CSI-RAMONA ~BAB 19~

BAB 19

“Aku tak pernah anggap kau sebagai ayah, Rashid. Jadi, jangan mimpi aku nak panggil kau dengan perkataan keramat tu!” keras suara Ramona. Matanya tajam merenung wajah Rashid.

Rashid yang tersentak terus menoleh memandang wajah anaknya. Ada sinar pilu di bening mata lelaki itu. Namun dia pasrah jika segalanya tertulis seperti itu. Dia sendiri sedar dia tidak pernah bertindak sebagai seorang ayah.

“Kalau aku berbaik dengan kau pun, itu cuma untuk mata dan telinga orang tua di rumah ini!” sekali lagi Ramona bersuara keras.

Rashid mengangguk lemah. Lidahnya kelu untuk bersuara. Dia tahu di mana silapnya, silap yang tidak boleh berpatah balik. Pada masa itu tubuh dan hatinya terasa lemah kerana dihurung oleh rasa bersalahnya terhadap arwah Hasnah dan Ramona.

“Orang tua?”  akhirnya tercetus soalan di mulut lelaki itu. Ramona ketawa mengejek.

“Jangan kau ingat aku sayangkan org tua di rumah ini. Kalau tak kerana aku perlukan mereka, sudah lama aku bunuh mati mereka berdua.” Kata Ramona dengan nada angkuh sekali.

 “Sakit hati aku hanya aku yang tahu.” Sambung gadis itu lagi. Nampak jelas tulang pipinya ketika itu kerana giginya dirapatkan bagi menunjukkan betapa dia benci terhadap Mak Mah dan Tok Anjang.

Rashid terpaku. Terkejut dengan kenyataan yang baru keluar dari mulut anaknya. Langsung dia bangun dan tanpa menoleh terus sahaja dia ke dapur. Di dalam hatinya terlalu banyak persoalan dan rasa gusar dengan sikap yang baru ditonjolkan oleh Ramona.

*****

 “Jauh dah kita berjalan ni…betul ke kau ingat tempat tu Ki?”

Zainal terus-terusan bertanya dengan nafas yang sedikit mengah. Zainal yang bertubuh agak gempal semakin memperlahankan langkahnya. Akar-akar pokok merbah ditambah dengan anak-anak rotan yang berselirat di lantai hutan meletihkan kakinya. Baju yang dipakainya sudah lencun dengan peluh jantan. Sudah boleh diperah.

Zaki sempat menoleh ke arah Zainal. Sebal juga hatinya bila ditanya berulangkali begitu. Setiap kali diajukan soalan oleh Zainal, dia dengan tabah menjawabnya. Tetapi kali ini sikap Zainal sudah menerbitkan rasa menyampah di sudut hatinya. Datangnya tidak dijemput, malah Zainal yang beria-ia mahu mengikut dia, Rahman dan Safuan menjerat burung serindit di dalam hutan. Dia langsung tidak mengajak. Sekarang Zainal pula yang paling banyak soal.

 “Nal…kau nak ikut ke tak? Kalau rasa tak larat atau tak percaya kat tempat bertuah aku tu..kau boleh balik sekarang,” jawab Zaki agak keras. Zainal yang mendengar jawapan Zaki sedikit tersentak. Tegak lurus badannya dengan mata membulat kerana agak terkejut manakala Rahman dan Safuan menoleh ke arah lain, tidak mahu masuk campur.

Zainal berdehem kasar, begitu juga dengan Zaki. Zaki menyambung langkah meredah pokok senduduk yang tumbuh bersepah di laluan mereka. Diikuti oleh langkah Rahman. Safuan menepuk bahu Zainal perlahan, sebagai isyarat supaya Zainal juga menyambung perjalanan mereka.

Zainal mendongak langit, pandangannya cuba menerobos melalui celah-celah kanopi hutan, mahu mengintai sinaran matahari. Akhirnya langkah pertama diatur, sedikit terkebelakang dari kelompok rakan-rakan sekampungnya yang bertiga itu.

Zaki memang terkenal dengan kehebatannya menjerat burung. Apa sahaja jenis burung, Zaki boleh menjeratnya. Namakan saja, dari burung bayan, serindit sehingga burung tekukur hutan Zaki mampu menjerat dan sangat berkebolehan. Sekarang ada beberapa orang dari kampung sebelah mahukan burung serindit betina berbulu merah di kepala. Zaki sudah mengangguk setuju dan berjanji akan mendapatkan burung serindit betina itu secepatnya.

 Itulah dia mengajak Rahman dan Safuan untuk masuk ke hutan bersamanya. Zainal yang mendengar ajakan Zaki pada waktu itu, langsung mahu mengikut sama. Zaki tidak kisah sama sekali, dia tidak kisah mahu menurunkan ilmu atau petua yang diamalkannya kepada sesiapa yang mahu belajar, tetapi dia tidak boleh menerima sikap manja yang ditunjukkan oleh Zainal. Ini punca rezekinya, sikap Zainal seperti mahu menabur pasir dalam periuk nasinya. Itu yang menerbitkan rasa sebal dan marah di dalam hati Zaki.

Mereka berempat berjalan meranduk semak dan belukar. Tiada denai lama di laluan itu. Zaki berjalan di hadapan sekali. Sesekali kelihatan dia mendongak memerhati pokok-pokok di sekitarnya, mungkin cuba mengamati persekitaran di sekelilingnya.

Keluhan kecil cuba disorokkan dari terlihat oleh kawan-kawannya yang lain. Selepas hampir empat jam berjalan, dia sendiri agak khuatir dengan percaturannya sendiri. Namun dia langsung tidak membuka mulut, malu mahu bertentang mata dengan yang lain, terutama sekali Zainal.

Safuan sudah duduk di atas batang banir yang besar terkeluar dari tanah. Rahman pula menahan tubuh dengan tapak tangannya melekap di batang banir manakala Zainal sedang mencari-cari tempat sesuai untuk dia melabuhkan punggung. Sungguh dia sudah tidak larat lagi. Lantak lah apa sahaja makian dari mulut Zaki nanti, dia tidak peduli. Dia benar-benar keletihan. Berombak dadanya cuba mencuri lebih oksigen.

“Ki..kita rehat lah dulu. Aku sendiri dah letih sangat ni,” kata Rahman dengan nada tegang. Dia sendiri pelik dengan laluan yang dibawa oleh Zaki.

Sudahlah perlu membuat denai baru, bermakna mereka perlu menebas mana-mana pokok renek yang menghalang laluan sebelum dapat meneruskan langkah. Letihnya bukan kepalang. Awalnya tadi hatinya bersemangat membayangkan betapa asyiknya memasang pikat di atas pokok tinggi, keterujaan yang mendebarkan apabila melihat burung yang mahu dipikat terbang dekat dengan burung jantan yang dijadikan umpan.

Walaupun terpaksa menunggu tetapi bagi kaki pikat burung seperti dirinya, itulah kepuasan yang tidak terhingga. Namun selepas penat meranduk semak, masih belum lagi sampai ke tempat yang dikatakan Zaki sebagai tempat terbaik untuk memikat serindit, Rahman sendiri jadi kurang bersemangat. Dengan perut yang sudah mula berkeroncong, Rahman hanya menunggu masa mahu meledakkan rasa di hati.

Dalam jerit pekik lotong diselang seli dengan bunyi desiran angin membelah kanopi hutan, Zaki yang lebih peka berbanding rakan-rakan yang lain dapat mengecam suatu bunyi yang sangat memikat pendengarannya. Bunyi seolah-olah sekumpulan burung serindit sedang berbual-bual di atas pokok di antara banyak pokok-pokok hutan yang menjulang tinggi. Mata Zaki mula tertinjau-tinjau, kepalanya tegak mendongak melilau ke kiri ke kanan mencari punca bunyi.

“Ki..” Safuan memanggil Zaki.

Zaki memberi israyat tangan menyuruh Safuan diam dahulu. Dia cuba menajamkan telinga. Rahman dan Zainal mula memberi perhatian terhadap perlakuan Zaki. Zaki pula langsung tidak menghiraukan wajah-wajah yang penuh dengan tanda tanya itu. Dia cuba fokus mencari arah punca bunyi burung-burung serindit yang sangat merdu di pendengarannya. Hatinya teruja membayangkan hasil pikatannya nanti.

Jarang sekali dia boleh menjumpai sekumpulan serindit yang bersahut-sahutan begitu. Kadangkala mahu memikat seekor betina pun mengambil masa sehari dua. Zaki mula mengatur langkah tanpa sepatah suara. Mahu tak mahu mereka bertiga yang lain terpaksa mengikut jejak langkah Zaki yang sangat berhati-hati memijak lantai hutan.

Zaki memberi isyarat supaya mereka mengikut langkahnya. Di mana dia memijak di situ jugalah mereka yang lain wajib memijak. Zaki yang penuh bersemangat cuba mengelak dari memijak ranting-ranting kayu kering rapuh yang berserakan di lantai hutan.

Semakin lama semakin jauh mereka meredah belukar hutan. Zaki seperti dirasuk, tidak langsung dia hiraukan juluran pohon-pohon renek yang menghalang laluannya. Semuanya diredah bagai jalan yang lengang tanpa sebarang halangan. Lengannya sudah memercik rintik darah akibat tertusuk hujung ranting atau duri rotan.

Rahman yang berjalan di belakang Zaki juga seperti dipukau. Sudah beberapa kali dia tersadung namun cepat-cepat dia bangun untuk mengejar langkah Zaki yang semakin laju tetapi tidak keruan ke mana hala tujunya. Apabila Rahman jadi begitu, seolah-olah diserang wabak, Safuan yang berjalan di belakang Rahman turut berkelakuan seperti Zaki dan Rahman.

Safuan tidak menghiraukan tamparan pokok-pokok renek yang mengena mukanya. Sedangkan dahan-dahan pokok itu ditahan oleh Rahman untuk melalui kawasan tersebut lalu dilepaskan sejurus dia melangkauinya. Seharusnya sesiapa sahaja di belakang Rahman pasti akan marah apabila ditampar kuat oleh dahan keras itu.

Zainal yang berjalan agak sedikit terkebelakang menjadi hairan melihat perangai kawan-kawannya yang ketara pelik dan berbeza. Beberapa kali nama Safuan dipanggil namun sedikit pun rakannya itu tidak menoleh. Zainal cuba mengejar langkah mereka bertiga yang semakin laju. Perutnya yang bulat bergoyang-goyang ibarat belon berisi air  kerana memaksa tubuhnya berjalan lebih laju. Akhirnya tangan Safuan dapat disentuhnya.

Safuan tidak menoleh walau sama sekali, bahkan tangan Zainal dipegang kejap lalu direntap sehingga tubuh gempal itu terdorong sedikit ke hadapan. Zainal yang pada mulanya mahu mencarut akibat terkejut oleh perbuatan Safuan tiba-tiba sahaja terdiam lalu menunduk memandang tanah. Diturutkan sahaja langkah kaki Safuan yang ketara kelam-kabut mahu mengiringi langkah Rahman yang sudah maju ke depan.

Pada masa ini kalau ada yang memerhati tingkah pemuda berempat itu pasti akan merasa pelik. Zaki bagaikan ibu ayam yang tidak keruan mahu membawa anak-anaknya berlari. Manakala Rahman dan Safuan pula adalah anak-anak ayam yang tidak mahu kehilangan jejak langkak ibunya. Zainal pula?

Hanya menurut tanpa sebarang bantahan. Tangannya masih lagi dipegang kejap oleh tangan sasa Safuan. Tiada bantahan, hanya menurut. Tiada lagi rungutan penat. Akhirnya langkah Zaki membawanya keluar dari kawasan belukar tebal di bawah kanopi hutan yang tinggi menjulang langit itu. Dia memasuki denai yang nampaknya sering digunakan sebelum itu. Tanahnya jelas kelihatan dengan rumput ayam yang pendek. Tiba-tiba Zaki memulakan larian.

Pada pendengarannya, bunyi sekumpulan serindit itu semakin jelas. Dia semakin teruja. Rahman pula yang melihat semangat Zaki menjadi tidak sabar, dia sama-sama naik minyak. Begitu juga dengan Safuan yang masih mengheret Zainal yang kelihatan sudah tidak bertenaga namun gilanya, dia tetap menurut tanpa satu pun rungutan.

Zainal memang sudah langsung tidak berdaya. Tubuhnya sudah mahu tersembam menyembah ke bumi. Kepalanya sudah tunduk bertemu dada. Peluhnya berjujuran.

Kakinya menjadi longlai. Tetapi disebabkan Safuan masih lagi mengheret tangannya, dia menjadi pak turut. Namun akhirnya tubuh gempalnya menyembam ke tanah juga. Safuan menoleh sesaat ketika terasa sentakan kuat di tangannya. Sentakan yang membuatkannya terkejut akibat tubuh Zainal yang tersembam ke bumi.

*****

“Nal…apa jadi?” tanya Safuan bertalu-talu. Dengan bersusah payah dia cuba mengalihkan tubuh gempal Zainal. Namun cubaannya tidak berjaya. Dia sendiri berasa tersangat letih dan tidak bertenaga sama sekali.

 Akhirnya Safuan duduk bertinggung di hujung kepala Zainal. Dari bertinggung Safuan akhirnya duduk terus di atas tanah. Bahu Zainal ditepuk-tepuk berulangkali namun Zainal masih begitu, pengsan barangkali. Safuan terlelap selepas lebih dari sepuluh minit cuba menyedarkan Zainal. Tubuhnya jatuh perlahan-lahan ke tepi denai. Walaupun kepalanya tertusuk hujung ranting yang tajam, dia tetap tidak sedar.

Matahari sudah semakin tenggelam ke barat. Kawasan hutan menjadi semakin gelap. Denai yang tadinya boleh dilihat sehingga beberapa meter sudah tidak kelihatan lagi. Begitu juga dengan tubuh Zaki dan Rahman yang sudah lama hilang dari pandangan mata. Entah ke mana hala tuju dua pemuda itu mengejar bunyi serindit yang kononnya saling bersahutan dari dahan ke dahan.

*****

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *