CSI-RAMONA ~BAB 18~

BAB 18

“Jangan kau fikir untuk bersama dengan aku, Rashid.” Tegas kata-kata Laila sewaktu dia merebahkan badan di sebelah Rashid di atas katil. Sempat dia menjeling melihat Rashid yang terkulat-kulat mendengar amaran keras itu.

Dalam hati kecil Rashid, dia juga tidak ingin bersama dengan Laila. Kalau bukan kerana takutkan natijah melanggar janji, sudah lama Laila dihalaunya keluar. Tetapi dia terikat, maka mulutnya juga terkunci rapat. Dia hanya boleh menunduk dan mengikut telunjuk Laila.

Kalau boleh mahu sahaja dia lari membawa diri sekali lagi. Ramona sudah mendapat tempat di hati Tok Anjang. Laila juga sudah diterima di rumah besar ini. Laila pandai bermuka-muka. Di depan kedua orang tua itu, pijak semut pun semut tak mati. Manis mulutnya mengalahkan madu liar sehinggakan Mak Mah sangat sayangkan perempuan itu

Nasibnya semakin malang apabila perlu berpura-pura mengasihi Laila sebagai isteri sementelah Mak Mah dan Tok Anjang sudah mengangkat Laila seperti anak kandung mereka sendiri. Sedangkan dia dan Laila tidak punya sebarang hubungan yang sah. Setiap malam perlu tidur sekatil dengan perempuan iblis itu sangat-sangat membuatkan Rashid tertekan.

Malam ini seperti malam-malam sebelumnya, pasti ada sesuatu yang akan berlaku nanti. Laila yang garang sebelum masuk tidur akan berubah menjadi Laila yang sangat manja di waktu embun jantan menitik nanti. Rashid menjadi serba-salah. Dia sentiasa menolak tetapi setiapkali itu juga dia gagal dan tersungkur di kaki Laila. Aura Laila sangat kuat dan mempesona. Rashid jadi tak menentu saban malam.

Separuh dari hatinya, dia mahu saja tidur di ruang tamu atau menyelinap masuk ke dalam bilik yang kosong di rumah itu. Tetapi setiapkali dia memasang niat, kakinya tidak langsung boleh digerakkan. Dia tidak berasa sakit, cuma dia seperti dipaku di atas tilam. Sehinggalah ketika Laila mendatanginya, barulah tubuhnya boleh digerakkan.

Malam itu malam bulan penuh. Dari awal lagi dia sudah tahu kerana cuaca yang gelap bertukar samar-samar disinari cahaya bulan. Sebelum masuk tidur tadi, dia sudah mendongak langit menikmati keindahan malam walaupun ada gundah yang tidak terbendung di hatinya. Tetapi desakan janji dan pesona Laila membuatkan dia lekas-lekas mengatur langkah menuju ke bilik tidurnya yang dulu digunakan untuk dia dan Hasnah memadu kasih. Kenangan yang sudah kabur dari kotak ingatan, kerana sudah berbelas tahun malamnya ditemani Laila. Lebih lama dari tempoh Hasnah memenuhi nafsunya.

Rashid memejam mata. Dibiarkan saja Laila di sebelahnya. Dia tidak peduli sama ada Laila turut memejam mata atau masih lagi berjaga. Dia mahu melayan kantuk matanya. Makin lama makin berat dan akhirnya Rashid terlena. Jauh dia dibuai mimpi yang entah apa-apa. Tiada hujung pangkal mimpinya malam itu.

Dalam pukul 4 pagi, tubuh Rashid dipeluk dari belakang. Rashid resah namun dadanya tetap berdegup kencang. Dia tahu rutin subuhnya setiap hari akan berulang lagi malam itu. Dalam resah ada rasa teruja. Dibiarkan saja tubuhnya dipeluk Laila. Dia sudah biasa Laila akan memulakan segala. Rashid membatu diri seolah-olah dia tidak terkesan sama sekali dengan perbuatan Laila padanya.

Tengkuknya dijilat. Mulanya terasa seperti malam-malam sebelumnya. Masih lagi tubuhnya dikeraskan. Separuh hatinya mahu menguji apa tindakan Laila jika dia buat tidak tahu sahaja. Dia mengikut perancangannya sendiri subuh itu. Semakin lama semakin rakus tengkuknya dijilat Laila. Sehingga terasa basah dengan air liur wanita itu. Rashid menjadi pelik dan rasa tidak selesa dengan keadaan itu. Namun masih lagi dia membiarkan Laila terus-terusan menjilat tengkuknya.

Laila mendengus, semakin lama semakin kuat. Rasa tidak selesa di hati Rashid bertukar menjadi perasaan seram dan takut yang bertalu-talu mengetuk pintu hatinya. Rashid kaku dengan tangannya meramas-ramas cadar tilam. Dia benar-benar jadi tidak keruan ketika itu.

Pada masa yang sama, angin di luar rumah berubah menjadi kuat seperti mahu turun hujan. Berdesir bumbung rumah itu kerana ditimpa oleh dedaunan kering yang diterbangkan oleh angin. Rashid sedar semuanya, tetapi otaknya hanya memikirkan sesuatu yang positif, tidak mahu fikirannya belayar mencari jawapan yang bukan-bukan.

“Oh Rashid…aku mahukan kau,” bisik Laila di cuping telinga Rashid. Berderau darah jantannya ketika itu kerana pada tanggapannya, ungkapan kata itu cuma permainan kata dari Laila walaupun mereka hampir setiap malam terbabas bersama.

Rashid menyentuh tangan Laila yang melekap erat di pinggangnya. Suasana di dalam bilik hanya samar-samar, mencuri sedikit cahaya terang dari ruang tamu yang menerobos melalui celahan dinding bilik itu. Tangan Laila diramasnya.

Rashid terhenti meramas jari-jemari Laila, segera dia melepaskan tangan Laila yang berada di dalam genggamannya. Tangan Laila kasar. Rashid terkejut, tidak pernah dia menyentuh kulit Laila yang sebegitu rasa.

Laila yang menyedari Rashid melepaskan genggamannya secara tiba-tiba, merangkul pinggang Rashid dengan lebih erat lagi. Dia seolah-olah tidak mahu Rashid melepaskanya. Tangannya mencari tangan Rashid lalu dia pula yang menggenggam erat tangan sasa lelaki itu. Rashid hanya menyerah. Akhirnya dibiarkan saja Laila berbuat begitu. Dia meyakinkan diri bahawa apa yang dirasa tadi hanya sekadar mainan perasaan.

“Kau orang suruhanku yang paling patuh, Rashid.” Kata Laila lagi. Kali ini suaranya jauh ke dalam.

Rashid sekadar mengangguk kepala, tidak tahu mahu menjawab apa. Dan dia tidak berbangga pun mendapat pujian sebegitu dari Laila. Ada rasa marah di bucu hatinya, marah kerana menjadi hamba suruhan wanita bernama Laila itu.

Akhirnya Rashid memusing tubuh. Buntang matanya kerana terkejut yang amat sangat.

“Siapa kau?” Rashid melompat turun dari katil.

“Aku Laila,” jawab Laila dengan ketawa kecil yang dibuat-buat. Rashid menjauh sehingga tubuhnya menghimpit dinding.

Terkejut bukan kepalang hatinya apabila melihat perempuan yang merangkulnya itu tak ubah seperti nenek kebayan yang sangat hodoh. Tubuh Laila bongkok sabut, mengecut dan lebih kecil berbanding tubuh biasanya.

“Kau bukan Laila. Bukan! Bukan Laila!” Rashid meracau di dinding bilik. Makhluk yang mengaku sebagai Laila itu hanya ketawa mengekek.

Wajahnya berkerepot. Dengan biji mata yang jauh ke dalam. Soket matanya tersembul dek kerana keadaan wajahnya yang hanya tinggal kulit dan tengkorak sahaja. Rashid masih lagi melekat di dinding bilik dengan lidah kelu tak mampu berkata apa. Tetapi jelas dia berada dalam ketakutan yang teramat sangat. Ditambah rasa jijik dijilat oleh nenek bongkok berkedut seribu itu.

“Aku ini Laila, dan Laila itu aku. Tak ada bezanya, Rashid.”

Rashid seperti mahu muntah hijau ketika itu tatkala membayangkan apa yang sudah berlaku antara dia dan Laila sebelum ini.

“Ke mari kau Rashid,” arah Laila sambil tanggannya menggamit Rashid supaya datang mendekat. Rashid tetap kaku. Seinci pun kakinya tidak melangkah. Dia tak ubah seperti batu sungai yang besar, kaku dan tak mudah digerakkan.

Laila menepuk-nepuk bantal Rashid memberi arahan supaya Rashid mendekat, namun Rashid masih lagi kaku melihat Laila begitu. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Penolakannya membuatkan ketawa Laila terhenti. Suasana di dalam bilik itu bertukar menjadi hening sehingga berdesing telinga dibuatnya.

“Aku tak mahu,” akhirnya meletus juga dari mulut Rashid.

“Kau tak mahu?” tanya Laila keras. Dia sudah duduk mencangkung di atas katil dengan mata merenung tajam ke arah Rashid yang sedang menggelengkan kepala berkali-kali.

Laila menjadi berang. Tiba-tiba dia melompat dan melekat seperti cicak di atas siling rumah. Rashid yang melihat seakan tidak percaya apa yang dialaminya ketika itu. Melihat nenek kebayan itu melekat dan mengengsot di atas siling bilik sangat menakutkan, lebih-lebih lagi kepala Laila kini berpusing 180 darjah memandangnya. Sangat menyeramkan ketika mendengar bunyi tulang  tengkuk Laila berderap ketika memusingkan kepala seperti ranting kering dipijak orang.

Sepantas kilat, Laila kini berada di atas kepala Rashid. Laju benar dia bergerak. Mata Rashid sendiri tidak dapat mengikut pergerakannya. Tadi ada di atas siling di tengah bilik, alih-alih sudah melekap di atas kepalanya dengan kepala bertemu kepala.

Kain batik Laila sudah terlondeh memandangkan kedudukannya kini melekap di dinding bilik dengan kepala di bawah dan kaki di atas. Rashid mendongak, jelas di penglihatannya wajah sebenar Laila. Kulitnya keras dan berkedut seribu. Hidungnya kecil dan tirus seperti tidak mempunyai tulang rawan lagi. Mulutnya lebar dengan air liur yang menjejeh keluar bersama lidahnya yang panjang meliuk lintuk ke kiri ke kanan pipinya.

“Cak!” gurau Laila dengan lidahnya panjang cuba menjilat dahi Rashid. Rashid tidak dapat mengelak. Tubuhnya yang seperti dipaku itu terpaksa membiarkan sahaja lidah Laila menjilat seluruh mukanya. Dengan air liur yang menjejeh-jejeh jatuh dari mulut Laila yang ternganga. Bau busuk menusuk ke rongga hidung, Rashid sudah terjeluak menahan muntah.

Laila ketawa mengejek melihat gelagat Rashid.

“Malam ini mahu tak mahu kau tetap perlu melayan aku, Rashid!” Laila berkata berang. Emosinya berubah secara tiba-tiba. Kata-katanya tidak boleh dibantah. Rashid terpaksa akur walaupun hatinya tidak mahu dan berasa sangat jijik ketika itu.

Laila berbau lumpur. Air liur Laila berbau bangkai. Rashid sudah kembang tekak namun dia menahan semua itu. Kalau dia muntah, lebih teruk lagi dia dikerjakan Laila nanti.

Akhirnya subuh itu, segalanya berlaku juga. Mahu tak mahu dia tetap terpaksa menyerahkan segala. Tetapi kali ini, kalau boleh Rashid mahu tatkala terjaga nanti, semua itu hanyalah mimpi ngeri yang boleh dilupakan begitu sahaja. Namun Rashid sedar, itu lah kenyataan yang perlu dibawa sehingga ke akhir hidupnya nanti.

*****

“Ehem!” Ramona berdehem lembut, cuba mencuri perhatian seseorang.

Seseorang yang dimaksudkan itu adalah Shamsul, jejaka kacak yang tidak mempedulikan kejelitaannya sewaktu kenduri dulu. Kebetulan dia terserempak dengan lelaki itu sewaktu mencari cendawan liar di pinggir hutan. Shamsul berseorangan ketika itu, sedang memotong dahan kering mahu dibuat kayu api.

Shamsul menoleh seraya menguntum senyum tanda menyedari kehadiran Ramona. Hanya beberapa saat sebelum dia kembali dengan kerjanya, iaitu memotong dahan kayu kering itu. Ramona terasa semakin tercabar dengan sikap kaku lelaki kacak itu. Dalam hatinya sudah berbakul sumpah seranahnya. Ramona mengetap bibir. Ternyata lelaki itu tidak tertarik dengan kecantikannya.

“Boleh aku tahu nama mu?” tanya Ramona tidak berputus asa. Dalam sumpah seranahnya, dia semakin tertarik dengan sikap dingin Shamsul. Dia mahu bermain-main dengan Shamsul. Dia memasang tekad mahu menjinakkan lelaki itu.

“Shamsul.” Pendek jawapan dari Shamsul. Ramona menjadi semakin sakit hati. Tidak pernah dia dilayan dingin seperti itu.

“Nama ku Haslina.” Ramona memperkenalkan diri tanpa ditanya. Dia berusaha mencipta topik perbualan agar dapat menarik perhatian lelaki itu. Shamsul sekadar mengangguk tanda faham. Tetapi tangannya lincah menyusun keratan dahan itu lalu diikat dengan anak rotan.

“Aku balik dulu, Haslina. Jangan berlama di pinggir hutan ini. Hari sudah semakin petang.” Kata Shamsul diiringi nasihat untuk Ramona. Lelaki itu menaikkan batang-batang kayu yang sudah diikat itu ke atas bahu kanannya. Dia lalu berpusing menghadap Haslina.

“Abang shamsul tak mahu berbual denganku?” pancing Ramona lagi.

Shamsul menggeleng kepala. Melihat pelawaannya ditolak, mencetuskan rasa tidak puas hati Ramona terhadap lelaki itu.

“Balik dulu. Sampai berjumpa lagi.” Kata Shamsul sebelum dia melangkah mahu meninggalkan Ramona. Tidak langsung dia menoleh kembali, malah memandang tepat ke wajah Ramona pun tidak sekali dia lakukan. Shamsul tenang memikul seberkas kayu di atas bahu, melangkah perlahan mengelak akar-akar kayu yang berselirat tersembunyi di atas lantai hutan yang ditutupi dedaunan kering.

Ramona yang ditinggalkan merengus geram.

*****

Mak Mah sibuk di dapur, menyediakan juadah untuk makan malam mereka sekeluarga. Dia tidak melatah apabila Laila langsung tidak ringan tulang mahu membantunya. Sudah lama dia tidak melayan makan minum sesiapa kecuali selera Tok Anjang yang dia sendiri sudah naik muak mahu melayan.

Kali ini kehadiran cucunya begitu membuai rasa gembira di jiwa wanita tua itu. Begitu bahagia dirasakan bila cucunya yang berbelas tahun dipisahkan darinya muncul kembali, sekurang-kurangnya dapat mengubat rasa rindu terhadap arwah Hasnah.

Laila dan Rashid acapkali tiada di rumah. Ke mana mereka pergi Mak Mah tidak ambil pusing. Padanya cukup cucunya ada menemani dia di rumah walaupun kadangkala sikap Haslina agak pelik kerana sering berbual seorang diri. Namun itu juga dia tidak ambil peduli. Apa yang penting, Haslina sudah ada di depan mata.

“Lina…ayah kamu ada?” tanya Mak Mah lembut sambil tangannya mengacau gulai di dalam periuk. Sekejap lagi siaplah gulai ikan kegemaran cucunya itu. Dia puas hati melihat warna dan kepekatan gulai tersebut. Aromanya pula memang memanggil orang untuk menjamu sama.

Ramona hanya menjungkit bahu. Sebenarnya di dalam hati dia merasa sebal tiapkali dia disuakan dengan soalan mengenai Rashid. Padanya Rashid bukan ayahnya. Baginya Rashid adalah Abang Rusdi, lelaki suruhan ibunya Laila. Tiada kaitan darah dengannya sama sekali. Padahal dia tahu siapa Rashid yang sebenar. Dalam sebal ada marah. Dalam kemarahannya terselit juga rasa ngilu di hati kerana kepiluan mengenang betapa Rashid mengabaikannya sejak lahir lagi.

“Pergi cari datuk dan ayah kamu, Lina. Kalau ibu Laila kamu ada, panggil dia sekali. Nenek nak hidangkan makanan dulu,” kata Mak Mah separuh mengarah. Ramona mengangguk kepala tanda akur.

Dari dapur dia melangkah anak tangga untuk naik ke rumah atas. Kebiasaannya Tok Anjang ada di serambi rumah duduk-duduk sambil menggulung rokok daun. Begitu juga dengan Rashid yang akan berbual mesra dengan bekas ayah mertuanya itu.

Memang benar telahannya, dari tengah rumah dia sudah dapat menangkap bual bicara lelaki di luar rumah. Dia kenal suara Tok Anjang yang garau dan agak lantang itu. Dan dia juga kenal benar dengan suara Rashid yang mendatar, seolah-olah terlalu hormatkan orang tua itu. Meluat Ramona mendengarnya.

Namun dia tetap juga melangkah ke depan. Berdiri di muka pintu sambil memerhati wajah datuk dan ayahnya. Bertambah-tambah meluat dia melihat kedua wajah tersebut.

“Tok…nenek panggil,” tegur Ramona secara tiba-tiba. Serentak dua kepala menoleh memandangnya. Tok Anjang menguntum senyum manakala Rashid lebih selesa mengalih pandang ke julai pepohon kelapa di luar rumah.

“Makan?” tanya Tok Anjang cuba beramah mesra dengan cucunya. Orang tua itu sedar ada sesuatu yang canggung dalam hubungannya dengan gadis itu.

Ramona sekadar mengangguk mengiakan. Bibirnya dipaksa mengukir senyum mesra. Ada suatu perasaan yang sukar untuk dia tafsirkan setiap kali berkomunikasi dengan datuknya. Ada jurang yang memisahkan mereka. Mungkin memori lama masih lagi menghantui gadis cantik itu.

Tok Anjang bingkas bangun. Dia mengajak Rashid sekali namun Rashid meminta masa. Alasannya mahu membetulkan urat badan yang sakit-sakit. Tok Anjang percaya bulat-bulat. Langkahnya langsung diatur menuju ke dapur.

Ramona masih lagi berdiri di tempat yang sama. Hatinya menjadi semakin sebal melihat wajah Rashid yang sedikit menunduk merenung lantai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *