CSI-RAMONA ~BAB 21~

BAB 21

Malam itu hujan turun dengan lebat. Sekejap sahaja tanah menjadi becak dengan takungan air hujan. Katak puru mulai berbunyi berselang-seli dengan bunyi cengkerik, menajdi satu senandung yang tiada berirama.

“Teruskan..” satu suara garau kedengaran di antara bunyi katak dan juga cengkerik.

Latif sudah seperti nyawa-nyawa ikan. Perutnya sudah berlubang. Tubuhnya yang tiada seurat benang itu bermandi darah yang mencair ditimpa air hujan yang masih berbaki. Ramona sudah siap berpakaian lengkap. Dia hanya memerhati tubuh lelaki itu dilahap oleh makhluk-makhluk bermata merah yang berebut-rebut dahagakan darah Latif.

Lidah-lidah yang panjang menjilat penuh rakus. Dia sekadar memerhati dengan rasa puas dapat menjadikan keterunaan Latif sebagai ubat untuk dirinya menjadi lebih kuat dan segar. Dia tidak peduli dengan imej ngeri di hadapannya itu.

“Kau mesti ingat pada janjimu, Ramona.” Suara garau itu kedengaran lagi. Ramona sekadar mengangguk.

“Tolong aku..” perlahan sahaja, antara dengar dan tidak Latif meminta pertolongan. Terlalu azab apa yang dirasakannya ketika itu. Datang seribu penyesalan dalam hati lelaki malang itu.

Ramona mendekat. Didekatkan telinganya ke mulut Latif, kemudian dia menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak dapat membantu Latif. Jelas Ramona bukan lagi Ramona yang lembut dan jelita. Wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang rasa simpati. Malahan senyuman di bibirnya nampak menakutkan sekali.

Angin yang menderu memukul dahan-dahan pokok menyebabkan dedaun pokok saling bergesel antara satu sama lain. Ramona berpeluk tubuh. Dengan berpeluk tubuh, dia mencangkung memerhati dengan lebih dekat makhluk-makhluk bermata merah itu menghisap dan menjilat tubuh Latif.

Dia seperti sedang menunggu sesuatu.

“Sudah!” jerit suara garau itu. Makhluk-makhluk bermata merah menyeringai, menampakkan gigi yang tajam dah halus. Mereka mendongan memandang ke satu arah. Kemudian masing-masing melompat ke arah Ramona. Dengan perlahan-lahan, zahir mereka hilang dari pandangan. Ramona pula menggeliat-geliat dengan suara yang tertahan-tahan.

Zasss!!! Bunyi angin kuat seperti sesuatu yang besar sedang melintas. Sesaat kemudian, berdiri satu lembaga besar dan bertanduk dua. Hitam legam tubuhnya, dengan mata yang merah, seolah-olah ada api yang sedang marak menyala.

Ramona berdiri tegak. Lembaga tersebut berdiri betul-betul di depannya. Tiada riak gentar di wajah gadis itu, malah dia sekali lagi membuka pakaiannya sehingga tiada apa yang tertinggal.

Latif melihat semuanya. Itulah imej yang dipertontonkan di hadapannya sebelum nafas terakhirnya dihembus dalam seksa dan azab yang hanya dia rasa. Perlakuan terakhirnya dengan Ramona, diperlihatkan dengan jelas oleh perlakuan antara Ramona dan makhluk bertanduk dua itu. Tiada yang indah yang dapat Latif saksikan sebelum dia menemui tuhanNya yang satu.

*****

“Tok! Tok!” jerit seorang pemuda dari serambi rumah. Dia meninjau ke dalam rumah Tok Anjang melalui tingkap di serambi itu. Kemudian dia memandang deretan penduduk kampung  yang berada di halaman rumah menanti jawapan.

Beberapa orang tua kampung berdiri tegak memegang api jamung. Ada di kalangan mereka dari golongan ibu-ibu yang sekejap-sekejap mengesat sesuatu dari tubir mata. Ada beberapa orang perempuan yang lain sibuk pula menepuk dan memeluk, mungkin untuk menyabarkan atau memberi semangat. Pendek cerita, agak bercelaru orang-orang kampung yang sedang berkumpul di halaman rumah Tok Anjang ketika itu.

“Tok Anjang!! Ahhh..ke mana pula orang tua ni?” omel Malik yang sejak dari tadi menjerit nama Tok Anjang.

Dia akhirnya mengetuk pintu utama rumah penghulu itu dengan agak kuat. Kemudian menunggu dengan rasa tidak sabar, tetapi selang beberapa minit tetap juga tiada reaksi dari sesiapa di dalam rumah. Malik bergegas menuruni anak tangga ke halaman rumah. Dia menuju kepada sekumpulan pemuda yang sedang berkumpul memerhatikannya. Di kalangan pemuda itu ada Shamsul yang sedang berdiri tenang memerhati kawasan sekitar.

“Macam mana ni Malik?” satu suara bertanya dari kumpulan penduduk kampung yang sedang berkumpul. Malik menghentikan langkah lantas mencari kelibat si empunya suara.

“Entah lah Cik Ros, tak ada yang menjawab.” Jawab Malik.

“Apa akak nak buat ni, Malik, Abang Latif tak balik-balik ni. Tak pernah lama begini dia tak balik ke rumah.” Adu Cik Ros yang sudah mula berair biji mata. Dia risau satu-satu adik lelakinya yang ghaib tanpa khabar berita.

“Betul tu Malik, Makcik Gayah tahu perangai si Latif tu,” kata Mak Gayah pula. Latif merupakan satu-satunya anak lelaki yang dia ada.

Malik hanya mampu menyabarkan orang tua itu, begitu juga dengan kakak Latif iaitu Cik Ros yang sedang melayan perasaan. Beberapa orang wanita menyabarkan keduanya. Lazim senario di kampung bila sesuatu perkara berlaku, akan kecoh sekampung. Masing-masing tiada perkara mahu dibuat di rumah melainkan tidur. Jadi apabila keadaan gawat berlaku seperti ini, masing-masing turun padang.

Malik meminta diri untuk bergabung dengan kumpulan anak muda di satu sudut di halaman rumah.

“Aku rasa Tok Anjang ada di rumah. Tapi salam aku pun tak berjawab, senyap sunyi dalam rumah. Aku yakin ada yang tak kena ni,” kata Malik kepada sekumpulan pemuda itu. Mereka yang mendengar terangguk-angguk.

“Macam mana pendapat kau Shamsul? Jauh kau berguru di Kalimantan dulu, mungkin kau lebih arif,” Malik meminta buah fikiran Shamsul. Shamsul yang mendengar soalan Malik tadi hanya berdiam diri. Kemudian dia berdehem agak kuat.

“Aku pernah ikut si Latif tu, paling lama pun tiga hari aje. Ini memang bukan kebiasaan dia ni, entahkan hidup entahkan mati.” Kata Hasbullah dari dalam kelompok pemuda-pemuda itu. Usai berkata, lengannya ditepuk kuat.

“Doakan mereka panjang umur. Ada ke patut kau fikir sampai ke situ!” tegur Amin anak kepada Dolah Pendek. Amin juga bertubuh seperti ayahnya, gempal dan pendek.

“Eh! sudah lah kamu berdua. Kau pun Has, yang kau ikut perangai Latif sukau main pokdeng tu buat apa!” Sampuk Malik dengan nada agak marah seraya memandang Shamsul, menunggu tindakan apa yang perlu diambil oleh mereka. Hasbullah langsung menunduk.

“Bahagikan kita kepada enam kumpulan. Setiap kumpulan biar berteman, kemudian pergi ke setiap penjuru rumah ni,” Shamsul memberi arahan selepas melepaskan nafas panjang.

Dia cuba untuk mencapai tahap tertinggi firasatnya. Dalam umur yang masih muda, dia cuba untuk tidak kalut walaupun dia bukan banyak pengalaman lagi. Dia tidak mahu nanti menjadi buah mulut orang kampung. Biasalah, tidak semua kebaikan akan diterima sebagai satu kebaikan. Dia takut geruh pula yang menunggunya nanti.

“Malik…katakan pada orang-orang tua supaya berkumpul saja di surau. Nanti kita akan jemput Tok Anjang ke surau untuk berjumpa dengan yang lain. Biar kita-kita aja yang ada di sini.” Arahnya lagi.

Malik mengangguk akur. Cepat-cepat dia mengatur langkah meninggalkan kumpulan itu lalu berjalan menuju ke arah Pak Hassan yang merupakan orang paling tua di kalangan mereka yang hadir. Kelihatan Pak Hassan terangguk-angguk kepala.

Kemudian orang tua itu berbisik pula kepada Pak Man Kacang. Pak Man Kacang pula menggamit Wak Badul dan begitulah seterusnya. Sehingga berita sampai ke pengetahuan kumpulan wanita. Masing-masing akur. Akhirnya berduyun-duyun mereka, lebih kurang dua puluh orang lelaki dan perempuan berjalan menjauhi halaman rumah Tok Anjang.

*****

“Rashid!! Kau lengahkan mereka!” jerit Laila dengan suara tertahan-tahan. Tulang rahangnya berlaga atas dan bawah kerana terlalu marah. Dari lubang tingkap, Laila tertinjau-tinjau tingkah laku pemuda-pemuda kampung yang diketuai oleh Shamsul. Kalau boleh mahu saja diratah tengkuk setiap orang di halaman rumah itu.

“Aku nak lengahkan bagaimana?” tanya Rashid bodoh-bodoh alang. Dia sengaja menjadi bebal begitu, mengambil kesempatan mahu menyakitkan hati Laila walaupun dia tahu tiada gunanya dia berbuat begitu.

“Aku tak mahu orang tua ni terjaga. Budak di bawah tu sengaja nak menguji ilmu aku nampaknya!” tukas Laila semakin marah. Terjegil matanya menjeling Rashid. Dalam samar-samar cahaya bulan Rashid dapat melihat air muka Laila yang sesekali kelihatan seperti wajah perempuan tua dan hodoh.

“Kau keluar! Cakap pada mereka Tok Anjang tak ada di rumah!! Habis cerita!” arah Laila tegas.

Rashid mengengsot mahu menuruni katil tetapi bahunya ditarik ganas oleh Laila yang sudah tidak sabar dengan karenah Rashid yang sengaja mahu memanjangkan masa. Tersungkur lelaki itu ditarik Laila. Berdarah hidungnya kerana terlanggar bucu almari solek antik di dalam bilik itu.

Bunyi kuat itu mengejutkan mereka yang berada di halaman rumah. Masing-masing menjadi bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan. Namun hanya sekali itu bunyi berdentum itu kedengaran, selepas itu suasana diselubungi keheningan yang menyeramkan.

Shamsul sudah memberi arahan.

Rashid di dalam rumah menjadi kelam-kabut mahu mencuri masa. Laila pula semakin menyinga. Wajahnya yang sesekali berubah  hodoh dan berkedut seribu itu menggamit rasa takut yang teramat sangat.

Di bilik sebelah, Tok Anjang dan Mak Mah sangat culas tidur keduanya. Ribut yang terjadi tidak langsung menggugat mimpi mereka. Sungguh kuat kuasa yang ada pada Laila. Ilmu pukaunya mampu mengampuhkan ilmu yang ada pada Tok Anjang, yang mana ilmu orang tua itu bukan calang-calang tingginya.

Di luar rumah, pemuda-pemuda kampung yang mendapat arahan dari Shamsul sudah bersiap di tempat masing-masing termasuklah Malik yang ditemani oleh Abbas. Mereka berdua diarahkan pergi ke sudut kiri belakang rumah. Manakala Ali dan Syukri di kanan penjuru rumah di bahagian belakang.

Ada dua kumpulan di tengah-tengah rumah manakala dua kumpulan lagi di kedua penjuru bahagian hadapan rumah. Shamsul berdiri kiam di tempatnya memberi arahan tadi.

Dengan perlahan-lahan Shamsul membuka mata dan melepaskan kiaman tangannya. Dia melangkah menuju ke serambi rumah. Dengan langkah kanan dan bacaan Bismillah yang dikuatkan dia mula mendaki anak tangga pertama. Sekaligus dentuman kuat di bumbung bahagian tengah rumah kedengaran. Dentuman yang membuatkan Rosli dan Hatim melompat kerana terkejut. Sambil mengurut dada sambil Rosli beristighfar panjang.

Shamsul meneruskan langkahnya mendaki anak tangga kedua dan seterusnya. Tiada lagi perkara aneh yang berlaku. Di anak tangga yang terakhir Shamsul membaca ayat terakhir Ayatul Kursi sebanyak tiga kali lalu dihembusnya dari kanan ke kiri. Maka tersingkaplah di hadapannya kini warna dan wajah sebenar rumah Tok Anjang pada malam itu.

Seolah-olah ada tembok besi menjulang ke langit di sekeliling rumah Tok Anjang pada waktu itu. Mengurut dada Shamsul dibuatnya. Bukan calang-calang ilmu yang dikenakan ke atas keluarga Tok Anjang. Tertanya-tanya juga Shamsul buat seketika siapa yang mahu menduga keluarga terhormat di kampung itu.

Sedangkan semua juga tahu Tok Anjang sendiri bukan orang yang kosong dada. Orang tua itu sangat mahsyur di waktu mudanya dahulu. Cuma selepas kematian anaknya berbelas tahun dahulu, Tok Anjang sudah mula menjauh dari aktiviti mengubat orang kampung atau membuang hantu syaitan. Tok Anjang lebih kepada menguruskan kampung sahaja sejak kematian Hasnah, atau menguruskan deretan kejadian misteri selepas kematian anak tunggalnya itu.

Shamsul mula menekup telinga. Dia mahu memulakan azan, sudah dipesan bermulanya sahaja azan darinya, mereka yang lain mesti turut sama melaungkan azan bersama-samanya.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, Shamsul mula melaungkan panggilan suci dan agung itu. Diikuti oleh kumpulan yang berada di penjuru bahagian hadapan rumah, kemudian laungan semakin bergema disebabkan suara kuat dari ruang tengah dan laungan azan menjadi semakin kuat ibarat ada seratus orang lelaki dewasa sedang melaungkan azan serentak. Sesiapa yang berada di kawasan itu pasti dapat merasakan betapa hebatnya laungan azan pemuda-pemuda kampung yang cuma berjumlah 13 orang itu.

Berkali-kali bumbung rumah seperti dihentak dengan batang balak. Sekejap di dapur sekejap di atas serambi, sekejap pula di bahagian tengah di atas bilik.

Dummm!! Dumm!!! Prankkkk!!! Bunyi seperti daun pintu dihentam ke dinding disertai bunyi pinggan mangkuk berlaga di dalam rumah. Ada juga bunyi seperti periuk belanga dihentam ke dinding rumah. Selepas menghentam dinding jatuh pula ke lantai menghasilkan deretan bunyi yang sangat kuat sebelum bergolek lalu diam.

Shamsul cuba menyentuh tembok besi dengan hujung jarinya. Tembok besi yang hanya boleh dilihat olehnya itu bertukar menjadi tembok jeli. Berlubang disebabkan tusukan jari telunjuknya. Dengan perlahan-lahan dia memutarkan jari tersebut membentuk bulatan yang lebih luas dan lebar hingga mampu keseluruhan tangannya menembusi tembok tersebut. Di penghujung azan, dengan sekuat tenaga dia memegang tembok besi itu lalu mencampakkannya ke atas. Hilang ghaib tembok itu. Bukan hanya satu bahagian tembok yang hilang ghaib tetapi keseluruhan yang memagari rumah Tok Anjang turut sama ghaib.

Di atas bumbung, makhluk-makhluk pendamping Laila sedang kepanasan. Masing-masing melompat ke sana ke sini cuba mengelak dari terbakar disebabkan bumbung rumah menjadi seperti bara api. Merah menyala yang hanya menunggu masa untuk merentungkannya.

Di dalam rumah pula, Laila juga sedang kepanasan. Mahu sahaja dia berlari ke luar namun ratusan lelaki di sekitar rumah melenyapkan hasratnya. Di matanya, ada beratus-ratus lelaki memenuhi halaman rumah yang sedang melaungkan azan. Sedangkan jumlah pemuda-pemuda yang ada hanyalah 13 orang termasuk Shamsul. Menjerit marah Laila dibuatnya. Rashid menikus di penjuru bilik.

Laungan azan seperti tidak berkesudahan. Semakin galak bunyi-bunyi di atas bumbung rumah. Laila seperti orang gila di dalam rumah, menjerit dan memaki hamun apa sahaja benda di hadapannya.

Guruh mula berdentum di dada langit, angin mula menderu meniupkan pelepah-pelepah kelapa sehingga batang pokok kelapa condong sebelah. Begitu kuat angin yang bertiup sehingga terlucut kain pelikat yang dipakai oleh beberapa orang pemuda. Ada di antara mereka terpaksa memaut tiang rumah untuk bertahan dari diterbangkan angin. Laungan azan menjadi terhenti-henti, rata-rata mereka sibuk mahu mengikat kain pelikat yang sudah terlucut ke tanah.

Bunyi bising di atas bumbung rumah mulai reda bila laungan azan menjadi tidak sepadu sebelumnya. Namun Shamsul tetap menunggu sehingga masanya sesuai. Dengan langkah kanan Shamsul melangkah mahu membuka pintu rumah. Baru sahaja dia ingin mencapai tombol pintu, pintu rumah terbuka lebar. Satu susuk tubuh lelaki seolah-olah dicampak keluar. Terperosok tubuh itu di hujung kaki Shamsul.

Rashid mendongak. Hidungnya mengalirkan darah merah pekat. Bahagian dahinya ada luka yang agak luas. Dia menggapai-gapai tangan seperti meminta tolong. Shamsul hanya melihat sekilas pandang.

*****

*****

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *