CSI-RAMONA~BAB 22~

BAB 22

“Kita di mana ni?” tanya Rahman dengan nada ingin tahu yang teramat sangat. Dipandang Zaki sekilas namun rakannya itu juga dalam keadaan terpinga-pinga. Rahman berjalan mundar-mandir cuba mengingat kembali.

“Mana kau dapat luka-luka kat tangan kau tu Ki?” tanya Rahman lagi. Dapat dilihat dengan jelas kuping-kuping darah kering di lengan  Zaki yang terdedah. Zaki memakai t.shirt berlengan pendek, kerana itu lah jelas dapat dilihat luka-luka di lengannya.

Zaki sekaligus menoleh. Wajahnya semakin terpinga-pinga. Dia mengutil darah kering di lengannya dengan kerutan di dahi. Kuping kering itu tertanggal lalu terbit darah merah yang segar dari bukaan luka yang agak dalam.

“Lengan aku luka ni, Man.” Ujar Zaki dengan wajah yang masih penuh tanda tanya. Rahman pula yang terkejut dengan kenyataan Zaki tadi. Dia pelik masakan Zaki tidak terasa pedih atau perit bila lengannya penuh dengan garis-garis luka.

Rahman segera menunjukkan bahagian lain yang mengalami kecederaan di bahagian tubuh Zaki. Ada di antaranya di belakang tengkuk, di leher dan belakang telinga. Semuanya sudah kering dan berkuping. Zaki semakin mengerut dahi. Ketika itu baru dia dapat merasakan tubuhnya sakit-sakit dan berdenyut.

“Jangan kau kopek luka-luka tu Zaki. Ada luka yang dalam tu, nanti makin teruk pula jadinya.” Pesan Rahman kepada Zaki. Kali ini Zaki seperti sudah tersedar dari lamunan mengangguk kepala mengiakan pesanan Rahman.

“Kau tak ada luka ke?” tanya Zaki sambil melihat-lihat susuk tubuh Rahman.

“Ada juga, tapi tak banyak macam kau. Aku pakai baju lengan panjang, tapi ada juga la calar-calar kat leher aku ni,” jawab Rahman seraya menunjukkan kesan calar di lehernya kepada Zaki. Zaki kemudiannya mengangguk-angguk kepala walau tidak pasti apa yang dianggukkan.

“Di mana kita ni, Man? Zainal dengan Safuan? Kau nampak mereka?” soal Zaki bertalu-talu namun hanya jawapan sepi yang dapat Rahman berikan. Rahman sekadar memberi isyarat supaya Zaki melihat sekeliling. Matahari baru muncul di ufuk timur namun kalau diteliti pasti Zaki dapat melihat apa yang sudah dilihatnya sebaik sahaja celik matanya tadi.

Zaki menurut.

*****

“Abang Zainal…buka lah mata abang tu,” lembut gemersik suara Ramona memanggil nama Zainal. Zainal yang masih terpejam menyimpul senyum kerana asyik mendengar suara bidadari memanggil namanya nun sayup di kejauhan.

“Abang…abang tak nak tahu ke siapa di depan abang ni?” suara Ramona memujuk lagi. Zainal sudah mula menggerakkan kaki. Kakinya seperti sedang menendang sesuatu. Dadanya sedikit kuat berombak. Ramona yang sedang bersimpuh di hujung kepala Zainal mula mengukir senyum.

Ramona bertindak semakin jauh. Ubun-ubun kepala Zainal disentuhnya lalu diusap manja. Zainal boleh jadi mangsa yang seterusnya. Dia menjadi teruja untuk mengulangi apa yang pernah dialaminya bersama Megat dan beberapa lagi lelaki terdahulu. Walaupun Zainal jauh daripada dapat menyaingi Megat dari paras rupa namun dia pasti Zainal masih lagi teruna.

Zainal membuka mata. Dalam keadaan separuh sedar dapat dilihat bidadari di hujung kepalanya. Lantas dia menoleh, terkejut bukan kepalang apabila dia melihat Haslina sedang tersenyum manja padanya. Haslina cucu Tok Anjang yang menjadi idaman setiap hati pemuda kampung. Daripada terbaring lesu terus sahaja Zainal duduk bersila menghadap Ramona sambil tersengih malu.

Hilang semua rasa penat dan sakit-sakit di badannya. Sedangkan mukanya yang masih penuh dengan tanah kering akibat jatuh tersembam juga dibiarkan sahaja. Ramona menghadiahkan sebuah lagi senyuman yang sangat mengasyikkan hati seorang lelaki yang sudah lama mendambakan paling kurang senyuman seseorang yang bernama kekasih.

“Abang mahu minum? Mahu Lina hidangkan?”

Zainal mengangguk pantas.

“Abang Zainal tunggu ya, Lina ambil di dapur.” Ujar Ramona lembut. Dia menghulur tangan ketika mahu bangkit dari duduknya. Sengaja tangannya dihulur biar dapat disambut oleh tangan Zainal.

Zainal memang tidak melepaskan peluang, tangan halus mulus Ramona segera disambut. Sempat lelaki gempal itu meramas tangan putih gebu itu. Ramona ketawa kecil, ketawa yang sangat menggoda. Mahu gugur jantung Zainal dibuatnya.

Zainal menghantar tubuh Ramona yang menggiurkan sehingga hilang di sebalik pintu dapur. Hanya tinggal derap langkah Ramona yang kedengaran. Zainal mencium tangannya. Dapat dihidu bau tubuh Ramona yang sewangi kasturi. Zainal menjadi leka dengan haruman tangannya sendiri. Dia lantas merebahkan badan, dengan mata memandang atap rumbia rumah, Zainal masih lagi menghidu-hidu tangannya. Dia berlagu riang dengan senyuman tak lekang dari bibirnya yang tebal.

*****

Safuan masih leka memerhati sekeliling bilik yang menempatkan sebuah katil antik yang amat cantik. Dalam hatinya terbit rasa pelik dengan apa yang berada di hadapannya kini. Katil besi tuang itu dengan ukiran burung kasawari di tengah-tengah kalau diperhatikan sekali imbas, ya cantik. Tetapi kalau sudah ditenung lama seperti yang sedang dilakukannya kini, perasaan yang wujud menjadi agak cemas juga. Ukiran di kepala katil itu seperti hidup dan sedang merenungnya kembali.

Safuan mengalih pandang, dilihat pula dirinya dari atas ke bawah. Kotor dan berdebu seluruh pakaiannya. Terasa pula sakit mencucuk-cucuk di kepala kanannya, dirabanya seketika tetapi masih tidak ketahuan apa yang menjadi punca. Lalu dia menapak mendekati almari solek di penjuru bilik untuk membelek wajahnya dengan lebih dekat.

Tiba-tiba pintu dikuak dari luar. Safuan segera menoleh. Terlihat olehnya satu susuk tubuh gadis tinggi lampai yang memakai kebaya pendek sedang menatang dulang berisi satu set minuman. Gadis itu menghulur senyuman manis untuknya. Safuan terus jadi tak menentu. Pertamanya, dia terkesima dengan kejelitaan gadis tersebut. Kedua, hatinya sudah terpalit kesan cinta pandang pertama walaupun entah di mana logiknya dan yang ketiga, hatinya seperti sedang terbang kerana terpesona dengan senyuman yang terlalu mempesona. Imannya tunduk mencecah lantai bilik ketika itu.

Ramona meletakkan dulang berisi set minuman di atas tilam di atas katil. Memang sengaja dia berbuat demikian, bukannya tiada meja kopi di dalam bilik tersebut tetapi itu adalah taktiknya untuk terus menambat hati Safuan. Ramona duduk di birai katil sambil menuang air ke dalam cawan. Air yang masih berasap itu menerbitkan aroma kopi yang wangi dan membuka selera.

“Mari…Lina lihat luka di kepala abang tu,” bicara pertama yang keluar dari mulut Ramona sangat lunak di pendengaran Safuan.

Dengan tidak menunggu lama dia terus datang mendekat lalu terus duduk melutut di atas lantai. Kepala Safuan kini berada atas sedikit dari paha Ramona yang terselindung di sebalik kain batik lepas sendat yang dipakainya. Safuan meletakkan tangannya dia atas tilam lalu menyua kepala kepada Ramona. Dengan senyuman di bibir Ramona mula menyentuh tempat luka di kepala Safuan.

“Abang Safuan masih gagah…luka di kepala ini tidak seberapa. Sudah kering, hanya tinggal denyut-denyut kecil saja bang,” kata Ramona perlahan seperti berbisik di telinga Safuan. Safuan menggigil bahu diperlakukan begitu oleh Ramona.

Safuan mendongak memandang wajah Ramona dengan lebih jelas. Keayuan dan kejelitaan Ramona semakin nyata di pandangannya. Patutlah cucu Tok Anjang ini sentiasa menjadi bualan dari bibir ke bibir pemuda kampung. Sangat jelita umpama bidadari, itu pun kalau ada sesiapa yang pernah melihat bidadari sebelum ini.

“Kenapa bang Safuan?” tanya Ramona lembut.

“Lina cantik sangat…abang…ermm..”  jawab Safuan tersekat-sekat.

“Abang sudah jatuh hati?” soal Ramona kembali dengan ketawa yang dibuat-buat namun sangat merdu didengar Safuan. Safuan sekadar mengangguk mengiakan.

Ramona mengelus manja pipi Safuan. Kumis nipis Safuan dibelainya dengan hujung jari. Safuan semakin asyik dengan cinta palsu Ramona. Dia hanya mendiamkan diri menikmati sesuatu yang tidak diketahuinya akan menjadi penamat riwayatnya nanti. Ramona terus-terusan mengukir senyum. Dia tahu Safuan sudah di dalam genggamannya.

“Abang mahu minum?”

Secepat kilat Safuan menggeleng kepala. Dia lebih rela haus di tekak daripada kehausan belaian dan sentuhan Ramona waktu itu. Betapa hebatnya perasaan cinta yang terbit dari hasutan iblis laknatullah sehinggakan semuanya menjadi tidak penting selain dari rasa cinta di dalam  hati.

*****

“Aku nak naik ke atas, Man.”

Tidak menunggu jawapan Rahman, Zaki terus menuju ke arah anak tangga rumah yang agak tinggi. Dia memijak anak-anak tangga itu tanpa sedikit pun rasa khuatir. Selepas disedarkan oleh Rahman sebentar tadi, baru lah dia perasan ada rumah kayu besar tidak jauh dari tempat mereka berlawan cakap. Rahman yang teragak-agak ditinggalkan sahaja. Kalau rakannya itu mahu mengikut dia juga tidak kisah, malah terasa lebih selesa.

Rumah itu bukan seperti rumah tinggal. Halamannya bersih dijaga rapi. Tiada daun-daun kering menimbuni halaman rumah memandangkan rumah itu di tengah-tengah hutan. Pasti ada penghuni yang menjaganya. Itu adalah penilaian pertama Zaki apabila mula memasuki perkarangan rumah kayu besar itu tadi.

Sampai di anak tangga terakhir, langkah Zaki terhenti. Pintu utama dikuak dari dalam. Seorang perempuan sekitar umur 20-an menyambut kedatangannya. Zaki menjadi serba salah  kerana tadinya dia berniat mahu menceroboh saja masuk ke dalam rumah itu. Tidak disangkanya ada orang di dalam rumah sementelah suasana yang sunyi dan sepi, hanya ada bunyi unggas dan beberapa serangga lain yang saling berbicara sesama mereka.

Zaki menelan air liur. Kakinya terasa begitu berat walaupun wanita itu sudah mengukir senyum memandangnya. Ada rasa serba-salah yang tidak mahu surut di benaknya. Zaki cuba membalas senyum namun dia tahu senyumannya sumbing ketika itu.

“Jemputlah masuk. Kamu tersesat barangkali.” Wanita itu dengan lemah lembut menjemput Zaki masuk. Zaki yang pada mulanya serba-salah hanya menurut selepas mendengar suara wanita tersebut. Lupa dia sebentar pada Rahman yang ditinggalkan tadi, menoleh ke belakang pun dia tidak. Matanya asyik merenung wanita berkenaan yang tidak langsung lekang dengan senyuman.

“Sesat?” tanya perempuan itu mengulang kata.

Zaki mengangguk laju. Perempuan itu semakin tersenyum manis. Zaki yang melihat sekadar terpempan, jauh di sudut hati dia sudah jatuh tersungkur melihat senyuman secantik itu.

“Duduklah dulu, saya ke dapur sebentar.” Pelawa wanita itu. Zaki sekali lagi mengangguk.

Hatinya mahu bertanya lebih lanjut tetapi lidahnya terasa keras. Langsung tidak mampu untuk melontarkan sebarang soalan sedangkan dia mahu bertanya bermacam-macam soalan kepada wanita itu. Akhirnya Zaki menghantar lenggok alunan punggung wanita itu dengan ekor matanya sehingga susuk tubuh itu hilang di sebalik tabir di muka pintu menghala ke dapur.

Tidak jauh dari perkarangan rumah, Rahman masih lagi termangu melihat tempat di mana hilangnya tubuh Zaki dari pandangan mata. Dia nampak pintu terkuak dari dalam tetapi dia tidak dapat melihat adakah ada seseorang yang menyambut kedatangan Zaki atau tidak.

Rahman sedang berkira-kira mahu pergi menyelamatkan Zaki. Dia menunggu sekiranya ada jeritan meminta tolong dari rakannya itu. Tetapi sudah lebih dari 15 minit, hanya sunyi sepi yang menampar pendengarannya. Rahman pula yang jadi tidak keruan ditinggalkan begitu. Sudahlah entah di tengah hutan mana, berseorangan dan kelaparan pula.

Derap langkah kaki memijak daun-daun kering mematahkan lamunan Rahman. Dia menoleh mencari punca bunyi. Alangkah terkejut dirinya apabila seraut wajah bujur sirih sedang mendatanginya. Wajah ayu yang tiada cacat cela di matanya. Rahman cepat-cepat beristighfar. Gusar hatinya apabila bertemu gadis jelita di tengah-tengah hutan begini. Dia cuba untuk berfikiran rasional ketika itu.

Ramona menggertap gigi dalam senyum manisnya. Dia tahu bukan mudah mahu menundukkan Rahman yang sangat berhati-hati mahu mempercayai zahir yang terlihat. Namun Ramona tahu ada seribu satu cara lain yang boleh dia gunakan untuk memikat sekeping hati milik seorang lelaki. Hanya tunggu masa dan ketika sahaja.

“Abang Rahman tak kenal Lina?” tanya Ramona apabila dia semakin hampir dengan batang tubuh Rahman.

Lina? Rahman tertanya-tanya di dalam hati. Haslina? Adakah gadis jelita ini Haslina? Cucu kepada Tok Anjang? Ohhh…patutlah tersangat jelita rupa parasnya. Tetapi…apa yang dibuatnya di tengah hutan begini?’

Begitu panjang monolog Rahman. Ramona pula menjadi sebal melihat reaksi Rahman yang kurang menunjukkan minat terhadapnya.

“Abang tak kenal?” tanya Ramona sekali lagi, cuba untuk memancing perhatian Rahman. Rahman mengangguk kepala perlahan-lahan.

“Syukur abang kenal…kalau tidak susah juga Lina mahu bantu abang. Abang sesat kan?” tanya Ramona halus. Sekali lagi Rahman mengangguk kepala. Ramona terus sahaja menghadiahkan Rahman sebaris senyuman yang sangat memikat. Dia mahu memikat kepercayaan Rahman padanya.

“Apa yang Lina buat di tengah hutan begini?” tanya Rahman spontan.

Ramona menggumam. Sakit pula hatinya kerana tidak dapat menundukkan Rahman serta merta seperti yang lain. Zainal dan Safuan walaupun berada di bilik sebelah menyebelah, masing-masing tidak tahu hakikat tersebut. Kedua lelaki itu sedang mabuk cinta dengannya. Zaki masih setia menunggu di ruang tamu. Hanya tinggal Rahman sahaja yang perlu ditarik masuk ke dalam rumah kayu besar itu.

“Kalau abang nak tahu…inilah rumah di mana Lina dibesarkan oleh ayah dulu.” Jawab Ramona dengan suara yang sangat manja tetapi meminta simpati dan perhatian.

Mendengar jawapan Ramona, terus saja Rahman mengalih pandang melihat persekitaran rumah kayu besar yang hanya berjarak dalam lingkungan 20 meter dari tempatnya berdiri. Barulah sekarang dia perasan susun atur rumah itu sangat menarik dengan persekitaran yang terjaga, langsung tidak kelihatan seperti rumah tinggal telah menjauhkan prasangka dari lubuk hatinya.

Ramona tahu jeratnya sudah hampir mengena. Dia sendiri melabuhkan pandangan ke arah rumah kayu besar itu. Ya, memang rumah itu  kelihatan besar tetapi hakikatnya hanya Ramona yang tahu. Pandangan lelaki-lelaki yang mahu diperangkapnya itu sudah diselaputi oleh sesuatu yang indah dan cantik sahaja.

Sama juga dengan wajah Ramona yang masih lagi hodoh dan menggerutu. Mereka lihat kejelitaan yang tiada bandingnya sedangkan katak puru lebih cantik dari dirinya.

“Mari bang…kita masuk ke rumah. Ayah sudah ke dalam hutan mahu menjerat kancil atau pelanduk,” pelawa Ramona lembut. Rahman mengangguk kepala lagi.

“Zaki ada di rumah?” tanya Rahman sebelum memulakan langkah.

“Abang Zaki sedang membersihkan diri. Tadinya dia yang berpesan supaya menjemput abang,” jawab Ramona sengaja mengikut rentak perbualan Rahman yang terlalu banyak soal. Sekali lagi Rahman mengangguk kepala. Rasa seronok di dalam hati kerana rakannya itu tidak melupakan dirinya.

Mereka berdua akhirnya berjalan beriringan.

Tiba-tiba Ramona mengaduh kesakitan. Dia dengan sengaja menjatuhkan diri agar dapat menarik perhatian Rahman. Kainnya terselak sehingga ke atas lutut. Rahman yang melihatnya menelan air liur. Masakan tidak, kaki panjang dengan kulit halus tanpa sebutir parut terhidang di depan matanya.

Melihat tindakbalas Rahman yang begitu, semakin kuat Ramona mengaduh.

Rahman yang melihat menjadi semakin panik. Sebahagian hatinya mahu saja mencempung tubuh Ramona masuk ke dalam rumah tetapi sebahagian lagi hatinya yang bersisa senipis iman melarangnya dari melakukan sebarang tindakan.

“Aduh…kaki Lina terpelecok. Tolong Lina, bang,” adu Ramona manja. Dia menghulur tangan ke arah Rahman. Rahman menjadi semakin tidak keruan.

“Abang Man..” Ramona merengek pula.

Ohhh!!! Masakan Rahman masih mampu bertahan.

Sebutir air mata mengalir pula dari tubir mata Ramona. Rahman menjadi semakin serba tidak kena. Dia mencangkung di hadapan Ramona. Tangan gadis itu tidak disambut. Entah apa lah yang mahu dibuatnya dengan mencangkung begitu. Agaknya sedang membuat analisa barangkali.

“Tak mengapa lah bang…abang naiklah ke atas dulu. Biarkan saja Lina di sini. Nanti bila ayah balik Lina minta tolong pada ayah saja.” Ujar Ramona dengan suara yang sengaja dipasrahkan.

Arghhh!!! Rahman menjerit di dalam hati.

Dengan serta merta tubuh langsing itu dicempung ke dalam dakapannya. Ramona mengukir senyuman kemenangan. Leher Rahman dirangkul manja. Degup jantung Rahman dapat didengarnya. Kini dia tahu Rahman juga berada di dalam genggamannya. Empat orang teruna di dalam satu masa. Ramona semakin teruja. Dia mahu kecantikan yang dilihat orang pada dirinya kekal sehingga dia sendiri dapat melihat kecantikan tersebut.

Leher Rahman dirangkul lebih erat. Ramona sempat menjeling ke arah Mawar, Anggerik dan Cempaka yang sedang bergelak ketawa melihat dirinya dicempung begitu.

Ramona melentokkan kepala di dada Rahman. Hampir luruh jantung Rahman dibuatnya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *