CSI-RAMONA~BAB 23~

BAB 23

Orang-orang kampung yang menunggu di surau, tercangak-cangak kepala memandang ke arah jalan besar mana tahu kelibat Tok Anjang akan muncul di sana. Sudah lebih dari 30 minit sejak mereka semua sampai di surau, tetapi ketua kampung yang disegani itu masih juga belum nampak muka.

Mak Gayah sudah beberapa kali menangis, kemudiannya dapat dipujuk oleh jiran-jiran, tetapi lama kemudian dia menangis lagi mengenangkan nasib Latif yang entah di mana anak jantannya itu berada.

Dari kejauhan, kelihatan sesusuk tubuh sedang berlari pantas mendapatkan orang yang sedang berkumpul di surau. Semakin dekat tubuh itu berlari, semakin jelas akan pemiliknya. Lajis termengah-mengah dengan peluh bercucuran membasahi baju T yang dipakainya.

“Kenapa kau kalut sangat sampai berpeluh-peluh ni, Lajis?” Soal Pak Hassan sejurus dia sampai di hadapan Lajis yang masih termengah-mengah.

Pak Hassan melaung meminta dibawakan air segelas untuk diberi minum kepada Lajis. Cepat-cepat Cik Ros yang mendengar  masuk ke dapur surau, kemudian dia muncul kembali dengan membawa segelas air putih. Gelas jernih itu dihulur kepala Lajis.

“Pak Hassan, ikut saya! Sekarang!” kalut Lajis mengajak semua Pak Hassan mengikutnya. Pak Hassan cuba menyabarkan Lajis. Dia tidak mahu menurut tanpa faham akar umbi cerita.

“Kamu ni dah kenapa? Cuba bertenang dulu,” kata Pak Hassan sambil menepuk bahu Lajis yang terbatuk-batuk menarik nafas. Lajis menggeleng-gelengkan kepala.

“Tak boleh tunggu, Pak Hassan. Marilah ikut saya!” ajak Lajis lagi.

“Aku ni dah tua Lajis, tak pasal-pasal aku yang mati terbeliak biji mata nanti,” Pak Hassan menjadi sedikit marah. Lajis akhirnya melangkah menuju ke tangga surau, dihenyakkan punggungnya seraya melepaskan keluhan berat.

“Ikut saja lah Pak Hassan. Ni mana yang muda-muda ni? Semua yang ada kat sini dah berkerepot,” celupar mulut Lajis berkata.

Pak Hassan sudah mengangkat tangan mahu menampar muka lelaki itu. Lajis tersengeh menampakkan barisan giginya yang rata-rata kekuningan banyak akibat menghisap rokok daun. Lajis mula bercerita kenapa dia jadi kalut begitu. Sedang Lajis bercerita, Pak Hassan menarik bahu Lajis lalu diajak ke tepi surau, kawasan yang tidak ramai orang kampung berkumpul. Beberapa orang tua yang lain mengikut langkah Pak Hassan.

“Saya cam baju tu Pak Hassan. Baju yang sama masa saya jumpa dia malam tu.” Lajis berkata dengan nada yang bersungguh.

“Betul apa yang kau cakap ni, Lajis?” tanya Pak Berahim menyampuk perbualan antara Lajis dan Pak Hassan. Lajis mengangguk laju.

Cik Ros yang mendengar perbualan lelaki-lelaki itu terus berlari ke belakang surau, kelibatnya hilang dalam sekelip mata. Pak Berahim yang perasan tingkah anak gadis itu melaung kuat namun gadis itu langsung tidak peduli.

Khabar yang dibawa oleh Lajis sangat-sangat mengejutkan. Cik Ros tidak dapat duduk menunggu sahaja. Dia perlu melihat sendiri apa yang dikatakan oleh Lajis tadi.

“Ahh, sudah. Si Ros ni, menyusahkan orang nak mencari dia pula.” Kata Pak Hassan.

“Lajis!! Kau kejar si Ros. Hishhh..” arah Pak Hassan dengan nada marah. Lajis mengangguk. Dia terus berlari mengikut laluan belakang surau yang diambil oleh Ros tadi. Dia tahu ke mana Ros menuju.

*****

“Latif!!!” Mak Gayah sudah terjelepuk di atas tanah. Matanya sudah naik ke atas menampakkan mata putihnya sahaja. Pipinya ditampar-tampar supaya sedar semula.

Mayat Latif yang terputus di bahagian perut itu dibawa naik ke atas surau. Pada masa mayatnya diangkat naik ke atas itu lah, kelibat Tok Anjang kelihatan muncul dari arah jalan besar. Di belakangnya berjalan sama beberapa orang pemuda kampung termasuk Shamsul.

“Apa dah jadi ni?” tanya Tok Anjang dalam nada cemas. Mak Gayah masih lagi dalam keadaan sedar dan tidak.

“Tok ke mana Tok? Mana Tok pergi?” Mak Gayah yang tadinya kelihatan lemah, bingkas bangun lalu mencapai dahan kayu mati mahu memukul Tok Anjang.

“Anak aku dah mati!!” Mak Gayah berubah menjadi seperti orang terkena histeria. Dia menjerit-jerit bertanyakan ke mana perginya Tok Anjang. Tok Anjang agak terpinga-pinga melihat perilaku wanita itu.

“Sebenarnya, memangnya Tok ada di rumah atau tidak?” tanya Pak Hassan.

“Kenapa aku pula yang ditanya-tanya? Mestilah aku ada di rumah. Bukan semalam aku berjumpa dengan kau pasal tanah kebun ubi tu?” soal Tok Anjang dengan nada tidak puas hati. Dia mengusap-usap misainya. Pak Hassan yang mendengar sekadar mampu menggelengkan kepala.

“Itu dua hari lepas, Tok. Dua hari lepas memang saya ada berjumpa dengan Tok membincangkan harta pusaka arwahnya isteri saya.” Jelas Pak Hassan.

“Jadi apa masalahnya?” Tok Anjang membalas dengan pertanyaan.

“Itu dua hari sudah Tok, bukan semalam.” Terang Pak Hassan lagi. Kali ini wajah Tok Anjang jelas berubah. Namun sebagai orang yang dihormati, airmukanya yang sebenar berjaya disorokkan.

“Tak apa lah yang tu, itu kita bincangkan kemudian. Sekarang ni apa yang dah jadi?” tanya Tok Anjang seraya memijak anak tangga surau yang pertama. Orang-orang kampung memberi laluan kepada Ketua Kampung itu.

Pada masa itu, Mak Gayah sudah berjaya ditenangkan. Dia duduk termenung ditemani beberapa orang wanita yang turut berwajah sugul. Mak Gayah masih tidak tahu anak perempuannya iaitu Cik Ros masih lagi hilang entah di mana.

Lajis yang kembali ke tempat dia menemui mayat Latif, tidak menjumpai kesan kedatangan Cik Ros di mana-mana. Selepas beberapa lama melaung-laung nama gadis itu, dia berputus-asa. Dia kembali mendapatkan Pak Hassan yang sudah siap sedia dengan beberapa orang tua kampung menunggu dia kembali. Masing-masing dengan lampu suluh dan juga sebilah parang di tangan.

Sejam kemudian, mayat Latif yang terputus dua dan sudah berulat itu berjaya dibawa balik ke surau. Dan sekarang, kejadian yang mengerikan itu sudah menjadi buah mulut seluruh kampung. Ditambah pula dengan misteri kehilangan Tok Anjang selama dua hari, kecoh jadinya.

*****

Sayuuppp~

Rahman terdengar namanya seperti dipanggil. Namun terlalu sayup untuk dia mendengar dengan jelas, benarkah namanya yang diseru. Mungkin suara hatinya sendiri yang memanggilnya. Mungkin juga dia diseru supaya dapat sedar dari terus tenggelam dalam dirinya sendiri.

Rahman~

Lantas Rahman menoleh ke belakang. Tiada siapa, menoleh ke kiri juga tiada bayang manusia. Dia keseorangan di dalam bilik kecil itu. Hanya samar cahaya bulan yang menerobos masuk melalui celah-celah dinding kayu menjadi pelita matanya. Benar, dia benar-benar sendiri.

‘Man…zikir…jangan berhenti, terus berzikir hingga kau nampak jalan pulang’

Kali ini Rahman melompat bangun. Dia terus menuju ke pintu bilik. Dengan perlahan dia cuba untuk membukanya, tetapi tidak berhasil. Terlalu berat pintu bilik itu dirasakan. Rahman menendang pula, sedikit berkeriut pun tiada.

‘Zikir…’

Sayup, namun dapat didengarinya dengan jelas.

‘Diam!’

Rahman pula bermonolog di dalam hati. Hatinya memberontak. Dia rasa serba tidak kena.

‘Man…ikut apa yang aku baca.’

Suara itu memulakan zikir dengan selawat ke atas nabi.

Rahman hanya membisu. Bahkan dia menutup telinganya. Matanya dipejam rapat, kemudian dibukanya semula. Elok sahaja matanya terbuka, di depannya berdiri tegak jasad seorang lelaki berbaju melayu hijau berseluar hitam. Tersandar Rahman dibuatnya. Terus dia beristighfar. Lalu lelaki itu tersenyum dan menghilang.

‘Teruskan dengan istighfarmu, nanti kau boleh melihat jalan.’

Suara itu kedengaran lagi. Kali ini dekat di cuping telinga kanannya. Rahman dapat merasa bahunya seperti ditepuk sebanyak 3 kali. Rahman meraup wajahnya dengan kedua telapak tangan. Dia lalu bangun dan lantas melangkah membuat tawaf di dalam bilik kecil itu. Zikir diteruskan. Satu persatu peristiwa sejak dia bersama 3 lagi rakannya masuk ke dalam hutan mahu memikat serindit betina berjambul merah, hingga lah peristiwa dia mencempung gadis jelita, cucu ketua kampungnya menerpa di benaknya.

Langkahnya terhenti. Zikirnya turut terhenti.

Haslina? Hatinya menyebut nama gadis itu.

‘Rahman!!’ Suara yang menyuruhnya berzikir tadi menempelak kuat di gegendang telinganya. Tubuh Rahman terdorong sedikit ke hadapan kerana ada sesuatu menolak badannya. Rahman terpinga-pinga untuk beberapa saat, kemudian dia tersedar, ingatannya pada Haslina membuatkan dia lupa pada zikirnya.

‘Jangan berhenti selagi kau tidak nampak jalan pulang!’

Rahman mengangguk laju. Lalu dia duduk bersila menghadap daun pintu bilik kecil itu. Dia terus berzikir dengan sepenuh hati. Dia tidak lagi melayan fikirannya yang ada kala seperti menerawang teringatkan gadis jelita itu.

Hampir 30 minit dia khusyuk dalam zikir, tiba-tiba muncul satu cahaya dari muka pintu. Lelaki berbaju melayu berseluar hitam itu melangkah keluar dari cahaya tersebut. Tangannya dihulurkan. Rahman tidak berfikir panjang, menyambut huluran itu lalu digenggam erat.

Lelaki itu memimpinnya, seperti tidak percaya dia boleh menembusi pintu bilik, lalu melangkah ke ruang tengah rumah yang lebih terang keadaannya. Matanya tertancap pada sekujur tubuh yang bertelanjang bulat dengan mata melilau ke sana ke mari, tetapi mulut tersengeh lebar.

Zaki?

Dia terus menoleh memandang wajah lelaki berbaju melayu hijau itu tetapi pandangannya tidak berbalas. Malah tangannya disentap kuat oleh lelaki tersebut. Lalu Zaki dibiarkan.

Rahman tidak nampak kelibat rakannya yang dua lagi. Rahman mula hanyut dengan monolog dirinya.

‘Zikir..’

Rahman diingatkan.

‘Ini rumah syaitan..hanya zikir mengingat Allah yang dapat membawa kau keluar. ‘

‘Pusatkan seluruh pancaindera masuk ke dalam zikirmu. Aku tidak dapat membantu jika kau hilang dalam fikiranmu.’ Lelaki berbaju melayu itu menyambung kata tanpa menggerakkan bibir.

Rahman menurut. Dia tidak kenal lelaki itu, malah dia tidak pernah berjumpa atau berselisih dengan lelaki berwajah seperti itu, tetapi dia menurut.

Langkah mereka sampai di hujung ruang tamu. Di hadapan mereka kelihatan 4 orang gadis  jelita sedang duduk berbual. Salah seorang darinya Rahman kenal. Haslina!

Lelaki itu menarik tangannya supaya dia ikut menuruni anak tangga. Langkahnya agak cuak kerana perlu melepasi gadis-gadis tersebut, tetapi mereka tidak perasan kewujudan dia dan lelaki itu sama sekali.

Sampai sahaja di bawah rumah, lelaki itu meraup wajah Rahman, kemudian dia memuncungkan bibir sebagai tanda isyarat agar Rahman menoleh memandang gadis-gadis yang masih berbual di atas anak tangga rumah. Rahman terkejut bukan kepalang. Hampir sahaja tangannya terlepas dari genggaman lelaki tersebut kerana Rahman terus terjelepuk ke tanah.

Masya Allah~ Rahman sambung mengucap panjang.

Betapa hodohnya mereka. Hodoh yang bukan sedikit. Terlalu hodoh sehingga dia mahu termuntah di situ juga. Dan Haslina? manusiakah dia? Jika apa yang dilihatnya hanyalah kehodohan semata.

Tetapi..dia Haslina. Cucu Tok Anjang. Gadis jelita yang menjadi igauan setiap lelaki di kampungnya. Masakan gadis jelita boleh menjadi hodoh sekelip mata?

Dan, ketiga-tiga gadis yang menjadi teman berbual Haslina bukan sahaja berwajah hodoh, tetapi mengerikan. Mereka bukan perempuan, bukan juga lelaki. Bukan manusia malah bukan juga haiwan. Beginikah wajah syaitan? Allahuakbar!Allahuakbar! Rahman cepat-cepat ingin pergi.

Namun, lelaki berbaju melayu hijau itu tetap membatukan diri. Rahman menarik-narik tangannya namun genggaman lelaki itu kuat benar, tetapi tidak menyakitkan.

‘Lihat kelilingmu’

Rahman menurut lagi. Baru dia sedar rumah yang dilihat cantik dan bersih sebelumnya, hanya lah sebuah pondok buruk yang usang dan hampir roboh. Tiada halaman yang bersih seperti yang dilihatnya sebelum itu. Daun-daun kering tebal menutupi lantai hutan. Atap rumbia rumah itu juga kebanyakannya sudah kering dan jatuh masuk ke dalam rumah.

‘Rahman…pejamkan mata. Jangan sesekali kau buka, hingga kau dengar azan..bangun dan kemudian bersolat..selepas itu kau sampaikan apa yang kau lihat. Moga-moga mereka mendengar’

Rahman mengagguk faham lantas matanya dipejamkan. Tidak lama matanya terpejam, ada deru angin yang kuat menepis cuping telinganya. Rahman tidak berani membuka mata, curi-curi tengok pun dia tidak berani.

Lama dia berkeadaan begitu, sehingga dia sendiri terlena.

Entah berapa lama lenanya, dia bangun membuka mata bila azan berkumandang. Ada seserang menepuk bahunya. Rupa-rupanya dia tertidur di dalam surau. Sudah hampir penuh 4 saf penuh dengan jemaah yang rata-rata memakai serban putih. Rahman menggosok mata sebelum bangkit untuk mengambil wuduk.

Dia bersolat subuh, berimamkan siapa dia tidak tahu. Penuh surau dengan jemaah, sesuatu yang tidak pernah berlaku di kampungnya sepanjang dia ke surau menunaikan solat. Hatinya lapang walaupun penuh dengan pertanyaan.

Usai solat, dia melangkah keluar. Apabila ditoleh, puluhan jemaah tadi sudah tiada. Yang tegak di depannya adalah surau yang hampir 2 tahun sudah tidak digunakan lagi selepas Tok Anjang membina surau baru yang lebih besar.

Rahman memulakan kembali langkahnya. Dia teringatkan Zaki, lalu langkahnya dilajukan. Dia mahu memberitahu orang kampung, tetapi siapa? Bukan Tok Anjang, bukan. Tetapi siapa?

*****

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *