CSI-RAMONA~BAB 27~

BAB 27

“Cuaca makin buruk ni Shamsul. Moh kita sambung kemudian la, “ ajak Ramli dengan suara yang jelas kebimbangan. Sudah hampir 6  jam anak-anak muda kampung termasuk Rahim berjalan masuk ke tengah hutan. Rahim yang masih kelihatan pucat wajahnya, tidak putus semangat walaupun sudah dua kali mereka berpusing-pusing di kawasan yang sama.

Shamsul mendongak memandang langit. Tubuh Rahim yang sedang meranduk semak direnung sekilas. Dia tahu rakannya itu masih lemah, tetapi rakan-rakan yang sedang terperangkap itu perlu diselamatkan.

“Iem..kita balik dulu!” laung Shamsul kuat. Rahim menoleh.

“Tak boleh..tak boleh!!! Dah nak mati kawan-kawan kita tu!” Rahim turut menjerit.  Biar dia sakit tubuh badan, dia tidak mahu sakit menanggung susah hati. Dia sudah tahu apa nasib Zainal, dia tahu Rahman masih hidup. Nasib Zaki dan Safuan dia tidak tahu. Sekurang-kurangnya dia mahu membawa balik Rahman dalam keadaan masih bernyawa.

Tangannya tetap lincah menebas pokok-pokok renek untuk membuat laluan baru. Bajunya sudah basah lencun dengan peluh.

“Iem…kita balik dulu lah. Dah dua kali pusing ni, kita tak jumpa jalan,” Ramli cuba memujuk Rahim. Rahim menggeleng-gelengkan kepala. Dia tidak mahu pulang selagi Zaki, Rahman dan Safuan tidak berjaya dibawa pulang bersama.

“Aku tengok macam mana Zainal tu kena robek perut dia. Tali usus terburai, mata terbeliak! Kau tau semua tu ada dalam kepala otak aku ni!! Rahman…Rahman hidup lagi,” Rahim berkata separuh menjerit.  Parang di tangannya dicacak ke tanah. Akhirnya dia terduduk lesu.

Ramli memandang rakan-rakan yang lain. Ada yang berwajah terkejut, ada juga yang menjuih bibir, mahu menunjukkan yang kata-kata Rahim adalah kata-kata dari orang gila. Akhirnya Ramli memandang muka Shamsul. Dia mengangkat kening meminta Shamsul untuk memimpin.

Shamsul melihat rakan-rakan yang lain. Ada yang memutar jari di tepi kening ingin memberitahu bahawa Rahim sudah gila. Rahim dijumpai terbujur bersebelahan Musa di laluan denai, jalan pintas menuju ke bahagian hulu kampung. Selepas dua hari pengsan, barulah Rahim membuka mata. Itupun bagai orang gila memberitahu semua orang dia dengan Rahman di alam roh. Rahman membawanya ke tempat mereka sesat dan ditawan syaitan.

Mendengar racauannya saja dah membuatkan rata-rata orang kampung menjuihkan bibir. Lagi-lagi bila dia memberitahu, cucu Tok Anjang itu hantu. Lagi ramai yang hilang rasa simpati. Masing-masing menyuruh setiap orang agar menutup mulut. Jangan sampai apa yang keluar dari mulut Rahim hinggap ke telinga Tok Anjang.

Tetapi akhirnya Shamsul berpakat dengan beberapa teman rapat untuk menurut ajakan Rahim mengajak mereka masuk ke dalam hutan untuk misi menyelamatkan 4 rakan-rakan mereka yang sudah hilang lebih dari sebulan.

Dan sekarang, sejak dari matahari mula naik tadi, mereka sudah masuk ke dalam hutan. Sudah berjalan jauh sehingga perlu membuat laluan baru. Baju masing-masing sudah boleh diperah kerana lencun dibasahi peluh. Namun sudah dua kali mereka berpusing-pusing di tempat yang sama. Walhal sepanjang masa mereka membuat laluan baru.

Masing-masing berdiam diri. Shamsul menghela nafas panjang. Dia memerhati sekeliling. Shamsul memujuk Rahim supaya balik dulu ke kampung, misi mencari tersebut boleh disambung keesoakan hari. Shamsul mahu berjumpa dengan Tok Anjang, meminta nasihat. Hari ini dia membuat keputusan sendiri, dan nampaknya geruh yang menanti.

“Tak boleh Shamsul, tak boleh.” Kata Rahim sambil menggeleng-gelengkan kepala.

Shamsul menyentuh lembut bahu Rahim. Dia mahu memujuk lelaki bermisai tebal itu. Dikatakan kepada Rahim bahawa hari sudah petang. Cepat sahaja keadaan hutan akan menjadi gelap, dan menyukarkan pergerakan mereka.

“Tak ada guna kita teruskan hari ni, Iem. Kita tak dapat cari jalan balik nanti,” kata Shamsul lagi.

Rahim masih sama, hanya menggeleng-gelengkan kepala.

“Susah macam ni, Shamsul. Kita ada parang saja ni. Perut pun dah lama berbunyi. Bekalan air pun dah nak habis.” Ramli menyampuk.

