CSI-RAMONA ~BAB 17~

BAB 17

Secara tiba-tiba, Rashid meluru ke arah Tok Anjang yang masih lagi bersila membatu diri. Dia melutut dengan mencium kaki bekas mertuanya itu. Dengan tangisan yang dibayangi ketakutan yang teramat sangat tetapi ditunjukkan kepada semua bahawa itu adalah tangisan keinsafan.

Dicium berulangkali lutut Tok Anjang sambil meminta maaf atas segala dosanya. Rashid menangis mendayu-dayu. Tangan Tok Anjang yang sasa ditarik walau dalam keadaan terpaksa, Tok Anjang hanya merelakan. Tidak kuasa dia mahu berkeras ketika itu.

“Kau bercakap dengan siapa di luar tadi?” tanya Tok Anjang tiba-tiba. Rashid terpempan, kelu lidahnya mahu menjawab apa.

“Tak ada siapa-siapa, ayah.” Jawab Rashid dengan suara yang tidak meyakinkan. Tok Anjang berdehem.

“Kalau tujuan kedatangan kau ni membawa geruh, lebih baik kau balik.” Tegas suara Tok Anjang.

Tangisan Mak Mah meletus kembali. Ramona yang sedari tadi duduk kaku melihat sandiwara Rashid di depan matanya turut sama mengambil bahagian. Dia mahu masuk ke dalam keluarga ini. Dendamnya pada Tok Anjang perlu diselesaikan. Walaupun ada di sudut kecil di hatinya yang berasa belas apabila didakap oleh neneknya tadi. Namun itu hanya sekadar beberapa titik putih di permukaan hatinya.

Bahu neneknya didakap. Dia turut sama mengalirkan airmata. Tok Anjang mengangkat muka memandang Rashid yang sudah berteleku di hadapannya dengan esak tangis seorang lelaki. Rashid membiarkan sahaja airmatanya mengalir, supaya jelas di penglihatan Tok Anjang.

“Sudah la tu bang..maafkan lah Rashid tu, dia dah menyesal tu bang..lagipun dia bawa pulang cucu kita ni..” pujuk Mak Mah lagi sambil mengusap-usap tangan Ramona yang terletak di atas pahanya.

“Tok…tok marahkan Lina ke? Selama ini Lina rindu benar nak jumpa nenek dan atok,” akhirnya Ramona berkata dengan suara yang bergetar menahan sebak. Mak Mah semakin sayu. Dia mahu suaminya berkalih pandang melihat wajah cucunya itu.

Harapanya menjadi nyata, Tok Anjang melabuhkan pandangan ke setiap inci wajah cucunya yang sememangnya cantik seperti arwah anaknya dulu. Hatinya terus ditusuk rasa pilu yang teramat sangat. Terasa benar-benar dia rindukan anak tunggalnya, Hasnah. Anak manjanya yang diberikan segala perhatian. Mahu sahaja dia bangkit dan memeluk Ramona ketika itu. Mana tahu rindunya sedikit terubat.

Sebutir air mata jatuh dari tubir mata tuanya. Dia berdehem berkali-kali seperti sedang melegakan peperangan di dalam hati dan fikirannya. Melihat keadaan datuknya seperti itu, Ramona mengambil kesempatan datang mendekat. Dipeluk tubuh tua datuknya, didekatkan wajahnya dengan muka Tok Anjang. Mahu dipastikan mata Tok Anjang yang berilmu itu dikaburi dengan kecantikan palsunya. Tok Anjang akhirny mengukir senyum.

“Saling tak ubah seperti Hasnah, Mah.” Sayu suara Tok Anjang. Ramona mengukir senyuman kemenangan, namun sempat dijeling ayahnya dengan pandangan tajam. Rashid mengalih pandang. Dia tidak sampai hati melihat Tok Anjang mengusap lembut rambut Ramona yang ikal mayang dan panjang hitam berkilat.  Dia datang memang membawa geruh untuk keluarga itu.

“Atuk.” Ramona memainkan peranan lagi. Sengaja dia menyebut panggilan keramat itu. Dia berjaya lagi apabila lelaki tua itu terus menangis teresak-esak dengan berkata-kata sesuatu yang kurang jelas. Mungkin meluahkan rasa hati dan kerinduannya.

Rashid menyepi. Misinya sudah menjadi. Dia sudah menurut arahan Laila. Dia dan Ramona perlu masuk ke dalam keluarga ini. Perlu hidup bersama keluarga Tok Anjang walau apapun yang berlaku. Walau dihalau dengan keris atau pedang Tok Anjang, Rashid perlu pastikan mereka mendapat tempat di dalam rumah ini.

“Mak Mah, Tok Anjang..saya Laila, isteri Rashid yang menjaga Haslina selama ni.” Tiba-tiba satu suara pecah dalam kesyahduan mereka bertiga. Rashid terduduk, Ramona tersenyum manakala Tok Anjang dan Mak Mah terpinga-pinga kehairanan.

Laila tersenyum mesra. Dia duduk bersimpuh di sebelah Rashid. Tangan Rashid diramas lembut, tetapi Rashid merasa seperti sedang menggenggam bara api. Dipaksa bibirnya untuk tersenyum memandang kedua-dua orang tua itu.

Laila berkebaya labuh dengan sanggul cantik  tersemat di kepala. Senyuman di bibirnya membawa sejuta makna.

*****

“Tahniah Tok…dapat juga Tok berjumpa dengan cucu Tok. Saling tak ubah seiras muka arwah Hasnah masa remaja dulu.” Tegur satu suara memotong lamunan Tok Anjang yang sedang berdiri dari serambi rumah.

Ketua Kampung itu memaling muka mencari siapa orang yang menegurnya. Di belakangnya berdiri Pak Hasan dengan rokok daun di celah jari. Pak Hasan tersenyum lalu dibalas oleh Tok Anjang. Tok Anjang lantas mengangguk kepala sesuai dengan kewibawaannya memegang jawatan tertinggi di kampung itu.

“Kau dah makan, Hasan?” tanya Tok Anjang ramah. Hari ini dia membuat kenduri kesyukuran atas kepulangan menantunya, Rashid dan yang diraikan, cucu tunggalnya yang bernama Haslina. Seluruh kampung dijemput sementelah dia mahu menunjukkan kepada mereka bahawa cucunya sememangnya bukan Ramona, budak perempuan hodoh itu. Dalam hati terbit rasa bangga apabila telinganya jenuh menangkap puji-pujian dari mulut tetamu yang hadir

“Sudah, Tok.” Jawab Pak Hasan ringkas lalu dia meminta diri untuk pulang. Sekali lagi Tok Anjang hanya mengangguk kepala tanda mengizinkan.

Di satu sudut yang lain, di tengah-tengah rumah terletak bilik Ramona yang tingkapnya menghadap ke halaman rumah. Sejak dari selesai bacaan doa, Ramona terus duduk di dalam bilik sahaja. Alasannya kepada Mak Mah, dia mahu bersiap-siap dengan lebih elok lagi kerana mahu bersedia berjumpa dengan orang kampung. Mak Mah menerima alasannya tanpa banyak soal.

Di dalam bilik pula, selepas mengunci rapat daun pintu, Ramona terus duduk di birai katil. Dia kemudiannya menyeru memanggil nama  Mawar, Cempaka dan Anggerik. Sekelip mata suasana di dalam bilik berubah. Pusaran angin muncul dari satu penjuru bilik, membuatkan barang-barang hiasan di atas almari solek bergetaran. Dari pusaran itu muncul satu persatu gadis-gadis pendamping itu. Terbang berlegar-legar di sekitar bilik sambil ketawa gembira.

“Sungguh ramai teruna di luar sana, Mona. Mari..aku siapkan kau.” Kata Anggerik teruja. Ramona yang mendengar juga turut rasa teruja. Dia memperkemas duduknya di atas katil.

Cempaka memanggung kepala di tepi palang jendela. Terkebil-kebil biji matanya memerhati sekeliling melalui celahan daun tingkap yang sedikit terbuka. Sesekali dia mengukir senyum. Sebuah senyuman yang mengandungi sejuta makna. Hanya dia yang tahu.

“Mona rasa tak perlu Mona bersiap keterlaluan, apa pula kata nenek dan atok nanti.” Kata Ramona dengan nada ragu-ragu. Dia melihat ke wajah Anggerik dan Mawar yang turut sama sedang melihat ke wajahnya. Pandangan mereka bertiga dipaku seketika.

Anggerik melayang terbang menjauh dari Ramona. Mawar pula datang mendekati gadis jelita itu dengan senyuman terukir di bibir. Namun senyuman Mawar agak hambar dari kebiasaan. Cempaka masih lagi berteleku mencuri pandang ke halaman rumah yang dipenuhi dengan ramai jejaka kampung yang duduk berkumpul sambil menghisap rokok daun.

Mawar memusing badan, tidak jadi dia menuju ke arah Ramona tetapi dia menuju ke jendela yang sedikit terbuka itu. Mawar menggerakkan tapak tangannya seperti sedang menampar angin, sekaligus jendela itu terbuka dengan sendirinya. Digamit Ramona supaya mendekat.

Jejaka-jejaka kampung di halaman rumah serta merta mengangkat kepala melihat ke arah jendela bilik yang sudah terbuka luas. Ada langsir nipis yang menjadi tirai terakhir sebelum pandangan mata mereka langsung masuk ke dalam bilik tidur itu. Masing-masing terdiam kaku apabila susuk tubuh Ramona yang langsing dan tinggi itu berdiri lentok dengan hanya tangannya yang halus dan putih itu dengan sengaja diletakkan di atas palang jendela. Jari-jemarinya yang runcing mengetuk perlahan kayu cengal yang dijadikan palang itu dengan irama tertentu.

Angin seperti mengerti apa yang diperlukan pada waktu itu. Tiupan angin membuatkan langsir nipis yang menutupi jendela melekat ke tubuhnya. Ada beberapa orang pemuda yang lantas bangun membetulkan kaki seluar, walaupun jelas mata mereka cuba mengintai ke dalam bilik. Ramona ketawa kecil. Dia semakin bersemangat mahu mempermainkan hati dan perasaan pemuda-pemuda di kampung itu.

Jelas di mata Ramona, jejaka kampung di halaman rumah sudah terpaku dan terkesima melihat susuk tubuhnya walau tidak secara langsung. Hatinya teruja. Dalam masa yang sama matanya juga tertancap pada sekujur tubuh yang masih lagi leka menghisap rokok daun dan tidak menghiraukan mereka yang lain yang sedang terpaku merenungnya. Ramona jadi tertarik. Dia menyelak sedikit langsir nipis itu hingga menampakkan separuh wajahnya.

Mereka di halaman rumah bersorak di dalam hati. Terpaku melihat separuh kejelitaan yang diperkatakan oleh kebanyakan orang tua yang mereka temui. Semasa bacaan doa tadi, hanya orang-orang tua sahaja yang layak untuk duduk di atas rumah manakala mereka yang masih bujang perlu duduk di halaman sahaja, bagi membantu menjadi penanggah atau membantu mengemas pinggan mangkuk. Inilah kali pertama mereka berpeluang melihat sedikit dari kecantikan yang diwar-warkan kepada mereka sejak pagi tadi.

“Yang langsung tidak menoleh itu, jangan kau sekali-kali mencuba dengannya?” Cempaka memberi amaran. Ramona hanya berdehem kecil. Hatinya sudah terpaut pada seraut wajah kacak yang langsung tidak menghiraukannya itu.

“Kenapa ya Cempaka?” akhirnya tercetus juga persoalan yang dipendam di dalam hatinya.

Ramona tidak dapat tidak sangat tertarik dengan jejaka nan seorang itu. Masakan tidak, hanya lelaki itu sahaja yang langsung tidak menunjukkan sebarang minat untuk menjamu mata. Hatinya tertanya sendiri. Mengapa?

Langsir diselak lebih luas. Ramona mahu melihat dengan lebih jelas lagi wajah jejaka sombong itu. Hatinya seperti dicuit-cuit mahu mengenali lelaki itu dengan lebih dekat. Mungkin kerana egonya tercalar sementelah lelaki itu buat tidak peduli akan dirinya yang sekarang sedang menjadi perhatian mata dan nafsu lelaki-lelaki lain. Mungkin Ramona berasa tercabar.

“Turutkan saja kata-kata Cempaka itu, Mona.” Tegur Anggerik agak keras dari penjuru bilik.

Anggerik masih lagi menjeruk rasa kerana Ramona menolak untuk dihias tadi. Ramona menoleh memandang Anggerik, tidak disedari langsir nipis itu terselak penuh menampakkan susuk tubuh badannya dengan sangat jelas. Semakin menggila hati lelaki-lelaki muda di halaman rumah.

Ramona kembali berpaling melihat ke halaman, dia menguntum senyum ke arah sekumpulan lelaki yang sedang terliur melihatnya. Dalam hati dia ketawa kecil. Malas mahu melayan Anggerik. Hatinya kini hanya mahu tahu siapa si sombong yang kacak itu.

*****

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *