CSI-RAMONA~BAB 33~

BAB 33

Fatimah tidak pernah disentuh lagi. Anjang Halim seolah-olah jijik mahu melihatnya. Bahkan segala urusan peribadi suaminya itu dilakukan sendiri, tidak mahu menerima apa-apa dari Fatimah. Tidur sekatil dengan lelaki itu ibarat membiarkan orang menghiris lumat hatinya. Sepanjang malam, sekiranya Anjang Halim berkalih tubuh, pasti akan ada kata-kata cemuhan yang keluar dari mulut suaminya itu. Bukannya Fatimah tidak sedar, tetapi dia diamkan sahaja memandangkan walau apa yang terjadi, lelaki itu telah menjadi suaminya.

Pernah pada satu hari, waktu itu sedang rembang petang, pemuda-pemuda yang lain sudah beransur pulang ke pondok yang disediakan bagi menyiapkan diri untuk solat Maghrib berjemaah di surau. Waktu itu lah Anjang Halim merempuh pintu bilik sehingga Fatimah jatuh terduduk. Kebetulan pula waktu itu dia sedang mahu membuka pintu untuk keluar dari bilik tidur mereka.

Wajah Anjang Halim berubah. Mukanya kelihatan bengis ditambah lagi dengan gigi yang diketap kuat. Boleh nampak api kemarahan yang sedang menyala-nyala di wajahnya. Fatimah yang terduduk langsung dibiarkan begitu sahaja.

Akhirnya, selepas mundar-mandir dengan mengepal penumbuk, Anjang Halim mencapai bantal lalu ditekap dimukanya. Dia menjerit semahu-mahunya. Tergamam Fatimah ketika itu. Dia pantas bangkit mahu keluar dari situasi itu tetapi dengan pantas juga Anjang Halim menarik tubuhnya lalu dihempas ke atas katil.

“Kau tahu apa mereka mengata pasal aku?” tanya Anjang Halim dengan suara yang sengaja ditahan-tahan. Dia menunjal-nunjal dahi Fatimah yang masih belum hilang rasa terkejutnya.

Fatimah hanya diam membatu. Tiada satu jawapan yang akan memuaskan hati yang sedang dilanda kemarahan itu. Walaupun dia tahu, berdiam diri akan membuatkan lelaki itu menjadi lebih marah. Tetapi apa pilihan yang Fatimah ada.

Memang benar, Anjang Halim menggila.

“Aku jijik tengok muka kau ni, kau tahu? Kau tak layak jadi isteri aku!” kata-kata hinaan terus terusan keluar dari mulut lelaki itu. Fatimah masih lagi berdiam. Hatinya sudah banjir tetapi tiada sebutir airmata yang dibiarkan keluar.

“Aku..aku kalau boleh…” suara Anjang Halim tertahan-tahan.

“Nak ceraikan saya?” Fatimah menempelak. Terbeliak mata Anjang Halim mendengar kata-kata Fatimah yang dianggap sengaja mencari nahas.

“Kenapa tak nak teruskan? Ceraikan saja saya. Kenapa nak tahan-tahan? Takut ayah ubah fikiran?” tempelak Fatimah lagi. Dia benar-benar mencabar ego lelaki itu.

Fatimah bangun. Kata-katanya tadi hanya dibalas dengan dengusan kuat oleh Anjang Halim. Lelaki itu pada mulanya sudah mengangkat tangan mahu memukul muka Fatimah tetapi akhirnya pukulannya hanya mendarat dia kepala katil sahaja. Fatimah mencebik.

“kalau abang tak sudi memperisterikan saya, ceraikan saya bang. Saya pun tak nak hidup macam ni..” suara Fatimah mulai kedengaran sayu.

“hidup yang macam mana? Hidup yang tak disentuh?” perli Anjang Halim dengan senyuman sinis.

“Kalau kau nak sangat, aku boleh bagi sambil pejam mata,” Anjang Halim menyambung seraya ketawa. Dia seronok mempermainkan perasaan perempuan tak sedar diri itu. Dia hilang kawalan kerana ego yang sudah terlalu meninggi.

Fatimah tersentak dengan kata-kata suaminya itu. Tidak disangka sampai begitu sekali Anjang Halim jauh dibawa ego. Kalau dia punya ibu, sudah lama dia adukan semua yang berlaku. Tetapi dengan ayahnya, tidak semudah rancangan di kepala. Dan sekiranya ayahnya sudah bertolak untuk ke tanah suci, lebih mudah dia sendiri boleh lari saja dari kekejaman jiwa ini. Tetapi Tok Serban Putih menangguhkan perjalanannya ke Mekah kerana mahu memastikan puteri tunggalnya itu sudah biasa dengan hidup rumahtangga. Situasi ini lah yang membebankan hati Anjang Halim, yang harus berpura-pura redha atas pernikahan ini. Juga membebani hati dan fikiran Fatimah.

“Kau nak ke?” tanya Anjang Halim dengan suara yang sangat sinis. Bahu Fatimah dipegangnya kuat. Fatimah menepis tangan lelaki itu. Dia mahu melangkah keluar dari bilik, bermakna dia mahu menghentikan kata-kata hinaan yang terlalu menghiris perasaannya itu. Tetapi tangan Anjang Halim masih kejap dibahunya. Lelaki itu menyeringai. Peluh jantan mula terbit dari tubuh lelaki yang sedia tidak berbaju itu.

Tiada siapa di rumah selain dari mereka. Fatimah menolak lagi kemahuan Anjang Halim yang dirasakan hanya dipenuhi nafsu, tiada langsung sekelumit kasih sayang. Namun penolakan yang diterima lelaki itu membuatkat egonya semakin tercabar. Dia menolak tubuh Fatimah yang dalam diam meronta-ronta untuk dilepaskan. Mahu menjerit, ada aib yang perlu dijaga. Mahu pasrah, hati sendiri juga tidak rela.

“Abang..lepas lah!!” kata Fatimah separuh menjerit.

Pang!!!! Satu tamparan hinggap di pipi kirinya. Anjang Halim membuat isyarat supaya dia diam. Kemudian lelaki itu menyeringai seperti orang hilang akal. Kuatnya tamparan ahli silat handal itu sehingga menitik airmata Fatimah. Sakitnya bukan kepalang. Telinganya terasa berdesing.`

Baju kebarung isterinya itu disentap kuat sehingga terkoyak di bahagian bahu. Dengan kasar juga bahagian yang terkoyak itu disentap lagi meninggalkan kesan calar di bahu Fatimah, yang terbit darinya renik-renik darah. Fatimah mengaduh tetapi tidak dipedulikan langsung oleh Anjang Halim.

*****

“Saudari,” seorang gadis comel bertubuh langsing sedang dalam keadaan separuh panik menggamit Ramona. Ramona menoleh.

Gadis itu mendekati Ramona yang hanya menunggu sahaja. Di tangan masing-masing ada beberapa jenis ulam-ulaman yang diletakkan di dalam bakul kecil. Masing-masing agaknya masuk ke dalam belukar itu untuk mengutip ulam untuk dibuat makan tengahari.

“Ya, kenapa?” tanya Ramona lembut. Gadis itu berwajah gusar. Dia memerhati sekeliling seolah-olah ada masalah besar yang sedang dihadapinya. Akhirnya pandangannya jatuh ke wajah Ramona yang sedang tersenyum. Lega sedikit hatinya melihat senyuman gadis jelita itu.

“Saya tak tahu saya di mana,” lemah kata-kata yang keluar dari mulut gadis itu. Ramona yang mendengar berubah rona wajah kerana terkejut. Jelas rasa simpati terbit di wajahnya. Bakul di tangan diletakkan di atas tanah. Dia mengajak gadis itu duduk di banir pokok nangka yang tidak berbuah. Gadis itu menurut.

“Saudari dari mana?” tanya Ramona selepas masing-masing melabuhkan punggung. Gadis itu kelihatan terpinga-pinga mahu menjawab soalan Ramona. Dia masih lagi dalam keadaan panik. Dia cuba mengingat tetapi begitu sukar untuknya.

“ Dari Kampung Lindungan…” akhirnya meletus jawapan dari mulut gadis itu.

“Ohh..hanya kampung sebelah. Tetapi agak jauh juga dari kampung ni. Saudari sesat kah?” tanya Ramona lagi. Gadis itu semakin terpinga-pinga. Dia kelu lidah mahu menjawab sesuatu yang tidak dapat diingatinya.

“ Saya mahu pulang…boleh saudari tunjukkan jalan?” soalan Ramona dijawab soalan oleh gadis itu. Ramona mengangguk pantas. Bahu gadis itu ditepuk-tepuk untuk melegakan kegusaran di hati. Ada airmata yang mengalir di tubir mata gadis comel itu.

“Sudah..jangan khuatir. Saya akan tunjukkan jalan pulang kepada saudari.” Ramona memberikan kata-kata semangat. Gadis itu mengucapkan terima kasih dalam esak tangis yang semakin kuat.

Gadis itu melihat ke arah bakul ulamnya. Dari ulam raja sehingga ke pucuk ubi, semuanya sudah layu dan kering. Seingatnya pagi tadi dia keluar rumah menuju ke kebun ayahnya di belakang rumah sahaja, untuk memetik pucuk ubi dan beberapa ulam lain untuk dibuat makan tengahari. Mereka akan menerima tetamu, niat ayahnya untuk menjamu tetamu-tetamu itu makan tengahari nanti.

Masakan pucuk ubi yang baru sahaja dipetik, boleh menjadi layu dan kering begitu. Banyak perkara-perkara aneh yang bermain di kotak fikirannya. Dia berjalan pulang, tetapi tidak sampai-sampai ke rumah. Dia berpatah balik, tetapi dia rasa dia semakin jauh dari kawasan rumahnya. Dia berpusing-pusing, cuba mencari rumah Jamilah, yang sepatutnya dia akan jumpa jika berjalan 5 minit dari rumahnya. Tetapi dia semakin jauh masuk ke kawasan yang tidak dikenali.

Esakannya semakin kuat.

“Jangan menangis lagi. Mari saya bawa saudari pulang ke kampung saudari,” ajak Ramona lembut. Gadis itu menoleh memandangnya. Senyuman Ramona dibalas oleh senyuman juga oleh gadis manis itu. Ramona menarik tangan gadis itu lalu mengajaknya bangun.

“Siapa nama saudari?” tanya Ramona.

“Kartini.”

*****

“Mona…jauh lagi ke?” tanya Kartini dengan nada panik.

Mereka sudah berjalan lebih dari 2 jam, tetapi tiada tanda-tanda akan menemui jalan masuk ke kampungnya. Kawasan yang mereka lalui semakin tebal dan sukar. Kedua-duanya perlu meranduk semak samun tinggi sehingga calar-balar lengan dan kaki Kartini. Tetapi sebaliknya yang berlaku kepada Ramona, dia seolah-olah sudah biasa dengan kawasan tersebut.

“Kartini jangan risau, ini jalan pintas. Jauh kampung Kartini tu jika ikut jalan biasa,” jawab Ramona lembut. Kartini mengangguk-angguk kepala memujuk hati untuk meletakkan nasibnya di tangan gadis jelita yang sedang memimpinnya ini.

Sekali lagi terbit persoalan di dalam hati. Bagaimana dia boleh pergi terlalu jauh dari rumahnya. Sedangkan pada perkiraannya dia ke hulu ke hilir tidak sampai satu jam? Terbit rasa takut di dalam hati. Tangannya yang sedang dipegang oleh Ramona ditarik agak kasar. Kartini berhenti. Ramona pantas menoleh.

“Saya mahu patah balik.” Kata Kartini penuh yakin.

“Kamu dah kenapa? Susah payah saya nak bawa kamu pulang, kenapa mahu berpatah balik?” agak keras nada suara Ramona.

“Saya faham. Tapi Mona bawa saya masuk lebih jauh ke dalam hutan. Saya tak kenal Mona, tak tahu niat Mona. Saya mahu berpatah balik.” Jawab Kartini panjang lebar.

“Saya minta maaf, bukan nak pertikaikan jasa baik Mona. Tapi saya rasa tak sedap hati. Saya mahu patah balik.” Kartini cepat-cepat menyambung apabila melihat Ramona mahu membuka mulut.

Ramona tidak berkata apa. Dia hanya berdiam diri. Dia membiarkan sahaja Kartini berpatah balik. Kali ini Kartini berjalan di depannya, dia hanya mengikut langkah gadis itu. Kartini pula, dia tahu kata-katanya telah menyinggung perasaan gadis jelita yang membantunya itu. Jadi dia tidak berani untuk meminta Ramona memimpin jalan.

Keadaan sekitar semakin redup. Pasti petang sudah mahu menggamit senja. Kartini agak gugup, tetapi dikuatkan hatinya cuba yakin dengan bisikan hati menyuruhnya berpatah balik. Langkah Ramona yang masih kedengaran di belakangnya juga membuat hati berasa lega, sekurang-kurangnya gadis itu tidak langsung meninggalkannya walaupun hati telah terguris. Ada sejemput kejujuran yang ditunjukkan oleh Ramona membuatkan Kartini malu sendiri.

“Mona…saya tak jumpa jalan yang kita lalu tadi. Keadaan semakin gelap ni,” kata Kartini seperti mahu menangis. Dia menoleh ke belakang mencari kelibat Ramona. Dalam rembang petang dia dapat melihat Ramona tersenyum.

“Saya ikhlas mahu membantu. Mari, rumah saya dekat sahaja dari sini. Kartini boleh berteduh untuk malam ini.” Kata Ramona lembut. Kartini mengangguk dengan rasa teramat lega di  hati. Dia semakin malu untuk bertatapan mata dengan gadis itu. Malu dengan sikap ragu-ragunya akan kebaikan hati Ramona.

Dalam keadaan terdesak dan kalut seperti ini, bantuan yang Ramona hulurkan adalah satu anugerah dari Allah. Kartini beristighfar di dalam hati, memohon ampun akan kekhilafan hatinya, yang mudah sahaja berburuk sangka sesama manusia.

*****

Ramona membuka pintu rumah kecil itu. Dari jauh dapat dilihat cahaya malap dari dalam rumah. Dia menjemput Kartini masuk. Rumah kecil yang di dalamnya hanya ada tikar mengkuang di tengah ruang, ada kawasan dapur yang kecil sahaja dan sebuah bilik. Tiada tanda-tanda adanya orang lain yang turut mendiami rumah tersebut.

“Mona tinggal seorang diri saja kah di sini?” akhirnya tercetus juga persoalan dari bibir mugil Kartini. Entah bagaimana dia terperasan Ramona tersenyum sinis mendengar soalannya, tetapi lekas-lekas dia beristighfar lagi, mahu membuang segala prasangka yang sudah mula terbit di lubuk hatinya.

“Masakan tinggal seorang diri, kalau seorang bila masanya saya nyalakan lampu pelita di dalam rumah ini,” kata Ramona seraya ketawa kecil. Kartini spontan menepuk dahi. Sedar akan kebodohan sendiri.

Ramona meninggalkan Kartini di ruang tamu. Dia masuk ke dalam bilik yang terbuka pintunya, tetapi tidak dapat dilihat dengan jelas apa yang ada di dalam bilik. Hanya satu pelita yang meliuk-liuk cuba untuk menerangi segenap ruang.

“Kartini, ini kenalkan adik saya, Cempaka.”

Kartini bingkas bangun. Dia menghulur salam tetapi salamnya tidak bersambut. Namun Cempaka mengangguk dan menghadiahkan senyuman manis. Kartini malu sendiri.

“Kau dah makan?” tanya Cempaka secara tiba-tiba. Kartini menggeleng kepala. Ketika itu Ramona hilang entah ke mana. Dia mencari juga batang tubuh Ramona, tetapi tidak kelihatan. Sempat juga pandangannya jatuh ke wajah Cempaka. Dalam samar cahaya pelita yang meliuk-liuk itu, dia tidak dapat melihat dengan jelas wajah Cempaka, tetapi gadis itu berbau harum semerbak. Harum yang menyenangkan.

“Kau ambil pelita tu, bawa ke dapur.” Arah Cempaka. Kartini mengangguk. Dia kemudiannya berjalan menuju ke ruang tengah untuk mengambil pelita tersebut. Dia sedar Cempaka berjalan ke arah dapur, yang mana keadaan dapur menjadi gelap disebabkan langkahnya semakin dekat untuk mengambil pelita.

‘Dah biasa dengan rumah sendiri, gelap-gelap pun sudah tau mana mahu cari barang.’ getus hati kecil Kartini. Dia lalu mengambil pelita dan mengangkatnya, cahaya semakin luas menerangi ruang kecil rumah itu.

“Mahu ke dapur ke?” satu suara tiba-tiba seperi ada di belakangnya. Kartini tersentak, nasib baik juga dia tidak mencampak pelita tersebut disebabkan terlalu terkejut. Dia memusing badan, mengangkat pelita tinggi-tinggi tetapi tiada siapa yang kelihatan. Hatinya gugup, bulu tengkuknya tegak berdiri.

“Kartini…mari bawa pelita itu ke sini,” satu suara menyerunya dari dapur. Suara itu bernada biasa sahaja tetapi tetap membuat gadis itu terkejut dan kalut. Dia pantas meninggalkan ruang tengah lalu menuju ke dapur yang hanya beberapa langkah jaraknya.

Di dapur, sudah bersedia Ramona dan juga Cempaka dengan hidangan yang penuh di atas talam rotan. Bau masakan yang sedap dan lazat menyentuh deria Kartini membuatkan perutnya berkeroncong minta cepat diisi.

“Mari duduk, semua lauk- pauk ni Cempaka yang masak,” mesra kata-kata yang keluar dari mulut Ramona. Dia menguntum senyum. Cempaka tidak menunjukkan sebarang reaksi. Kartini yang agak malu-malu, takut dikata gelojoh walau hakikatnya dia sudah tidak sabar-sabar untuk menyuap makanan yang pelbagai itu.

Dia bersimpuh seperti Ramona dan juga Cempaka. Pelita diletakkan dekat dengan talam makanan. Kartini menelan liur melihat nasi putih yang masih berasap, ayam goreng , ulam-ulaman dan beberapa lauk lain lagi. Dia menelan liur berulangkali.

Dia rasa nafsunya memuncak. Tekaknya berasa sangat dahaga. Rasa haus dan lapar membuatkan dirinya lupa bahawa sewaktu melangkah masuk ke dalam rumah ini tadi, tiada langsung tanda-tanda dapur itu baru digunakan. Tiada kesan bara malah langsung tiada bau kayu dibakar. Jadi, bila masanya nasi panas di depannya ini dimasak? Dia bukan sudah duduk lama di rumah itu. Kartini lupa. Dia lupa untuk berhati-hati kerana perut sudah tak mampu untuk dipujuk lagi.

“Nah..minum. “

Kartini menyambut. Terus disua bibir gelas ke mulutnya. Air  yang masuk ke mulutnya berasa agak kuat tetapi ditelan juga. Dia begitu haus. Dihulurnya lagi gelas tersebut, Ramona menuang lagi air dari dalam bekas ke dalam gelas Kartini. Kali ini Kartini nampak air tersebut berwarna merah hati.

“Air dari campuran bunga,”kata Ramona menghapus keraguan Kartini. Lantas segelas lagi air berwarna merah hati itu diteguk. Ramona mengerling Cempaka dengan segaris senyuman yang sukar untuk dimengerti pada pandangan manusia yang dipesong hati atas desakan keperluan hidup yang asasi.

*****

Hajah Salmah menangis tidak berhenti-henti. Bila dipujuk dia diam, hilang tangisnya tetapi selang beberapa lama dia menangis lagi. Mengongoi-ngongoi tangisannya. Beberapa orang jiran bertukar ganti memberi nasihat kepada wanita tua itu. Tetapi kesedihan dan kegalauan hatinya tidak mampu dikawal. Hanya airmata yang boleh menenangkan jiwanya ketika itu.

“Sudah la tu Sal…asyik menangis saja tak boleh bawak anak kita balik,” pujuk suaminya Haji Salleh lembut. Itu pujukan yang entah berapa ratus kalinya. Tetap juga nada yang keluar lembut dan menenangkan.

“Anak kita satu-satunya, bang..macam mana lah hati Sal ni boleh terima,” jawab Hajah Salmah sambil menepuk-nepuk dadanya. Tangisannya semakin kuat. Haji Salleh hanya mampu mengalirkan airmata. Dia sendiri sedih dan bukan kepalang risau hatinya, tetapi dengan termenung atau menangis tidak akan dapat menyelesaikan misteri kehilangan Kartini, yang sudah lebih seminggu hilang secara tiba-tiba dari rumah.

Majlis nikah anaknya dengan Shamsul sudah semakin dekat. Kartini hilang pada hari keluarga Shamsul datang untuk mengesahkan tarikh pernikahan dan juga majlis yang akan dibuat. Kartini hilang tanpa jejak, sedangkan kali terakhir dia sendiri melihatnya adalah pada pagi hari kejadian.

“Kamu nak ke mana?” tanya Haji Salleh apabila melihat Kartini menyarung selipar dan bergegas mahu ke belakang rumah.

“Mahu petik pucuk ubi, Babah. Kan ada tetamu nanti, Ummi minta cari ulam-ulaman,” jawab Kartini ceria. Haji Salleh turut menguntum senyum melihat kegembiraan yang dipamerkan oleh anak tunggalnya itu. Semakin manis Kartini apabila hatinya diselubungi kebahagiaan.

Haji Salleh tahu Shamsul dan Kartini sama-sama jatuh hati.

Haji Salleh melabuh pandangan ke wajah Shamsul yang sudah beberapa hari tidur di rumahnya mencari jalan penyelesaian. Tetapi masih buntu untuk mencari titik mula. Pandangan Haji Salleh berkalih pula ke wajah-wajah jirannya yang datang untuk membantu. Dia sendiri buntu. Tidak pernah berlaku kejadian seumpama ini di kampung ini selama dia mengetuai mereka, mentadbir dan menjaga keharmonian Kampung Lindungan ini.

Pasti lambat laun akan tersebar cerita khayalan dari satu mulut ke mulut yang lain. Fitnah yang seumpama itu lah yang harus dielakkan. Ke mana hilangnya Kartini? Gadis manis yang bakal melangsungkan pernikahan dalam tempoh tidak sampai 2 minggu sahaja lagi. Masih hidupkah anaknya itu? Haji Salleh memejam mata tidak mahu memikirkan yang bukan-bukan.

*****

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *