CSI-RAMONA~BAB 26~

BAB 26

Rahim dan Rahman, dua orang lelaki yang kebuntuan,masing-masing duduk di atas banir pokok besar di hadapan rumah usang itu. Tiada komunikasi antara mereka. Hanya merenung kosong ke kawasan sekitar rumah atau lebih kepada rumah usang yang hampir mahu roboh.

Rahim yang separuh  takut itu sesekali memandang ke wajah Rahman. Dia tidak tahu dia di mana, datangnya tadi pun seperti dibawa angin. Namun bila diperhatikan betul-betul keadaan sekitar, dia dapat mengecam tempat itu di mana. Memang jauh ke tengah hutan. Tadinya dia perasan sepohon tualang yang tinggi menjulang ke langit. Dia tahu di kanannya ada sebatang sungai, di seberang sungai itu ada kawasan yang kaya dengan rotan dan damar. Dia pernah ke sana. Jauh tidak jauh dari rumah itu yang tidak dapat dipastikan.

Rahman bangun, dia mengajak Rahim bangun sama. Langkahnya diatur dengan kaki kanan, Rahim menurut.  Rahim megikut jejak Rahman, dalam situasi begitu dia tidak tahu apa yang perlu dibuat. Sekarang, jarak mereka dengan rumah usang  itu hanya beberapa meter. Sudah dapat didengar suara halus sedang ketawa.

Di tengah-tengah hutan, suasana pula sudah rembang senja. Bermacam-macam penghuni malam hutan sudah mula keluar, masing-masing menghasilkan bunyi tersendiri dan apabila diadun, kadangkala bunyi yang didengar boleh melemahkan tempurung lutut. Ditambah pula dengan bunyi ketawa yang gemersik dan beralun. Berdiri bulu tengkuk jadinya.

Rahim tidak menyambung langkah apabila suara ketawa itu semakin jelas di pendengarannya. Rahman menarik tangan Rahim yang sudah kaku di lantai bumi. Rahim mengeraskan badannya tidak mahu menurut. Rahman menyentak pula tangan Rahim, menyebabkan tubuh lelaki itu terdorong ke depan, mahu tidak mahu dia menurut kembali langkah Rahman.

Semakin dekat mereka dengan anak tangga pondok, semakin jelas suara seorang  perempuan, dan dapat juga didengari suara lemah lelaki.

“Kau masih berzikir?” tanya Rahman. Rahim menggeleng laju. Rahman menyuruhnya memulakan zikir dengan member isyarat kening. Rahim mengangguk.

“Man..aku kat mana ni Man?” Rahim bertanya seakan-akan berbisik. Rahman tidak terus menjawab. Dia menelan liur beberapa kali.

“Selagi kau berzikir, kau selamat. Nanti kau tahu apa yang aku nak kau lihat.” Ujar Rahman.  Dia menepuk bahu Rahim sebanyak tiga kali. Rahim bersetuju dengan memberikan anggukan bbeerapa kali. Dia sudah mula mendapat kekuatan sesudah memulakan zikir. Rasa takut di dalam hatinya beransur hilang.

Mereka memijak anak tangga yang sebahagian darinya sudah mulai mereput. Tiada bunyi keriut lantai usang. Mereka berjalan memijak lantai, tetapi seolah-olah mereka sedang melayang di  udara sahaja. Tiada kesan kehadiran mereka sama sekali.

Rahman membawanya masuk ke sebuah bilik. Terbujur kaku di situ sekujur tubuh kurus tinggi. Mahu terbeliak mata Rahim apabila menyedari tubuh kaku itu adalah milik Rahman. Terus dia melopong melihat wajah Rahman, yang pada masa itu kelihatan sugul dan tertanya-tanya.

“Kau dah mati?” tanya Rahim.

Rahman sekadar menjawab dengan mengangkat bahu.

“Mungkin..” akhirnya meletus jawapan hambar dari mulut lelaki kurus itu.

Jantung Rahim seakan gugur jatuh ke dalam sangkar rusuknya apabila mendengar jawapan Rahman. Kalau Rahman sudah mati, adakah aku pun sudah mati? Getus hati kecilnya. Dia teringat sekujur tubuhnya yang kaku terbaring di atas rumput ayam  di atas denai di kampungnya.

Tiba-tiba, perempuan yang sejak awal tadi ketawa halus berubah kepada mengekek panjang. Rahim mengangkat muka mencari dari mana arah datangnya suara tersebut. Kemudian dia beralih pandang ke arah tubuh kaku Rahman. Rakannya itu kurus kering, muka cengkung dengan biji matanya sudah jauh ke dalam menampakkan jelas tulang tengkoraknya. Badannya mengerekot, mungkin kesejukan atau kelaparan.

“Jom Man, kita redha saja lah. Semua ni urusan Dia.” Rahim menunjuk ke atas.  Kali ini Rahim pula menepuk bahu Rahman. Dia sendiri pasrah dengan nasibnya. Mati atau hidup, dia berserah sepenuhnya.

Rahim mengajak Rahman pergi ke arah datangnya suara tersebut. Ada sebuah bilik kecil lain yang hanya berpintukan daun buluh. Rahim menguatkan zikir lalu berjaya menembusi pintu buluh tersebut. Kepalang terkejutnya dia apabila melihat Zainal, berbogel seperti anak kecil berumur 2 tahun . Zainal sedang duduk ketika itu, dengan tangan digawang ke udara, kaki pula terkangkang luas, persis bayi yang sedang meminta disuapkan susu. Zainal ketawa mengekek.

Rahim mahu melompat ke arah  Zainal tetapi dihalang oleh Rahman. Rahman membuat isyarat supaya melihat dahulu. Rahim membantah tetapi dia disabarkan oleh Rahman. Akhirnya Rahim bersetuju, tetapi dia meninggalkan tempatnya di sebelah Rahman, dia melangkah ke arah Zainal lalu duduk di belakang tubuh lelaki itu.

Haslina? Mahu terjojol biji mata Rahim kerana terlalu terkejut.

‘Apa dibuat gadis ini di dalam hutan? Di rumah usang yang mahu rebah menyembah bumi ini? Apa yang dibuatnya dengan Zainal?’ Rahim mengucap di dalam hati. Di depannya jelas Haslina sedang mengagah-agah Zainal yang kelihatan seronok benar diperlakukan begitu.

“Amboiii..suka sangat ye. Apa yang abang suka sangat ni?” tanya Ramona dengan lemah gemalai. Suaranya sengaja dihaluskan lagi, dituturkan kata-kata itu dengan lenggok suara meggoda dan disertakan dengan sebuah senyuman yang sangat memukau. Zainal menghempas-hempas punggung ke lantai kesukaan.

Ramona menggeletek pula perut buncit Zainal yang sudah menggeleber. Mungkin sudah lama lelaki gempal itu tidak menjamah sebarang makanan. Semakin galak Zainal menggempas punggung apabila dicucuk-cucuk perutnya oleh Haslina. Terkekek-kekek lelaki itu ketawa. Rahim merenung tingkah laku Zainal, kalau dia wujud sekarang ni, mahu saja muka tembam Zainal itu ditampar 10 kali, menyampah benar melihat gelagat lelaki gemuk terkinja-kinja begitu. Panas baran Rahim mula menjenguk.

“Abang nak lina?” tanya Ramona lagi. Dia mengenyitkan mata. Zainal mengangguk laju.

“Abang sanggup mati untuk Lina? Ini kali ke 5 tau…sekali aje lagi abang akan mati. Sanggup?” Zainal tetap mengangguk kepala laju. Terpempan Rahim mendengar kata-kata Haslina. Haslina mendekati Rahim. Sambil mendekat sambil tangannya meraba tubuh dan kaki Rahim. Rahim kegelian. Dia ketawa lagi.

“Lina cantik ye bang?” tanya Ramona lagi.

“Cantikkk..” kali ini Zainal menjawab panjang.

Ramona ketawa panjang. Kali ini dia benar-benar bermain dengan mangsa-mangsanya. Dia tahu dia boleh mempermainkan mereka selama yang dia mahu. Dia tahu mereka rela diperhambakan selagi kecantikan dan kejelitaan dirinya menjadi makanan lelaki-lelaki ini setiap hari. Dia benar-benar mahu berseronok.

Kalau dulu, cuma sekali pakai sahaja. Dia tidak tahu bergurau pada masa dulu. Dia terlalu takut ada orang yang menyedari perbuatannya. Dia risau kalau-kalau mangsanya berjaya melarikan diri.  Tetapi sesudah banyak teruna dinodainya, pengalamannya banyak. Dia sudah pandai menikmati apa makna nikmat dunia.

“Cantik sangat..” Zainal menyambung. Dia sudah merebahkan badan. Ramona berbaring di sebelahnya. Rahim pula menjauh. Dia jijik melihat perlakuan mereka. Dia tidak faham apa yang sedang berlaku. Mengapa sampai ke sini Zainal dan Haslina sanggup datang untuk memadu kasih. Rahim menarik lengan baju Rahman mengajak rakannya itu keluar sahaja dari bilik berbau masam itu.

“Jangan cepat percaya apa yang kau lihat, Iem,” kata Rahman yang membatukan diri. Dia tidak berganjak walaupun Rahim menarik lengan bajunya.

Rahim menoleh memandang Rahman. Rahman menjuihkan bibir ke arah pasangan yang sedang memadu asmara itu. Rahim menjeling sekilas. Sekali lagi dia terkejut sehingga badannya jatuh terhempap ke lantai. Sebiji pelita yang disangkut di paku dinding jatuh , menyebabkan Ramona menoleh. Kali ini Rahim lebih terkejut.

Terkejut beserta takut. Dia terkejut kerana apa yang berada di atas tubuh Zainal, bukan lagi Haslina. Dia takut sekiranya kehadirannya di situ disedari. Dia terkejut bagaimana pelita itu boleh jatuh sedangkan dia tidak berjasad. Hanya Allah yang tahu apa penyebabnya.

Rahim mengundur ke belakang dengan memejamkan mata apabila dia mendengar bunyi seretan tubuh pada papan lantai pondok itu. Gadis itu meninggalkan tubuh Zainal lalu menghidu seperti anjing ke seluruh ruang bilik. Sampai betul-betul dia di depan muka Rahim, gadis itu menghidu lebih lama. Rahim memejam rapat matanya. Dia sendiri tidak yakin dirinya akan terselamat daripada dilihat.

Dia tahu gadis itu berada di depannya. Bahkan dia dapat menghidu sesuatu yang kurang enak . Matanya dibuka perlahan, kecil sahaja tapi sudah cukup buat jantungnya mahu gugur. Serentak dengan itu, pelbagai bunyi kedengaran dari luar rumah. Bahkan di dalam rumah juga seperti ada manusia lain.

Bunyi hentakan kaki di atas lantai rumah, bunyi seperti dinding rumah ditumbuk-tumbuk. Bunyi geseran yang kuat di atas atap rumah.  Rahim tidak peduli dengan bunyi-bunyian tersebut. Apa yang difokuskan adalah makhluk apa yang berada betul-betul di hadapan mukanya.

Wajah di depannya bukan wajah manusia. Hilang langsung wajah jelita milik cucu ketua kampung itu. Kelihatan dua biji mata putih yang sedang terbeliak memerhati sekitar. Kulitnya hitam, dengan sopak-sopak putih di seluruh tubuhnya. Tubuh itu lebih kecil daripada tubuh Haslina, mungkin kerana keadaannya yang bongkok sabut.

Makhluk itu masih menghidu-hidu persis anjing gila. Tubuh Zainal yang terbujur lemah dibiarkan sahaja. Kelihatan kaki Zainal menggeletek sekali sekala. Tubuh gempalnya terkejang-kejang dengan mata terbeliak ke atas.

Tidak dapat mencari punca bagaimana pelita itu boleh jatuh, Ramona kembali merangkak mendapatkan Zainal. Dijilatnya tubuh Zainal. Zainal sudah tidak memberi respon, matanya yang terbeliak ke atas sudah menampakkan mata putih sahaja. Dadanya masih berombak tetapi kelihatan lemah. Hanya hujung jari- jemarinya bergerak-gerak sedikit.

Tubuh gempal Zainal dipeluk-peluk Ramona. Dia mengekek ketawa. Rahim memejam mata tatkala Haslina atau jelmaan Haslina atau hantu Haslina menusuk tangannya ke dalam dada Zainal. Zainal tidak menjerit, hanya mengeluarkan bunyi seperti bunyi lembu disembelih apabila Ramona menyentap keluar jantungnya. Dia menggelupur sekejap kemudian kaku dengan darah memancut-mancut keluar dari luka tusukan itu.

Slurpppp!!! Slurppp!!! Ramona menjilat jantung Zainal yang masih berdenyut. Dia ketawa mengekek. Dia melambung-lambung jantung tersebut, sambil terus ketawa. Darah menitis laju membasahi lantai kayu.

Muncul lidah-lidah panjang dari bawah lantai kayu. Lidah-lidah itu menjilat-jilat darah yang terus mengalir keluar dari tubuh kaku Zainal. Ada lidah yang panjangnya boleh menjangkau ke dada Zainal. Ramona memukul lidah tersebut seraya mendengus, marah mungkin kerana mencuri cecair merah pekat likat itu.

Ramona menjilat dada kaku Zainal dengan rakus, takut barangkali dia berkongsi habuan dengan entah apa jenis makhluk di bawah rumah. Kalau pada awal dulu, dia hanya menggoda lelaki untuk tewas di kakinya, tetap juga lelaki itu akan mati. Tetapi bukan dia yang membunuh mereka. Dia hanya bermain-main memuaskan nafsu. Hal menamatkan riwayat, itu kerja mereka bertiga. Tetapi, kali ini dia perlu membunuh sendiri mangsa-mangsanya. Itu syarat untuk memperoleh apa yang dihajatkan secara mutlak.

Zainal adalah mangsa pertama!!

Ramona menikmati tubuh Zainal. Dari luka di dada, Ramona membuat luka itu semakin besar. Nampak mudah, dia mengoyak tubuh Zainal seperti mengoyak dua sehelai kertas. Terburai isi perut Zainal di atas papan lantai. Satu pemandangan yang amat mengerikan.

Rahim berkalih pandang.  Dinding perutnya  sudah berombak. Tekaknya kembang.

“Kalau kau berjaya keluar dari sini, minta bantuan. Jangan hiraukan aku. Jasad aku di sini,” kata Rahman perlahan.

“Aku takkan tinggalkan kau, Man.” Jawab Rahim pula.

Rahman menarik tangan Rahim. Tidak menunggu lama mereka berdua keluar dari pondok itu. Rahim masih lagi dalam keadaan terkejut. Rahman tenang, seoalah-olah dia pernah menghadapinya. Keadaan di luar sudah gelap. Hanya ada cahaya bulan penuh yang membantu penglihatan.

“Iem..balik!” tegas Rahman.

Rahim hanya berdiam diri. Dalam hatinya tetap juga membantah.

Di halaman rumah, berdiri tegak satu lembaga hitam memandang terus ke dalam rumah. Tegak berdirinya seperti batang kayu. Kalau tidak kerana cahaya bulan, memang tidak akan nampak yang berdiri itu adalah satu lembaga yang menakutkan. Rahim tidak berani mengangkat muka, lagikan mahu merenung terus ke wajah lembaga tersebut.

Dia teragak-agak mahu terus melangkah, tetapi apabila melihat Rahman tenang, dia turut mejadi tenang. Rahim terus berzikir, begitu juga dengan Rahman. Masing-masing tahu hanya zikir yang melindungi mereka waktu itu.

Tiba-tiba tubuh Rahman terperosok di bawah tangga. Kelihatan makhluk bertanduk itu hanya memukul angin sahaja tetapi kekuatannya sehingga membuatkan Rahman terperosok begitu. Rahim tidak terkesan. Terkial-kial Rahman cuba bangun. Tetapi sekali lagi dia jatuh, seolah-olah ditolak kuat oleh syaitan bertanduk itu. Rahim cuba mendapatkan Rahman, tetapi Rahman membuat isyarat supaya Rahim tetap ditempatnya.

“Ramona..” panggil makhluk bertanduk itu. Suaranya sangat dalam. Seakan bergegar gegendang telinga Rahim.

Haslina keluar ke muka pintu. Ramona? Rahim tertanya-tanya. Ramona atau Haslina? Mungkin bukan Haslina, mungkin hanya pelanduk dua serupa. Ada rasa kelegaan dalam hati Rahim.

Rahman sudah tidak boleh bangkit. Rohnya seperti telah diikat. Teringat akan pesanan Rahman, Rahim tekad di dalam hati. Tiada apa yang mampu dilakukannya. Hadirnya cuma untuk diberitahu, bukan untuk membantu. Dipejamkan matanya rapat-rapat, dia tidak tahu cara bagaimana mahu keluar dari tempat itu. Tetapi dalam kekalutan hati dan fikiran, hanya satu jalan yang boleh difikirkan. Jalan Allah. Hanya Allah yang boleh membantunya, lalu diazamkan dalam hati, tekad di jiwa, diserahkan hidup dan matinya pada takdir Allah. Rahim tenggelam dalam zikir yang panjang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *