini dapat melihat dengan jelas, makhluk itu tidak berwajah. Tiada mata, hidung mahupun telinga. Yang kelihatan hanyalah lidahnya yang panjang sehingga ke dagu. Terhayun-hayun lidah tersebut mengikut rentak langkah.

Dia mahu menjerit kuat tetapi dengan saki baki keberanian yang ada, dia berjaya menutup kejap mulutnya sendiri.

Ramona pula, dia sedang asyik dijilat oleh makhluk-makhluk kerdil tersebut. Dari muka, batang leher sehingga ke dada. Begitu juga kakinya sehingga ke pangkal paha. Ramona kegelian tetapi dia seronok diperlakukan begitu. Makhluk yang sedang berdiri menghadap Kartini, menoleh ke arah Ramona. Ramona ketawa mengekek. Dia mendepangkan tangan, makhluk itu melompat tinggi lalu melekap di dada gadis itu.

Malam itu berlalu begitu lambat. Kartini sudah tidak berdaya menyaksikan adegan di depan matanya. Ramona sudah bertelanjang bulat. Satu persatu pakaiannya dibuka bagi membolehkan makhluk-makhluk berlidah panjang itu menjilatnya. Ramona kini kembali kepada asalnya. Tidak lagi bongkok, tidak lagi botak. Dia seperti baru sahaja dilahirkan.

Kartini melihat semuanya.

*****

CSI-RAMONA~BAB 33~

BAB 33

Fatimah tidak pernah disentuh lagi. Anjang Halim seolah-olah jijik mahu melihatnya. Bahkan segala urusan peribadi suaminya itu dilakukan sendiri, tidak mahu menerima apa-apa dari Fatimah. Tidur sekatil dengan lelaki itu ibarat membiarkan orang menghiris lumat hatinya. Sepanjang malam, sekiranya Anjang Halim berkalih tubuh, pasti akan ada kata-kata cemuhan yang keluar dari mulut suaminya itu. Bukannya Fatimah tidak sedar, tetapi dia diamkan sahaja memandangkan walau apa yang terjadi, lelaki itu telah menjadi suaminya.

Pernah pada satu hari, waktu itu sedang rembang petang, pemuda-pemuda yang lain sudah beransur pulang ke pondok yang disediakan bagi menyiapkan diri untuk solat Maghrib berjemaah di surau. Waktu itu lah Anjang Halim merempuh pintu bilik sehingga Fatimah jatuh terduduk. Kebetulan pula waktu itu dia sedang mahu membuka pintu untuk keluar dari bilik tidur mereka.

Wajah Anjang Halim berubah. Mukanya kelihatan bengis ditambah lagi dengan gigi yang diketap kuat. Boleh nampak api kemarahan yang sedang menyala-nyala di wajahnya. Fatimah yang terduduk langsung dibiarkan begitu sahaja.

Akhirnya, selepas mundar-mandir dengan mengepal penumbuk, Anjang Halim mencapai bantal lalu ditekap dimukanya. Dia menjerit semahu-mahunya. Tergamam Fatimah ketika itu. Dia pantas bangkit mahu keluar dari situasi itu tetapi dengan pantas juga Anjang Halim menarik tubuhnya lalu dihempas ke atas katil.

“Kau tahu apa mereka mengata pasal aku?” tanya Anjang Halim dengan suara yang sengaja ditahan-tahan. Dia menunjal-nunjal dahi Fatimah yang masih belum hilang rasa terkejutnya.

Fatimah hanya diam membatu. Tiada satu jawapan yang akan memuaskan hati yang sedang dilanda kemarahan itu. Walaupun dia tahu, berdiam diri akan membuatkan lelaki itu menjadi lebih marah. Tetapi apa pilihan yang Fatimah ada.

Memang benar, Anjang Halim menggila.

“Aku jijik tengok muka kau ni, kau tahu? Kau tak layak jadi isteri aku!” kata-kata hinaan terus terusan keluar dari mulut lelaki itu. Fatimah masih lagi berdiam. Hatinya sudah banjir tetapi tiada sebutir airmata yang dibiarkan keluar.

“Aku..aku kalau boleh…” suara Anjang Halim tertahan-tahan.

“Nak ceraikan saya?” Fatimah menempelak. Terbeliak mata Anjang Halim mendengar kata-kata Fatimah yang dianggap sengaja mencari nahas.

“Kenapa tak nak teruskan? Ceraikan saja saya. Kenapa nak tahan-tahan? Takut ayah ubah fikiran?” tempelak Fatimah lagi. Dia benar-benar mencabar ego lelaki itu.

Fatimah bangun. Kata-katanya tadi hanya dibalas dengan dengusan kuat oleh Anjang Halim. Lelaki itu pada mulanya sudah mengangkat tangan mahu memukul muka Fatimah tetapi akhirnya pukulannya hanya mendarat dia kepala katil sahaja. Fatimah mencebik.

“kalau abang tak sudi memperisterikan saya, ceraikan saya bang. Saya pun tak nak hidup macam ni..” suara Fatimah mulai kedengaran sayu.

“hidup yang macam mana? Hidup yang tak disentuh?” perli Anjang Halim dengan senyuman sinis.

“Kalau kau nak sangat, aku boleh bagi sambil pejam mata,” Anjang Halim menyambung seraya ketawa. Dia seronok mempermainkan perasaan perempuan tak sedar diri itu. Dia hilang kawalan kerana ego yang sudah terlalu meninggi.

Fatimah tersentak dengan kata-kata suaminya itu. Tidak disangka sampai begitu sekali Anjang Halim jauh dibawa ego. Kalau dia punya ibu, sudah lama dia adukan semua yang berlaku. Tetapi dengan ayahnya, tidak semudah rancangan di kepala. Dan sekiranya ayahnya sudah bertolak untuk ke tanah suci, lebih mudah dia sendiri boleh lari saja dari kekejaman jiwa ini. Tetapi Tok Serban Putih menangguhkan perjalanannya ke Mekah kerana mahu memastikan puteri tunggalnya itu sudah biasa dengan hidup rumahtangga. Situasi ini lah yang membebankan hati Anjang Halim, yang harus berpura-pura redha atas pernikahan ini. Juga membebani hati dan fikiran Fatimah.

“Kau nak ke?” tanya Anjang Halim dengan suara yang sangat sinis. Bahu Fatimah dipegangnya kuat. Fatimah menepis tangan lelaki itu. Dia mahu melangkah keluar dari bilik, bermakna dia mahu menghentikan kata-kata hinaan yang terlalu menghiris perasaannya itu. Tetapi tangan Anjang Halim masih kejap dibahunya. Lelaki itu menyeringai. Peluh jantan mula terbit dari tubuh lelaki yang sedia tidak berbaju itu.

Tiada siapa di rumah selain dari mereka. Fatimah menolak lagi kemahuan Anjang Halim yang dirasakan hanya dipenuhi nafsu, tiada langsung sekelumit kasih sayang. Namun penolakan yang diterima lelaki itu membuatkat egonya semakin tercabar. Dia menolak tubuh Fatimah yang dalam diam meronta-ronta untuk dilepaskan. Mahu menjerit, ada aib yang perlu dijaga. Mahu pasrah, hati sendiri juga tidak rela.

“Abang..lepas lah!!” kata Fatimah separuh menjerit.

Pang!!!! Satu tamparan hinggap di pipi kirinya. Anjang Halim membuat isyarat supaya dia diam. Kemudian lelaki itu menyeringai seperti orang hilang akal. Kuatnya tamparan ahli silat handal itu sehingga menitik airmata Fatimah. Sakitnya bukan kepalang. Telinganya terasa berdesing.`

Baju kebarung isterinya itu disentap kuat sehingga terkoyak di bahagian bahu. Dengan kasar juga bahagian yang terkoyak itu disentap lagi meninggalkan kesan calar di bahu Fatimah, yang terbit darinya renik-renik darah. Fatimah mengaduh tetapi tidak dipedulikan langsung oleh Anjang Halim.

*****

“Saudari,” seorang gadis comel bertubuh langsing sedang dalam keadaan separuh panik menggamit Ramona. Ramona menoleh.

Gadis itu mendekati Ramona yang hanya menunggu sahaja. Di tangan masing-masing ada beberapa jenis ulam-ulaman yang diletakkan di dalam bakul kecil. Masing-masing agaknya masuk ke dalam belukar itu untuk mengutip ulam untuk dibuat makan tengahari.

“Ya, kenapa?” tanya Ramona lembut. Gadis itu berwajah gusar. Dia memerhati sekeliling seolah-olah ada masalah besar yang sedang dihadapinya. Akhirnya pandangannya jatuh ke wajah Ramona yang sedang tersenyum. Lega sedikit hatinya melihat senyuman gadis jelita itu.

“Saya tak tahu saya di mana,” lemah kata-kata yang keluar dari mulut gadis itu. Ramona yang mendengar berubah rona wajah kerana terkejut. Jelas rasa simpati terbit di wajahnya. Bakul di tangan diletakkan di atas tanah. Dia mengajak gadis itu duduk di banir pokok nangka yang tidak berbuah. Gadis itu menurut.

“Saudari dari mana?” tanya Ramona selepas masing-masing melabuhkan punggung. Gadis itu kelihatan terpinga-pinga mahu menjawab soalan Ramona. Dia masih lagi dalam keadaan panik. Dia cuba mengingat tetapi begitu sukar untuknya.

“ Dari Kampung Lindungan…” akhirnya meletus jawapan dari mulut gadis itu.

“Ohh..hanya kampung sebelah. Tetapi agak jauh juga dari kampung ni. Saudari sesat kah?” tanya Ramona lagi. Gadis itu semakin terpinga-pinga. Dia kelu lidah mahu menjawab sesuatu yang tidak dapat diingatinya.

“ Saya mahu pulang…boleh saudari tunjukkan jalan?” soalan Ramona dijawab soalan oleh gadis itu. Ramona mengangguk pantas. Bahu gadis itu ditepuk-tepuk untuk melegakan kegusaran di hati. Ada airmata yang mengalir di tubir mata gadis comel itu.

“Sudah..jangan khuatir. Saya akan tunjukkan jalan pulang kepada saudari.” Ramona memberikan kata-kata semangat. Gadis itu mengucapkan terima kasih dalam esak tangis yang semakin kuat.

Gadis itu melihat ke arah bakul ulamnya. Dari ulam raja sehingga ke pucuk ubi, semuanya sudah layu dan kering. Seingatnya pagi tadi dia keluar rumah menuju ke kebun ayahnya di belakang rumah sahaja, untuk memetik pucuk ubi dan beberapa ulam lain untuk dibuat makan tengahari. Mereka akan menerima tetamu, niat ayahnya untuk menjamu tetamu-tetamu itu makan tengahari nanti.

Masakan pucuk ubi yang baru sahaja dipetik, boleh menjadi layu dan kering begitu. Banyak perkara-perkara aneh yang bermain di kotak fikirannya. Dia berjalan pulang, tetapi tidak sampai-sampai ke rumah. Dia berpatah balik, tetapi dia rasa dia semakin jauh dari kawasan rumahnya. Dia berpusing-pusing, cuba mencari rumah Jamilah, yang sepatutnya dia akan jumpa jika berjalan 5 minit dari rumahnya. Tetapi dia semakin jauh masuk ke kawasan yang tidak dikenali.

Esakannya semakin kuat.

“Jangan menangis lagi. Mari saya bawa saudari pulang ke kampung saudari,” ajak Ramona lembut. Gadis itu menoleh memandangnya. Senyuman Ramona dibalas oleh senyuman juga oleh gadis manis itu. Ramona menarik tangan gadis itu lalu mengajaknya bangun.

“Siapa nama saudari?” tanya Ramona.

“Kartini.”

*****

“Mona…jauh lagi ke?” tanya Kartini dengan nada panik.

Mereka sudah berjalan lebih dari 2 jam, tetapi tiada tanda-tanda akan menemui jalan masuk ke kampungnya. Kawasan yang mereka lalui semakin tebal dan sukar. Kedua-duanya perlu meranduk semak samun tinggi sehingga calar-balar lengan dan kaki Kartini. Tetapi sebaliknya yang berlaku kepada Ramona, dia seolah-olah sudah biasa dengan kawasan tersebut.

“Kartini jangan risau, ini jalan pintas. Jauh kampung Kartini tu jika ikut jalan biasa,” jawab Ramona lembut. Kartini mengangguk-angguk kepala memujuk hati untuk meletakkan nasibnya di tangan gadis jelita yang sedang memimpinnya ini.

Sekali lagi terbit persoalan di dalam hati. Bagaimana dia boleh pergi terlalu jauh dari rumahnya. Sedangkan pada perkiraannya dia ke hulu ke hilir tidak sampai satu jam? Terbit rasa takut di dalam hati. Tangannya yang sedang dipegang oleh Ramona ditarik agak kasar. Kartini berhenti. Ramona pantas menoleh.

“Saya mahu patah balik.” Kata Kartini penuh yakin.

“Kamu dah kenapa? Susah payah saya nak bawa kamu pulang, kenapa mahu berpatah balik?” agak keras nada suara Ramona.

“Saya faham. Tapi Mona bawa saya masuk lebih jauh ke dalam hutan. Saya tak kenal Mona, tak tahu niat Mona. Saya mahu berpatah balik.” Jawab Kartini panjang lebar.

“Saya minta maaf, bukan nak pertikaikan jasa baik Mona. Tapi saya rasa tak sedap hati. Saya mahu patah balik.” Kartini cepat-cepat menyambung apabila melihat Ramona mahu membuka mulut.

Ramona tidak berkata apa. Dia hanya berdiam diri. Dia membiarkan sahaja Kartini berpatah balik. Kali ini Kartini berjalan di depannya, dia hanya mengikut langkah gadis itu. Kartini pula, dia tahu kata-katanya telah menyinggung perasaan gadis jelita yang membantunya itu. Jadi dia tidak berani untuk meminta Ramona memimpin jalan.

Keadaan sekitar semakin redup. Pasti petang sudah mahu menggamit senja. Kartini agak gugup, tetapi dikuatkan hatinya cuba yakin dengan bisikan hati menyuruhnya berpatah balik. Langkah Ramona yang masih kedengaran di belakangnya juga membuat hati berasa lega, sekurang-kurangnya gadis itu tidak langsung meninggalkannya walaupun hati telah terguris. Ada sejemput kejujuran yang ditunjukkan oleh Ramona membuatkan Kartini malu sendiri.

“Mona…saya tak jumpa jalan yang kita lalu tadi. Keadaan semakin gelap ni,” kata Kartini seperti mahu menangis. Dia menoleh ke belakang mencari kelibat Ramona. Dalam rembang petang dia dapat melihat Ramona tersenyum.

“Saya ikhlas mahu membantu. Mari, rumah saya dekat sahaja dari sini. Kartini boleh berteduh untuk malam ini.” Kata Ramona lembut. Kartini mengangguk dengan rasa teramat lega di  hati. Dia semakin malu untuk bertatapan mata dengan gadis itu. Malu dengan sikap ragu-ragunya akan kebaikan hati Ramona.

Dalam keadaan terdesak dan kalut seperti ini, bantuan yang Ramona hulurkan adalah satu anugerah dari Allah. Kartini beristighfar di dalam hati, memohon ampun akan kekhilafan hatinya, yang mudah sahaja berburuk sangka sesama manusia.

*****

Ramona membuka pintu rumah kecil itu. Dari jauh dapat dilihat cahaya malap dari dalam rumah. Dia menjemput Kartini masuk. Rumah kecil yang di dalamnya hanya ada tikar mengkuang di tengah ruang, ada kawasan dapur yang kecil sahaja dan sebuah bilik. Tiada tanda-tanda adanya orang lain yang turut mendiami rumah tersebut.

“Mona tinggal seorang diri saja kah di sini?” akhirnya tercetus juga persoalan dari bibir mugil Kartini. Entah bagaimana dia terperasan Ramona tersenyum sinis mendengar soalannya, tetapi lekas-lekas dia beristighfar lagi, mahu membuang segala prasangka yang sudah mula terbit di lubuk hatinya.

“Masakan tinggal seorang diri, kalau seorang bila masanya saya nyalakan lampu pelita di dalam rumah ini,” kata Ramona seraya ketawa kecil. Kartini spontan menepuk dahi. Sedar akan kebodohan sendiri.

Ramona meninggalkan Kartini di ruang tamu. Dia masuk ke dalam bilik yang terbuka pintunya, tetapi tidak dapat dilihat dengan jelas apa yang ada di dalam bilik. Hanya satu pelita yang meliuk-liuk cuba untuk menerangi segenap ruang.

“Kartini, ini kenalkan adik saya, Cempaka.”

Kartini bingkas bangun. Dia menghulur salam tetapi salamnya tidak bersambut. Namun Cempaka mengangguk dan menghadiahkan senyuman manis. Kartini malu sendiri.

“Kau dah makan?” tanya Cempaka secara tiba-tiba. Kartini menggeleng kepala. Ketika itu Ramona hilang entah ke mana. Dia mencari juga batang tubuh Ramona, tetapi tidak kelihatan. Sempat juga pandangannya jatuh ke wajah Cempaka. Dalam samar cahaya pelita yang meliuk-liuk itu, dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah Cempaka, tetapi gadis itu berbau harum semerbak. Harum yang menyenangkan.

“Kau ambil pelita tu, bawa ke dapur.” Arah Cempaka. Kartini mengangguk. Dia kemudiannya berjalan menuju ke ruang tengah untuk mengambil pelita tersebut. Dia sedar Cempaka berjalan ke arah dapur, yang mana keadaan dapur menjadi gelap disebabkan langkahnya semakin dekat untuk mengambil pelita.

‘Dah biasa dengan rumah sendiri, gelap-gelap pun sudah tau mana mahu cari barang.’ getus hati kecil Kartini. Dia lalu mengambil pelita dan mengangkatnya, cahaya semakin luas menerangi ruang kecil rumah itu.

“Mahu ke dapur ke?” satu suara tiba-tiba seperi ada di belakangnya. Kartini tersentak, nasib baik juga dia tidak mencampak pelita tersebut disebabkan terlalu terkejut. Dia memusing badan, mengangkat pelita tinggi-tinggi tetapi tiada siapa yang kelihatan. Hatinya gugup, bulu tengkuknya tegak berdiri.

“Kartini…mari bawa pelita itu ke sini,” satu suara menyerunya dari dapur. Suara itu bernada biasa sahaja tetapi tetap membuat gadis itu terkejut dan kalut. Dia pantas meninggalkan ruang tengah lalu menuju ke dapur yang hanya beberapa langkah jaraknya.

Di dapur, sudah bersedia Ramona dan juga Cempaka dengan hidangan yang penuh di atas talam rotan. Bau masakan yang sedap dan lazat menyentuh deria Kartini membuatkan perutnya berkeroncong minta cepat diisi.

“Mari duduk, semua lauk- pauk ni Cempaka yang masak,” mesra kata-kata yang keluar dari mulut Ramona. Dia menguntum senyum. Cempaka tidak menunjukkan sebarang reaksi. Kartini yang agak malu-malu, takut dikata gelojoh walau hakikatnya dia sudah tidak sabar-sabar untuk menyuap makanan yang pelbagai itu.

Dia bersimpuh seperti Ramona dan juga Cempaka. Pelita diletakkan dekat dengan talam makanan. Kartini menelan liur melihat nasi putih yang masih berasap, ayam goreng , ulam-ulaman dan beberapa lauk lain lagi. Dia menelan liur berulangkali.

Dia rasa nafsunya memuncak. Tekaknya berasa sangat dahaga. Rasa haus dan lapar membuatkan dirinya lupa bahawa sewaktu melangkah masuk ke dalam rumah ini tadi, tiada langsung tanda-tanda dapur itu baru digunakan. Tiada kesan bara malah langsung tiada bau kayu dibakar. Jadi, bila masanya nasi panas di depannya ini dimasak? Dia bukan sudah duduk lama di rumah itu. Kartini lupa. Dia lupa untuk berhati-hati kerana perut sudah tak mampu untuk dipujuk lagi.

“Nah..minum. “

Kartini menyambut. Terus disua bibir gelas ke mulutnya. Air  yang masuk ke mulutnya berasa agak kuat tetapi ditelan juga. Dia begitu haus. Dihulurnya lagi gelas tersebut, Ramona menuang lagi air dari dalam bekas ke dalam gelas Kartini. Kali ini Kartini nampak air tersebut berwarna merah hati.

“Air dari campuran bunga,”kata Ramona menghapus keraguan Kartini. Lantas segelas lagi air berwarna merah hati itu diteguk. Ramona mengerling Cempaka dengan segaris senyuman yang sukar untuk dimengerti pada pandangan manusia yang dipesong hati atas desakan keperluan hidup yang asasi.

*****

Hajah Salmah menangis tidak berhenti-henti. Bila dipujuk dia diam, hilang tangisnya tetapi selang beberapa lama dia menangis lagi. Mengongoi-ngongoi tangisannya. Beberapa orang jiran bertukar ganti memberi nasihat kepada wanita tua itu. Tetapi kesedihan dan kegalauan hatinya tidak mampu dikawal. Hanya airmata yang boleh menenangkan jiwanya ketika itu.

“Sudah la tu Sal…asyik menangis saja tak boleh bawak anak kita balik,” pujuk suaminya Haji Salleh lembut. Itu pujukan yang entah berapa ratus kalinya. Tetap juga nada yang keluar lembut dan menenangkan.

“Anak kita satu-satunya, bang..macam mana lah hati Sal ni boleh terima,” jawab Hajah Salmah sambil menepuk-nepuk dadanya. Tangisannya semakin kuat. Haji Salleh hanya mampu mengalirkan airmata. Dia sendiri sedih dan bukan kepalang risau hatinya, tetapi dengan termenung atau menangis tidak akan dapat menyelesaikan misteri kehilangan Kartini, yang sudah lebih seminggu hilang secara tiba-tiba dari rumah.

Majlis nikah anaknya dengan Shamsul sudah semakin dekat. Kartini hilang pada hari keluarga Shamsul datang untuk mengesahkan tarikh pernikahan dan juga majlis yang akan dibuat. Kartini hilang tanpa jejak, sedangkan kali terakhir dia sendiri melihatnya adalah pada pagi hari kejadian.

“Kamu nak ke mana?” tanya Haji Salleh apabila melihat Kartini menyarung selipar dan bergegas mahu ke belakang rumah.

“Mahu petik pucuk ubi, Babah. Kan ada tetamu nanti, Ummi minta cari ulam-ulaman,” jawab Kartini ceria. Haji Salleh turut menguntum senyum melihat kegembiraan yang dipamerkan oleh anak tunggalnya itu. Semakin manis Kartini apabila hatinya diselubungi kebahagiaan.

Haji Salleh tahu Shamsul dan Kartini sama-sama jatuh hati.

Haji Salleh melabuh pandangan ke wajah Shamsul yang sudah beberapa hari tidur di rumahnya mencari jalan penyelesaian. Tetapi masih buntu untuk mencari titik mula. Pandangan Haji Salleh berkalih pula ke wajah-wajah jirannya yang datang untuk membantu. Dia sendiri buntu. Tidak pernah berlaku kejadian seumpama ini di kampung ini selama dia mengetuai mereka, mentadbir dan menjaga keharmonian Kampung Lindungan ini.

Pasti lambat laun akan tersebar cerita khayalan dari satu mulut ke mulut yang lain. Fitnah yang seumpama itu lah yang harus dielakkan. Ke mana hilangnya Kartini? Gadis manis yang bakal melangsungkan pernikahan dalam tempoh tidak sampai 2 minggu sahaja lagi. Masih hidupkah anaknya itu? Haji Salleh memejam mata tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan.

*****

CSI-RAMONA~BAB 32~

BAB 32

Kecoh!!

Sekali lagi penduduk kampung kecoh dengan penemuan mayat Rahmat yang dikatakan hilang selama 3 hari. Kecoh juga apabila isteri Hasnul mengadu yang suaminya turut hilang, tidak balik-balik ke rumah sejak perjumpaan di surau 3 malam lepas. Tetapi yang paling mengejutkan adalah apabila mayat Rahmat dijumpai dalam keadaan mengerikan.

Isi perutnya terburai. Usus dan organ dalamannya bersepah di atas daun-daun kering. Ada lubang besar di tengah-tengah perutnya. Kepala Rahmat terkulai seolah-olah tulang tengkuknya patah. Walaupun baru 3 hari, mayat Rahmat kelihatan seperti sudah seminggu terbiar di dalam belukar itu. Tubuhnya membengkak, cecair yang keluar dari lubang di perutnya berbau terlalu busuk sehingga orang-orang kampong yang menguruskan pemindahan mayat Rahmat rata-rata muntah di situ juga.

Masing-masing tidak mahu terus menguruskan mayat tersebut. Sudahlah keadaan mayat sangat mengerikan, ditambah pula dengan bau busuk yang membuatkan mereka yang menghidu muntah hijau. Hanya Malim seorang, yang mengutip tali perut Rahmat lalu dimasukkan ke dalam plastik. Dia tidak menghiraukan ulat-ulat mayat yang terlalu banyak menutupi isi perut tersebut.

Gila!! Memang gila! Orang kampung dihantui ketakutan. Entah apa lagi yang akan berlaku di kampung tersebut. Tok Anjang mula mencari titik punca.

“Mah…oooo Mah!” laung Tok Anjang dari beranda rumah. Mak Mah yang berada di kebun menyahut panggilan Tok Anjang, tetapi mungkin  disebabkan suaranya tidak kuat, suaminya itu terus-terusan melaung namanya. Sehingga wanita tua itu terkedek-kedek mempercepatkan langkah pulang ke rumah.

“Ada apa bang?” tanya Mak Mah sebaik sampai di halaman rumah. Di tangannya ada seikat pucuk ubi muda, mungkin mahu direbus dijadikan ulam makan tengahari. Tok Anjang berwajah kelat. Dia mundar-mandir di atas beranda menunggu isterinya naik ke rumah.

“Mana Haslina?” tanya Tok Anjang keras.

“Eh..bukan pagi tadi dia ada bersarapan dengan kita?” tanya Mak Mah kembali. Soalan Mak Mah dijawab dengan dengusan oleh lelaki tua itu.

“Itu aku tahu. Tapi sekarang ni, ada dia beritahu kau dia mahu ke mana? Aku menunggu dia sejak dari tadi lagi,” terang Tok Anjang. Mak Mah menjawab dengan gelengan. Secara spontan dia memanggil nama Haslina namun tiada sebarang sahutan. Tok Anjang memandang geram wajah isterinya.

Mak Mah meletakkan pucuk ubi yang dipetiknya tadi ke dalam bakul kecil yang sedia ada di beranda rumahnya itu. Dia langsung duduk di atas anak tangga. Tok Anjang melepaskan keluhan berat. Terlalu banyak perkara buruk yang berlaku lewat kebelakangan ini sehingga ada yang mempersoalkan kewibawaannya sebagai Penghulu kampung.

“Sejak mereka bertiga balik ke kampung ni, macam-macam hal yang berlaku,” getus Tok Anjang perlahan. Kata-katanya itu membuatkan Mak Mah tersentak.

“Eh..abang ni. Sejak bila abang mempersoalkan darah daging sendiri?” tinggi sedikit suara Mak Mah mempersoalkan kembali kata-kata suaminya itu.

“Kamu rasa aku salah? Aku sendiri tak tahu Haslina tu betul atau tidak anaknya Hasnah. Bukan dulu cucu awak tu hodoh tak berupa manusia?” tanya Tok Anjang kembali. Kali ini kata-kata lelaki itu membuat Mak Mah terdiam tidak menjawab.

Satu keluhan berat dilepaskan.

“Betul ke tidak apa yang aku cakapkan ni Mah? Kamu sendiri mengaku si Ramona yang dibela oleh Wak dulu anaknya Hasnah. Bukan begitu? Sekarang kamu tengok sendiri, nama berubah wajah berubah. Dah sama cantik macam bidadari. Kamu tak pelik?” soal Tok Anjang bertubi-tubi.

Mak Mah terus termenung. Ada betulnya kata-kata suaminya itu. Tetapi Rashid sendiri mengaku Haslina itu anaknya dengan Hasnah. Tak mungkin Rashid menipu. Kalaupun dia menipu, apa yang dia dapat?

“Saya tak kisah la apa abang nak fikir. Kalau dulu abang pisahkan saya dengan cucu selama lebih 15 tahun. Si Ramona tu abang kata dia anak syaitan. Sekarang ni Rashid sendiri mengaku Haslina tu anak dia dengan Hasnah, pun abang nak pertikaikan. Saya tak boleh terima la, bang. Mengarut!” getus Mak Mah panjang lebar. Kali ini dia tidak peduli, kata-kata Tok Anjang akan disangkal habis-habisan.

“Jangan abang nak pisahkan saya dengan zuriat Hasnah lagi.” Tegas suara Mak Mah mengejutkan Tok Anjang.

Lelaki tua itu hanya berdiam diri, yang mana itu tidak pernah terjadi. Dibiarkan sahaja kata-kata isterinya tanpa dibidas, walaupun itu bukan sikapnya. Tok Anjang termenung panjang. Dia banyak berfikir mengenai apa yang telah berlaku. Cuba mencantumkan segala kejadian yang pernah berlaku berbelas tahun dahulu dengan kejadian yang berturutan berlaku di dalam kampung.

Kalau sewaktu mudanya dulu, mudah sahaja dia menebak siapa merek bertiga. Tetapi setelah usianya semakin lanjut, banyak ilmu-ilmunya yang sudah dibuang. Tok Anjang bukan seperti waktu mudanya dulu.

Fikiran lelaki tua itu jauh terbang melayang.

*****

Tok Serban Putih, siapa yang tidak kenal akan tuan guru ini. Namanya mahsyur sehingga ke Tanah Melayu. Bukan sahaja anak muridnya datang dari daerah sekitar Sumatera, malah dari seluruh nusantara. Anjang Halim baru sahaja berumur sekitar 21 tahun ketika itu, darahnya masih panas, terlalu dahagakan ilmu sehingga dia sanggup meninggalkan kampung halaman bagi menuntut ilmu dari Tok Serban Putih.

Pulangnya nanti, dia akan mengambil alih tempat ayahnya sebagai penghulu. Dia tidak mahu orang memperlekeh akan kebolehannya. Dia mahu setiap dari orang kampung memandang tinggi akan dirinya juga ilmunya.

Di situ dia mengenali Syakirin, sama handal sama bijak yang menjadi anak murid segurunya. Anjang Halim, orangnya kacak dengan tubuh yang tinggi dan tegap. Belum lagi dia bergelar anak murud Tok Serban Putih, sudah ramai yang mengagumi pembawakannya. Wajahnya bersih, kulitnya tidak gelap dan juga tidak cerah, kulit sawa matang yang menjadi tarikannya. Rambutnya ikal, bila disisir kemas anak muda itu sememangnya kelihatan sangat kacak dan berwibawa.

“Ilmu di dunia ini terlalu banyak anak-anakku. Ada yang baik ada yang jahat. Kalau mahu dihitung bilangan ilmu yang ada, pasti tidak akan terhitung. Kerana ilmu Allah itu, jika kalian menulisnya dengan dakwat lautan, pasti kering lautannya sebelum sempat semua ilmu kalian tuliskan.” Tok Serban Putih membetulkan silanya. Satu persatu anak-anak muridnya dipandang dengan pandangan kasih. Pandangannya terhenti pada seraut wajah anak muda bernama Anjang Halim.

Tok Serban Putih ada hajat di hati. Dia mahu mencari jodoh untuk anak perempuannya. Dia mahu salah seorang dari anak muridnya, bertukar menjadi anak menantunya. Itu lah harapannya tatkala dia melabuhkan pandangan ke arah Anjang Halim dan juga Syakirin. Dua orang anak muridnya yang paling handal dan banyak ilmu di dada.

“Selepas ini, Tok mahu menetap di Makkah. Tempat perguruan dan persilatan ini akan Tok serahkan pada salah seorang dari kalian.” ujar Tok Serban Putih lagi. Sejurus dia berbicara begitu, suasana menjadi bingit dengan bisik-bisik anak-anak muridnya. Tok Serban Putih sekadar tersenyum.

“Sudah Tok ajarkan kalian semua ilmu yang ada pada Tok. Ilmu yang baik itu dari Allah, kalian gunakan untuk diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Ilmu yang tidak baik juga Tok ajarkan, supaya kalian dapat membezakan mana yang baik dan mana yang tidak baik. Faham?” lembut sahaja ingatan dari orang tua berjanggut putih itu. Anak-anak muridnya mengangguk-anggukkan kepala.

“Syakirin..ke depan kamu. Begitu juga dengan kamu, Anjang,” arah Tok Serban Putih. Maka Syakirin dan Anjang Halim dengan sopan maju ke depan. Mereka duduk ala-ala pahlawan di hadapan tok Serban Putih.

“Tok berkenan dengan untuk jadikan salah seorang dari kamu menantu Tok. Tetapi untuk menentukan siapa yang akan menikah dengan anak perempuan Tok, perlulah Tok tanyakan terlebih dahulu kepada kalian berdua,” lembut suara Tok Serban Putih mengungkapkan kata-kata tersebut. Anjang Halim menelan air liur. Dia teringat akan Halimah, tunangannya yang cantik jelita yang ditinggalkan di kampung, dengan janji mereka akan segera menikah sekembalinya dia ke Tanah Melayu nanti.

“Saya tidak keberatan, Tok.” kata putus dari Anjang Halim membuatkan Tok Serban Putih tersenyum.

“Saya pula tidak ada halangan jika Tok memilih Anjang. Saya sudah ada calon dari hubungan dua keluarga Tok,” kata-kata Syakirin membuatkan Anjang Halim tersenyum.

Tok Serban Putih mengucap syukur lalu menepuk-nepuk bahu bakal menantunya, Anjang Halim.

“Ada yang ingin kamu tanyakan pada Tok?” Tok Serban Putih memandang terus ke wajah bakal anak menantunya. Anjang Halim lantas menggeleng. Dia rasa tidak wajar dia mengajukan sebarang persoalan terhadap keputusan Tok Gurunya itu.

“Apa yang baik pada Tok, itu jugalah yang terbaik untuk diri saya,” jawab Anjang Halim penuh hemah mewujudkan senyuman di bibir orang tua itu.

*****

Majlis pernikahan selesai sudah. Anjang Halim kelihatan lega dan bangga. Dia bangga kerana terpilih menjadi menantu tuan guru yang tersohor di seluruh nusantara itu. Walaupun ada kata-kata sumbang yang terbit sendiri di dalam hatinya berkenaan tunangannya di kampung, dia mengambil sikap tidak mahu memikirkan persoalan tersebut dalam waktu ini. Ini puncak kegemilangan hidupnya. Menjadi menantu Tok Serban Putih adalah suatu pencapaian yang diidamkan oleh semua pemuda-pemuda yang menjadi rakan seperguruannya.

Mereka tidak pernah bertemu pandang dengan anak gadis Tok Serban Putih. Mereka, anak-anak murid tidak dibenarkan menginjak kaki ke anak tangga pertama rumah besar tok guru mereka. Tetapi saban pagi selepas solat subuh, akan berkumandang suara gemersik seorang gadis mengalunkan bacaan al-Quran. Sangat indah dengan taranum yang sempurna.

Dia, Anjang Halim kini memiliki gadis tersebut. Bukan kepalang perasaan bangga menguasai dirinya. Bukan sahaja dia memiliki suara gadis itu, tetapi seluruh milik gadis itu telah menjadi miliknya, termasuk pusat perguruan dan persilatan Tok Serban Putih kerana orang tua itu akan berangkat ke tanah suci Mekah dalam jangkamasa dua hari sahaja lagi. Anjang Halim bangga tidak terkata. Seterunya, Syakirin sudah boleh dipandang dengan sebelah mata sahaja.

Matahari sudah melabuhkan tirai, malam mula menjenguk wajah. Anjang Halim sudah bersedia di bilik solat untuk menjadi imam kepada isterinya, Fatimah. Tok Serban Putih sengaja meninggalkan pasangan itu berdua-duaan sahaja di rumah untuk saling berkenal-kenalan. Orang tua berjanggut panjang itu mengimamkan anak-anak muridnya yang lain bersolat Maghrib seperti kebiasaannya.

Salam dihulur oleh Anjang Halim, disambut oleh Fatimah. Dengan penuh kelembutan seorang isteri, dia mencium tangan suaminya. Anjang halim tersenyum tatkala bibir basah Fatimah terasa hangat di belakang tangannya. Hatinya berdegup kencang walaupun wajah Fatimah masih belum dilihat dengan jelas dek kerana api pelita yang meliuk ke kiri dan ke kanan dihembus angin lembut dari luar.

Tangan Fatimah ditarik lembut, gadis itu menurut. Dia tahu tanggungjawabnya. Namunpun dia tahu, dia hanya menunduk kerana malu. Anjang Halim tidak berkata apa-apa. Dia mahu apa yang dimiliki kekal menjadi miliknya.

Malam itu berlalu dengan seribu cerita. Tidur Anjang Halim ditemani mimpi indah disulam rasa bangga yang tidak terbendung. Bangga sudah berjaya memiliki apa yang diinginkan selama ini. Ilmu sudah penuh di dada, dapat pula mengahwini anak kepada tuan gurunya. Namanya akan disebut di seluruh pelusuk Nusantara. Semakin lebar senyuman lelaki itu mahu mendapat semuanya.

*****

“Kau siapa?” Anjang Halim terkejut. Dia terkejut apabila seorang gadis menyentuh bahunya untuk mengejutkannya dari tidur.

Gadis itu turut sama terkejut, berubah airmukanya ketika itu. Cepat-cepat dia menutup kepala dan sebahagian wajahnya dengan kain batik jawa lalu mahu melangkah keluar dari bilik itu. Anjang Halim melompat dari katil kayu lama itu lalu menahan tubuh gadis itu yang sedikit sahaja lagi mahu melangkah keluar melalui pintu bilik yang separuh terbuka. Anjang Halim menutup pintu bilik.

Tangan gadis itu ditarik agak kasar, disuruhnya duduk di bucu katil. Anjang Halim mundar-mandir tidak keruan.

“Kau siapa?” tanya lelaki itu lagi dengan nada jelek. Gadis itu mendongak menatap wajah Anjang Halim yang sedikit sebanyak sudah berubah rona.

“Saya Fatimah, isteri abang.” Jawab gadis itu dengan nada tersekat-sekat tetapi tiada unsure takut. Hanya terkejut barangkali.

Anjang Halim terkejut lagi. Dia sangat-sangat terkejut sebenarnya. Masakan gadis di hadapannya ini adalah isteri yang baru dinikahi semalam. Mustahil!! Bentak hati kecil lelaki sasa itu.

“Siapa kau sebenarnya? Buruk padahnya kalau kau menipu aku!” keras sedikit suara Anjang Halim ketika itu. Kali ini Fatimah membulat mata melawan pandangan suaminya. Ayahnya tidak pernah mengajarnya takut dengan manusia lebih-lebih lagi jika dia dihina atau dia berada di pihak yang benar.

“Semalam kita bernikah. Malam tadi kita bersama. Masakan abang boleh lupa?” jawab Fatimah tegas. Anjang Halim menggeleng-gelengkan kepala.

“Semalam, memang aku bernikah. Dengan anak gadis Tok Serban Putih, nama isteriku Fatimah. Betul, malam tadi aku bersama dengan isteriku. Lihat..itu ada darah di cadar bukti aku bersama isteriku. Tetapi isteriku bukan kau!” jawab Anjang Halim panjang lebar.

“Kenapa bukan saya?” tanya Fatimah keras.

“Kerana ini??” Fatimah menarik kain batik yang menutupi kepala dan wajahnya. Anjang Halim terdorong ke belakang. Matanya tidak berkelip memandang wajah Fatimah yang menimbulkan sejuta penyesalan di dalam hatinya.

“Sebab saya hodoh?” sambung Fatimah lagi. Anjang Halim spontan mengangguk.

“ Macam mana aku nak tunjukkan kau kepada orang kampung aku? Aku anak penghulu. Aku jejak sahaja kaki ke kampung, seluruh pelusuk kampung  akan tunduk hormat. Tapi dengan muka kau yang macam hantu ni, malu aku!” kasar sungguh hinaan yang keluar dari mulur lelaki itu.

Anjang Halim menjauh dari isterinya. Dia geli dan jelik melihat seraut wajah Fatimah yang cacat. Secara mendadak datang rasa sakit hati terhadap tuan gurunya yang dianggap sudah menipunya.

Wajah Fatimah memang cacat sebelah. Sewaktu dia kecil dulu, ayahnya sering berlawan dengan lanun yang masuk ke dalam kampung samada untuk merompak atau lanun-lanun yang meminta bapanya untuk menyembunyikan harta rampasan mereka di dalam hutan di Gunung Sigalang. Bapanya tidak pernah bersetuju, maka lanun-lanun tersebut  menyerang.

Dan pada satu hari, sebilah pisau tajam yang dibaling lanun bertujuan untuk melukakan bapanya, terpacak di matanya. Biji matanya terpaksa dikorek keluar  sebagai ikhtiar untuk menyelamatkan nyawanya.  Fatimah dapat terus hidup, tetapi kesan dari terpacaknya pisau lanun itu, mata sebelah kirinya tiada. Soket matanya kosong.

Ditambah pula dengan kesan dari tusukan pisau tersebut, meninggalkan parut panjang di wajahnya. Dalam ertikata lain, Fatimah tidak sesempurna imej yang dibayangkan. Seorang gadis yang punya suara merdu dan gemersik, pasti secantik bidadari. Gadis yang tidak pernah diintai lelaki, pasti seorang gadis yang sempurna. Fatimah tidak memiliki imej seperti itu. Tetapi imej itulah yang ada di dalam setiap kepala lelaki anak-anak murid Tok Serban Putih. Malang sekali.

Anjang Halim malu, dia tidak sedia untuk mengakui Fatimah isterinya, malah apa yang telah dilakukan malam tadi dirasakan jijik.

“Patutlah semasa pernikahan semalam kau sorokkan wajah! Memang kau nak perangkap aku kan?“bentak Anjang Halim dengan suara yang ditahan-tahan.

“Saya tak ada niat nak menipu abang. Abang tidak pernah meminta mahu melihat wajah saya sebelum abang bersetuju mahu menikahi saya.” Jawab Fatimah mahu membela diri. Suaranya sudah sedikit meninggi.

Anjang Halim mahu mengamuk pada waktu itu. Kepalanya digosok kasar. Dia seperti orang gila berjalan mundar-mandir di dalam ruang yang tidak begitu luas. Fatimah tetap di birai katil. Kental benar hatinya menahan hinaan dari suami yang telah menyentuhnya.

“Arghh!!” Anjang Halim melepas geram.

Disebabkan rasa hormat anak murid terhadap tok guru yang begitu tinggi, dia tidak pernah meminta mahu melihat wajah Fatimah. Sudah cukup dengan pujian dari kawan-kawan yang mengatakan betapa bertuah dirinya dapat memperisterikan gadis sesuci Fatimah. Dia bangga dengan rasa iri rakan yang lain. Dia bangga dapat menapak setapak lebih jauh dari Syakirin. Tetapi sekarang, dia menyesal dalam ertikata sebenarnya.

“Apapun, saya isteri abang yang sah. Dan sekarang bapa memanggil abang untuk memperkenalkan saya sebagai isteri abang pada rakan-rakan seperguruan abang. Mahu atau tidak, abang bersiaplah.” Kata Fatimah memati tingkah. Anjang Halim terkedu.

Malu!! Semua ini memang memalukan!! Bentak hati lelaki itu. Dia mendengus kasar lalu meninggalkan Fatimah termangu di birai katil. Sebelum dia keluar dari bilik, sempat dia mengugut Fatimah agar menyembunyikan apa yang telah terjadi tadi. Dan dia juga sempat mengarah Fatimah agar menyembunyikan kehodohannya dia hadapan yang lain.

Rasa geram memuncak kepada Tok Seban Putih. Dia tidak dapat redha dengan apa yang terjadi. Baginya tuan gurunya telah menipunya. Masakan layak gadis hodoh seperti Fatimah mahu dibawa pulang ke kampung. Dia anak penghulu, semua ini memalukan keturunannya. Anjang Halim menahan marah yang bukan kepalang. Egonya tercalar disebabkan matanya memandang sesuatu yang tidak disangka, menghapus terus nilai-nilai yang lain yang ada dalam diri gadis itu.

CSI-RAMONA~BAB 31~

BAB 31

“Hasnullll..” suara itu memanggilnya lagi. Kali ini suara itu muncul dekat dengan dirinya tetapi putus di kejauhan. Seolah-olah si empunya suara mula menyebut namanya di cuping telinga tetapi kemudian terbang menjauh menjadikan suara itu menjadi sayup-sayup.  Namun begitu, lingkaran di pinggangnya semakin kejap dan erat.

Hasnul semakin takut. Badannya semakin kuat menggigil. Peluh jantan sudah merembes keluar membasahi baju yang dipakainya. Dalam takut, dia cuba mengamati bunyi lain yang dapat didengarinya. Bunyi yang bercampur-aduk. Bunyi yang tak dapat dipastikan apakah puncanya. Tetapi tetap dia tidak pasti apakah yang ada di sekelilingnya.

Hasnul cuba  memberanikan diri untuk menyentuh sesuatu yang melingkar di pinggangnya. Dalam gelap pekat begitu, dia memejamkan matanya erat. Menggigil tangannya sewaktu mula mahu menyentuh bahagian perut. Semakin dekat tangannya mahu menyentuh, semakin terasa ada sesuatu pula yang yang bersandar di belakang badannya. Sesuatu yang menghembuskan nafas busuk yang tak pernah dihidu oleh Hasnul.

Sesuatu yang melingkari pinggangnya, kini menjalar naik ke bahagian atas badan, menekap di kedua-dua dadanya. Jantung Hasnul berdegup lebih kencang, air matanya sudah mengalir kerana terlalu takut. Dia yakin sesuatu di dadanya itu adalah tangan manusia yang berkuku panjang. Tetapi benarkah manusia?

Keadaan berubah. Angin lembut berhembus membuatkan bau busuk itu semakin meloyakan. Terpejam-pejam mata Hasnul cuba menahan muntah. Dia takut untuk berbuat apa-apa, takut keadaan menjadi semakin buruk. Takut yang memeluknya itu menjadi marah kerana dia termuntah, mana lah tahu benda tu akan rasa seperti terhina lantas dengan mudah menusukkan kuku panjangnya ke dada lalu merobek keluar jantungnya. Jauh Hasnul berimaginasi dalam keadaan takut begitu.

“Kau takut?” suara halus yang bertanya.

Pantas Hasnul mengangguk. Kali ini dia yakin yang sedang erat memeluknya dari belakang itu adalah seorang perempuan. Manusia atau syaitan dia tidak pasti. Walaupun sudah diketahui seorang perempuan yang sedang memeluknya, sedikit pun ketakutannya tidak terhakis.

“Kau mahu memelukku, Hasnul?” tanya suara itu dengan nada menggoda. Hasnul pantas menggeleng kepala.

“Kalau aku mahu bersama denganmu, kau mahu?” tanya suara itu lagi seraya ketawa halus. Sekali lagi Hasnul cepat-cepat menggeleng.

“Betul kau tak mahu?” suara itu mengulang soal. Semakin pantas gelengan kepala Hasnul.

Bukkkk!!!! Belakang Hasnul ditolak kuat sehingga badan lelaki itu terdorong ke depan lalu terjatuh ke tanah. Hasnul mula menangis kerana terlalu takut. Dia masih dalam kedudukan terjatuh tadi dengan kedua lutut menahan badan.

Butang baju Hasnul tiba-tiba terbuka dengan sendirinya pula. Kelam kabut Hasnul bangun mahu memasang semula butang kemejanya. Tetapi tangannya tiba-tiba mejadi kaku. Ada sesuatu yang memegang erat tangannya. Sesuatu yang melekit, busuk dan meloyakan. Dia terpaksa membiarkan baju kemejanya ditanggalkan dari badan. Hasnul menggigil namun kaki dan mulutnya terkunci.

Dia dibiarkan begitu sahaja. Satu minit, dua minit masih tiada apa yang terjadi. Keadaan sekitar sekejap samar sekejap gelap gelita. Airmata Hasnul semakin banyak yang merembes keluar. Dia mahu pulang, mahu berada di samping isteri dan anak-anaknya yang masih kecil. Dia tidak mahu mati lagi, getus suara hati lelaki itu.

“Kau belum lagi mati…tapi aku boleh buat hidup kau begini untuk selama-lamanya,” suara itu mengugut. Dari samar cahaya, hasnul dapat melihat ada sesuatu yang semakin dekat datang padanya. Seorang wanita berkebaya pendek, lengkap dengan selendang labuh yang menutupi sebahagian dari kepalanya. Wanita itu tersenyum mesra. Hilang sedikit rasa takut di hati Hasnul.

“Tolong lah..aku mahu balik. Apa salah aku pada kau aku minta maaf,” Hasnul merayu dalam kekakuan tubuhnya. Wanita itu menghadiahkan sebuah senyuman paling manis, tetapi jika lama merenungnya, pasti naik bulu roma. Ada suatu kebencian dalam senyuman tersebut, ada suatu rahsia dalam pandangan mata wanita itu. Hasnul mengalih pandang.

Wanita itu semakin mendekat. Akhirnya dia berdiri betul-betul di hadapan Hasnul. Bau wangi menusuk ke rongga hidung. Tubuh kaku Hasnul pulih dengan tiba-tiba.

“Kau rasa aku cantik?” tanya wanita itu. Hasnul mengangguk tanpa berfikir. Jari jemari wanita itu sudah mula bermain-main di tubuh Hasnul. Hasnul sempat berkhayal seketika. Ketika wanita itu mencium pangkal tengkuknya, Hasnul mula memejam mata. Senyuman wanita itu semakin lebar.

“Buka lah mata, lihat pada wajahku lagi.” Kata wanita itu dengan nada memujuk. Jari jemarinya bermain-main di bibir Hasnul yang separuh ternganga.

Perlahan-lahan Hasnul membuka mata. Dalam keadaan separuh was-was dan separuh asyik, terbit juga rasa takut di hati Hasnul, mana lah tahu sebaik dia membuka mata yang dapat dilihatnya adalah muka hodoh dan bersopak. Wajah yang menakutkan persis cerita-cerita hantu yang pernah didengarnya.

“Kau bini Rashid kan?” tanya Hasnul setelah menyedari wanita di hadapannya adalah Laila. Laila ketawa mengekek. Dia masih lagi memeluk tubuh Hasnul yang tadinya basah dengan peluh. Dia tidak peduli seluar yang dipakai Hasnul basah dengan air kencing lelaki itu.

“Aku boleh jadi bini kau juga,” kata Laila lemah lembut. Dia mencari bibir Hasnul lalu dikucupnya lembut dan menggoda. Hasnul terpana namun dibiarkan sahaja bibirnya dan bibir Laila bertaut.

Kali ini Hasnul sudah lupa akan ketakutannya. Dia sudah terjerat dengan permainan Laila. Dia sudah masuk dalam perangkap iblis laknatullah. Dia sudah jauh dibawa oleh nafsu melihat kejelitaan Laila, juga sudah lemah digoda wanita itu. Kepalanya mula membayangkan keindahan bersama Laila.

Laila ketawa kuat dan semakin kuat setiap kali Hasnul mencium tengkuk dan pangkal dadanya. Dia membiarkan sahaja perlakuan Hasnul yang sudah kelihatan tidak boleh mengawal perasaan lagi. Hasnul membuka seluar.

“Syyy..” Laila berbisik di telinga lelaki itu, membuatkan Hasnul berhenti dari menggomolnya.

“Kau boleh dapat aku bila-bila kau suka. Tetapi jangan kau ganggu urusan aku. Faham?” lembut tetapi penuh dengan ancaman. Hasnul tidak berfikir panjang, dia mengangguk laju. Kemudian terus diciumnya lagi tubuh Laila. Laila ketawa. Kali ini lebih gemersik dan semakin panjang.

“Kau mahu diriku?” tanya Laila. Hasnul tidak menjawab melainkan hanya menganggukkan kepala.

“Jangan kau tatap tubuhku. Pejamkan mata, nikmat yang aku berikan lebih indah dari kejelitaan yang ada padaku.” Hasnul mengangguk lagi. Laila ketawa. Hasnul mula memejamkan matanya. Ketawa yang keluar dari mulut Laila semakin halus dan memukau. Hasnul menjadi semakin tidak berdaya, dia menjadi lemah digoda begitu.

Laila berubah. Tubuhnya membongkok, wajahnya mula hilang seri. Beransur-ansur wajah dan tangannya menjadi berkedut-kedut. Rambutnya seolah-olah gugur dalam sekelip mata, matanya jauh masuk ke dalam. Kukunya memanjang tetapi dia tetap juga ketawa. Lidahnya menjadi  panjang menjilat-jilat seluruh tubuh Hasnul. Hasnul keasyikan. Di perut, di belakang badan, di tengkuk malah di telinga lelaki itu.

Bibir yang berkerepot itu bersatu dengan bibir Hasnul. Hasnul tidak sedar kulit Laila tidak selembut yang sepatutnya.Tubuh yang bongkok sabut itu memeluk erat tubuh lelaki itu. Hasnul juga membalas dengan pelukan namun dia tetap tidak perasan perubahan susuk tubuh wanita itu. Dia khayal dalam dunia ciptaan syaitan. Dia hanyut dalam nafsu bertuankan iblis.

Hasnul membiarkan Laila memperlakukan apa sahaja pada batang tubuhnya, dia benar-benar keasyikan. Dia tidak mahu apa yang dinikmatinya hilang lenyap jika dia membuka mata. Di dalam fikirannya, sesusuk tubuh langsing dan menggiurkan milik Laila menjadi bahan imaginasinya. Memang benar, tak perlu dia melihat Laila, apa yang dirasakan kini jauh lebih enak berbanding dia bersama isterinya.

Di kejauhan, ada sesusuk tubuh yang sedang memerhati. Di dalam kegelapan, ada sesuatu yang sedang menikmati terperangkapnya seorang lagi hamba Allah yang dengan sendirinya terjerumus di dalam kekalutan hati dan fikiran sehingga memilih jalan hati lalu bertongkat dengan nafsu duniawi.

*****

Pap!!! Satu tepukan kuat di belikat Hasnul. Hasnul terkejut, dengan spontan dia menepis tangan tersebut dengan kasar. Terpacul carutan dari mulutnya. Peluh membasahi wajah Hasnul. Giginya berlaga menahan marah. Wajah Rahmat nampak kecil sahaja di matanya. Mahu sahaja satu penumbuk dilayangkan ke pipi kawannya itu.

Marah benar bila khayalannya diganggu begitu. Hilang sudah wajah Laila. Hilang juga kawasan yang hening dan suram itu. Dia belum bersedia mahu melepaskan pelukan Laila.

“Kau dah kenapa?” tanya Rahmat. Hasnul membiarkan sahaja persoalan Rahmat mati di situ. Dia bingkas bangun lalu pergi begitu sahaja. Orang-orang kampung turut sama bersurai mahu pulang ke rumah masing-masing.

Rahmat menggeleng-geleng kepala kesal dengan sikap Hasnul. Panas baran tak bertempat! Getus hati kecil Rahmat. Rahmat mengelap telapak tangannya ke baju, ada lekit peluh akibat menepuk belikat Hasnul tadi. Pelik juga dia kerana malam itu cuaca tidak panas, dia sendiri memeluk tubuh untuk mengurangkan sejuk angin malam. Tetapi Hasnul berpeluh? Hingga basah baju yang dipakainya. Rahmat malas mahu memikir terlalu jauh, dia sudah mengantuk dan mahu pulang sahaja.

Bukk!!!

Satu tumbukan padu mengena tepat ke dagu Rahmat. Dia terdorong ke sisi sehingga terpaksa menahan dirinya dengan bersandar di batang pokok di tepi jalan. Rahmat menggosok-gosok dagunya yang berasa nyilu. Dia perasan Hasnul di dalam posisi yang mahu menyerangnya lagi.

“Hoi!!! Apa kena dengan kau ni? Dah gila ke?” jerit Rahmat kuat. Dia berharap ada orang kampong yang mendengar jeritannya, namun malang kerana tiada seorang pun yang melewati jalan itu mahu pulang ke rumah. Rata-rata mengikut jalan utama, sedangkan Rahmat mengambil laluan pintas untuk cepat sampai ke rumahnya.

“Apa kena dengan kau ni?” tanya Rahmat keras.

Dia berharap Hasnul akan tersedar akan perbuatannya yang membabi buta itu.  Hasnul hanya tersengeh mengejek. Dia hanya berseluar sahaja ketika itu, entah di mana kemejanya hilang.

Ternyata, Hasnul menyerangnya lagi. Tetapi kali ini Rahmat sudah lebih bersedia. Dia mengelak dan sempat menolak tubuh Hasnul menyebabkan lelaki itu tersungkur ke tanah. Hasnul semakin berang, pantas dia bangun lalu menerjah lagi mahu memukul Rahmat. Sekali lagi Rahmat mengelak. Hasnul ketawa terkekeh-kekeh seolah-olah dia dan Rahmat sedang bermain lawan pedang sewaktu zaman kanak-kanak dahulu.

“Nol..mengucap!!” Rahmat menjerit lagi. Hasnul semakin galak ketawa. Dia masih di dalam posisi mahu bermain-main dengan Rahmat. Sebatang kayu yang agak besar dicapai lalu diacah-acah ke muka Rahmat. Kecut perut Rahmat dibuatnya. Hilang rasa pelik melihat telatah Hasnul, timbul pula rasa takut.

Hasnul melibas, Rahmat mengelak. Libasan Hasnul tidak bercorak, Rahmat terus-terusan mengelak sehinggalah kakinya tersadung pada akar pokok. Dia terjatuh. Hasnul ketawa semakin kuat melihat Rahmat yang sudah berada di dalam genggamannya. Rahmat cuba untuk bangkit tetapi terjatuh semula.

“Tolong!!! Tolong!!” Rahmat akhirnya menjerit meminta tolong. Mendengar jeritan Rahmat, Hasnul ketawa semakin kuat. Tiada siapa yang mendengar jeritan Rahmat. Orang kampung masing-masing sudah pulang ke rumah. Di kampung, jika jam sudah melewati 11 malam, yang ada di luar hanya nyamuk, cengkerik atau hantu sahaja. Yang namanya manusia sudah lama melelapkan mata.

“Hasnul..kau dah gila ke? Aku ni kawan kau lah!!”Rahmat menjerit dengan lebih kuat. Hasnul menjelir-jelir lidah mengejek.

Pakkkk!!!! Libasan kayu tepat mengena di dahi Rahmat. Hasnul mengekek apabila melihat darah memercik keluar seperti paip bocor. Rahmat yang terkejut menekap kepalanya dengan tangan. Habis lengannya bermandi darah. Dia cuba bangun tetapi terjatuh semula. Dia mengengsot menjauhi Hasnul. Hasnul mengacah-acah.

“Hah! Hah!” sambil melibas batang kayu itu ke kiri ke kanan, dia mengagah Rahmat. Kemudian dia mengekek ketawa.

Pakkk!!! Sekali lagi dia melibas batang kayu itu, kali ini tepat mengena di belakang tubuh Rahmat. Lelaki itu tersembam ke tanah. Menggeletik tubuh lelaki itu menahan sakit. Rahmat mengerang lemah. Semakin banyak darah mengalir di lantai belukar itu, membasahi rumput ayam yang banyak menutupi tepi denai. Dia kaku.

Hasnul terlompat-lompat gembira. Dari mulut dan hidung Rahmat keluar cecair likat berwarna merah. Dalam samar cahaya bulan, dapat dilihat nafas Rahmat yang turun naik walaupun lemah. Dia cuba mengungkap sesuatu tetapi yang bergerak hanyalah bibirnya, tiada suara yang keluar. Matanya berkedip-kedip lemah, hanya mampu memandang kosong.

Pakk!! Sekali lagi kayu sebesar lengan dewasa itu mengena tepat di belakang badannya.

Tubuh Rahmat tersentak-sentak. Sakitnya bukan kepalang. Terasa seperti seluruh tubuhnya dihiris-hiris dengan pisau tumpul. Pandangannya semakin pudar. Dia cuba untuk membuka mata namun tiada daya. Dalam nafas-nafas terakhirnya, dia sedar Hasnul melompat-lompat di atas badannya sambil ketawa keseronokan. Allah sahaja yang tahu betapa azab dirasakan ketika itu.

Rahmat tidak mampu lagi bergerak, malah bernafas pun atas ihsan saki baki masanya dia dunia. Selepas hasnul puas melompat-lompat keriangan di atas badannya, lelaki itu menarik kakinya lalu menyeret tubuhnya masuk ke dalam semak samun di tepi jalan. Dalam keadaan luka parah, tubuh Rahmat diseret di atas batu-batu tajam, akar-akar kayu yang berselirat dan juga duri-duri dari tumbuhan menjalar. Rahmat pengsan.

Hasnul meninggalkan Rahmat di situ. Jauh sedikit dari tepi jalan utama tempat penduduk kampung keluar ulang-alik keesokan harinya. Lelaki tidak berbaju itu berlari masuk ke dalam hutan tanpa menoleh sekalipun ke belakang. Entah apa yang difikirkan, entah apa yang merasuk. Entah apa dendamnya pada sahabatnya yang seorang itu. Hanyut dalam bisikan syaitan, penyerahan dan turutan hawa nafsu memutar iman sekelumit menjadi kezaliman.

CSI-RAMONA~BAB 30~

BAB 30

Laila menyinga. Ramona menunduk wajah. Dia takut apabila Laila mengamuk begitu. Dari tadi kepalanya ditunjal-tunjal oleh Laila. Sejak dari tadi juga dia menjeling ke wajah Rashid yang hanya membatu menjadi tunggul kayu langsung tidak berbuat apa-apa. Semakin benci pula dia melihat wajah ayah kandungnya itu. Hanya membiarkan Laila memperlakukan semahunya ke atas dirinya.

“Berapa kali sudah aku pesan? Berapa kali?” tanya Laila untuk sekian kalinya. Ramona tidak menjawab, dia masih lagi menundukkan wajah. Bukan tidak berani mahu melawan Laila, tetapi dia takut kalau-kalau bila nanti dia melawan, wajahnya akan kembali hodoh. Dia takut apa yang dikecapinya kini ditarik balik oleh wanita itu.

“Mona tak kan buat lagi, bu.” Kata Ramona lembut seraya perlahan-lahan mengangkat muka dan memberanikan diri memandang wajah Laila. Laila membesarkan biji matanya sehingga Ramona memejam mata kerana kecut perut.

Laila menunjal kepala gadis itu lagi. Hatinya sakit dan marahnya tidak surut. Kalau boleh mahu saja dia kerat-kerat lidah gadis itu.

“Kau mahu mati?” tanya Laila keras. Ramona pantas menggelang kepala.

“Masa kau hodoh dulu, apa syaratnya?” tanya Laila lagi. Mona mengangguk-angguk kepala tanda dia masih ingat.

“Kau suka dengan budak Shamsul tu kan?”

Ramona terdiam.

“Kau suka kan?” soal Laila lagi. Kali ini suaranya lebih keras.

“Tidak bu, Mona tak suka dia…” akhirnya Ramona menjawab. Suaranya terketar-ketar. Laila yang mendengar jawapan dari Ramona mendengus geram. Jelas dia masih tidak berpuas hati. Kalau tak suka, masakan dia menyelamatkan Shamsul malam tadi. Jika tidak, dengan mudah dia boleh mencucuk Tok Anjang supaya menghalau Shamsul jauh dari kampung, atau melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa. Lebih mudah kerjanya nanti.

“Bu…sakit bu. Sakit kepala Mona ni ibu tunjal-tunjal,” kata Ramona sambil menggosok-gosok kepalanya. Dia memberanikan diri memandang Laila dengan mata bundarnya. Laila turut memandangnya, mata mereka bertemu namun masih tiada senyuman di bibir Laila.

Ramona menarik kedua tangan Laila lalu dicium-cium belakang tangan wanita itu. Mulutnya tak putus-putus meminta maaf. Laila hanya kaku. Beberapa ketika dia membiarkan Ramona meminta maaf, dengan pantas tangannya ditarik sehingga tubuh Ramona hampir tersembam ke lantai.

“Bila kau rasa kau mahu melayan rasa hati kau, kau bunuh aku dulu. Jika tidak, aku yang akan membunuhmu!” kata-kata terakhir Laila sebelum dia meninggalkan gadis itu. Ramona tersandar di dinding pondok menghantar langkah Laila yang semakin menjauh dengan pandangan kosong. Dia menekap tangan di dadanya, cuba mencari detak jantungnya yang memanggil nama Shamsul.

******

“Apa yang kau buat di rumah Tok malam tadi? Apa yang kau tahu?” agak keras pertanyaan yang keluar dari bibir tebal Tok Anjang. Misai tebalnya bergerak-gerak, mungkin dia sedang mengetap gigi menahan rasa.

Shamsul tidak menunduk kali ini. Dia dengan berani dan yakin bertentang mata dengan orang tua itu. Cuma pandangannya dilembutkan, supaya tidak disalaherti sebagai anak muda yang kurang ajar dan biadap. Tok Anjang berkalih pandang, dengan perlahan cawan berisi kopi o panas diangkat dan disua ke bibir.

Kelihatan halkumnya bergerak semasa dia menelan air kopi o tersebut. Kemudian dia mengambil pula sepotong goreng pisang panas, ditenyehnya hujung goreng pisang tersebut ke dalam piring berisi gula lantas digigit, dikunyah lalu ditelan. Dia masih menunggu jawapan daripada anak muda di hadapannya ini. Namun mereka tidak bertentang mata.

“Saya tak tahu apa-apa, Tok.” jawab Shamsul bersahaja. Sememangnya dia sendiri belum sepenuhnya mengerti apa yang berlaku malam tadi. Siapa Tok Anjang, apa kena mengena orang tua ini dengan syaitan bertanduk dia tidak tahu. Maka dalam ertikata lain, dia tidak menipu orang tua itu, kerana itu suaranya bersahaja, langsung tidak dapat ditangkap walau sekelumit gugup dalam nadanya.

Shamsul pula yang memegang telinga cawan lalu disua ke mulutnya. Tok Anjang memerhati tingkahnya, mungkin cuba membaca sikap dan peribadi Shamsul. Atau paling kurang, dia mahu mencari kegugupan melalui bahasa tubuh anak muda berkumis nipis itu.

“Jauh kau berguru?” tanya Tok Anjang menukar topik perbualan.

Shamsul meletakkan cawan berisi air kopi o itu kembali ke atas dulang. Pada masa yang sama, Ramona masuk melalui pintu utama. Shamsul segera berkalih pandang apabila mata mereka berdua bertemu secara tidak sengaja. Ramona cepat-cepat mahu berpatah balik, namun kakinya kaku apabila Tok Anjang menegur lalu mengajaknya sama-sama melayan Shamsul sebagai tetamu. Ramona melangkah perlahan lalu duduk bersimpuh di sebelah Tok Anjang.

“Saya dulu belajar dengan Imam Syakirin, di kaki Gunung Sigalang. Kemudian saya berguru pula dengan Sheikh Ali di Gunung Jerai.” Jawab Shamsul sambil memandang wajah Tok Anjang. Ada kejutan di wajah ketua kampung itu.

“Imam Syakirin, Sigalang Sumatera?” Tanya Tok Anjang dengan nada terkejut. Shamsul mengangguk kepala. Ramona sekadar menjadi pendengar setia.

“Imam Syakirin dulunya berguru dengan Tok Serban Putih,” ujar Shamsul.

Tok Anjang mengambil sepotong lagi pisang goreng lalu disuap ke dalam mulut. Dia lupa pada kebiasaannya yang akan makan pisang goreng bersama gula. Biasanya kalau Mak Mah tidak menyediakan gula di dalam piring, dia akan mengomel panjang. Ternyata Tok Anjang cuba menyembunyikan rasa terkejut yang bukan kepalang.

Tok Anjang akhirnya berdehem kuat. Dia kembali kepada keadaan dia seperti sebelumnya. Shamsul buat tidak peduli sahaja dengan perubahan sikap Tok Anjang. Padanya, memang ada sasuatu yang tidak kena, tetapi dia tidak mahu masuk campur akan sesuatu perkara yang tidak difahami sepenuhnya.

“Dah berkahwin?” Tok Anjang menukar topik perbualan lagi. Ramona cuba mengawal diri mendengar pertanyaan datuknya itu. Dia memandang wajah Shamsul namun lelaki itu tidak langsung mahu membalas pandangannya.

“Saya sudah bertunang, Tok.” Jawab Shamsul agak tersipu.

Ramona yang memasang telinga dari sebalik dinding rumah atas tersentak mendengar jawapan dari mulut Shamsul. Marahnya tiba-tiba mahu meledak memecahkan perut dan kepalanya. Dia tidak faham kenapa dia berasa demikian. Namun apa yang terbit di dalam hatinya seperti gunung berapi yang bila-bila masa akan meletus.

“Kalau tiada aral, bulan hadapan saya akan menikah,” sambung Shamsul dengan wajah bahagia. Sepintas terbayang majah manis Kartini, tunangannya itu. Ada segaris senyuman terukir di bibir Shamsul. Ramona nampak senyuman di bibir Shamsul. Kali ini dia tidak rasa teruja melihat lelaki kacak itu menguntum senyum. Apa yang dirasakan adalah, mahu sahaja dikoyak-koyakkan bibir lelaki itu. Tok Anjang pula hanya mengangguk-angguk kepala.

“Orang mana?” sengaja Tok Anjang ambil tahu.

“Anak saudara Imam Syakirin, Tok.” Jawab Shamsul pendek.

“Kamu balik ke Sumatera?” tanya Tok Anjang lagi. Kali ini dengan nada suara yang memang ingin ambil tahu.

Dengan senyuman dan gelengan kepala, Shamsul menerangkan bahawa tunangnya itu sememangnya duduk diam di kampung sebelah.  Imam Syakirin dan keluarga pula akan sampai di sana dalam  seminggu sebelum majlis nikahnya. Tunangnya itu merupakan anak kepada adik lelaki Imam Syakirin yang sudah lama menetap di Tanah Melayu.

Wajah Ramona berubah sama sekali. Berombak sedikit dadanya menahan rasa yang ditahan-tahan. Ramona cuba mengawal rasa hati yang berkecamuk yang cuba mengubah dirinya. Dia benar-benar tidak tahu apa yang dia rasakan. Tetapi dalam banyak-banyak rasa itu, kebanyakannya adalah rasa marah yang meluap-luap. Mahu sahaja dia merobek tubuh badan Shamsul ketika itu, sama seperti apa yang pernah dibuatnya dengan Zainal dulu. Agar hilang senyuman manis Shamsul yang bukan untuk dirinya, tetapi untuk seseorang yang tiada di depan mata.

Lebih cantik kah perempuan itu dari aku? Lebih jelita dari aku? Kenapa kejelitaan aku tak dapat menundukkan hati Shamsul? Kenapa? Getus hatI Ramona dengan penuh rasa marah. Dia bingkas bangun dan tanpa sepatah kata, terus keluar dari rumah tanpa menoleh walau untuk sesaat.

*****

 

Orang kampung sudah ramai yang berkumpul di serambi surau. Masing-masing mahu menuntut janji dari Tok Anjang berkaitan kes kematian 4 pemuda kampung yang mayat mereka ditemui dalam keadaan mengerikan. Mereka mahukan penjelasan. Mereka juga mahukan jaminan yang kampung mereka masih lagi aman dan damai.

Tok Anjang sudah bersedia untuk memulakan bicara bila mana Malim, seorang pemuda yang tidak berapa siuman menjerit-jerit menuding jari ke arah bumbung surau. Orang-orang kampung masing-masing mendongak mahu melihat apa yang ditudingkan oleh Malim. Namun keadaan malam yang tidak berbintang menyukarkan pandangan mereka. Tidak ada apa di atas bumbung melainkan kegelapan malam.

“Hantu! Hantu!!” jerit Malim kuat.

Beberapa orang tua kampung cuba menenangkan anak muda itu. Ada di antara mereka yang mengesyorkan supaya beberapa orang pemuda membawa pulang Malim ke rumahnya. Tetapi Malim meronta-ronta kuat. Ada juga yang memberi pendapat supaya karenah Malim dibiarkan sahaja sementelah otaknya memang sudah tidak betul sejak isterinya lari dengan lelaki lain beberapa tahun dahulu.

Tok Anjang mengambil keputusan untuk membiarkan sahaja karenah Malim yang sudah semakin tenang selepas dipujuk oleh beberapa orang tua di situ. Dia tidak lagi menjerit-jerit seperti orang ketakutan, tetapi dia tetap tidak betah berdiri setempat seperti yang lain. Pemuda itu ke hulu ke hilir cuba menarik perhatian orang lain supaya melihat ke arah dia melihat.

“Tok…abaikan aje la si Malim ni. Kami nak tahu apa yang Tok janjikan tu,” laung Hasnul dari sebelah kanan kerumunan orang kampung. Tok Anjang berdehem, membetulkan suara sebelum memulakan bicara.

“Tok dah berbincang dengan mata-mata di pekan, butiran mengenai mereka berempat pun dah Tok serahkan pada pihak yang berkenaan. Jadi pihak polis sekarang ni masih lagi menyiasat. Tetapi apa yang Tok boleh beritahu kalian semua, usah khuatir. Bekerja lah seperti biasa tetapi jangan masuk jauh sangat ke dalam hutan,” kata Tok Anjang panjang lebar.

“Jadi, Tok nak kata yang mereka berempat tu dibaham harimau?” tukas Hasnul. Kata-katanya disambut oleh bisik-bisik dari mereka yang lain.

“Bukan begitu..tapi tidak ada bukti yang menunjukkan ada di kalangan orang kampung yang mengamalkan ilmu hitam. Rata-rata penduduk kampung ni terdiri dari orang-orang yang Tok kenal sejak dulu lagi. Sekarang ni sudah ada generasi ketiga dalam setiap keluarga, tak pernah terjadi perkara sebegini sebelum ini.” Sekali lagi Tok Anjang cuba memberi penerangan supaya orang kampung jelas dan tidak bertindak sendiri.

“Tok tak sedar ke, sejak keluarga Tok sendiri bawa masuk orang luar, banyak hal pelik-pelik berlaku di kampung ni. “ pedas kata-kata yang keluar dari mulut Hasnul. Berubah terus airmuka Tok Anjang dibuatnya.

“Tok jangan buat tak nampak perkara ni, Tok. Sejak menantu dengan cucu Tok balik ke kampung ni, macam-macam yang jadi. Kalau ikutkan kawan-kawan saya yang mati tu bukan pertama kali masuk ke hutan menjerat burung. Dari kami remaja lagi dah buat kerja tu. Saya betul-betul tak puas hati!” keras kata-kata Hasnul. Semakin kuat pula bisik-bisik dari orang sekeliling.

Tok Anjang berdehem lagi. Kali ini lebih panjang dan keras.

Tubuh Hasnul pula ditarik ke belakang oleh beberapa pemuda yang lain. Tingkah Hasnul agak melampaui batas walaupun dalam masa yang sama mereka bersetuju dengan kata-kata lelaki itu. Pada mulanya Hasnul cuba melawan tetapi rakannya itu menepuk-nepuk bahunya meminta dia bertenang. Tidak pernah di dalam sejarah, kata-kata Tok Anjang dilawan. Ini lah kali pertama.

Tok Anjang menyambung ucapannya tanpa menghiraukan tingkah laku Hasnul. Kata-kata yang sama juga yang dituturkan. Mengingatkan orang kampung supaya lebih berhati-hati apabila mencari rezeki di dalam hutan. Hasnul yang ditarik ke belakang, duduk di atas pokok kayu tumbang. Dia menghidupkan rokok daunnya, sejurus kemudian asap berkepul-kepul keluar dari mulutnya. Dadanya kelihatan berombak, dia sungguh tidak berpuas hati dengan penjelasan Tok Anjang. Masih terbayang-bayang mayat mereka berempat yang ditindih di dalam lubang kecil dan ditutup dengan dedaun kering. Kerja harimau? Mana mungkin.

Rahmat meminta sebatang rokok dari Hasnul. Kebiasaan bagi pemuda kampung, akan membawa beberapa batang rokok yang sudah siap digulung bila keluar ke mana-mana. Hasnul menghulur sebatang rokok daun dan kemudiannya Rahmat menyalakan api, mereka berdua khayal seketika menikmati  rokok yang terselit di jari masing-masing.

Rahmat tidak mahu memulakan kata. Dibiarkan Hasnul hanyut dalam emosinya terlebih dahulu.

“Aku tak puas hati, Mat! Yang mati tu kawan-kawan kita. Aku yakin bukan harimau punya kerja!”Hasnul melepas amarahnya.  Rahmat terangguk-angguk menyetujui kata-kata Hasnul di dalam diam.

“Habis tu? Kau nak buat apa?” tanya Rahmat kemudiannya.

“Aku nak selidik perempuan yang bekas menantu Tok Anjang tu bawak balik. Tu Haslina tu, cantik semacam. Kau tak rasa pelik?” ujar Hasnul memancing minat Rahmat.

“Hasnah dulu kan memang cantik. Apa yang nak dipelikkan pulak.” Jawab Rahmat selepas diam seketika.

Hasnul memijak-mijak punting rokok daun yang dicampak ke tanah. Dia pernah nampak arwahnya Hasnah dahulu, memang tidak dapat disangkal, Hasnah memang jelita orangnya. Dan dia juga masih ingat cara kematian Hasnah. Masa itu dia masih remaja, memang bersemangat nak membantu apa sahaja. Dan dia masih ingat bagaimana rupa mayat Mak Som.

Bukan tak pernah kampung ini dilanda musibah. Hatinya geram bila melihat telatah orang kampung yang hanya mendengar dan mengangguk kepala mendengar kata-kata Tok Anjang. Apa yang Tok Anjang ucapkan nyata tidak betul, tetapi mereka yang mendengar begitu khusyuk sehingga terlupa kisah Hasnah dan Mak Som dahulu.

“Aku yakin Mat, memang ada yang tak kena.” Hanya itu yang mampu Hasnul ucapkan. Hasnul mencampak punting rokok yang sudah mati baranya ke tanah. Rahmat menggeleng-geleng kepala melihat sikap baran Hasnul.

“Nol..apapun yang kau fikir, kau buanglah jauh-jauh. Yang penting kau jaga perut kau, perut anak bini kau. Jangan la bertindak macam hero kampung lagi.” Rahmat menepuk-nepuk bahu Hasnul sebelum dia bersama-sama dalam kerumunan orang ramai kembali.

Hasnul melepaskan keluhan berat. Dia melihat ke arah surau. Dia merenung dalam wajah Tok Anjang. Dia mendongak mahu melegakan urat tengkuknya. Dengan serta-merta matanya seperti mahu tercungkil keluar, jantungnya seperti mahu pecah. Cepat-cepat dia menahan dirinya dari rebah.

Di hadapan matanya, semuanya lenyap. Tiada lagi dengungan suara Tok Anjang yang tidak putus-putus cuba menyakinkan orang-orang kampung. Tiada lagi laungan suara Malim yang asyik berlari ke sana ke sini menyuruh semua orang memandang ke langit. Malah, surau yang baru saja dibina itu hilang ghaib. Apa yang ada hanyalah dirinya dan juga batang pokok tumbang yang menjadi kerusinya sejak dari tadi.

Hasnul bingkas bangun, dia mencari-cari kelibat mereka yang lain. Dia melaung-laung nama Rahmat dan rakan-rakan yang dia tahu ada bersama-sama orang kampung tadi. Tetapi tiada seorang pun yang menyahut, malah bayang mereka pun tidak kelihatan. Suasana cukup hening sehingga telinga Hasnul menjadi bingit dengan keheningan tersebut. Keadaan yang samar-samar itu akhirnya menjadi hitam pekat hingga tiada apa yang boleh dilihat. Hasnul meraba dalam kegelapan.

Dia tidak tahu dia berada di mana. Pada mulanya dia terpinga-pinga, tetapi selepas menyedari tiada jalan keluar dari tempat itu, Hasnul mula merasa takut. Dia mula menjerit-jerit dengan lebih kuat memanggil nama semua orang yang diingatinya. Tetapi jeritannya tiada sahutan. Tetap juga suasana hening yang menemani dirinya ketika itu.

“Kau Hasnul kan?” satu suara menyapanya. Halus sahaja sehingga meremang bulu tengkuknya. Hasnul terus terkencing tanpa dapat ditahan lagi. Dia tidak mengangguk tidak juga menggeleng. Dia terdiam kaku. Matanya sahaja yang melilau ke kiri ke kanan, tetapi dia takut untuk menoleh.

Ada sesuatu yang meraba kakinya. Dia tahu, dia yakin dia tidak sekadar berperasaan begitu. Kalau dibayangkan, seolah-olah jari jemari yang berkuku panjang sedang masuk di dalam seluarnya lalu meraba-raba betis dan juga pahanya. Dia semakin kecut perut. Benda apakah yang sedang merayap di dalam seluar dan sekarang sudah melingkar di pinggangnya?

Hasnul masih kaku, hanya kakinya yang menggeletar tetapi dia tidak tahu mahu lari ke mana. Kiri kanannya gelap gelita, dia tidak dapat mengecam jika kawasan itu ada pokok-pokok besar atau dia dikelilingi semak samun atau dia berada di kawasan lapang yang luas. Tiada hembusan angin, tiada geseran dedaun pokok tetapi telinganya dapat mendengar bunyi-bunyian yang datang dari semua penjuru.

CSI-RAMONA~BAB 29~

BAB 29

Kecoh!!

Satu kampung kecoh dengan penemuan empat mayat manusia di tepi hutan. Masing-masing berduyun-duyun meninggalkan pekerjaan masing-masing lalu menuju ke surau. Tok Anjang mengarahkan mayat yang sudah perut itu dibawa terus ke surau sementara menunggu pegawai polis sampai dari pekan.

Tok Anjang sudah tidak senang duduk. Keluarga Zaki, Zainal, Rahman dan juga Safuan masing-masing sudah mengesahkan mayat-mayat tersebut adalah mereka yang hilang sebulan yang lalu. Namun, keputusan polis adalah muktamad. Tok Anjang menunggu pegawai polis dengan rasa tidak sabar.

Akhirnya, selepas satu jam menunggu, muncul Malik bersama dengan pegawai polis yang menggantikan Ahmad Roni yang sudah pun pencen. pegawai polis itu bersalaman dengan Tok Anjang dan seorang dua orang tua kampung sebelum dibawa ke tempat mayat-mayat tersebut berada.

Kain dibuka satu persatu membolehkan pegawai itu melihat dengan jelas keadaan mayat-mayat tersebut. Pegawai ini juga yang dibawa dari pekan semasa mayat Latif dijumpai dulu. Seminggu selepas itu, dia juga yang datang untuk mengecam mayat Cik Ros yang dari keadaan kecederaanya itu, Cik Ros dikatakan mati kerana terjatuh dan kepalanya menghentak batu.

“Banyak kes kematian di kampung ni ye Tok,” ulas pegawai polis itu sambil mengeluarkan buku catatan. Tok Anjang mahu menjawab, tetapi niatnya dipotong kerana pegawai polis itu menyambung kata.

“Dalam satu bulan, ada enam kematian yang mengerikan. Ada apa sebenarnya yang berlaku ni Tok?” pegawai polis itu memandang wajah Tok Anjang dengan pandangan yang sukar dimengertikan. Tok Anjang berdehem.

“Semuanya kebetulan, Tuan. Mereka berempat ni hilang di dalam hutan semasa nak memikat burung. Saya boleh jamin tak ada unsur jenayah dalam kejadian ni, Tuan.” Jawab Tok Anjang dengan nada tegas. Pegawai polis itu menganggukkan kepala tanda faham.

“Kalau macam tu, saya akan buat laporan kematian ni sebagai kematian mengejut.” Putus pegawai polis itu.

Tok Anjang mengucapkan terima kasih, kemudian mengarahkan supaya Malik menghantar balik pegawai tersebut ke pekan. Orang-orang kampung yang selebihnya diarahkan untuk memulakan penyediaan untuk majlis pengkebumian pemuda-pemuda malang itu.

Ramona turut hadir, dia memberi semangat kepada keluarga si mati. Ada di antara kaum keluarga yang datang meluahkan isi hati. Kepada yang wanita, mereka akan memeluk Ramona dengan erat, kepada yang  lelaki pula, cukup apabila Ramona menghadiahkan senyuman dan meminta mereka supaya bersabar. Masing-masing rasa lapang hati melihat tingkah gadis itu. Ramona sempat menoleh ke arah datuknya, yang pada masa sama memandang kagum kepada cucu tunggalnya itu. Rasa bangga memekar di dalam hati orang tua itu.

Kerja-kerja pengebumian jenazah berjalan lancar walaupun pada mulanya menghadapi kesukaran kerana rata-rata yang menguruskan mayat-mayat tersebut akan muntah-muntah. Mereka yang muntah akan diganti pula dengan orang baru, tetapi tetap juga melalui fasa yang sama. Manakan tidak, ulat-ulat yang memenuhi soket mata yang sudah kosong itu menguit-nguit keluar.  Begitu juga ulat-ulat yang memenuhi rongga hidung, mulut dan telinga.

Semakin dijirus semakin banyak yang keluar, merayap-rayap di kaki dan lengan mereka yang menguruskan. Kalau satu mayat pun sudah rasa mahu pengsan mahu bertahan dengan rasa ngeri dan loya, inikan pula perlu menguruskan empat mayat yang sudah mereput dan tercerai-cerai daging dari tulang.

Belum lagi bau busuk yang dapat dicium. Lagi-lagi semasa urusan memandikan tersebut, angin agak kuat bertiup membawa bau busuk itu lebih jauh lagi. Setiap yang menghidu pasti terjeluak mahu muntah.

*****

“Abang Shamsul ni berani ya?” Ramona bertanya sambil tersipu-sipu malu. Shamsul yang mendengar pertanyaan Ramona hanya ketawa kecil.

“Apa yang buat Lina kata abang ni berani?” tanya Shamsul kembali. Ramona ketawa kecil cuba menutup rasa malu.

Pada waktu itu mereka bertembung lagi. Kali ini Shamsul memang mahu ke rumah Tok Anjang, manakala Ramona pula sedang berjalan-jalan mengambil angin petang. Mereka bertembung di tengah jalan. Pada mulanya Ramona sengaja buat tidak perasan, dia pura-pura sibuk melihat burung-burung yang sedang berkicau di atas dahan pokok. Shamsul yang menegurnya terlebih dahulu.

Selepas saling menegur, Ramona berpatah balik mahu menemani Shamsul berjumpa dengan datuknya. Mereka berbual mesra. Walaupun Shamsul masih ingat apa yang dikatakan oleh Rahim, dia masih melayan Ramona dengan baik. Selagi tiada bukti nyata, masakan dia mahu percaya gadis secantik dan sejelita Ramona sejahat syaitan. Mana mungkin.

“Semasa mayat-mayat tu dijumpai, Lina dengar abang saja yang sanggup bawa mereka ke surau.” puji Ramona lembut.

“Itu bukan namanya berani, tapi itu kewajipan, hukumnya fardu kifayah untuk kita menguruskan jenazah orang yang meninggal dunia.” Terang Shamsul dengan nada lembut.

Ramona tersenyum mendengar penjelasan lelaki dambaan hatinya itu. Suara Shamsul yang agak garau kedengaran sangat merdu di telinganya. Dia menjeling tangan Shamsul yang berurat dan kelihatan sasa, dia berasa geram. Dia mahu dirangkul Shamsul. Jauh Ramona dibawa khayal.

“Lina suka berbual dengan abang. Dalam apa perkara pun, abang nampak hebat.” Puji Ramona lagi. Langkahnya terhenti, begitu juga dengan langkah Shamsul. Mata mereka bertaut. Shamsul menerima pujian tersebut dengan menguntum senyum.

“Abang pun suka berbual dengan Lina.” Jawab Shamsul tanpa berfikir panjang.

*****

Shamsul tidak tunggu lama, dia menerjah masuk ke dalam rumah sebelum pintu kayu tertutup rapat. Rashid yang berada di beranda rumah, memeluk lutut dengan tubuh menggigil. Giginya terkancing rapat, renik-renik peluh muncul di dahi, ada yang meleleh ke leher dan membasahi kolar bajunya.

Shamsul cuba membuka pintu rumah namun tidak berjaya. Selepas beberapa kali percubaan, dia rela mengaku kalah. Dibiarkan sahaja dirinya seoalah-olah dikunci di dalam rumah oleh satu kuasa yang cuba menembusi benteng imannya. Anak muda itu tidak henti berzikir sambil mengatur langkah perlahan di dalam rumah Tok Anjang.

Kelibat Tok Anjang dan juga Mak Mah masih tidak kelihatan. Waima mereka masih belum menyedari apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Shamsul menyalakan lidi mancis untuk membantu dia melihat.

Mujur nasibnya baik, ada pelita ayan di atas meja kayu. Dengan pelita itu pula dia menyuluh rumah besar Tok Anjang itu. Akhirnya dia meletakkan pelita di tengah ruang tamu, dia melabuhkan punggung lalu duduk bersila dengan badan tegak menghala ke pintu bilik utama. Dia dapat mendengar bunyi dengkuran Tok Anjang, dia yakin itu lah bilik utama di rumah itu.

Dia melagukan bacaan surah 3 Qul, begitu juga dengat ayatul Kursi lalu dihembus berulangkali ke arah pintu bilik tidur Tok Anjang. Mulutnya masih terkumat-kamit melafaz zikir. Tiada apa yang berlaku. Keadaan tetap sama seperti sewaktu dia mula masuk ke dalam rumah tadi.

Shamsul memperkemas silanya. Dia seolah-olah sedang menunggu dirinya diserang. Matanya dipejamkan, dia cuba untuk melihat situasi bukan dengan pandangan matanya, tetapi melalui mata hatinya.

Tiba-tiba dia menoleh ke kiri, tangannya seperti menolak sesuatu.

Dummm!!! Laila tersungkur selepas menghentam dinding. Dia ketawa berdekah-dekah. Entah dari mana dan bagaimana dia muncul, begitu lah dia lesap bersama tawanya.

Krekkk!!Krekkkkkkkk!!

Bunyi keriut daun pintu bilik utama terbuka sedikit dengan sendirinya. Sedangkan tadi Shamsul sudah cuba untuk membukanya namun tidak berjaya. Malah tidak bergerak walau seinci bila daun pintu itu ditolak dengan bahunya, seakan-akan dia sedang menolak bongkah besi.

Bammm!!! Daun pintu yang terbuka tiba-tiba menghentam dinding.

Shamsul mengecilkan biji matanya. Sukar untuk dia melihat ke dalam bilik, api dari pelita juga semakin mengecil, mungkin minyak apinya sudah semakin kurang. Ditambah liuk api yang sekejap ke kiri sekejap ke kanan ditiup angin luar membuatkan darjah penglihatannya semakin kurang.

“Kenapa kau masuk campur hah?” satu suara menjerit di cuping telinganya. Shamsul semakin merapikan zikirnya. Dia tahu ada sesuatu berlegar-legar di belakangnya, namun benda itu tidak akan dapat mencuit rasa takutnya.

“Kau tak takut mati?” suara itu garau. Suara itu jauh ke dalam. Suara itu mampu menyentak jantung orang yang mendengarnya. Suara itu sangat-sangat berbeza daripada suara manusia.

Shamsul membaca ayat-ayat yang diajar oleh tuan gurunya dahulu. Tangannya dinaikkan ke atas melepasi kepalanya, dengan jeritan Allahuakbar, dia menepuk lantai. Serentak keadaan di dalam rumah seperti dilanda badai. Kerusi meja berterbangan menghempas dinding.

Ha!Ha!Ha! suara garau itu ketawa mengejek.

“Aku sudah tahu apa yang akan kau lakukan, wahai manusia. Kekuatan kau hanya sebesar hama, balik lah. Apa yang ada di dalam rumah ini milik aku. Kau balik lah,” kata suara garau itu lagi. Suara itu seoalah-olah hanya bergema di cuping telinga Shamsul sahaja.

“Aku mahu Tok Anjang,” ujar Shamsul cuba menjual.

“Dia milik aku!” bentak suara garau itu. Bergegar tiang seri rumah dibuatnya.

“Kenapa?” Shamsul bertanya kembali. Nadanya tegas.

Sekali lagi suara itu ketawa. Kali ini beserta derap langkah kaki yang datangnya dari hujung ruang atas rumah itu. Lantai rumah berkeriut-keriut setiap kali bunyi tapak kaki itu kedengaran.

“Dia milik aku, anak muda. Sama seperti perempuan itu, mereka semua milik aku!” kata suara itu lagi.

Di hujung kata-kata itu, satu susuk tubuh muncul dalam kesamaran malam. Keadaan malam semakin gelap pekat. Tiada langsung bantuan cahaya bulan di dada langit. Hanya berpandukan cahaya pelita yang semakin malap, Shamsul dapat melihat dengan jelas susuk tubuh bertanduk dua itu.

Silanya dikejapkan, walau hatinya sedikit terganggu melihat makhluk itu, namun sedaya upaya dia menetapkan hatinya dengan zikir yang semakin rancak bergema di dalam hati. Makhluk itu hanya berdiri sahaja memandangnya. Shamsul mengalih pandang, dia tidak mahu bertentang mata dengan syaitan laknatullah itu. Dia sedar sebagai manusia biasa, banyak kelemahannya. Dia hanya bermohon kepada Allah yang maha berkuasa dari sekalian makhluk di bumi ini.

“Aku tak mahu berunding dengan kau. Kau serahkan Tok Anjang dan juga Mak Mah, sebelum aku musnahkan kau dengan kalimat Allah!!” Shamsul separuh menjerit.

Makhluk bertanduk dua itu ketawa lagi.

“Laila!!!” makhluk itu tiba-tiba menjerit. Suaranya yang garau dan jauh di dalam tenggorok itu terlalu menakutkan untuk digambarkan dengan kata-kata.

Serentak dengan itu, api pelita terpadam. Angin yang tadinya kuat menerjah dinding dan tingkap rumah menjadi hening. Suasana terlalu sunyi. Tiada satu pun bunyi cengkerik atau katak puru yang biasanya membingitkan gegendang telinga. Awan pula seperti merancang sama, menutup bulan sepenuhnya. Gelap gelita, sunyi sepi dan hening yang menaikkan bulu roma.

Selang beberapa ketika, sesuatu yang besar seperti sedang melekap di dinding dan bergerak ke sana ke mari. Makhluk itu pantas. Shamsul cuba lebih mengamati, tetapi bunyi geseran papan dinding itu terlalu pantas, sekejap dia rasa bunyi itu di sebelah kanan, sekejap di kiri. Ada ketikanya dia merasa ada nafas yang berhembus di belakang tengkuknya. Berpeluh Shamsul jadinya, seperti mahu sahaja dia lari tetapi walau berpuluh kali dia mengerdipkan kelopak matanya, keadaan tetap sama. Dia seperti terperangkap di dalam peti yang tertutup rapat, tiada segaris cahaya yang dapat membantunya melihat  sekeliling.

Haaaaaaa~

Kali ini satu suara halus berbisik dari belakang tubuhnya. Dia berpaling, tetapi keadaan sama sahaja, tetap hitam pekat tanpa sebarang samar cahaya. Shamsul memperkemas bacaan zikirnya. Dia pasti apa yang didengar tadi cuba untuk mengganggu kosentrasi dan pegangannya.

Hiiii hii hii hihiiii~~

Suara itu mengekek ketawa. Halus sahaja tawanya. Tidak panjang dan tidak pendek. Tetapi cukup membuatkan seluruh penduduk kampung lari lintang pukang jika mendengarnya. Tawa yang jika didengar, pasti akan ada yang jatuh terjelepuk lalu pengsan. Suara yang sangat gemersik, halus, beritma dan matinya dengan tarikan manja, seperti sedang mengejek atau menyindir. Ketawa yang pada 3 saat pertama akan membuatkan kita terpaku dan khayal, tetapi saat-saat berikutnya, seolah-olah yang ketawa itu sedang berada betul-betul di tepi cuping telinga. Bayangkan saja sudah boleh meremang bulu roma, inikan pula jika mendengarnya ketawa dan ketawa.

“Abang Shamsul! Apa abang buat ni?” Ramona menyergah dari muka pintu rumah. Dia melangkah pantas menuju ke arah Shamsul yang masih duduk bersila. Keadaan di dalam rumah berubah serta-merta, seperti  sediakala. Keadaan cuaca yang suram dan berangin kuat, menjadi seperti malam-malam biasa. Shamsul agak terkejut dengan sergahan mengejut itu lalu segera bangkit membetulkan kaki seluar.

Dari dalam bilik, terdengar suara Tok Anjang berdehem kuat. Shamsul jadi serba –salah. Kalau diikutkan hukum, dia sememangnya bersalah kerana masuk ke dalam rumah orang tanpa izin. Walau apa niat sebenarnya, dia tetap bersalah.

“Ada sesuatu terjadi, Lina. Tapi abang tak dapat nak jelaskan.” Ramona menjeling Shamsul dengan pandangan mata yang sangat tajam. Beberapa langkah di belakang Ramona, terlihat kelibat Rashid yang membatu diri tidak berkata walau sepatah.

Ramona pantas mendapatkan neneknya yang terpisat-pisat keluar dari dalam bilik. Mak Mah yang terpinga-pinga melihat ramai yang berkumpul di ruang tengah rumah, memandang Ramona dengan persoalan yang tak terluah. Sejurus selepas itu, Laila muncul dari dapur dengan senyuman lebar di bibir sambil menoleh sekilas ke arah Shamsul. Dia mendapatkan tangan Rashid lalu dirangkulnya mesra.

“Ada apa semua ni?” Tok Anjang yang muncul dari belakang Mak Mah bertanya tegas. Matanya ditala ke setiap satu wajah di depannya. Shamsul ingin membuka mulut tetapi hanya separuh jalan apabila Ramona cepat-cepat mencelah.

“Tak ada apa-apa, Tok. Lina yang minta abang Shamsul temankan pulang kerana hari sudah jauh malam.”

Shamsul menelan air liur. Bahana apa pula yang cuba diolah oleh cucu tok ketua ini. Namun begitu Shamsul hanya mampu mendiamkan diri. Takut jika dia mencelah hanya menjerat diri sendiri.

Ramona menghadiahkan senyuman paling manis kepada Shamsul dan Tok Anjang. Shamsul tetap berdiam, tetapi di dalam hati dia masih tertanya-tanya sendiri apa olah yang mahu dibuat Ramona. Pasti ada sesuatu yang akan ditagihkan nanti. Namun begitu, dia membalas senyuman Ramona dengan segaris senyuman di bibir. Tok Anjang hanya memerhati. Tajam sungguh pandangan orang tua itu.

“Kamu ke mana saja? Jauh malam baru pulang!” sergah Tok Anjang kepada gadis itu pula. Ramona hanya tertawa kecil, kali ini lengan Tok Anjang dirangkulnya lalu kepalanya dilentokkan ke dada orang tua itu. Wajah Tok Anjang berubah serta-merta. Nampak air mukanya menjadi lembut dengan telatah Ramona.

“Lina dah biasa berjalan-jalan ambil angin segar. Tak jauh pun. Tapi kalau Atok terus marah-marah, Lina tak buat lagi,” lembut tutur kata Ramona memujuk amarah Tok Anjang. Lelaki tua itu berdehem lalu ubun kepala Ramona diusapnya lembut. Laila yang memerhati saja dari tadi mengukir senyuman melihat kehebatan Ramona menundukkan Tok Anjang.

“Sudah la tu bang. Shamsul, Mak Mah ucapkan terima kasih kerana tolong hantarkan Haslina ni.” Mak Mah membuka mulut. Shamsul hanya mampu mengangguk. Dia cuba mengukir senyuman namun terasa janggal. Dia mengerling ke arah Laila yang kebetulannya sedang merenung tajam ke arahnya. Shamsul mengalihkan pandangan, dia tidak mahu keadaan menjadi kecoh semula. Kali ini dia mengalah.

“Tok Anjang, Mak Mah..saya beransur dulu lah ye.”

Shamsul meminta diri. Tok Anjang tidak berkata apa, Cuma Mak Mah yang mengangguk kepala. Mereka yang lain menghantar langkah Shamsul dengan ekor mata.

“Jumpa Tok siang hari nanti.” Pesan akhir dari Tok Anjang. Shamsul mengangguk seraya memberi salam. Langkah Shamsul diiring dengan suara burung hantu yang sahut-menyahut.

CSI-RAMONA~BAB 28~

BAB 28

“Syaitan boleh berselawat?” tanya Kasim.

“Syaitan boleh berbuat apa sahaja untuk mengabui hati kita. Sekarang, benteng kita sudah runtuh. Zikir sudah terhenti.” Jawab Shamsul.

“Ini…ikatan kainnya terbuka.” Kata salah seorang dari pemuda-pemuda itu. Shamsul mengangguk kepala.

Serentak dengan kata-kata pemuda itu, tubuhnya tersentak ke belakang lalu diseret hilang di dalam kegelapan. Mereka yang lain pantas berpelukan. Tidak ada seorang pun yang berlari keluar cuba menyelamatkan pemuda tersebut. Suara garau itu kedengaran ketawa lagi. Hanya jasadnya tidak kelihatan.

“Allahuakbar!!” jerit Nasir. Wajahnya sudah pucat lesi. Kalau ditoreh nescaya tidak berdarah. Dia mencari tangan Rahim lalu digenggamnya kuat.

“Astaghfirullah al azim!!” kalut Kasim beristighfar.

“Ya Allah!!” ucap Ramli pula sambil mengundur ke belakang.

Sekali lagi di tengah-tengah mereka, pemuda dengan wajah mengerikan itu muncul secara tiba-tiba lalu ketawa mengejek.

“Peluk lah aku lagi. Peluk macam tadi,” katanya dengan lenggok bahasa yang sangat sinis dan mengejek. Dia menyambung ketawa.

“Atau..kamu semua masih mahu berzikir?” dia berbisik ke telinga Borhan dan juga Kasim. Sekelip mata tubuhnya berpindah. Bisikannya itu didengari oleh setiap mereka, seolah-olah dia berbisik di cuping mereka semua.Tujuh orang pemuda kampung, yang tegap-tegap badan mereka masing-masing terkencing di dalam seluar, kecuali Shamsul.

“Mahu aku tunjukkan jalan pulang?” suara garau yang bertanya itu benar-benar dekat dengan cuping telinga masing-masing.

“Zikir..” suara itu menyuruh mereka berzikir dengan nada mengejek.

“Zikirlah..aku mahu dengar,” dia langsung ketawa besar. Satu pohon besar bergegar secara tiba-tiba. Keadaan sudah menjadi semakin gelap. Bunyi dahan, daun dan ranting yang bergeseran akibat digoncang kuat membuatkan hati semakin dijeruk ketakutan.Pemuda kesepuluh itu kemudiannya lenyap.

Shamsul terus bersila di atas lantai hutan. Matanya dipejamkan. Rakan-rakannya yang lain ikut bersila. Mereka tidak peduli apa yang merayap di lantai hutan yang basah itu. Kain ikat kepala disambung semula. Mereka duduk bersila menjadi satu bulatan.

Tiada siapa yang mengarah mereka berbuat demikian. Hanya desakan naluri dan rasa takut yang mendorong mereka untuk berasa selamat. Tetapi masing-masing sudah kotor dengan air kencing sendiri.

“Aku nak pergi cari Si Samad,” ujar Rahim. Dia bingkas bangkit. Samad, adalah pemuda yang hilang ditarik oleh sesuatu tadi. Hilang di dalam kegelapan, entah tersangkut di celah-celah pokok renek atau terperosok di celah akar-akar kayu.

“Rahim…duduk!” tahan Kasim.

Dengan keadaan hutan yang semakin gelap, hujan masih lagi turun dengan lebat, dengan tidak boleh menghidupkan api jamung, masakan Samad boleh dicari. Jejaknya juga tidak mungkin kelihatan kerana aliran air hujan yang deras akan menutup setiap jejak yang ada.

“Rahimmmm…Abang Rahimmm..” satu suara halus yang gemersik dan mendayu memanggil-manggil nama Rahim. Suara yang boleh mencairkan hati keras seorang lelaki. Kesemua mereka menunduk kecuali Rahim dan juga Shamsul. Shamsul masih dengan ayat-ayat Al-Quran yang dibaca tidak henti-henti. Dia memfokuskan jiwanya untuk sebati dengan kalimah-kalimah suci Allah itu.

Cuma Rahim, dia terpanggil untuk melihat siapa gerangan wanita yang memanggilnya.

Di celah perdu pokok merbah, hanya beberapa meter dari tempat mereka berkumpul, dia dapat melihat sesusuk tubuh wanita sedang melambai ke arahnya. Rahim tersenyum.

“Iem..kau dah kenapa? Syaitan tu Iem!” keras suara Ramli cuba menyedarkan Rahim dari dilekakan oleh wanita itu. Namun Rahim tidak peduli. Dalam keadaan gelap begitu, matanya masih boleh melihat wajah wanita tersebut. Manis dan mesra.

Ramli memberi isyarat mata kepada Kasim. Lelaki bertubuh tinggi dan berbadan tegap itu lantas bingkas bangun lalu secara drastik melepaskan satu tumbukan padu ke pipi kanan Rahim. Rahim terpelecok kakinya kerana menahan hentaman secara tiba-tiba itu. Dia lantas terjelepuk kembali ke tanah. Pengsan.

Kasim sempat menoleh ke arah perdu pokok merbah itu. Kali ini dia dapat melihat wajah wanita tersebut. Wajah yang penuh dengan sopak, bibir terjuih, dengan sebahagian hidungnya sudah rompong. Kepalanya sedikit terteleng ke kiri. Elok sahaja Kasim mengerdipkan kelopak matanya, wanita itu terus lenyap bersama dengan hilaian tawa yang panjang dan mendayu. Kasim tercari-cari kelibat wanita itu.

“Abang Kasim sudah rindu pada aku?” tiba-tiba satu suara datangnya dari atas kepala mereka bertanya. Enam kepala serentak mendongak ke atas. Sesuatu menyapu wajah mereka. Terasa halus kasar dan menggelikan. Tetapi mereka berenam menjadi asyik. Maka mendongak lah mereka untuk beberapa ketika sehinggalah satu panahan petir mencerahkan dada langit.

Ramli terus jatuh pengsan. Borhan lari lintang pukang manakala yang lain melongo mulut seperti dipukau oleh ketakutan. Apa yang membuatkan mereka asyik tadi adalah disebabkan olesan dari juntaian rambut yang sangat panjang jatuh dari dahan pokok yang merentangi tempat mereka berkumpul. Ada sesusuk tubuh yang sedang bertenggek di atas dahan tersebut dengan menjatuhkan rambutnya yang panjang.

Cahaya dari kilat yang sesekali memancar di langit membolehkan wajah wanita itu kelihatan walaupun hanya untuk sesaat dua. Wanita yang sama yang muncul di perdu pokok dengan memanggil nama Rahim tadi.

Hujan sudah berhenti. Hanya guruh masih sesekali berbunyi, begitu juga dengan kilat yang masih lagi memancar di sana sini. Keadaan hutan sudah menjadi gelap gelita. Jika tiada kilat yang sesekali memancar, tiada satu ranting kayu pun yang boleh dilihat.

Secara tiba-tiba, bunyi ranting-ranting patah dipijak kedengaran semula. Shamsul membuka mata lalu diperhatikan sekeliling. Dia melihat rakan-rakannya yang lain sudah semakin jauh jiwa mereka. Tiada apa yang boleh diharapkan lagi.

Kreekkk..kruppp..kreekk..kruppp..

Bunyi ranting patah semakin jelas. Tetapi masih tiada apa yang muncul. Shamsul menanti seketika. Kemudian, beberapa ranting kayu kecil mengenai badannya, bukan sahaja badan malah kepalanya juga menjadi sasaran. Kalau bukan sebarangan orang, sudah lama lari kerana ditakutkan begitu.

“Hah!!!” satu sergahan kuat dekat dengan cuping telinganya. Suara hilaian wanita di atas pokok juga serentak kedengaran.

“Aku tunjukkan kau jalan pulang…” kata suara yang menyergahnya tadi.

“Aku boleh cari jalan sendiri. Bukan kau saja yang boleh membantuku. Allahuakbar!” jawab Shamsul dengan nada tegas. Suara itu ketawa mengejek.

“Kawan-kawan kau dah lama mati..tak guna kau cari.” Kata suara itu lagi. Suara itu jelas cuba mempengaruhi pertimbangan Shamsul.

“Hidup dan mati mereka bukan di tangan kau!” balas Shamsul keras.

Suara itu ketawa dengan lebih kuat. Suara yang bukan sahaja mengejek tapi penuh dengan nada bongkak. Jasadnya masih tidak kelihatan, hanya suaranya yang bergema di segenap pelosok hutan. Sehingga bunyi katak juga hilang. Bunyi cengkerik diam. Nyamuk juga seolah menjauh. Selain dari suara makhluk itu, seluruh isi hutan berdiam diri.

“Kalau benar pun mereka sudah mati, aku mahu bawa pulang mayat mereka. Jadi jangan kau halang kami!” sambung Shamsul tanpa rasa gerun.

Keadaan menjadi hening. Tiada satu bunyi yang kedengaran. Dedaunan juga tidak bergeseran, angin seolah-olah mati. Shamsul menepuk belakang kawan-kawannya, mereka terpisat-pisat seakan baru bangun dari tidur. Belum sempat mereka bertanya, ada sesuatu yang sedang berlaku tetapi tidak dapat diketahui dari arah mana punca bunyi tersebut.

Zapppp!!! ada sesuatu yang menderu secara tiba-tiba di atas kepala mereka. Dalam gelap mereka spontan mendongak. Hening seketika.

Bukk!! Bukkk!

Mereka melihat sekeliling pula, mengharapkan akan tahu apa yang sedang berlaku. Cahaya dari kilat yang memancar menampakkan ada sesuatu yang jatuh dari langit. Mereka sempat saling berpandangan sesama sendiri.

Buk!! krek!!

Satu benda  berat jatuh di tengah-tengah bulatan. Bunyinya seperti gugurnya buah durian yang besar.

Dumm!! Guruh berbunyi kuat beserta kilat sabung menyabung.

Nah..di hadapan mata masing-masing, sekujur tubuh manusia yang sudah mereput, hanya yang tinggal isi daging yang sudah luruh dan berserakan di beberapa tempat. Tulang tengkuknya terkehel kerana terhentam akar pokok yang besar. Tangan dan kakinya terlipat. Bau busuk mula menular di segenap penjuru hingga masing-masing menekan perut menahan muntah.

Shamsul menghentak kedua telapak tangannya ke tanah yang becak dengan melaungkan Allahuakbar sekuat hatinya. Suara garau itu ketawa buat kali terakhir sebelum satu cahaya menerangi sekitar. Dan di satu kawasan, cahaya itu lebih terang dari kawasan yang lain. Jelas kelihatan satu denai yang jelas sering digunakan orang.

Datangnya cahaya itu, maka lebih jelas lagi kelihatan longgokan sesuatu yang tidak jelas mahu dilihat sebagai apa. Tetapi bau busuk semakin kuat. Angin yang sudah mula bertiup kembali menghantar bau busuk dan meloyakan itu masuk ke rongga hidung dan tekak mereka di saat mereka menarik nafas.

Katak dan unggas rimba mula bersenandung. Shamsul mengarahkan mereka bangun dan lekas-lekas mengikut denai yang masih jelas kelihatan itu. Mereka menurut. Rahim dan Ramli yang masih lagi pengsan ditinggalkan sahaja, begitu juga Samad yang telah lama hilang dari pandangan. Kelibat Borhan yang tidak kelihatan juga dibiarkan, tidak dicari sama sekali.

Rangka manusia itu juga ditinggalkan. Sebelum cahaya itu hilang, mereka perlu keluar dari tempat itu untuk mendapatkan bantuan orang kampung. Jika ditunggu, entah apa lagi yang akan berlaku. Memandangkan malam baru sahaja membuka tirai. Masih lama mahu menunggu mahatari.

*****

Petang keesokannya, kesemua mereka ditemui. Samad terperosok tidak sedarkan diri di dalam belukar senduduk. Dia adalah orang terakhir yang ditemui oleh penduduk kampung. Itu pun setelah mereka yang lain berjaya dijumpai.

Orang pertama yang mereka jumpa adalah Borhan. Lelaki itu sedang duduk dengan memeluk tubuh di sisi Rahim dan Ramli yang masih belum celik mata. Nampak jelas Borhan dalam keadaan terkejut, takut dan hilang arah.

Manakala Rahim dan Ramli, terpaksa dikendong untuk dibawa pulang ke kampung. Sebenarnya mereka berada bukan di tengah hutan tebal, hanya hutan belukar di pinggir kampung sahaja. Kalau diikutkan, tempat mereka berpusing-pusing sepanjang petang semalam hanya lebih kurang 100 meter dari kebun pisang Wak Ali, bermakna hanya lebih kurang sekitar 500 meter dari kawasan kampung.

Tetapi syaitan sudah mengelabui pancaindera mereka semua. Sehingga belukar disangka hutan tebal. Pokok merbah yang besar yang dilihat semalam, sebenarnya cuma pokok durian hutan. Dan pokok di mana mahkluk besar dan tinggi itu melompat dari dahan ke dahan sebenarnya cuma pokok petai yang selama ini hasilnya sering dipetik oleh orang kampung.

Mereka kenal tempat itu. Tetapi niat untuk menyelamatkan rakan-rakan yang berempat itu membuatkan mereka terpaksa menghadapi dugaan yang begitu besar. Borhan langsung tidak bercakap, begitu juga dengan Samad yang mengalami calar-balar di seluruh muka, kaki dan tangannya.

Krappp!!!

Satu bunyi benda patah yang kuat kedengaran. Hasnul perasan kakinya terpijak sesuatu. Mereka dalam perjalanan pulang ke kampung dengan mengendong Rahim dan juga Ramli. Hasnul menoleh ke bawah. Diperhatikan jerumun dedaun kering yang dipijaknya tadi. Dari situlah terhasilnya bunyi patah itu tadi.

Angin berhembus membawa bau busuk yang teramat sangat. Sehinggakan rata-rata mereka yang melakukan misi mencari dan menyelamat itu terjeluak mahu muntah. Masing-masing menutup lubang hidung. Pemuda-pemuda yang mengendong Ramli dan Rahim, tak dapat menahan diri lalu muntah. Tubuh Rahim dan Ramli dibiarkan sahaja terhempas ke tanah. Terkejut dari pengsan, mereka berdua juga turut sama muntah.

Hasnul menguis dedaun kering itu dengan seliparnya. Semakin dikuis semakin kuat bau busuk yang menusuk ke rongga hidung.

“Ya Allah!!” Hasnul melompat ke belakang.

Menggigil dia dibuatnya. Dari timbunan dedaun yang dikuis itu, kelihatan sebahagian daripada kepala mayat yang sudah reput. Dedaun yang dikuis juga basah dan melekit kerana melekat ke tubuh mayat yang sudah pecah dan berulat itu. Bau busuk yang teramat sangat menyeliputi segenap ruang udara.

CSI-RAMONA~BAB 27~

BAB 27

“Cuaca makin buruk ni Shamsul. Moh kita sambung kemudian la, “ ajak Ramli dengan suara yang jelas kebimbangan. Sudah hampir 6  jam anak-anak muda kampung termasuk Rahim berjalan masuk ke tengah hutan. Rahim yang masih kelihatan pucat wajahnya, tidak putus semangat walaupun sudah dua kali mereka berpusing-pusing di kawasan yang sama.

Shamsul mendongak memandang langit. Tubuh Rahim yang sedang meranduk semak direnung sekilas. Dia tahu rakannya itu masih lemah, tetapi rakan-rakan yang sedang terperangkap itu perlu diselamatkan.

“Iem..kita balik dulu!” laung Shamsul kuat. Rahim menoleh.

“Tak boleh..tak boleh!!! Dah nak mati kawan-kawan kita tu!” Rahim turut menjerit.  Biar dia sakit tubuh badan, dia tidak mahu sakit menanggung susah hati. Dia sudah tahu apa nasib Zainal, dia tahu Rahman masih hidup. Nasib Zaki dan Safuan dia tidak tahu. Sekurang-kurangnya dia mahu membawa balik Rahman dalam keadaan masih bernyawa.

Tangannya tetap lincah menebas pokok-pokok renek untuk membuat laluan baru. Bajunya sudah basah lencun dengan peluh.

“Iem…kita balik dulu lah. Dah dua kali pusing ni, kita tak jumpa jalan,” Ramli cuba memujuk Rahim. Rahim menggeleng-gelengkan kepala. Dia tidak mahu pulang selagi Zaki, Rahman dan Safuan tidak berjaya dibawa pulang bersama.

“Aku tengok macam mana Zainal tu kena robek perut dia. Tali usus terburai, mata terbeliak! Kau tau semua tu ada dalam kepala otak aku ni!! Rahman…Rahman hidup lagi,” Rahim berkata separuh menjerit.  Parang di tangannya dicacak ke tanah. Akhirnya dia terduduk lesu.

Ramli memandang rakan-rakan yang lain. Ada yang berwajah terkejut, ada juga yang menjuih bibir, mahu menunjukkan yang kata-kata Rahim adalah kata-kata dari orang gila. Akhirnya Ramli memandang muka Shamsul. Dia mengangkat kening meminta Shamsul untuk memimpin.

Shamsul melihat rakan-rakan yang lain. Ada yang memutar jari di tepi kening ingin memberitahu bahawa Rahim sudah gila. Rahim dijumpai terbujur bersebelahan Musa di laluan denai, jalan pintas menuju ke bahagian hulu kampung. Selepas dua hari pengsan, barulah Rahim membuka mata. Itupun bagai orang gila memberitahu semua orang dia dengan Rahman di alam roh. Rahman membawanya ke tempat mereka sesat dan ditawan syaitan.

Mendengar racauannya saja dah membuatkan rata-rata orang kampung menjuihkan bibir. Lagi-lagi bila dia memberitahu, cucu Tok Anjang itu hantu. Lagi ramai yang hilang rasa simpati. Masing-masing menyuruh setiap orang agar menutup mulut. Jangan sampai apa yang keluar dari mulut Rahim hinggap ke telinga Tok Anjang.

Tetapi akhirnya Shamsul berpakat dengan beberapa teman rapat untuk menurut ajakan Rahim mengajak mereka masuk ke dalam hutan untuk misi menyelamatkan 4 rakan-rakan mereka yang sudah hilang lebih dari sebulan.

Dan sekarang, sejak dari matahari mula naik tadi, mereka sudah masuk ke dalam hutan. Sudah berjalan jauh sehingga perlu membuat laluan baru. Baju masing-masing sudah boleh diperah kerana lencun dibasahi peluh. Namun sudah dua kali mereka berpusing-pusing di tempat yang sama. Walhal sepanjang masa mereka membuat laluan baru.

Masing-masing berdiam diri. Shamsul menghela nafas panjang. Dia memerhati sekeliling. Shamsul memujuk Rahim supaya balik dulu ke kampung, misi mencari tersebut boleh disambung keesoakan hari. Shamsul mahu berjumpa dengan Tok Anjang, meminta nasihat. Hari ini dia membuat keputusan sendiri, dan nampaknya geruh yang menanti.

“Tak boleh Shamsul, tak boleh.” Kata Rahim sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Shamsul menyentuh lembut bahu Rahim. Dia mahu memujuk lelaki bermisai tebal itu. Dikatakan kepada Rahim bahawa hari sudah petang. Cepat sahaja keadaan hutan akan menjadi gelap, dan menyukarkan pergerakan mereka.

“Tak ada guna kita teruskan hari ni, Iem. Kita tak dapat cari jalan balik nanti,” kata Shamsul lagi.

Rahim masih sama, hanya menggeleng-gelengkan kepala.

“Susah macam ni, Shamsul. Kita ada parang saja ni. Perut pun dah lama berbunyi. Bekalan air pun dah nak habis.” Ramli menyampuk.

“Kau jangan degil la Rahim..” belum sempat Ramli meneruskan bebelannya, sesuatu yang tidak kelihatan sepantas kilat lalu di hadapannya. Hanya desiran angin yang kedengaran. Kemudian, kawasan semak di sebelah kanannya seperti diranduk sesuatu. Ramli terdiam, yang lain turut tergamam.

Zappp!! Satu benda besar membawa angin kencang berlalu laju di hadapan muka Shamsul dan beberapa orang pemuda lain pula.  Mereka menoleh sesama mereka.  Masing-masing sudah mendekatkan diri sesama sendiri. Rahim yang sedang duduk berteleku memandang hujung kakinya, tidak perasan kewujudan sesuatu yang tidak terzahir itu. Dia sibuk melayan perasaan.

“Rahimmm..” bisik Mat Diah perlahan. Rahim menoleh. Mat Diah memberi isyarat supaya Rahim bangun dan datang mendekat.

Zapppp!!! Zassssss!! Zuuuppp!!! Zzzaaaapp!!

Bersimpang siur benda yang membawa angin menderu itu. Kiri kanan belakang. Tertoleh-toleh mereka semuanya melihat dedaun pokok yang menunduk mengikut arah angin yang menderu itu. Suasana hutan menjadi hening, sehening-heningnya. Hinggakan bunyi nyamuk juga tidak kedengaran. Telinga mereka berdesing.

Pemuda-pemuda tadi perlahan-lahan semakin merapat. Cuaca berubah mendadak. Jam baru pukul 2 petang tetapi suasana di tengah hutan itu mula gelap. Kanopi hutan yang berlapis-lapis membuatkan kedaan lebih cepat menjadi gelap.  Lebih-lebih lagi cuaca yang cerah tadi menjadi mendung seperti mahu menjemput ribut.

Zaappp!!!

*****

Terpacak di hadapan mereka semua satu makhluk besar dan tinggi, juga berbulu. Ketinggian Shamsul dan rakan tidak lebih dari tinggi tulang pelvis makhluk itu. Tetapi penampakan makhluk itu cuma sekilas pandang sahaja. Namun cukup untuk membuatkan beberapa orang lelaki terkencing di dalam seluar.

Ghaibnya makhluk itu, terus saja sepohon pokok yang besar bergegar kuat. Ranting-ranting tua berguguran jatuh ke tanah. Dedaun pokok itu berguguran kerana dahan-dahannya bergoyang ke kiri dan ke kanan seperti ada benda yang sedang bergayut. Dalam keheningan itu, apabila sepohon pokok besar bergegar hebat tanpa kelihatan apa yang bertenggek atau bergayut atau melompat di dahan-dahannya, keadaan itu sudah cukup menyeramkan.

Hujan mulai turun. Bermula dengan rintik-rintik kasar, beransur lebat disertai angin kuat. Mereka berpeluk tubuh, masing-masing cuba berteduh di bawah pokok berdaun lebar. Keadaan menjadi semakin gelap, hujan yang turun semakin lebat. Angin ribut yang menderu kuat menyeksakan lagi keadaan mereka. Masing-masing memeluk tubuh kerana kesejukan.

Shamsul meraup wajahnya. Dia tahu dia perlu lakukan sesuatu. Tetapi dia juga buntu apa yang harus dilakukan, di saat keadaan menjadi kucar-kacir seperti itu. Shamsul memanggil rakan-rakannya supaya datang mendekat. Dia mahu mereka semua berkumpul. Dalam hujan yang turun mencurah-curah itu, mereka berkumpul menurut arahan Shamsul. Rahim ditarik secara paksa oleh Ramli supaya berkumpul bersama yang lain.

Shamsul membuka ikatan kain dikepalanya.

“Sham..ada yang tak kena ni,” ujar Hamid dengan bibir terketar-ketar menahan sejuk. Tubuhnya jelas kelihatan disebabkan baju yang dipakainya berwarna putih dan sudah basah lencun dibasahi hujan. Hamid memeluk tubuh, sesekali dia meraup air hujan yang mengalir laju di wajahnya.

Shamsul mengangguk kepala. Tiada kata yang keluar dari mulutnya. Matanya memerhati sekeliling, semakin suntuk jarak penglihatannya disebabkan cuaca dan juga keadaan hutan yang telah berubah dalam sekelip mata.

Kain ikat kepala yang ditanggalkan tadi diikat pada sebatang pokok kecil. Dia membuat isyarat meminta rakan-rakan yang lain menanggalkan kain ikat kepala mereka. Disuruh mereka untuk menyambung kain-kain tersebut menjadi panjang. Kemudian dipintal pada pokok-pokok kecil lalu disambung pada ikatan pertama di hujung kain ikat kepala miliknya.

“Pastikan kamu tak terkeluar dari bulatan kain ni. Tetapkan zikir di dalam hati, jangan kamu hilang fokus.” Lembut tetapi tegas amanat yang keluar dari mulut Shamsul. Mereka yang lain mengangguk kepala lalu mendekat sesama mereka. Hujan masih turun selebat-lebatnya.

“Ramli…kamu azan.” Arah Shamsul lagi.

Ramli mengangguk seraya melekapkan tapak tangannya ke telinga kanan. Sejurus kemudian laungan azan bercampur aduk dengan bunyi deruan angin ribut dan juga geseran dedaun dan ranting-ranting kedengaran.

Dari kesamaran, semakin jelas satu susuk tubuh yang besar dan tinggi, muncul hanya beberapa meter dari tempat mereka berkumpul. Salah seorang dari pemuda itu yang bernama Soleh mula melaungkan azan, bergema suaranya dan juga suara Ramli. Tindakannya diturut oleh mereka yang lain tanpa perlu disuruh. Masing-masing memejam mata kerana tidak mahu terus-terusan melihat tubuh besar dan tinggi itu.

Selesai azan, mereka berzikir pula. Bukan zikir di dalam hati, tetapi dengan jelas dan kuat. Ramli mengetuainya. Makhluk bertubuh besar itu lenyap dari pandangan. Shamsul tercari-cari di atas dahan dan di celah-celah perdu pokok. Tetapi tiada apa yang kelihatan selain apa yang berjasad di dalam samar cahaya itu.

Krekk.

Bunyi seperti ranting dipijak. Tetapi bunyi itu bukan setempat, seolah-olah datang dari setiap sudut hutan, semakin lama semakin jelas. Semakin didengar semakin bingit telinga jadinya. Mereka yang sedang berzikir, semakin menguatkan suara. Rasa takut di dalam hati yang sudah lama terbit, semakin menjadi-jadi cuba menguasai hati.

Shamsul mengecilkan anak matanya, mana tahu ada binatang-binatang kecil yang sudah mula keluar untuk mencari makan. Walaupun hujan dan ribut tidak nampak akan reda, mana tahu ada jenis haiwan yang keluar waktu malam walaupun dalam keadaan hujan ribut begitu. Tetapi tiada sebarang tanda adanya haiwan di kawasan itu.

Ramli yang sedang berzikir, terasa bahunya dicuit orang. Pada mulanya halus sahaja cuitan tersebut, tetapi lama dibiarkan semakin keras pula. Terasa tajam dan keras cuitan itu. Ramli menoleh melihat rakannya satu persatu.

“Hoi!! yang kau tak henti-henti cuit bahu aku ni kenapa?” tanya Ramli kepada rakan di sebelahnya. Suaranya ditahan-tahan. Ramli memang agak terkenal dengan sikap barannya. Rakannya itu mengangkat muka lalu menunjukkan wajah sebal. Dia juga menjungkit bahu tanda tidak faham apa yang Ramli maksudkan.

Zikir sudah terhenti dari mulut Ramli. Rakannya yang disergah itu juga sudah berhenti berzikir. Rakan-rakan yang lain juga mengangkat kepala mahu mengambil tahu apa yang dikecohkan oleh Ramli. Zikir yang tadinya kuat dan lantang, semakin perlahan dan menjadi tidak teratur.

“Aku pun kena cuit jugak,” kata rakan yang disergah itu.

“Eh..aku pun sama. Aku ingatkan kau yang cuit aku Kasim,” sambung Borhan seraya memandang muka Kasim yang separuh terkejut.

“Mana ada…aku punya la takut. Nak main cuit-cuit apa jadahnya. Merepek!” jawab Kasim separuh marah.

Shamsul menoleh apabila dia sedar rakan-rakan di belakangnya mula berbalah.

“Allahuakbar!!! “ jerit Shamsul mendadak.

Masing-masing melopong mulut melihat Shamsul menjerit begitu. Kemudian mereka berpandangan sesama sendiri. Habis terus kisah cuit mencuit tadi.

Salli A’la saiyidina Muhammad.

Satu suara muncul dari tengah-tengah kelompok mereka. Sekali lagi mereka saling memandang.

“Kau…kau siapa?” tercetus soalan dari mulut Borhan. Di tengah-tengah mereka sedang memulakan selawat seorang pemuda yang tidak dapat dilihat jelas raut wajahnya. Dalam keadaan suram itu, jelas mereka dapat melihat orang ke sepuluh yang tiba-tiba muncul di tengah-tengah kelompok mereka.

Pemuda itu tidak menjawab tetapi memberikan satu senyuman aneh. Wajahnya tidak berapa jelas. Rambutnya yang panjang jatuh ke depan menutupi separuh dari wajahnya. Senyumannya herot ke kiri. Anak mata kanannya berwarna putih. Kalau ditenung, wajah itu sebenarnya amat mengerikan. Ada beberapa orang pemuda yang tidak berani untuk melihat secara terus wajah pemuda ke sepuluh itu.

Tiba-tiba pemuda itu ketawa terbahak-bahak. Suaranya garau dan bergema. Pemuda-pemuda kampung itu semuanya terkesima. Ada yang jatuh terduduk kerana terlalu terkejut. Pemuda yang sedang ketawa besar itu dalam sekelip mata hilang dari pandangan.

“Syaitan..”kata Shamsul perlahan.