“Kau jangan degil la Rahim..” belum sempat Ramli meneruskan bebelannya, sesuatu yang tidak kelihatan sepantas kilat lalu di hadapannya. Hanya desiran angin yang kedengaran. Kemudian, kawasan semak di sebelah kanannya seperti diranduk sesuatu. Ramli terdiam, yang lain turut tergamam.

Zappp!! Satu benda besar membawa angin kencang berlalu laju di hadapan muka Shamsul dan beberapa orang pemuda lain pula.  Mereka menoleh sesama mereka.  Masing-masing sudah mendekatkan diri sesama sendiri. Rahim yang sedang duduk berteleku memandang hujung kakinya, tidak perasan kewujudan sesuatu yang tidak terzahir itu. Dia sibuk melayan perasaan.

“Rahimmm..” bisik Mat Diah perlahan. Rahim menoleh. Mat Diah memberi isyarat supaya Rahim bangun dan datang mendekat.

Zapppp!!! Zassssss!! Zuuuppp!!! Zzzaaaapp!!

Bersimpang siur benda yang membawa angin menderu itu. Kiri kanan belakang. Tertoleh-toleh mereka semuanya melihat dedaun pokok yang menunduk mengikut arah angin yang menderu itu. Suasana hutan menjadi hening, sehening-heningnya. Hinggakan bunyi nyamuk juga tidak kedengaran. Telinga mereka berdesing.

Pemuda-pemuda tadi perlahan-lahan semakin merapat. Cuaca berubah mendadak. Jam baru pukul 2 petang tetapi suasana di tengah hutan itu mula gelap. Kanopi hutan yang berlapis-lapis membuatkan kedaan lebih cepat menjadi gelap.  Lebih-lebih lagi cuaca yang cerah tadi menjadi mendung seperti mahu menjemput ribut.

Zaappp!!!

*****

Terpacak di hadapan mereka semua satu makhluk besar dan tinggi, juga berbulu. Ketinggian Shamsul dan rakan tidak lebih dari tinggi tulang pelvis makhluk itu. Tetapi penampakan makhluk itu cuma sekilas pandang sahaja. Namun cukup untuk membuatkan beberapa orang lelaki terkencing di dalam seluar.

Ghaibnya makhluk itu, terus saja sepohon pokok yang besar bergegar kuat. Ranting-ranting tua berguguran jatuh ke tanah. Dedaun pokok itu berguguran kerana dahan-dahannya bergoyang ke kiri dan ke kanan seperti ada benda yang sedang bergayut. Dalam keheningan itu, apabila sepohon pokok besar bergegar hebat tanpa kelihatan apa yang bertenggek atau bergayut atau melompat di dahan-dahannya, keadaan itu sudah cukup menyeramkan.

Hujan mulai turun. Bermula dengan rintik-rintik kasar, beransur lebat disertai angin kuat. Mereka berpeluk tubuh, masing-masing cuba berteduh di bawah pokok berdaun lebar. Keadaan menjadi semakin gelap, hujan yang turun semakin lebat. Angin ribut yang menderu kuat menyeksakan lagi keadaan mereka. Masing-masing memeluk tubuh kerana kesejukan.

Shamsul meraup wajahnya. Dia tahu dia perlu lakukan sesuatu. Tetapi dia juga buntu apa yang harus dilakukan, di saat keadaan menjadi kucar-kacir seperti itu. Shamsul memanggil rakan-rakannya supaya datang mendekat. Dia mahu mereka semua berkumpul. Dalam hujan yang turun mencurah-curah itu, mereka berkumpul menurut arahan Shamsul. Rahim ditarik secara paksa oleh Ramli supaya berkumpul bersama yang lain.

Shamsul membuka ikatan kain dikepalanya.

“Sham..ada yang tak kena ni,” ujar Hamid dengan bibir terketar-ketar menahan sejuk. Tubuhnya jelas kelihatan disebabkan baju yang dipakainya berwarna putih dan sudah basah lencun dibasahi hujan. Hamid memeluk tubuh, sesekali dia meraup air hujan yang mengalir laju di wajahnya.

Shamsul mengangguk kepala. Tiada kata yang keluar dari mulutnya. Matanya memerhati sekeliling, semakin suntuk jarak penglihatannya disebabkan cuaca dan juga keadaan hutan yang telah berubah dalam sekelip mata.

Kain ikat kepala yang ditanggalkan tadi diikat pada sebatang pokok kecil. Dia membuat isyarat meminta rakan-rakan yang lain menanggalkan kain ikat kepala mereka. Disuruh mereka untuk menyambung kain-kain tersebut menjadi panjang. Kemudian dipintal pada pokok-pokok kecil lalu disambung pada ikatan pertama di hujung kain ikat kepala miliknya.

“Pastikan kamu tak terkeluar dari bulatan kain ni. Tetapkan zikir di dalam hati, jangan kamu hilang fokus.” Lembut tetapi tegas amanat yang keluar dari mulut Shamsul. Mereka yang lain mengangguk kepala lalu mendekat sesama mereka. Hujan masih turun selebat-lebatnya.

“Ramli…kamu azan.” Arah Shamsul lagi.

Ramli mengangguk seraya melekapkan tapak tangannya ke telinga kanan. Sejurus kemudian laungan azan bercampur aduk dengan bunyi deruan angin ribut dan juga geseran dedaun dan ranting-ranting kedengaran.

Dari kesamaran, semakin jelas satu susuk tubuh yang besar dan tinggi, muncul hanya beberapa meter dari tempat mereka berkumpul. Salah seorang dari pemuda itu yang bernama Soleh mula melaungkan azan, bergema suaranya dan juga suara Ramli. Tindakannya diturut oleh mereka yang lain tanpa perlu disuruh. Masing-masing memejam mata kerana tidak mahu terus-terusan melihat tubuh besar dan tinggi itu.

Selesai azan, mereka berzikir pula. Bukan zikir di dalam hati, tetapi dengan jelas dan kuat. Ramli mengetuainya. Makhluk bertubuh besar itu lenyap dari pandangan. Shamsul tercari-cari di atas dahan dan di celah-celah perdu pokok. Tetapi tiada apa yang kelihatan selain apa yang berjasad di dalam samar cahaya itu.

Krekk.

Bunyi seperti ranting dipijak. Tetapi bunyi itu bukan setempat, seolah-olah datang dari setiap sudut hutan, semakin lama semakin jelas. Semakin didengar semakin bingit telinga jadinya. Mereka yang sedang berzikir, semakin menguatkan suara. Rasa takut di dalam hati yang sudah lama terbit, semakin menjadi-jadi cuba menguasai hati.

Shamsul mengecilkan anak matanya, mana tahu ada binatang-binatang kecil yang sudah mula keluar untuk mencari makan. Walaupun hujan dan ribut tidak nampak akan reda, mana tahu ada jenis haiwan yang keluar waktu malam walaupun dalam keadaan hujan ribut begitu. Tetapi tiada sebarang tanda adanya haiwan di kawasan itu.

Ramli yang sedang berzikir, terasa bahunya dicuit orang. Pada mulanya halus sahaja cuitan tersebut, tetapi lama dibiarkan semakin keras pula. Terasa tajam dan keras cuitan itu. Ramli menoleh melihat rakannya satu persatu.

“Hoi!! yang kau tak henti-henti cuit bahu aku ni kenapa?” tanya Ramli kepada rakan di sebelahnya. Suaranya ditahan-tahan. Ramli memang agak terkenal dengan sikap barannya. Rakannya itu mengangkat muka lalu menunjukkan wajah sebal. Dia juga menjungkit bahu tanda tidak faham apa yang Ramli maksudkan.

Zikir sudah terhenti dari mulut Ramli. Rakannya yang disergah itu juga sudah berhenti berzikir. Rakan-rakan yang lain juga mengangkat kepala mahu mengambil tahu apa yang dikecohkan oleh Ramli. Zikir yang tadinya kuat dan lantang, semakin perlahan dan menjadi tidak teratur.

“Aku pun kena cuit jugak,” kata rakan yang disergah itu.

“Eh..aku pun sama. Aku ingatkan kau yang cuit aku Kasim,” sambung Borhan seraya memandang muka Kasim yang separuh terkejut.

“Mana ada…aku punya la takut. Nak main cuit-cuit apa jadahnya. Merepek!” jawab Kasim separuh marah.

Shamsul menoleh apabila dia sedar rakan-rakan di belakangnya mula berbalah.

“Allahuakbar!!! “ jerit Shamsul mendadak.

Masing-masing melopong mulut melihat Shamsul menjerit begitu. Kemudian mereka berpandangan sesama sendiri. Habis terus kisah cuit mencuit tadi.

Salli A’la saiyidina Muhammad.

Satu suara muncul dari tengah-tengah kelompok mereka. Sekali lagi mereka saling memandang.

“Kau…kau siapa?” tercetus soalan dari mulut Borhan. Di tengah-tengah mereka sedang memulakan selawat seorang pemuda yang tidak dapat dilihat jelas raut wajahnya. Dalam keadaan suram itu, jelas mereka dapat melihat orang ke sepuluh yang tiba-tiba muncul di tengah-tengah kelompok mereka.

Pemuda itu tidak menjawab tetapi memberikan satu senyuman aneh. Wajahnya tidak berapa jelas. Rambutnya yang panjang jatuh ke depan menutupi separuh dari wajahnya. Senyumannya herot ke kiri. Anak mata kanannya berwarna putih. Kalau ditenung, wajah itu sebenarnya amat mengerikan. Ada beberapa orang pemuda yang tidak berani untuk melihat secara terus wajah pemuda ke sepuluh itu.

Tiba-tiba pemuda itu ketawa terbahak-bahak. Suaranya garau dan bergema. Pemuda-pemuda kampung itu semuanya terkesima. Ada yang jatuh terduduk kerana terlalu terkejut. Pemuda yang sedang ketawa besar itu dalam sekelip mata hilang dari pandangan.

“Syaitan..”kata Shamsul perlahan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *