CSI-RAMONA ~BAB 20~

BAB 20

Ini pertemuan kali ketiganya dengan Shamsul. Sudah dua pertemuan sebelum ini, Shamsul buat endah tak endah sahaja. Satu soalan yang ditanya, hanya beberapa patah perkataan yang keluar dari mulut lelaki itu. Kali ini Ramona tidak mahu terlalu kelihatan terlalu bersungguh.

Mereka bertemu di luar kedai runcit Pak Ali. Waktu itu sudah rembang petang. Ramona yang baru selesai membeli beberapa bahan masakan, terserempak dengan Shamsul yang baru sahaja mahu masuk ke kedai. Ramona buat tidak nampak sahaja. Dia meneruskan langkah mahu pulang ke rumah.

“Haslina!” satu suara menegurnya dari belakang. Dia menoleh. Dapat dilihat Shamsul menggamit tangan ke arahnya. Di dalam hati dia sudah menari keriangan. Ramona menunggu Shamsul mendekatinya.

“Mahu pulang?” tanya Shamsul. Ramona mengangguk tanpa sepatah kata. Dia berpaling mahu meneruskan langkah.

“Abang temankan,” kata Shamsul lagi. Ramona terkejut yang bukan dibuat-buat. Dia pantas menoleh memandang ke wajah Shamsul, cuba mencari riak gurauan di wajah lelaki itu.

“Untuk apa?” Ramona jual mahal walau dalam hati sudah melonjak ke langit.

Shamsul mengatur langkah bersaing di sebelah Ramona.

“Hari sudah lewat benar. Kalau apa-apa berlaku pada Haslina, abang rasa bersalah kerana tak menemankan Haslina balik ke rumah.” Jawab Shamsul jujur. Sememangnya, itulah yang diniatkan di dalam hati.

Jarak dari kedai runcit Pak Ali dengan rumah Tok Anjang tidaklah terlalu jauh. Namun, apa sahaja boleh berlaku sementelah Haslina sememangnya menjadi bualan pemuda-pemudi kampung. Ada sebuah denai di antara kedai runcit itu dengan rumah Tok Anjang, dia tidak mahu jika nafsu pemuda-pemuda kampung ini membuatkan kewarasan mereka hilang. Dia tidak mahu esok mendapat khabar berita, Haslina dijumpai terdampar di dalam belukar di tepi denai tersebut.

“Kenapa Abang Shamsul berubah hari ni? Selalunya sombong benar dengan saya,” tanya Ramona perlahan namun dapat didengar jelas oleh telinga Shamsul.

“Haslina bukan calang-calang gadis. Tak berani saya nak beramah mesra dengan Haslina,” jawab Shamsul dengan nada mendatar.

“Bukan calang-calang gadis?” Ramona kembali bertanya. Gugup juga hatinya mendengar jawapan Shamsul tadi.

Shamsul berdehem perlahan. Langkahnya diatur mengikut langkah gadis itu.

“Ya..Haslina kan cucu Tok Anjang, orang yang paling disegani oleh orang kampung, termasuk saya.” Jawab Shamsul. Ramona melepaskan keluhan lega mendengar jawapan dari lelaki itu.

“Saya gadis biasa saja, Abang Shamsul.” Kata Ramona meneruskan perbualan.

Kemudian perbualan mereka mati begitu sahaja. Lama keduanya berdiam diri sehingga halaman rumah Tok Anjang semakin dekat di pandangan mata. Bagi Ramona, kesudian Shamsul menemannya pulang cukup membuat hatinya terlalu gembira. Tersenyum-senyum dia melayan fikiran yang sudah jauh menerawang.

Hilang sudah kebolehannya menggoda lelaki. Dengan Shamsul, dia jadi tak keruan. Lidahnya kelu mahu menutur kata, sedangkan dengan lelaki lain dia tidak pernah menghadapi masalah itu. Dengan lelaki lain, dia adalah dominan.

“Saya ingat Abang Shamsul sombong, tapi rupa-rupanya tidak.”

“Terima kasih hantar Lina balik.” Ramona menyambung.

Shamsul tersenyum. Mereka sudah sampai di halaman rumah Tok Anjang. Shamsul menyapa orang tua itu yang sedang duduk minum-minum petang di serambi rumah. Tok Anjang mengajaknya naik tetapi dengan sopan pelawaan orang tua itu ditolak.

Dia memberitahu mengapa dia bersama dengan Haslina pada petang itu. Dia mahu mengelak fitnah walaupun niatnya baik. Tok Anjang mengangguk tanda faham. Shamsul meminta diri selepas mengucapkan salam ke atas keduanya. Haslina pula naik ke atas rumah dengan rasa tersipu-sipu malu mahu bertentang mata dengan neneknya.

Entah kenapa dia jadi begitu, dia sendiri tidak mengerti.

*****

“Abang Shamsul tu sudah berkahwin ke, Nek?” tanya Ramona agak malu-malu. Dia tidak dapat menahan mulutnya daripada bertanya. Mak Mah yang mendengar hanya tersenyum simpul.

“Setahu nenek, belum lagi. Kenapa? Kamu berkenan?” pertanyaan neneknya membuatkan dia tersipu-sipu malu.

“Tak ada lah, saja Lina tanya,” jawab Ramona cuba menutup isi hati.

Mak Mah yang mendengar jawapan dari cucu kesayangannya itu hanya ketawa kecil. Dia tahu apa isi hati gadis itu, cuma dia yang tidak mahu memandai-mandai. Padanya, kalau Shamsul menjadi cucu menantunya, kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Dari arah tangga rumah, terdengar derap tapak kaki melangkah turun ke bawah. Sekaligus Mak Mah dan Ramona menoleh mahu melihat siapa yang masuk ke dapur. Laila yang cantik bersanggul, berjalan perlahan menuju ke meja makan. Matanya tajam merenung wajah Ramona.

“Si Lina ni tengah bercinta ke, Mak?” tanya Laila bersahaja. Dia melabuhkan punggung ke atas kerusi betul-betul berdepan dengan Ramona yang sedang merenung pinggan berisi kuih karipap di  atas meja. Takut barangkali mahu bertatapan mata dengan Laila.

“Tak ada lah Laila, saja mak bergurau dengan dia tadi.” Jawab Mak Mah yang faham akan pandangan mata Laila. Ramona melepaskan keluhan kecil, lega dengan jawapan neneknya.

“Dia ni tak boleh bercinta, Mak.” Kata Laila sambil menyuap sebiji karipap ke dalam mulut.

“Kenapa?” spontan Mak Mah bertanya. Pelik benar dia mendengar kata-kata Laila tadi.

Laila tidak menjawab, dia sekadar merenung wajah Ramona yang masih lagi merenung meja. Tidak lama kemudian, dia mendongak memandang Mak Mah yang masih menunggu jawapan darinya.

“Dia kan kecil lagi, kerja rumah langsung dia tak tahu buat. Mana boleh bercinta kalau macam tu. Betul tak Mak?” akhirnya Laila memberi alasan. Mak Mah ketawa kecil. Dia menggosok-gosok kepala Ramona dengan lembut.

“Kalau itu sebabnya, tiap hari teman nenek di dapur ni ya. Sekejap aja kamu pandai buat semua tu,” Mak Mah mencium dahi Ramona.

Ramona kelu lidah. Laila pula tetap merenung tajam ke arahnya.

*****

“Kau nak sangat mati ya?” Laila menunjal kepala Ramona dengan kuat. Ramona terdorong ke belakang. Tangannya menopang dinding bilik untuk mengelakkannya daripada jatuh ke lantai.

“Mona bersembang saja dengan Abang Shamsul tu bu. Apa salahnya?” dengan takut-takut Ramona menjawab. Jawapan yang membuatkan Laila semakin menyinga.

“Sekarang kau kata kau sembang-sembang je, lepas ni kau nak apa? Nak berpeluk-peluk?” tanya Laila dengan nada yang tertahan-tahan. Dia tidak mahu suaranya pecah sehingga Mak Mah di luar dapat mendengar.

“Apa ibu cakap macam tu? Mona takkan bercinta la dengan Abang Shamsul tu!” suara Ramona sedikit meninggi. Dia sebal dituduh-tuduh begitu.

Walaupun di dalam hati, dia sangat suka jika hanya dapat melihat kelibat Shamsul. Kadang-kadang dia mahu sangat melihat wajah lelaki itu. Namun begitu dia tetap tidak rasa dia akan jatuh cinta. Dia tahu janjinya.

“Kau kena ingat, Mona. Kena ingat betul-betul. Cinta buat perempuan jadi lemah. Cinta buat perempuan jadi mangsa. Dan cinta akan buat kau mati!” kata Laila lagi.

“Ye bu..Mona takkan lupa. Ibu Hasnah mati sebab cinta. Tapi kenapa ibu selamatkan Abang Rusdi..atau Rashid..Hishh!! Sakit hati Mona bila tahu dia tu siapa!” balas Ramona dengan suara agak keras.

“Kalau kita boleh buat lelaki tunduk, itu kemenangan untuk kita. Tak kiralah siapa Rashid tu, dia di bawah tapak kaki Mona,” jawab Laila lancar. Jawapan yang membeli kepercayaan Ramona terhadap Laila.

*****

Mereka ditakdirkan bertembung lagi. Kali ini Shamsul pula yang menegur Ramona semasa gadis itu berjalan-jalan dekat dengan kebunnya. Sapaan Shamsul dibalas dengan senyuman paling manis di bibir Ramona.

Girang sungguh hatinya pagi itu, niatnya untuk mengambil udara segar tidak jauh dari rumah datuknya, membawanya kepada Shamsul. Dia mencuri pandang meneliti paras rupa lelaki itu.

Shamsul bertubuh tinggi dan tegap. Jelas kelihatan urat-urat di tangannya. Baju putih yang dipakainya sudah melekap ke badan kerana lencun dibasahi peluh. Kulitnya kuning langsat, wajahnya bersih dengan kumis nipis yang dijaga rapi. Rambutnya yang turut basah dengan peluh diseka dengan telapak tangan. Ramona seperti mahu menjerit melihat kejantanan lelaki yang bernama Shamsul itu.

“Lina tengok apa?” pertanyaan Shamsul membuatkan Ramona tersentak dari lamunan. Dia tersipu-sipu malu apabila perlakuannya sudah dihidu oleh Shamsul.

Ramona tidak menjawab, dia mengucapkan selamat tinggal kemudian mula mengorak langkah. Dengan alasan mahu ke kedai, persoalan Shamsul mahu dibiarkan tidak berjawab. Sesungguhnya itulah pertama kali dia merasa malu ditegur begitu. Dan sesungguhnya, itulah pertama kali dia berperangai begitu.

“Tak mahu minum dulu? Mak abang ada sediakan bekal ubi kayu rebus dengan sambal bilis ni,” pelawa Shamsul mesra. Dia sendiri sebenarnya tidak tahu kenapa dia terlalu ramah dengan cucu ketua kampung ini. Sedangkan itu bukan perangainya yang biasa.

Ramona menghentikan langkah, dia menoleh ke belakang melihat Shamsul yang sedang tersenyum. Dengan tidak semena-mena, angin yang bertiup menampar kuat wajahnya. Ramona terkejut.

Sempat Ramona melihat sekeliling. Dia nampak jelas satu kelibat di celah-celah pokok pisang. Berderau darahnya ketika itu. Dia jadi teringat dengan pesanan Laila. Gadis itu jadi gelisah sendiri.

“Bukankah tak manis kalau orang kampung melihat abang dan lina di sini?” akhirnya meletus persoalan dari mulut Ramona.

Dia mahu sangat berada dekat dengan Shamsul, tetapi dia perlu berpegang pada janji. Tamparan angin tadi mengingatkannya pada janji. Shamsul pula terpempan dengan pertanyaan Ramona itu. Dia berdehem kecil.

“Err…” hanya itu yang mampu dituturkan.

“Lina pulang dulu ya,” Ramona tidak mahu membiarkan Shamsul terus malu. Dia langsung meminta diri. Kepada Shamsul, dihadiahkan sebuah senyuman manis yang akan mencairkan hati mana-mana lelaki, waima lelaki egois sekalipun pasti akan jatuh tersungkur melihat kejelitaan dan manisnya senyuman gadis itu.

*****

“Apa itu cinta ya Mawar?” tanya Ramona perlahan, sewaktu dia bermain-main air di gigi sungai. Petang itu dia mahu menghabiskan masa dengan gadis-gadis pendampingnya.

Mawar, Anggerik dan Cempaka ada di sekitar tempat dia melabuhkan punggung di atas bongkah batu besar di tepi sungai itu. Soalan Ramona dibiarkan sepi. Tiada siapa yang menjawab.

“Hei…jawab lah soalan aku tadi!” marah Ramona.

“Entah…aku tak tahu jawapannya.” Balas Mawar. Anggerik dan Cempaka mengangguk-angguk setuju.

Tiba-tiba, Cempaka menunjal kepala Ramona. Ramona yang terkejut terus memarahi Cempaka. Dia mahu tahu kenapa Cempaka menunjal kepalanya. Bukannya tidak sakit dibuat begitu.

“Kenapa kau mahu tahu cinta tu apa?” tanya Cempaka dengan nada sinis.

“Saja aku mahu tahu.” Jawab Ramona ringkas. Jawapannya dibalas dengan cebikan oleh gadis-gadis pendamping itu.

“Kau sengaja mahu bermain dengan api? Kau mahu Laila buat wajah kau hodoh macam sebelum ni? Kau ni belum lagi jadi cantik kau tahu? Kejelitaan kau ni pada mata manusia saja, pada mata kami kau ni hodoh!” kata-kata Mawar ibarat pukulan kuat untuknya. Ramona tersentak.

“Mangsa kau baru seorang, Mona! Sedarlah! Apa kau nak dalam hidup kau?” kata Anggerik pula. Ramona terdiam membisu seribu bahasa.

“Kalau aku mahu cinta?” akhirnya Ramona bersuara. Mereka bertiga ketawa mendengarnya.

“Tolol!” kata Cempaka.

“Aku sendiri boleh benam kau ke dalam sungai tu Mona. Tak perlu tunggu, kau tetap akan mati!” kata Anggerik pula.

“Manusia seperti kau, memang tak boleh dipercayai! Cinta konon. Kau tahu apa itu cinta?” soal Mawar geram. Ramona menggeleng kepala.

“Kalau tak tahu, jangan pandai bercakap! Buruk padahnya.” Balas Mawar. Ramona mengangguk kepala pula.

“Tolol!” marah Cempaka lagi.

*****

“Oh azizah..gadis ayu, pinggangnya ramping..leher jinjang…” Latif menyanyi perlahan sambil kakinya terus melangkah mahu pulang ke rumah. Dia berseorangan sahaja malam itu.

Kebiasaanya, akan ada seorang dua lagi kawan seperjuangannya yang sama-sama akan berjalan pulang selepas bermain judi di pondok buruk di belakang rumah Wak Shoib. Pondok tersebut telah lebih 5 bulan menjadi tempat dia dan kawan-kawannya bermain. Dan malam itu, untuk pertama kali dia berjalan sendiri, memandangkan rakannya yang lain masih belum mahu pulang. Dia sudah kehabisan duit.

Malam itu gelap, tiada langsung cahaya bulan di dada langit. Dengan bersuluhkan lampu suluh yang malap, Latif menyuluh laluannya. Laluannya merupakan denai kecil melalui kawasan belukar dan kebun-kebun milik orang kampung. Dia tidak ikut jalan utama, takut terserempak dengan orang kampung walaupun pada waktu-waktu begitu tiada lagi orang kampung yang berjaga.

Suara burung hantu kedengaran entah dari batang pokok yang mana, meremang juga bulu roma Latif dibuatnya. Langkahnya dipercepatkan. Lagi cepat dia melangkah, lagi dekat pula suara burung hantu tersebut. Latif jadi gusar. Dipercepatkan lagi langkahnya, suluhan lampu suluhnya juga jadi tak menentu.

Buk!! Kakinya tersadung akar pokok lalu dia jatuh ke tanah. Sebaik sahaja dia mahu bangun, sesuatu yang besar terbang di atas kepalanya. Spontan dia menyuluh ke atas, tiada apa yang kelihatan kecuali daun-daun pokok kayu yang kaku tidak bergerak.

“Bukan angin nampaknya,” Latif berkata sendiri.

Di bingkas bangun lalu memulakan langkah baru dengan agak terhencot-hencot. Suara burung hantu sudah tiada, latif melangkah dengan lebih tenang. Dia menggumam lagu P.Ramlee pula, mungkin mahu menghilangkan rasa cemasnya tadi.

“Psssttt..Abang Latif.” Suara perempuan memanggil namanya.

Latif menoleh, disuluhnya sekeliling kawasan. Tiada siapa yang kelihatan. Latif kembali mempercepatkan langkah. Seram sejuk batang tubuhnya ketika itu. Peluh jantan mula merembes keluar.

“Psstt..Abang Latif! Berhentilah! Jangan jalan laju-laju.” Suara itu kedengaran lagi lantas Latif mula berlari. Suara itu mulai ketawa mengekek. Latif semakin takut. Lariannya semakin laju.

Ada sesuatu yang menyentuh bahunya, Latif mengerling ke belakang. Mahu sahaja Latif pengsan di situ juga. Ada tangan yang memegang bahunya, tangan yang begitu runcing itu mula mencengkam sehingga bahunya terasa sakit yang teramat sangat.

“Apa kau nak haa?” Latif bertanya dalam desah nafas yang kuat kerana berlari laju.

“Berhentilah berlari, Abang latif. Aku mahu bermesra dengan kau..” lemah gemalai suara perempuan menjawab. Latif rebah di situ juga.

*****

Mawar memberi isyarat kepada Ramona untuk bertindak. Ramona yang sememangnya memerlukan bantuan daripada gadis-gadis itu mengangguk faham.  Sekujur tubuh Latif yang terbaring di atas tanah didekatinya.

Butang baju Latif dibuka satu persatu. Latif yang masih sedar cuba membuka mata, dalam samar suluhan cahaya lampu suluh, dia dengan takut-takut melihat adakah manusia yang sedang cuba membuka bajunya, ataupun hantu yang memegang bahunya tadi. Dalam takut, ada juga beraninya lelaki bernama Latif itu.

Kebetulan sewaktu dia rebah ke tanah tadi, lampu suluh yang tercampak turut jatuh ke tanah dalam posisi menyuluh ke tubuhnya. Dia dapat melihat susuk tubuh perempuan yang sedang melutut di celah kangkangnya.

Latif memegang tangan Ramona yang masih membuka butang baju kemeja yang dipakai Latif. Ramona tersentak dengan sentuhan lelaki yang difikirkan sudah pengsan itu. Namun dia tidak cepat melatah, tangan Latih diramas-ramas lembut. Latif tersenyum lebar.

Hilang sudah kewarasannya ketika itu. Walhal boleh difikirkan di mana logiknya dia mendapat durian runtuh pada tengah-tengah malam begitu. Sedangkan baru tadi dia dikejar oleh hantu. Nafsu seorang lelaki, kadang-kadang tidak dapat diterima akal bila datang kemuncaknya.

Selesai membuka semua butang baju, Latif bingkas duduk. Dicapainya lampu suluh lalu didekatkan ke wajah Ramona. Ramona menolak tangan Latif, silau matanya disuluh begitu. Marah pun ada, tetapi misinya pada malam itu perlu dilaksanakan.

Latif menarik ke bawah zip baju kebaya yang dipakai Ramona lalu baju itu dengan mudah dilucutka dari tubuh gadis itu. Latif sudah menelan air liur. Ramona tersenyum menggoda memandang ke wajah Latif.

“Abang sudah bersedia?” tanya Ramona dengan nada lembut dan manja.

“Sudah…sudah lama bersedia tapi tak ada orang yang mahu,” jawab Latif panjang lebar. Ramona ketawa kecil. Latif turut sama ketawa.

Latif tidak menghiraukan siapa perempuan di hadapannya ini. Dia tidak kisah kalau perempuan itu adalah cucu Tok Anjang. Apa yang dia tahu, dia tidak pernah mendapat peluang sebegini. Jadi tak mungkin peluang ini akan disia-siakan.

“Mari, Abang Latif. Kita ke sana,” tunjuk Ramona ke satu kawasan lebih luas tidak jauh dari tempat itu. Latif mengangguk kepala tanda setuju. Ramona menarik lembut tangan Latif. Latif tidak berhenti tersenyum sumbing.

*****

 

 

 

 

 

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *