CSI-RAMONA~BAB 24~

BAB 24

“Pak Ya..kopi panas satu, bagi tarik sikit!” laung Jusoh dari meja tepi di warung kopi Pak Ya. Pak Ya mengangkat tangan seraya mengangguk kepala. Jusoh mencapai sebungkus nasi lemak daun pisang, dibukanya sambil tersenyum. Perutnya berkeroncong, nasi lemak bersambal ikan bilis itu sangat-sangat membangkitkan seleranya.

Dia berseorangan pagi itu. Biasanya ada si Ali anak Pak Man menjadi temannya bersarapan sebelum mereka berdua masuk ke hutan mencari rotan atau keluar berburu. Tetapi sudah seminggu hatinya tidak senang untuk masuk ke dalam hutan, walaupun  sudah berbelas tahun, hutan itu lah punca rezekinya.

Nasi lemak disuap ke dalam mulut. Asyik benar atau terlalu lapar, sehingga dia tidak menghiraukan sesiapa yang keluar masuk di warung itu.

“Jusoh…” satu suara menyapanya. Namun Jusoh buat seperti tidak peduli.

“Jusoh!” suara itu sedikit keras. Tetap juga Jusoh buat tidak peduli. Diam seketika sehinggalah Pak Ya datang dengan membawa secawan kopi.

Jusoh mengangkat kepala lalu mengucapkan terima kasih.

“Pak Ya..” suara itu menyapa Pak Ya pula. Orang tua itu menoleh. Empunya suara yang menyapa tersenyum. Hatinya sedikit sebal dengan tingkah Jusoh yang langsung tidak mempedulikannya.

Pak Ya tersenyum mesra. Tangan tuanya disua untuk bersalam.

“Lewat Tok Aji sampai pagi ni..” Pak Ya tersenyum girang menyapa dan bersalam dengan Haji Yunus, orang tinggi ilmu agama di kampung itu. Orang kedua yang disegani oleh penduduk kampung selepas Tok Anjang. Salamnya disambut mesra oleh lelaki berserban putih itu.

Rahman, si empunya suara terus lemah lutut. Tubuh Pak Ya telus menembusi tubuhnya. Pak Ya bukan tersenyum padanya, juga bukan menghulur tangan untuk bersalam dengannya. Rahman menoleh ke arah Jusoh, yang sedang leka menghirup kopi panas di dalam cawan.

“Jusoh!” Rahman memanggil lagi nama Jusoh. Tetap tiada sahutan. Malah tiada sebarang reaksi dari rakan sekampungnya itu.

“Jusoh! Jusohhh!!!!! hoiii Jusoh!!” Rahman menjerit. Dia panik. Dia menjerit lagi memanggil nama Jusoh. Menjerit di depan muka Jusoh, di cuping telinga malah kepala Jusoh ditunjalnya. Namun tiada kesan. Dia sendiri tidak dapat merasa jasad Jusoh yang disepak terajang.

Rahman menggila. Dia seperti melompat dari meja ke meja menjerit memanggil nama mereka. Tiada reaksi. Tiada siapa yang mendengar. Dari panik Rahman menjadi takut. Sudah mati kah dia?

*****

“Kau tahu apa perasaanku, Cempaka?” tanya Ramona dengan senyuman di bibir. Cempaka menjungkit bahu. Sudah lama dia mendampingi Ramona, namun perihal hati manusia bukan menjadi kepentingannya. Dia cuma tahu apa yang diarah untuk dia lalukan, arahan semuanya daripada Laila. Sama juga dengan Mawar dan Anggerik. Mereka cuma khadam, bukannya kawan. Tetapi jika salah cara, mereka akan menjadi lawan.

“Kau ceritalah, aku mahu dengar,” jawab Cempaka perlahan.

Ketika itu Ramona sedang duduk melunjur kaki di atas anak tangga teratas di pondok di dalam hutan sambil merenung gelap pekat malam. Keadaan sekitar seperti sepatutnya berada di tengah-tengah hutan, dengan bunyi katak, cengkerik, burung hantu saling bersenandung menghasilkan irama yang tidak keruan.

“Kau percaya yang aku rasa aku suka pada seseorang?” tanya Ramona lagi.

Cempaka terkejut. Bulat matanya memandang wajah Ramona, sekelip mata juga dia menghilang. Seketika selepas itu dia muncul kembali membawa bersama Mawar dan juga Anggerik.

Ramona menoleh seraya tersenyum nipis.

“Kamu bertukar lah. Aku jemu melihat kamu semua berlegar-legar ke sana ke mari. Kamu bertiga berlakon menjadi kawan manusiaku, aku rimas melihat kamu berterbangan begitu. Lekas bertukar dan duduk bersebelahan denganku.” Arah Ramona. Dia menebarkan pandangan ke arah mereka bertiga. Dia berhasrat mahu berkawan pada malam ni, bukan berteman khadam.

Hanya beberapa minit, muncul dari dalam rumah tiga orang gadis cantik berkebaya pendek dengan langkah teratur menuju ke arah Ramona yang sedia menunggu. Dia menghadiahkan senyuman lebar kepada gadis-gadis tersebut.

“Aku mahu benar jika punya kawan seperti kamu. Aku mahu rasa yang aku ini bukan syaitan, tetapi manusia biasa,” meletus tawa dari mulut Ramona sejurus selesai berkata-kata. Anggerik, Cempaka dan Mawar hanya tersenyum. Cuma senyuman Cempaka seperti dipaksa.

“Kau jangan jatuh cinta. Aku gusar bila kau mengaku begitu. Dengan jejaka mana yang kau jatuh hati?” Cempaka tiba-tiba bersuara. Kata-katanya menarik perhatian Mawar dan Anggerik sehingga kedua-duanya melopong mulut.

Mawar segera menutup mulut Anggerik, begitu juga Anggerik yang sudah menekap tapak tangannya ke mulut Mawar. Masing-masing menggeleng-gelengkan kepala dengan muka terkejut.

“Kerana hal ini kah kau memanggil aku dan Mawar datang, Cempaka?” tanya Anggerik tegas. Cempaka pantas mengangguk.

“Kau tak boleh jatuh cinta, Ramona! Jangan!” bentak Anggerik keras. Mawar mengangguk tanda setuju. Ramona hanya tersenyum. Dia menundukkan wajah merenung hujung jari kakinya yang hanya bersuluhkan api jamung yang dipasang di halaman rumah.

“Iya..aku tahu.” Jawab Ramona perlahan.

“Kau ni terlalu degil! Susah aku nak cakapa apa lagi. Kalau kau tak takut dengan Laila, kau patut takut dengan si tanduk dua!” Anggerik menyambung kata penuh emosi.

“Jejaka mana?” tanya Cempaka untuk kali kedua. Kali ini suaranya juga bertukar keras.

Ramona bingkas bangun seraya menepuk-nepuk punggungnya. Dia ketawa geli hati. Mereka yang lain saling berpandangan sesama sendiri, tidak dapat menduga apa olah Ramona kali ini. Ramona pula mula mengorak langkah menuruni anak tangga sehingga jejak ke tanah. Dia menoleh melihat mereka bertiga.

“Aku bergurau saja, sudah lah..aku tahu aku hidup bersyarat,” tingkah Ramona mahu menamatkan sahaja cerita itu.

“Jika kau tahu, jangan disebut lagi. Faham?” tingkah Anggerik. Ramona mengangguk kepala lagi. Dia sangat-sangat faham dan masih ingat perjanjiannya dengan Ifrit dan juga Laila.

“Ya, ya aku tahu. Dari dulu lagi kalian asyik membebel mengingatkan aku. Sudah lah, aku bergurau saja.” Kata Ramona membalas kata-kata Anggerik.

“Aku ingat…dan aku tetap salahkan takdir mengapa aku dilahirkan dengan sebegini hodoh, dibuang keluarga, hidup tanpa kasih sayang, tanpa bimbingan.” Sambung Ramona dengan nada penuh kebencian namun cukup perlahan. Teringat dia pada Tok Anjang dan Rashid, semakin meluap-luap rasa sakit hatinya. Dia tidak pasti sama ada gadis bertiga itu mendengarnya atau tidak. Hati kecilnya mengharapkan mereka tidak mendengar rintihan halusnya tadi.

“Aku dengar..” Ujar Mawar.

“Hurmm..aku juga,” tambah Cempaka.

“Sudah! Jangan kau layan perasaan tu. Fokus kau cuma satu, kau mahu kekal cantik begini dan diterima oleh masyarakat. Jadi, itu..ada empat orang teruna sedang menanti kau.” Anggerik memuncungkan bibir ke arah rumah. Ramona menoleh, walaupun yang dapat dilihat hanya dinding kayu nipis yang samar-samar kelihatan.

“Aku mahu lepaskan mereka,” olah Ramona. Ada nada simpati di dalam tutur katanya.

“Kalau kau lepaskan, aku tak menghalang. Tapi mereka tetap akan mati. Kalau bukan di tangan kau, di tangan kami bertiga!” ugut Cempaka keras.

Meletus tawa gadis-gadis jelita itu.

“Kau ni Cempaka, pemarah. Aku cuma bergurau. Masakan aku mahu lepaskan mereka…sedangkan aku boleh bersenang-senang selepas ini. Mereka mangsaku yg terakhir,” Ramona meleret senyum. Ada rasa nyeri dalam hati melihat lerekan senyuman yang cantik, tetapi misteri, menawan tetapi mewujudkan rasa seram.

Ramona berkalih pandang. Hitam pekat malam menjadi habuan pandangan matanya. Walaupun tidak ada apa yang boleh ditembusi oleh mata kasar kerana suasana terlalu gelap, namun dia rasa selesa menebar pandang ke dalam kanvas hitam itu.

Persis seperti kehidupannya juga. Tiada langsung palitan putih. Yang boleh dilihat hanyalah noda-noda hitam yang tidak boleh dipadam. Tidak mampu disental, tidak lekang jika direndam. Hitam yang kekal. Hitam yang akan dibawa pulang bila nyawa sudah tercerai dari badan.

Satu keluhan berat dilepaskan. Ramona melurut rambutnya, memintal-mintal dengan hujung jari. Dia akhirnya membuat satu keputusan.

“Baik..akan aku lakukan. Tapi bukan malam ini. Aku mahu ke sungai, terasa panas, aku mahu mandi dulu. Kalian mahu turut?” Ramona bingkas bangun lalu dengan berhati-hati dia menuruni anak tangga satu persatu.

Pastilah khadamnya yang bertiga itu menuruti langkahnya. Sungai yang terletak tidak sampai 30 meter dari rumah memang menjadi tempat keempat-empatnya selalu bermain dan bergurau senda. Malam itu, Ramona mahu meneutralkan kembali keadaan dia dengan ketiga-tiga gadis jelmaan itu. Dia tidak mahu sampai Laila tahu isi hatinya.

Sampai sahaja di tebing sungai, ada bongkah batu besar yang sesuai untuk mereka duduk-duduk bermain air dengan hujung kaki. Ramona berdiri di atas bongkah batu tersebut, butang bajunya dibuka satu persatu, sanggulnya dilepaskan dan akhirnya dia turun ke dalam sungai tanpa seurat benang. Perbuatannya ditiru oleh Cempaka, Mawar dan Anggerik.

Mereka berendam, bermain air, berenang tanpa memikirkan ada sesiapa yang memandang. Bulan yang tadinya ditutupi awan, semakin cerah sinarnya tanpa awan yang melindungi lagi. Kalau dilihat dari jauh, dengan wajah-wajah jelita bermain air dengan gemersik gelak tawa, pasti ada yang menyangka mereka puteri dari kayangan, turun ke bumi untuk bermain-main, kemudian nanti bila embun jantan mula menitik, mereka akan terbang melayang hilang di balik awan pulang ke kayangan.

Paling tidak, akan ada yang menganggap mereka puteri-puteri bunian yang nakal. Mungkin ada yang berani mengikut mereka pulang, kononnya mahu berkahwin dengan puteri bunian. Tetapi akhirnya tersungkur mati dengan nafsu yang menjerat diri.

Di sebalik batang merbah, ada sesuatu yang menunggu. Ada sesuatu yang ditagih.

*****

Rahman mengatur langkah lemah. Dia rasa dia mungkin sudah mati, tetapi sakitnya mati itu tidak pula diingatnya. Dia tidak ingat apa-apa sebenarnya. Dia cuma ingat apa yang berlaku pada petang dia mencempung tubuh Haslina, kemudian kosong. Dia juga dapat mengingat lelaki berbaju melayu hijau itu memimpinnya, menyuruhnya berzikir, bersolat di surau tinggal dengan jemaah yang hilang bagaikan kabus dan sekarang, dia berada di warung Pak Mat dengan tiada siapa yang dapat melihatnya.

Rahman berdiri di tepi meja di hujung warung. Ada di situ, Rahim dan Musa,  mereka berdua juga adalah teman-teman rapatnya. Sama-sama bermain tanah waktu kecil dulu, berbogel balik dari mandi sungai kerana seluar dihanyutkan air.

“Iem..aku ni Iem..kau tak nampak aku ke?” rintih Rahman merenung wajah Rahim yang sedang enak menghembus rokok daun. Rahim buat tidak peduli. Sedangkan apa yang dibebelkan oleh Musa juga dia tidak ambil pusing, ini kan pula luahan hati Rahman yang entah berada di dimensi apa ketika itu.

Rahman mencuba nasib menegur Musa pula. Sama sahaja respon seperti Rahim. Semua orang langsung tidak mempedulikannya. Rahman sudah mahu berputus asa. Dia sekadar berdiri tegak melihat sekeliling sambil mendengar celoteh Musa. Musa memang ringan mulut, berlainan dengan Rahim yang berat mulut.

Kadang-kadang dari tengahari membawa ke petang, hanya Musa yang bercerita itu ini, Rahim pula hanya mengangguk, menggeleng, ketawa atau paling teruk, dia buat muka tak ada perasaan. Tetapi Musa tidak peduli, kerana itulah Rahim yang dikenalinya sejak kecil dulu. Di sekolah dulu, nama jolokan Rahim adalah Rahim Bisu walaupun dia tidak bisu. Rahim tetap sama, macam itu jugalah dia, tiada respon. Tetapi keduanya tetap menjadi sahabat baik walaupun beza perangai bagaikan langit dan bumi.

“Aku rasa dorang tu dah mati la Iem. Lama dah hilang kat dalam hutan nun. Mana nak cari lagi, dah dua minggu, baik orang kampung, polis, RELA keluar masuk hutan, jejak pun tak nampak,” rungut Musa dengan wajah agak suram. Dia terkenang rakan-rakan sepermainannya dulu, Zainal, Zaki, Safuan dan Rahman.

Mata Rahman membulat. Dua minggu? Dia bagai tidak percaya sudah selama itu mereka berempat tidak pulang-pulang ke rumah. Teringat akan ibunya, hatinya meruntun pilu. Walau begitu, ada rasa bersyukur yang terbit di hati kerana masih ada yang mengingatinya, walau hanya sekadar meluah perasaan sebegitu. Dia menunggu. Menunggu kata-kata berikutnya dari Musa. Tetapi hanya keheningan yang dia peroleh. Rahim dan Musa diam tak berkata.

Rahim menenyeh puntung rokok di dalam bekas buluh buatan sendiri yang dijadikan bekas abu rokok. Air kopi yang masih bersisa di dalam cawan dihirup habis. Buah halkumnya naik turun menelan air. Akhirnya satu keluhan berat dilepaskan.

“Aku rasa mereka tu mati tidak, hidup pun tidak,” meletus komen Rahim tiba-tiba. Musa mengangkat muka memandangnya. Rahman juga membulat mata memandang Rahim. Dia menanti kata-kata selanjutnya dari lelaki berkumis tebal itu.

“Aku rasa kalau kita masuk sekali lagi..boleh jumpa,” ujar Rahim lagi. Musa menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak setuju. Air teh tarik dihirup sekali.

“Dah takde dah dorang tu Iem..dah sebulan. Makan ke tak makan kita tak tau. Harimau ular semua ada dalam hutan tu. Hutan tu tebal Iem, bukan semak samun,” tingkah Musa.

‘Sebulan? Tadi kau kata dua minggu? Musa!! Musa!!’ Rahman menjerit-jerit seperti orang gila. Dia diselubungi rasa takut yang bukan sedikit.

‘Betul lah aku dah mati ni..mak!! o mak!! Man tak jumpa mak lagi ni mak. Man dah mati ke ni? Musa! Iem!! Tolong lah dengar apa aku cakap ni, Iemmmm!!’ Rahman sudah meraung seorang diri.

‘Hoi Musa!!! Ni aku hidup lagi ni!’ kepala Musa ditunjal-tunjalnya. Dia betul-betul melepas geram memandangkan Musa tidak boleh merasa. Musa menggaru-garu kepalanya, tiba-tiba terasa gatal, seperti ada kutu saja gelagatnya.

“Hah!! Gatal dah kepala?” Rahim menegur seraya ketawa. Satu lagi rokok daun dibakar. Dihisap dalam-dalam lalu asap berkepul-kepul dihembus keluar

“Cakap tak tengok kiri kanan,” omel Rahim. Rahman memandang wajah Rahim. Dia tertanya-tanya apa yang Rahim tahu sebenarnya.

Musa pula tercengang-cengang mendengar omelan Rahim. Apa yang Rahim maksudkan dia langsung tidak mengerti, tetapi tidak juga mahu ambil peduli.

“Eh..betul lah aku cakap, dorang tu dah arwah dah,” Musa tetap berdegil. Rahman yang mendengar sekali lagi menunjal kepala Rahim. Sekali lagi Musa tergaru-garu kepala.

“Apalah yang gatal sangat ni?” bebel Musa sambil tergaru-garu. Rahim sekadar tersenyum sinis.

“Kalau kau rasa dorang tu hidup lagi, mana celah nak cari? Aku rasa dah berbatu ke dalam hutan tu kita cari.” kata Musa lagi. Gatal kepalanya sudah berkurang.

Rahim hanya berdiam. Dia merenung asap rokok yang dihembusnya.

“Kau ni hisap rokok ke kau hisap serombong keretapi? Banyak nau asapnya,” Musa menegur. Rahim tetap berdiam diri. Dihembus lagi asap rokoknya ke ruang udara. Kemudian dihisapnya lagi dalam-dalam, dihembus lagi. Akhirnya dia berdehem.

“Habiskan air kau tu, kita pergi jumpa Shamsul.” kata putus dari Rahim. Dia terus menggamit Pak Ya untuk membayar harga makanannya.

“Aku kena ikut ke?” Musa bertanya pantas. Dia tidak mengerti mengapa Rahim seoalah-olah tergesa-gesa mahu pergi dari situ.

“Kau ikut, sesiapa pun boleh ikut.” Jawab Rahim. Dia membayar sekali harga minuman Musa.

Rahman terkejut. Dia nampak mata lelaki itu seperti menoleh sekilas kepadanya. Adakah kata-kata terakhir Rahim bermaksud dia boleh pergi bersama? Adakah Rahim nampak jasadnya? Rahman berbolak-balik di dalam hati.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *