CSI-RAMONA~BAB 25~

BAB 25

“Iem!!! perlahan la sikit Iem..kau terkocoh-kocoh nak cari Shamsul kenapa?” Musa berlari-lari anak mengejar langkah Rahim yang laju. Nampak seperti  Rahim melompat-lompat antara lopak-lopak kering di denai itu. Musa mengikut langkahnya. Namun tubuhnya yang agak berisi berbanding tubuh Rahim yang kurus-kering, membuatkan nafasnya agak pendek, tercungap-cungap dia jadinya.

“Cepat lah sikit, nak hujan ni,” Rahim menggesa.

Serentak dengan itu, guruh berdentum di langit. Melatah Musa dibuatnya. Dia mendongak melihat awan yang tiba-tiba sahaja menutupi dada langit. Pelik, getus hati kecil lelaki bertubuh gempal itu.

Rahman turut sama mendongak. Dia juga pelik kerana pagi tadi cuaca sangat baik. Tiada tanda-tanda mendung langsung. Tapi sekarang, perubahan cuaca yang amat mendadak itu menggusarkan hatinya.

Dummm!!! Guruh berdentum sekali lagi. Kali ini disertakan kilat yang mengena dahan pokok petai di belah kanan denai. Patah dua dahan itu jadinya, bau hangit mula dapat dihidu. Musa melatah lagi. Kali ini Rahim menghentikan langkah, sehingga Musa berjaya berdiri di sebelahnya.

“Aku rasa ada yang tak kena la Iem..jom balik. Esok-esok aje la kita jumpa Shamsul,” Musa separuh berbisik ke telinga Rahim. Rahim menepis cuping telinganya, mungkin kerana kegelian dengan bisikan Musa.

“Tak ada apalah…kau zikir aje dalam hati. Kena jumpa Shamsul hari ni jugak. Kalau tak kawan-kawan kita tu mati.” kata-kata Rahim tamat di situ, dia memusing badan untuk menyambung langkah.

Dumm!!!

Sekali lagi petir memanah dahan pokok, kali ini betul-betul terkena pelepah pokok kelapa di depan mereka. Berserakan beberapa biji buah kelapa jatuh ke tanah. Sebiji darinya terkena sipi di bahu Rahim, itu pun mujur dia melompat ke tepi. Tersadung pula kakinya kerana ada lopak air di situ, Rahim terduduk. Dalam kesakitan, Rahim berjaya untuk bersila, Musa yang agak ketakutan mendekat. Dia mencangkung di tepi Rahim. Lelaki bermisai tebal itu lantas mengarahkan Musa supaya bersila sepertinya.

“Zikir,” arah Rahim.

“Nak zikir apa?” tanya pula Musa. Wajahnya kosong. Dia benar-benar keliru, takut dan tak dapat berfikir dengan jelas.

Rahman menunjal kepala Musa. Geram pula dia dengan sikap bodoh-bodoh alang si Musa. Badan biar lembab, otak biar cergas! Omel Rahman di dalam hati. Tunjalan kali ini membuatkan kepala lelaki gempal itu terteleng sedikit. Pucat tak berdarah muka Musa jadinya. Dia menoleh ke sekeliling, tiada orang lain di situ kecuali dia dan Rahim. Berderau darahnya apabila dia melihat tangan Rahim berada di atas pahanya.

“Iem..Iemmm.” Musa mendekatkan tubuhnya ke tubuh Rahim. Dia yakin ada sesuatu yang menolak kepalanya tadi. Rahman tidak dapat menahan geli hati, dia ketawa besar melihat wajah pucat Musa.

Rahim hanya membiarkan Musa duduk dekat dengannya sehingga boleh bergesel bahu. Matanya dipejamkan, mahu betul-betul khusyuk dalam zikir yang dibacanya. Musa yang melihat Rahim begitu, meniru perbuatan rakannya itu walaupun dia tidak tahu apa yang harus dibaca.

‘           Ahh..biasanya kalau seram-seram macam ni, mesti lah baca Fatihah kan?’ lelaki gempal itu bersoal jawab dengan diri sendiri. Sejurus selepas itu dia memulakan bacaan al Fatihah dengan agak kuat. Rahim menepuk pahanya, terkejut Musa jadinya. Bacaannya langsung diperlahankan.

‘Betul ke baca Fatihah? Aduhhhh!!! Nak baca apa ni?’ Musa mengomel pula. Hatinya jadi tidak tetap pendirian kerana rasa takut sudah mencengkam sanubari.

Kanvas langit semakin gelap. Walaupun jika dilihat dengan teliti, di sebelah baruh kampung langit terang benderang, begitu juga di sebelah yang lainnya. Seolah-olah langit gelap itu hanya merangkumi tempat mereka berada sahaja, sejauh mata menoleh sejauh itulah kedaan tidak sama dengan sekitar yang lain.

Angin mula bertiup kuat. Ranting-ranting dan dedaun pokok berterbangan lalu jatuh betul-betul di hadapan Rahim dan juga Musa yang sedang berzikir. Rahim masih lagi memejam mata, Musa juga mengikut berbuat demikian. Tetapi hatinya was-was adakah Rahim masih di sebelahnya, lalu matanya dibuka sedikit.

Keadaan sudah menjadi gelap, seperti matahari sudah hampir terbenam sepenuhnya, sedangkan jarum jam baru menginjak ke angka sebelas. Musa melopong melihat keadaan yang sudah berubah sama sekali. Dari tepi badan Rahim, dia nampak jelas ada bayang-bayang hitam yang semakin mendekati tempat mereka bersila. Musa memejam mata kembali, kemudian dibukanya semula apabila angin yang menderu menghasilkan satu bunyi pelik dan membingitkan telinga.

Musa mencuit tubuh Rahim yang masih lagi kukuh bersila. Tiada reaksi dari Rahim yang semakin khusyuk dalam zikirnya.  Musa menggigil, dia pejam lagi matanya tetapi semakin hatinya jadi tak keruan. Dibukanya semua biji matanya, nampak pula bayang-bayang hitam yang semakin jelas dan dekat. Musa meraung di dalam hati.

“Iem..Iemm…aku takut ni Iem. Ada hantu, Iem..” Musa separuh merengek. Bahu Rahim digoncang-goncang tetapi Rahim masih diam membatu. Dia mahu lari, tetapi rasa takut membuatkannya takut mahu mengambil tindakan.

Bayang-bayang hitam itu bertukar menjadi pusaran angin, lalu terbang hilang di udara. Musa melepaskan keluhan lega. Dia kembali mahu menyambung bacaannya. Serentak dengan itu, angin kembali menderu memukul tubuhnya sehingga dia rasa terlalu sejuk. Sejuk yang mencengkam ke tulang, sehingga dia berpeluk tubuh. Bacaannya terhenti lagi.

“Musa…” satu suara berbisik halus di telinganya. Musa terus terkencing di situ juga.

“Jangan bunuh aku, aku belum kahwin lagi,” rayu Musa dengan airmata sudah mengalir di pipi.

“Bujang macam kau lah yang aku suka,” suara itu berbisik lagi.

“Tak..Tak..aku bukan bujang, bulan depan aku dah nak kahwin,” jawab Musa sambil menangis teresak-esak. Suara itu ketawa berdekah-dekah.  Musa menutup rapat kelopak matanya.

“Jangan bunuh aku, tolonglah jangan bunuh aku.” Musa mengulang ayat seperti meratip.

Keadaan menjadi tenang tanpa diduga. Tiada deruan angin, tiada bisikan halus atau dekahan ketawa. Musa dapat merasa sekelilingnya berubah. Tidak ada bunyi-bunyi ranting berguguran atau dahan patah seperti dipijak-pijak. Segalanya tenang. Dengan tarikan nafas panjang Musa membuka mata, dia yakin Rahim juga sudah membuka mata. Entah-entah rakannya itu sedang asyik mentertawakannya.

Musa tersenyum. Semuanya telah kembali seperti sediakala. Dia menoleh ke kiri mahu melihat Rahim, dia menggeleng-gelengkan kepala apabila melihat Rahim masih lagi dengan zikirnya. Bahu Rahim ditepuk kuat.

Serentak dengan itu juga, bahu kanannya ditepuk. Dia menepuk sekali lagi bahu Rahim, bahu kanannya sekali lagi ditepuk. Kali ini lebih kuat dari tepukan yang pertama. Kali ketiga dia menepuk Rahim, dia menoleh ke kanan. Terbeliak matanya, terus badannya jatuh ke belakang dengan kedudukan kaki masih lagi bersila. Rahman yang terlupa dirinya seperti roh, menyorok di belakang Rahim. Dia juga ketakutan, kalau boleh dia juga mahu pengsan seperti Musa.

Tegak berdiri satu makhluk yang entah bagaimana mahu digambarkan. Makhluk itu berbadan tegap dengan senyuman di wajah. Tepat memandang anak mata Musa yang menoleh memandangnya. Bukan Rahim yang menepuk bahu Musa, tetapi mahkluk itu. Tersenyum menampakkan gusinya yang pucat tanpa gigi.

Matanya redup tetapi jelas menampakkan niatnya yang mahu menakutkan Musa. Renungan redup mata itu menusuk terus ke sanubari, membuatkan lutut menggeletar seperti Musa yang terus sahaja pengsan. Wajah itu bersih, tiada sopak atau gambaran hodoh hantu yang selalu diperkatakan, namun di sebalik wajah yang biasa itu, membawa aura yang sangat menyeramkan. Redup mata, hembusan nafas, tepukan di bahu juga senyuman lebar yang tidak mesra, tetapi tidak juga menakutkan. Sebuah senyuman ikhlas yang menyeramkan.

Angin kembali bertiup, kali ini lebih kuat dari sebelumnya membawa ranting-ranting dan dedaun kering berterbangan di udara.  ranting-ranting dan dedaunan kering tersebut hanya jatuh di satu tempat, iaitu di hadapan Rahim yang sedang berzikir, dan juga di hadapan Musa yang telah pengsan.

Langit semakin gelap. Sudah ada rintik-rintik hujan jatuh ke atas muka, lengan dan tubuh Rahim. Tetapi dia tetap kaku, bersila dengan tangan digenggam erat. Ilmunya tidak setinggi mana, tetapi jika ada yang mencari geruh, pantang anak lelaki mengundur diri.

Rahman mendapat kekuatan setelah melihat keazaman Rahim. Dia turut berzikir, zikir yang sama seperti yang diajar oleh lelaki di dalam orbit cahaya, yang membawanya keluar dari rumah buruk itu. Pada waktu itu ribut pula melanda.

Monyet, kera, lotong saling bertingkah. Di atas pokok di atas tanah, mereka menggila. Melompat dari dahan ke dahan yang sedang bergoyang kuat dipukul ribut. Haiwan-haiwan itu tidak henti-henti menjerit, mewujudkan suasana yang sangat menyeramkan pada sesiapa saja yang menghadapinya.

Akhirnya Rahim membuka mata. Di hadapannya sudah terkumpul busut kayu yang agak tinggi.  Sama tinggi dengan aras kepalanya yang sedang bersila. Rahim merasa pelik tetapi dia membiarkan sahaja. Seekor dua monyet bermain acah-acah dengannya. Mulut monyet-monyet tersebut menyeringai menampakkan taring yang panjang dengan air liur yang menjejeh keluar. Rahim buat tidak peduli.

“Manusia memang degil. Berlagak seperti bijak pandai tetapi bodoh!” Salah seekor dari monyet yang sedang menyeringai itu tiba-tiba melompat naik ke atas busut kayu. Mulutnya bergerak-gerak seperti sedang menuturkan sesuatu. Tidak pasti dari mana datangnya suara itu. Masakan monyet boleh bercakap, walaupun jelas kelihatan mulut haiwan itu terherot-herot ke kiri dan kanan.

‘Ilusi aku saja semua ni,’ bisik hati kecil Rahim.

Monyet yang dianggap bercakap itu menggawang tangan. Datang pula beberapa ekor monyet yang lain dengan mata yang merah menyala. Masing-masing dalam posisi yang sedia untuk menyerang. Kali ini Rahim jadi semakin tidak betah duduk.

Seekor monyet berjalan mengelilingi Rahim dan Musa yang masih lagi pengsan. Gigi taringnya yang panjang dan tajam itu dengan mudah boleh mencarik daging tubuh Rahim. Rahim menarik nafas dalam-dalam cuba mencari kekuatan.

“Kalau aku..” seekor monyet lain melompat naik sambil memukul-mukul dadanya. Dia menyeringai merenung wajah Rahim. Monyet yang kedua itu juga membuka mulut. Rahim yang terpaku menunggu apa bakal terjadi.

“Kalau aku jadi kau..aku lari,” satu suara garau tetapi jauh di tenggorok berkata, betul-betul di cuping telinga Rahim. Lelaki itu terkejut bukan kepalang. Kedua-dua ekor monyet tadi melompat-lompat gembira. Mengekek-ngekek mentertawakan Rahim yang masih lagi dalam keadaan terkejut.

Bukan hanya 2 ekor, boleh dikata kesemua monyet, kera dan lotong menggegarkan kawasan itu dengan jerit pekik mereka, sememangnya sedang mengejek Rahim. Suara garau itu turut ketawa.

“Balik…” lembut sahaja suara garau itu berkata. Lembut yang menyeramkan setiap inci tubuh badan yang mendengar. Dalam beberapa saat, kesemua haiwan yang seolah-olah memenuhi kawasan itu berlari memanjat pokok lalu hilang di sebalik dedaun yang lebat.

Rahim masih cuba bertahan, namun ilmunya hanya sedikit, tidak dapat menjadi benteng pertahanan hatinya yang sudah mula goyah.

“Kalau aku sampai tunjukkan diri aku, kau mati!” ugut suara garau itu. Rahim tersentak.

Keadaan semakin gelap. Rahim tidak tahu mahu berbuat apa, dia hanya ada pedang zikir, belum cukup ampuh untuk melawan musuh-musuh di hadapannya.

Tetapi lelaki berkumis tebal itu tetap mahu bertahan. Dari ekor matanya, dia nampak ada sesuatu yang melayang. Benda itu bukan berterbangan, bukan juga di awang-awangan, hanya sekilas dia dapat melihat membuatkan dia sendiri tidak pasti.

Rahman pula khusyuk dengan zikirnya. Dia seolah-olah sekali lagi tenggelam dalam zikir yang panjang. Dia dapat jiwanya. Dia dapat zatNya. Dia memegang tangan Rahim, Rahim yang terkejut menarik sedikit tangannya kerana tindakan refleks. Rahim menoleh, sekarang dia nampak wajah Rahman. Tadi di warung dia hanya dapat merasakannya sahaja.

Rahman tersenyum. Dibisikkan pada Rahim sesuatu. Diajarkan Rahim zikir yang dibacanya. Rahim mengangguk. Lantas tangan sahabatnya itu dipegang. Rahim dapat keluar dari kawasan gelap itu, dengan angin ribut dan monyet pelik, juga suara garau itu tidak dapat mengganggunya lagi. Tetapi dia juga nampak tubuhnya sama-sama terkujur di sebelah tubuh gempal Musa. Dia memandang Rahman, namun Rahman hanya membalas dengan senyuman.

*****

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *