CSI-RAMONA ~BAB 21~

BAB 21

Malam itu hujan turun dengan lebat. Sekejap sahaja tanah menjadi becak dengan takungan air hujan. Katak puru mulai berbunyi berselang-seli dengan bunyi cengkerik, menajdi satu senandung yang tiada berirama.

“Teruskan..” satu suara garau kedengaran di antara bunyi katak dan juga cengkerik.

Latif sudah seperti nyawa-nyawa ikan. Perutnya sudah berlubang. Tubuhnya yang tiada seurat benang itu bermandi darah yang mencair ditimpa air hujan yang masih berbaki. Ramona sudah siap berpakaian lengkap. Dia hanya memerhati tubuh lelaki itu dilahap oleh makhluk-makhluk bermata merah yang berebut-rebut dahagakan darah Latif.

Lidah-lidah yang panjang menjilat penuh rakus. Dia sekadar memerhati dengan rasa puas dapat menjadikan keterunaan Latif sebagai ubat untuk dirinya menjadi lebih kuat dan segar. Dia tidak peduli dengan imej ngeri di hadapannya itu.

“Kau mesti ingat pada janjimu, Ramona.” Suara garau itu kedengaran lagi. Ramona sekadar mengangguk.

“Tolong aku..” perlahan sahaja, antara dengar dan tidak Latif meminta pertolongan. Terlalu azab apa yang dirasakannya ketika itu. Datang seribu penyesalan dalam hati lelaki malang itu.

Ramona mendekat. Didekatkan telinganya ke mulut Latif, kemudian dia menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak dapat membantu Latif. Jelas Ramona bukan lagi Ramona yang lembut dan jelita. Wajahnya langsung tidak menunjukkan sebarang rasa simpati. Malahan senyuman di bibirnya nampak menakutkan sekali.

Angin yang menderu memukul dahan-dahan pokok menyebabkan dedaun pokok saling bergesel antara satu sama lain. Ramona berpeluk tubuh. Dengan berpeluk tubuh, dia mencangkung memerhati dengan lebih dekat makhluk-makhluk bermata merah itu menghisap dan menjilat tubuh Latif.

Dia seperti sedang menunggu sesuatu.

“Sudah!” jerit suara garau itu. Makhluk-makhluk bermata merah menyeringai, menampakkan gigi yang tajam dah halus. Mereka mendongan memandang ke satu arah. Kemudian masing-masing melompat ke arah Ramona. Dengan perlahan-lahan, zahir mereka hilang dari pandangan. Ramona pula menggeliat-geliat dengan suara yang tertahan-tahan.

Zasss!!! Bunyi angin kuat seperti sesuatu yang besar sedang melintas. Sesaat kemudian, berdiri satu lembaga besar dan bertanduk dua. Hitam legam tubuhnya, dengan mata yang merah, seolah-olah ada api yang sedang marak menyala.

Ramona berdiri tegak. Lembaga tersebut berdiri betul-betul di depannya. Tiada riak gentar di wajah gadis itu, malah dia sekali lagi membuka pakaiannya sehingga tiada apa yang tertinggal.

Latif melihat semuanya. Itulah imej yang dipertontonkan di hadapannya sebelum nafas terakhirnya dihembus dalam seksa dan azab yang hanya dia rasa. Perlakuan terakhirnya dengan Ramona, diperlihatkan dengan jelas oleh perlakuan antara Ramona dan makhluk bertanduk dua itu. Tiada yang indah yang dapat Latif saksikan sebelum dia menemui tuhanNya yang satu.

*****

“Tok! Tok!” jerit seorang pemuda dari serambi rumah. Dia meninjau ke dalam rumah Tok Anjang melalui tingkap di serambi itu. Kemudian dia memandang deretan penduduk kampung  yang berada di halaman rumah menanti jawapan.

Beberapa orang tua kampung berdiri tegak memegang api jamung. Ada di kalangan mereka dari golongan ibu-ibu yang sekejap-sekejap mengesat sesuatu dari tubir mata. Ada beberapa orang perempuan yang lain sibuk pula menepuk dan memeluk, mungkin untuk menyabarkan atau memberi semangat. Pendek cerita, agak bercelaru orang-orang kampung yang sedang berkumpul di halaman rumah Tok Anjang ketika itu.

“Tok Anjang!! Ahhh..ke mana pula orang tua ni?” omel Malik yang sejak dari tadi menjerit nama Tok Anjang.

Dia akhirnya mengetuk pintu utama rumah penghulu itu dengan agak kuat. Kemudian menunggu dengan rasa tidak sabar, tetapi selang beberapa minit tetap juga tiada reaksi dari sesiapa di dalam rumah. Malik bergegas menuruni anak tangga ke halaman rumah. Dia menuju kepada sekumpulan pemuda yang sedang berkumpul memerhatikannya. Di kalangan pemuda itu ada Shamsul yang sedang berdiri tenang memerhati kawasan sekitar.

“Macam mana ni Malik?” satu suara bertanya dari kumpulan penduduk kampung yang sedang berkumpul. Malik menghentikan langkah lantas mencari kelibat si empunya suara.

“Entah lah Cik Ros, tak ada yang menjawab.” Jawab Malik.

“Apa akak nak buat ni, Malik, Abang Latif tak balik-balik ni. Tak pernah lama begini dia tak balik ke rumah.” Adu Cik Ros yang sudah mula berair biji mata. Dia risau satu-satu adik lelakinya yang ghaib tanpa khabar berita.

“Betul tu Malik, Makcik Gayah tahu perangai si Latif tu,” kata Mak Gayah pula. Latif merupakan satu-satunya anak lelaki yang dia ada.

Malik hanya mampu menyabarkan orang tua itu, begitu juga dengan kakak Latif iaitu Cik Ros yang sedang melayan perasaan. Beberapa orang wanita menyabarkan keduanya. Lazim senario di kampung bila sesuatu perkara berlaku, akan kecoh sekampung. Masing-masing tiada perkara mahu dibuat di rumah melainkan tidur. Jadi apabila keadaan gawat berlaku seperti ini, masing-masing turun padang.

Malik meminta diri untuk bergabung dengan kumpulan anak muda di satu sudut di halaman rumah.

“Aku rasa Tok Anjang ada di rumah. Tapi salam aku pun tak berjawab, senyap sunyi dalam rumah. Aku yakin ada yang tak kena ni,” kata Malik kepada sekumpulan pemuda itu. Mereka yang mendengar terangguk-angguk.

“Macam mana pendapat kau Shamsul? Jauh kau berguru di Kalimantan dulu, mungkin kau lebih arif,” Malik meminta buah fikiran Shamsul. Shamsul yang mendengar soalan Malik tadi hanya berdiam diri. Kemudian dia berdehem agak kuat.

“Aku pernah ikut si Latif tu, paling lama pun tiga hari aje. Ini memang bukan kebiasaan dia ni, entahkan hidup entahkan mati.” Kata Hasbullah dari dalam kelompok pemuda-pemuda itu. Usai berkata, lengannya ditepuk kuat.

“Doakan mereka panjang umur. Ada ke patut kau fikir sampai ke situ!” tegur Amin anak kepada Dolah Pendek. Amin juga bertubuh seperti ayahnya, gempal dan pendek.

“Eh! sudah lah kamu berdua. Kau pun Has, yang kau ikut perangai Latif sukau main pokdeng tu buat apa!” Sampuk Malik dengan nada agak marah seraya memandang Shamsul, menunggu tindakan apa yang perlu diambil oleh mereka. Hasbullah langsung menunduk.

“Bahagikan kita kepada enam kumpulan. Setiap kumpulan biar berteman, kemudian pergi ke setiap penjuru rumah ni,” Shamsul memberi arahan selepas melepaskan nafas panjang.

Dia cuba untuk mencapai tahap tertinggi firasatnya. Dalam umur yang masih muda, dia cuba untuk tidak kalut walaupun dia bukan banyak pengalaman lagi. Dia tidak mahu nanti menjadi buah mulut orang kampung. Biasalah, tidak semua kebaikan akan diterima sebagai satu kebaikan. Dia takut geruh pula yang menunggunya nanti.

“Malik…katakan pada orang-orang tua supaya berkumpul saja di surau. Nanti kita akan jemput Tok Anjang ke surau untuk berjumpa dengan yang lain. Biar kita-kita aja yang ada di sini.” Arahnya lagi.

Malik mengangguk akur. Cepat-cepat dia mengatur langkah meninggalkan kumpulan itu lalu berjalan menuju ke arah Pak Hassan yang merupakan orang paling tua di kalangan mereka yang hadir. Kelihatan Pak Hassan terangguk-angguk kepala.

Kemudian orang tua itu berbisik pula kepada Pak Man Kacang. Pak Man Kacang pula menggamit Wak Badul dan begitulah seterusnya. Sehingga berita sampai ke pengetahuan kumpulan wanita. Masing-masing akur. Akhirnya berduyun-duyun mereka, lebih kurang dua puluh orang lelaki dan perempuan berjalan menjauhi halaman rumah Tok Anjang.

*****

“Rashid!! Kau lengahkan mereka!” jerit Laila dengan suara tertahan-tahan. Tulang rahangnya berlaga atas dan bawah kerana terlalu marah. Dari lubang tingkap, Laila tertinjau-tinjau tingkah laku pemuda-pemuda kampung yang diketuai oleh Shamsul. Kalau boleh mahu saja diratah tengkuk setiap orang di halaman rumah itu.

“Aku nak lengahkan bagaimana?” tanya Rashid bodoh-bodoh alang. Dia sengaja menjadi bebal begitu, mengambil kesempatan mahu menyakitkan hati Laila walaupun dia tahu tiada gunanya dia berbuat begitu.

“Aku tak mahu orang tua ni terjaga. Budak di bawah tu sengaja nak menguji ilmu aku nampaknya!” tukas Laila semakin marah. Terjegil matanya menjeling Rashid. Dalam samar-samar cahaya bulan Rashid dapat melihat air muka Laila yang sesekali kelihatan seperti wajah perempuan tua dan hodoh.

“Kau keluar! Cakap pada mereka Tok Anjang tak ada di rumah!! Habis cerita!” arah Laila tegas.

Rashid mengengsot mahu menuruni katil tetapi bahunya ditarik ganas oleh Laila yang sudah tidak sabar dengan karenah Rashid yang sengaja mahu memanjangkan masa. Tersungkur lelaki itu ditarik Laila. Berdarah hidungnya kerana terlanggar bucu almari solek antik di dalam bilik itu.

Bunyi kuat itu mengejutkan mereka yang berada di halaman rumah. Masing-masing menjadi bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan. Namun hanya sekali itu bunyi berdentum itu kedengaran, selepas itu suasana diselubungi keheningan yang menyeramkan.

Shamsul sudah memberi arahan.

Rashid di dalam rumah menjadi kelam-kabut mahu mencuri masa. Laila pula semakin menyinga. Wajahnya yang sesekali berubah  hodoh dan berkedut seribu itu menggamit rasa takut yang teramat sangat.

Di bilik sebelah, Tok Anjang dan Mak Mah sangat culas tidur keduanya. Ribut yang terjadi tidak langsung menggugat mimpi mereka. Sungguh kuat kuasa yang ada pada Laila. Ilmu pukaunya mampu mengampuhkan ilmu yang ada pada Tok Anjang, yang mana ilmu orang tua itu bukan calang-calang tingginya.

Di luar rumah, pemuda-pemuda kampung yang mendapat arahan dari Shamsul sudah bersiap di tempat masing-masing termasuklah Malik yang ditemani oleh Abbas. Mereka berdua diarahkan pergi ke sudut kiri belakang rumah. Manakala Ali dan Syukri di kanan penjuru rumah di bahagian belakang.

Ada dua kumpulan di tengah-tengah rumah manakala dua kumpulan lagi di kedua penjuru bahagian hadapan rumah. Shamsul berdiri kiam di tempatnya memberi arahan tadi.

Dengan perlahan-lahan Shamsul membuka mata dan melepaskan kiaman tangannya. Dia melangkah menuju ke serambi rumah. Dengan langkah kanan dan bacaan Bismillah yang dikuatkan dia mula mendaki anak tangga pertama. Sekaligus dentuman kuat di bumbung bahagian tengah rumah kedengaran. Dentuman yang membuatkan Rosli dan Hatim melompat kerana terkejut. Sambil mengurut dada sambil Rosli beristighfar panjang.

Shamsul meneruskan langkahnya mendaki anak tangga kedua dan seterusnya. Tiada lagi perkara aneh yang berlaku. Di anak tangga yang terakhir Shamsul membaca ayat terakhir Ayatul Kursi sebanyak tiga kali lalu dihembusnya dari kanan ke kiri. Maka tersingkaplah di hadapannya kini warna dan wajah sebenar rumah Tok Anjang pada malam itu.

Seolah-olah ada tembok besi menjulang ke langit di sekeliling rumah Tok Anjang pada waktu itu. Mengurut dada Shamsul dibuatnya. Bukan calang-calang ilmu yang dikenakan ke atas keluarga Tok Anjang. Tertanya-tanya juga Shamsul buat seketika siapa yang mahu menduga keluarga terhormat di kampung itu.

Sedangkan semua juga tahu Tok Anjang sendiri bukan orang yang kosong dada. Orang tua itu sangat mahsyur di waktu mudanya dahulu. Cuma selepas kematian anaknya berbelas tahun dahulu, Tok Anjang sudah mula menjauh dari aktiviti mengubat orang kampung atau membuang hantu syaitan. Tok Anjang lebih kepada menguruskan kampung sahaja sejak kematian Hasnah, atau menguruskan deretan kejadian misteri selepas kematian anak tunggalnya itu.

Shamsul mula menekup telinga. Dia mahu memulakan azan, sudah dipesan bermulanya sahaja azan darinya, mereka yang lain mesti turut sama melaungkan azan bersama-samanya.

Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, Shamsul mula melaungkan panggilan suci dan agung itu. Diikuti oleh kumpulan yang berada di penjuru bahagian hadapan rumah, kemudian laungan semakin bergema disebabkan suara kuat dari ruang tengah dan laungan azan menjadi semakin kuat ibarat ada seratus orang lelaki dewasa sedang melaungkan azan serentak. Sesiapa yang berada di kawasan itu pasti dapat merasakan betapa hebatnya laungan azan pemuda-pemuda kampung yang cuma berjumlah 13 orang itu.

Berkali-kali bumbung rumah seperti dihentak dengan batang balak. Sekejap di dapur sekejap di atas serambi, sekejap pula di bahagian tengah di atas bilik.

Dummm!! Dumm!!! Prankkkk!!! Bunyi seperti daun pintu dihentam ke dinding disertai bunyi pinggan mangkuk berlaga di dalam rumah. Ada juga bunyi seperti periuk belanga dihentam ke dinding rumah. Selepas menghentam dinding jatuh pula ke lantai menghasilkan deretan bunyi yang sangat kuat sebelum bergolek lalu diam.

Shamsul cuba menyentuh tembok besi dengan hujung jarinya. Tembok besi yang hanya boleh dilihat olehnya itu bertukar menjadi tembok jeli. Berlubang disebabkan tusukan jari telunjuknya. Dengan perlahan-lahan dia memutarkan jari tersebut membentuk bulatan yang lebih luas dan lebar hingga mampu keseluruhan tangannya menembusi tembok tersebut. Di penghujung azan, dengan sekuat tenaga dia memegang tembok besi itu lalu mencampakkannya ke atas. Hilang ghaib tembok itu. Bukan hanya satu bahagian tembok yang hilang ghaib tetapi keseluruhan yang memagari rumah Tok Anjang turut sama ghaib.

Di atas bumbung, makhluk-makhluk pendamping Laila sedang kepanasan. Masing-masing melompat ke sana ke sini cuba mengelak dari terbakar disebabkan bumbung rumah menjadi seperti bara api. Merah menyala yang hanya menunggu masa untuk merentungkannya.

Di dalam rumah pula, Laila juga sedang kepanasan. Mahu sahaja dia berlari ke luar namun ratusan lelaki di sekitar rumah melenyapkan hasratnya. Di matanya, ada beratus-ratus lelaki memenuhi halaman rumah yang sedang melaungkan azan. Sedangkan jumlah pemuda-pemuda yang ada hanyalah 13 orang termasuk Shamsul. Menjerit marah Laila dibuatnya. Rashid menikus di penjuru bilik.

Laungan azan seperti tidak berkesudahan. Semakin galak bunyi-bunyi di atas bumbung rumah. Laila seperti orang gila di dalam rumah, menjerit dan memaki hamun apa sahaja benda di hadapannya.

Guruh mula berdentum di dada langit, angin mula menderu meniupkan pelepah-pelepah kelapa sehingga batang pokok kelapa condong sebelah. Begitu kuat angin yang bertiup sehingga terlucut kain pelikat yang dipakai oleh beberapa orang pemuda. Ada di antara mereka terpaksa memaut tiang rumah untuk bertahan dari diterbangkan angin. Laungan azan menjadi terhenti-henti, rata-rata mereka sibuk mahu mengikat kain pelikat yang sudah terlucut ke tanah.

Bunyi bising di atas bumbung rumah mulai reda bila laungan azan menjadi tidak sepadu sebelumnya. Namun Shamsul tetap menunggu sehingga masanya sesuai. Dengan langkah kanan Shamsul melangkah mahu membuka pintu rumah. Baru sahaja dia ingin mencapai tombol pintu, pintu rumah terbuka lebar. Satu susuk tubuh lelaki seolah-olah dicampak keluar. Terperosok tubuh itu di hujung kaki Shamsul.

Rashid mendongak. Hidungnya mengalirkan darah merah pekat. Bahagian dahinya ada luka yang agak luas. Dia menggapai-gapai tangan seperti meminta tolong. Shamsul hanya melihat sekilas pandang.

*****

*****

CSI-RAMONA ~BAB 20~

BAB 20

Ini pertemuan kali ketiganya dengan Shamsul. Sudah dua pertemuan sebelum ini, Shamsul buat endah tak endah sahaja. Satu soalan yang ditanya, hanya beberapa patah perkataan yang keluar dari mulut lelaki itu. Kali ini Ramona tidak mahu terlalu kelihatan terlalu bersungguh.

Mereka bertemu di luar kedai runcit Pak Ali. Waktu itu sudah rembang petang. Ramona yang baru selesai membeli beberapa bahan masakan, terserempak dengan Shamsul yang baru sahaja mahu masuk ke kedai. Ramona buat tidak nampak sahaja. Dia meneruskan langkah mahu pulang ke rumah.

“Haslina!” satu suara menegurnya dari belakang. Dia menoleh. Dapat dilihat Shamsul menggamit tangan ke arahnya. Di dalam hati dia sudah menari keriangan. Ramona menunggu Shamsul mendekatinya.

“Mahu pulang?” tanya Shamsul. Ramona mengangguk tanpa sepatah kata. Dia berpaling mahu meneruskan langkah.

“Abang temankan,” kata Shamsul lagi. Ramona terkejut yang bukan dibuat-buat. Dia pantas menoleh memandang ke wajah Shamsul, cuba mencari riak gurauan di wajah lelaki itu.

“Untuk apa?” Ramona jual mahal walau dalam hati sudah melonjak ke langit.

Shamsul mengatur langkah bersaing di sebelah Ramona.

“Hari sudah lewat benar. Kalau apa-apa berlaku pada Haslina, abang rasa bersalah kerana tak menemankan Haslina balik ke rumah.” Jawab Shamsul jujur. Sememangnya, itulah yang diniatkan di dalam hati.

Jarak dari kedai runcit Pak Ali dengan rumah Tok Anjang tidaklah terlalu jauh. Namun, apa sahaja boleh berlaku sementelah Haslina sememangnya menjadi bualan pemuda-pemudi kampung. Ada sebuah denai di antara kedai runcit itu dengan rumah Tok Anjang, dia tidak mahu jika nafsu pemuda-pemuda kampung ini membuatkan kewarasan mereka hilang. Dia tidak mahu esok mendapat khabar berita, Haslina dijumpai terdampar di dalam belukar di tepi denai tersebut.

“Kenapa Abang Shamsul berubah hari ni? Selalunya sombong benar dengan saya,” tanya Ramona perlahan namun dapat didengar jelas oleh telinga Shamsul.

“Haslina bukan calang-calang gadis. Tak berani saya nak beramah mesra dengan Haslina,” jawab Shamsul dengan nada mendatar.

“Bukan calang-calang gadis?” Ramona kembali bertanya. Gugup juga hatinya mendengar jawapan Shamsul tadi.

Shamsul berdehem perlahan. Langkahnya diatur mengikut langkah gadis itu.

“Ya..Haslina kan cucu Tok Anjang, orang yang paling disegani oleh orang kampung, termasuk saya.” Jawab Shamsul. Ramona melepaskan keluhan lega mendengar jawapan dari lelaki itu.

“Saya gadis biasa saja, Abang Shamsul.” Kata Ramona meneruskan perbualan.

Kemudian perbualan mereka mati begitu sahaja. Lama keduanya berdiam diri sehingga halaman rumah Tok Anjang semakin dekat di pandangan mata. Bagi Ramona, kesudian Shamsul menemannya pulang cukup membuat hatinya terlalu gembira. Tersenyum-senyum dia melayan fikiran yang sudah jauh menerawang.

Hilang sudah kebolehannya menggoda lelaki. Dengan Shamsul, dia jadi tak keruan. Lidahnya kelu mahu menutur kata, sedangkan dengan lelaki lain dia tidak pernah menghadapi masalah itu. Dengan lelaki lain, dia adalah dominan.

“Saya ingat Abang Shamsul sombong, tapi rupa-rupanya tidak.”

“Terima kasih hantar Lina balik.” Ramona menyambung.

Shamsul tersenyum. Mereka sudah sampai di halaman rumah Tok Anjang. Shamsul menyapa orang tua itu yang sedang duduk minum-minum petang di serambi rumah. Tok Anjang mengajaknya naik tetapi dengan sopan pelawaan orang tua itu ditolak.

Dia memberitahu mengapa dia bersama dengan Haslina pada petang itu. Dia mahu mengelak fitnah walaupun niatnya baik. Tok Anjang mengangguk tanda faham. Shamsul meminta diri selepas mengucapkan salam ke atas keduanya. Haslina pula naik ke atas rumah dengan rasa tersipu-sipu malu mahu bertentang mata dengan neneknya.

Entah kenapa dia jadi begitu, dia sendiri tidak mengerti.

*****

“Abang Shamsul tu sudah berkahwin ke, Nek?” tanya Ramona agak malu-malu. Dia tidak dapat menahan mulutnya daripada bertanya. Mak Mah yang mendengar hanya tersenyum simpul.

“Setahu nenek, belum lagi. Kenapa? Kamu berkenan?” pertanyaan neneknya membuatkan dia tersipu-sipu malu.

“Tak ada lah, saja Lina tanya,” jawab Ramona cuba menutup isi hati.

Mak Mah yang mendengar jawapan dari cucu kesayangannya itu hanya ketawa kecil. Dia tahu apa isi hati gadis itu, cuma dia yang tidak mahu memandai-mandai. Padanya, kalau Shamsul menjadi cucu menantunya, kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan.

Dari arah tangga rumah, terdengar derap tapak kaki melangkah turun ke bawah. Sekaligus Mak Mah dan Ramona menoleh mahu melihat siapa yang masuk ke dapur. Laila yang cantik bersanggul, berjalan perlahan menuju ke meja makan. Matanya tajam merenung wajah Ramona.

“Si Lina ni tengah bercinta ke, Mak?” tanya Laila bersahaja. Dia melabuhkan punggung ke atas kerusi betul-betul berdepan dengan Ramona yang sedang merenung pinggan berisi kuih karipap di  atas meja. Takut barangkali mahu bertatapan mata dengan Laila.

“Tak ada lah Laila, saja mak bergurau dengan dia tadi.” Jawab Mak Mah yang faham akan pandangan mata Laila. Ramona melepaskan keluhan kecil, lega dengan jawapan neneknya.

“Dia ni tak boleh bercinta, Mak.” Kata Laila sambil menyuap sebiji karipap ke dalam mulut.

“Kenapa?” spontan Mak Mah bertanya. Pelik benar dia mendengar kata-kata Laila tadi.

Laila tidak menjawab, dia sekadar merenung wajah Ramona yang masih lagi merenung meja. Tidak lama kemudian, dia mendongak memandang Mak Mah yang masih menunggu jawapan darinya.

“Dia kan kecil lagi, kerja rumah langsung dia tak tahu buat. Mana boleh bercinta kalau macam tu. Betul tak Mak?” akhirnya Laila memberi alasan. Mak Mah ketawa kecil. Dia menggosok-gosok kepala Ramona dengan lembut.

“Kalau itu sebabnya, tiap hari teman nenek di dapur ni ya. Sekejap aja kamu pandai buat semua tu,” Mak Mah mencium dahi Ramona.

Ramona kelu lidah. Laila pula tetap merenung tajam ke arahnya.

*****

“Kau nak sangat mati ya?” Laila menunjal kepala Ramona dengan kuat. Ramona terdorong ke belakang. Tangannya menopang dinding bilik untuk mengelakkannya daripada jatuh ke lantai.

“Mona bersembang saja dengan Abang Shamsul tu bu. Apa salahnya?” dengan takut-takut Ramona menjawab. Jawapan yang membuatkan Laila semakin menyinga.

“Sekarang kau kata kau sembang-sembang je, lepas ni kau nak apa? Nak berpeluk-peluk?” tanya Laila dengan nada yang tertahan-tahan. Dia tidak mahu suaranya pecah sehingga Mak Mah di luar dapat mendengar.

“Apa ibu cakap macam tu? Mona takkan bercinta la dengan Abang Shamsul tu!” suara Ramona sedikit meninggi. Dia sebal dituduh-tuduh begitu.

Walaupun di dalam hati, dia sangat suka jika hanya dapat melihat kelibat Shamsul. Kadang-kadang dia mahu sangat melihat wajah lelaki itu. Namun begitu dia tetap tidak rasa dia akan jatuh cinta. Dia tahu janjinya.

“Kau kena ingat, Mona. Kena ingat betul-betul. Cinta buat perempuan jadi lemah. Cinta buat perempuan jadi mangsa. Dan cinta akan buat kau mati!” kata Laila lagi.

“Ye bu..Mona takkan lupa. Ibu Hasnah mati sebab cinta. Tapi kenapa ibu selamatkan Abang Rusdi..atau Rashid..Hishh!! Sakit hati Mona bila tahu dia tu siapa!” balas Ramona dengan suara agak keras.

“Kalau kita boleh buat lelaki tunduk, itu kemenangan untuk kita. Tak kiralah siapa Rashid tu, dia di bawah tapak kaki Mona,” jawab Laila lancar. Jawapan yang membeli kepercayaan Ramona terhadap Laila.

*****

Mereka ditakdirkan bertembung lagi. Kali ini Shamsul pula yang menegur Ramona semasa gadis itu berjalan-jalan dekat dengan kebunnya. Sapaan Shamsul dibalas dengan senyuman paling manis di bibir Ramona.

Girang sungguh hatinya pagi itu, niatnya untuk mengambil udara segar tidak jauh dari rumah datuknya, membawanya kepada Shamsul. Dia mencuri pandang meneliti paras rupa lelaki itu.

Shamsul bertubuh tinggi dan tegap. Jelas kelihatan urat-urat di tangannya. Baju putih yang dipakainya sudah melekap ke badan kerana lencun dibasahi peluh. Kulitnya kuning langsat, wajahnya bersih dengan kumis nipis yang dijaga rapi. Rambutnya yang turut basah dengan peluh diseka dengan telapak tangan. Ramona seperti mahu menjerit melihat kejantanan lelaki yang bernama Shamsul itu.

“Lina tengok apa?” pertanyaan Shamsul membuatkan Ramona tersentak dari lamunan. Dia tersipu-sipu malu apabila perlakuannya sudah dihidu oleh Shamsul.

Ramona tidak menjawab, dia mengucapkan selamat tinggal kemudian mula mengorak langkah. Dengan alasan mahu ke kedai, persoalan Shamsul mahu dibiarkan tidak berjawab. Sesungguhnya itulah pertama kali dia merasa malu ditegur begitu. Dan sesungguhnya, itulah pertama kali dia berperangai begitu.

“Tak mahu minum dulu? Mak abang ada sediakan bekal ubi kayu rebus dengan sambal bilis ni,” pelawa Shamsul mesra. Dia sendiri sebenarnya tidak tahu kenapa dia terlalu ramah dengan cucu ketua kampung ini. Sedangkan itu bukan perangainya yang biasa.

Ramona menghentikan langkah, dia menoleh ke belakang melihat Shamsul yang sedang tersenyum. Dengan tidak semena-mena, angin yang bertiup menampar kuat wajahnya. Ramona terkejut.

Sempat Ramona melihat sekeliling. Dia nampak jelas satu kelibat di celah-celah pokok pisang. Berderau darahnya ketika itu. Dia jadi teringat dengan pesanan Laila. Gadis itu jadi gelisah sendiri.

“Bukankah tak manis kalau orang kampung melihat abang dan lina di sini?” akhirnya meletus persoalan dari mulut Ramona.

Dia mahu sangat berada dekat dengan Shamsul, tetapi dia perlu berpegang pada janji. Tamparan angin tadi mengingatkannya pada janji. Shamsul pula terpempan dengan pertanyaan Ramona itu. Dia berdehem kecil.

“Err…” hanya itu yang mampu dituturkan.

“Lina pulang dulu ya,” Ramona tidak mahu membiarkan Shamsul terus malu. Dia langsung meminta diri. Kepada Shamsul, dihadiahkan sebuah senyuman manis yang akan mencairkan hati mana-mana lelaki, waima lelaki egois sekalipun pasti akan jatuh tersungkur melihat kejelitaan dan manisnya senyuman gadis itu.

*****

“Apa itu cinta ya Mawar?” tanya Ramona perlahan, sewaktu dia bermain-main air di gigi sungai. Petang itu dia mahu menghabiskan masa dengan gadis-gadis pendampingnya.

Mawar, Anggerik dan Cempaka ada di sekitar tempat dia melabuhkan punggung di atas bongkah batu besar di tepi sungai itu. Soalan Ramona dibiarkan sepi. Tiada siapa yang menjawab.

“Hei…jawab lah soalan aku tadi!” marah Ramona.

“Entah…aku tak tahu jawapannya.” Balas Mawar. Anggerik dan Cempaka mengangguk-angguk setuju.

Tiba-tiba, Cempaka menunjal kepala Ramona. Ramona yang terkejut terus memarahi Cempaka. Dia mahu tahu kenapa Cempaka menunjal kepalanya. Bukannya tidak sakit dibuat begitu.

“Kenapa kau mahu tahu cinta tu apa?” tanya Cempaka dengan nada sinis.

“Saja aku mahu tahu.” Jawab Ramona ringkas. Jawapannya dibalas dengan cebikan oleh gadis-gadis pendamping itu.

“Kau sengaja mahu bermain dengan api? Kau mahu Laila buat wajah kau hodoh macam sebelum ni? Kau ni belum lagi jadi cantik kau tahu? Kejelitaan kau ni pada mata manusia saja, pada mata kami kau ni hodoh!” kata-kata Mawar ibarat pukulan kuat untuknya. Ramona tersentak.

“Mangsa kau baru seorang, Mona! Sedarlah! Apa kau nak dalam hidup kau?” kata Anggerik pula. Ramona terdiam membisu seribu bahasa.

“Kalau aku mahu cinta?” akhirnya Ramona bersuara. Mereka bertiga ketawa mendengarnya.

“Tolol!” kata Cempaka.

“Aku sendiri boleh benam kau ke dalam sungai tu Mona. Tak perlu tunggu, kau tetap akan mati!” kata Anggerik pula.

“Manusia seperti kau, memang tak boleh dipercayai! Cinta konon. Kau tahu apa itu cinta?” soal Mawar geram. Ramona menggeleng kepala.

“Kalau tak tahu, jangan pandai bercakap! Buruk padahnya.” Balas Mawar. Ramona mengangguk kepala pula.

“Tolol!” marah Cempaka lagi.

*****

“Oh azizah..gadis ayu, pinggangnya ramping..leher jinjang…” Latif menyanyi perlahan sambil kakinya terus melangkah mahu pulang ke rumah. Dia berseorangan sahaja malam itu.

Kebiasaanya, akan ada seorang dua lagi kawan seperjuangannya yang sama-sama akan berjalan pulang selepas bermain judi di pondok buruk di belakang rumah Wak Shoib. Pondok tersebut telah lebih 5 bulan menjadi tempat dia dan kawan-kawannya bermain. Dan malam itu, untuk pertama kali dia berjalan sendiri, memandangkan rakannya yang lain masih belum mahu pulang. Dia sudah kehabisan duit.

Malam itu gelap, tiada langsung cahaya bulan di dada langit. Dengan bersuluhkan lampu suluh yang malap, Latif menyuluh laluannya. Laluannya merupakan denai kecil melalui kawasan belukar dan kebun-kebun milik orang kampung. Dia tidak ikut jalan utama, takut terserempak dengan orang kampung walaupun pada waktu-waktu begitu tiada lagi orang kampung yang berjaga.

Suara burung hantu kedengaran entah dari batang pokok yang mana, meremang juga bulu roma Latif dibuatnya. Langkahnya dipercepatkan. Lagi cepat dia melangkah, lagi dekat pula suara burung hantu tersebut. Latif jadi gusar. Dipercepatkan lagi langkahnya, suluhan lampu suluhnya juga jadi tak menentu.

Buk!! Kakinya tersadung akar pokok lalu dia jatuh ke tanah. Sebaik sahaja dia mahu bangun, sesuatu yang besar terbang di atas kepalanya. Spontan dia menyuluh ke atas, tiada apa yang kelihatan kecuali daun-daun pokok kayu yang kaku tidak bergerak.

“Bukan angin nampaknya,” Latif berkata sendiri.

Di bingkas bangun lalu memulakan langkah baru dengan agak terhencot-hencot. Suara burung hantu sudah tiada, latif melangkah dengan lebih tenang. Dia menggumam lagu P.Ramlee pula, mungkin mahu menghilangkan rasa cemasnya tadi.

“Psssttt..Abang Latif.” Suara perempuan memanggil namanya.

Latif menoleh, disuluhnya sekeliling kawasan. Tiada siapa yang kelihatan. Latif kembali mempercepatkan langkah. Seram sejuk batang tubuhnya ketika itu. Peluh jantan mula merembes keluar.

“Psstt..Abang Latif! Berhentilah! Jangan jalan laju-laju.” Suara itu kedengaran lagi lantas Latif mula berlari. Suara itu mulai ketawa mengekek. Latif semakin takut. Lariannya semakin laju.

Ada sesuatu yang menyentuh bahunya, Latif mengerling ke belakang. Mahu sahaja Latif pengsan di situ juga. Ada tangan yang memegang bahunya, tangan yang begitu runcing itu mula mencengkam sehingga bahunya terasa sakit yang teramat sangat.

“Apa kau nak haa?” Latif bertanya dalam desah nafas yang kuat kerana berlari laju.

“Berhentilah berlari, Abang latif. Aku mahu bermesra dengan kau..” lemah gemalai suara perempuan menjawab. Latif rebah di situ juga.

*****

Mawar memberi isyarat kepada Ramona untuk bertindak. Ramona yang sememangnya memerlukan bantuan daripada gadis-gadis itu mengangguk faham.  Sekujur tubuh Latif yang terbaring di atas tanah didekatinya.

Butang baju Latif dibuka satu persatu. Latif yang masih sedar cuba membuka mata, dalam samar suluhan cahaya lampu suluh, dia dengan takut-takut melihat adakah manusia yang sedang cuba membuka bajunya, ataupun hantu yang memegang bahunya tadi. Dalam takut, ada juga beraninya lelaki bernama Latif itu.

Kebetulan sewaktu dia rebah ke tanah tadi, lampu suluh yang tercampak turut jatuh ke tanah dalam posisi menyuluh ke tubuhnya. Dia dapat melihat susuk tubuh perempuan yang sedang melutut di celah kangkangnya.

Latif memegang tangan Ramona yang masih membuka butang baju kemeja yang dipakai Latif. Ramona tersentak dengan sentuhan lelaki yang difikirkan sudah pengsan itu. Namun dia tidak cepat melatah, tangan Latih diramas-ramas lembut. Latif tersenyum lebar.

Hilang sudah kewarasannya ketika itu. Walhal boleh difikirkan di mana logiknya dia mendapat durian runtuh pada tengah-tengah malam begitu. Sedangkan baru tadi dia dikejar oleh hantu. Nafsu seorang lelaki, kadang-kadang tidak dapat diterima akal bila datang kemuncaknya.

Selesai membuka semua butang baju, Latif bingkas duduk. Dicapainya lampu suluh lalu didekatkan ke wajah Ramona. Ramona menolak tangan Latif, silau matanya disuluh begitu. Marah pun ada, tetapi misinya pada malam itu perlu dilaksanakan.

Latif menarik ke bawah zip baju kebaya yang dipakai Ramona lalu baju itu dengan mudah dilucutka dari tubuh gadis itu. Latif sudah menelan air liur. Ramona tersenyum menggoda memandang ke wajah Latif.

“Abang sudah bersedia?” tanya Ramona dengan nada lembut dan manja.

“Sudah…sudah lama bersedia tapi tak ada orang yang mahu,” jawab Latif panjang lebar. Ramona ketawa kecil. Latif turut sama ketawa.

Latif tidak menghiraukan siapa perempuan di hadapannya ini. Dia tidak kisah kalau perempuan itu adalah cucu Tok Anjang. Apa yang dia tahu, dia tidak pernah mendapat peluang sebegini. Jadi tak mungkin peluang ini akan disia-siakan.

“Mari, Abang Latif. Kita ke sana,” tunjuk Ramona ke satu kawasan lebih luas tidak jauh dari tempat itu. Latif mengangguk kepala tanda setuju. Ramona menarik lembut tangan Latif. Latif tidak berhenti tersenyum sumbing.

*****

 

 

 

 

 

 

CSI-RAMONA ~BAB 19~

BAB 19

“Aku tak pernah anggap kau sebagai ayah, Rashid. Jadi, jangan mimpi aku nak panggil kau dengan perkataan keramat tu!” keras suara Ramona. Matanya tajam merenung wajah Rashid.

Rashid yang tersentak terus menoleh memandang wajah anaknya. Ada sinar pilu di bening mata lelaki itu. Namun dia pasrah jika segalanya tertulis seperti itu. Dia sendiri sedar dia tidak pernah bertindak sebagai seorang ayah.

“Kalau aku berbaik dengan kau pun, itu cuma untuk mata dan telinga orang tua di rumah ini!” sekali lagi Ramona bersuara keras.

Rashid mengangguk lemah. Lidahnya kelu untuk bersuara. Dia tahu di mana silapnya, silap yang tidak boleh berpatah balik. Pada masa itu tubuh dan hatinya terasa lemah kerana dihurung oleh rasa bersalahnya terhadap arwah Hasnah dan Ramona.

“Orang tua?”  akhirnya tercetus soalan di mulut lelaki itu. Ramona ketawa mengejek.

“Jangan kau ingat aku sayangkan org tua di rumah ini. Kalau tak kerana aku perlukan mereka, sudah lama aku bunuh mati mereka berdua.” Kata Ramona dengan nada angkuh sekali.

 “Sakit hati aku hanya aku yang tahu.” Sambung gadis itu lagi. Nampak jelas tulang pipinya ketika itu kerana giginya dirapatkan bagi menunjukkan betapa dia benci terhadap Mak Mah dan Tok Anjang.

Rashid terpaku. Terkejut dengan kenyataan yang baru keluar dari mulut anaknya. Langsung dia bangun dan tanpa menoleh terus sahaja dia ke dapur. Di dalam hatinya terlalu banyak persoalan dan rasa gusar dengan sikap yang baru ditonjolkan oleh Ramona.

*****

 “Jauh dah kita berjalan ni…betul ke kau ingat tempat tu Ki?”

Zainal terus-terusan bertanya dengan nafas yang sedikit mengah. Zainal yang bertubuh agak gempal semakin memperlahankan langkahnya. Akar-akar pokok merbah ditambah dengan anak-anak rotan yang berselirat di lantai hutan meletihkan kakinya. Baju yang dipakainya sudah lencun dengan peluh jantan. Sudah boleh diperah.

Zaki sempat menoleh ke arah Zainal. Sebal juga hatinya bila ditanya berulangkali begitu. Setiap kali diajukan soalan oleh Zainal, dia dengan tabah menjawabnya. Tetapi kali ini sikap Zainal sudah menerbitkan rasa menyampah di sudut hatinya. Datangnya tidak dijemput, malah Zainal yang beria-ia mahu mengikut dia, Rahman dan Safuan menjerat burung serindit di dalam hutan. Dia langsung tidak mengajak. Sekarang Zainal pula yang paling banyak soal.

 “Nal…kau nak ikut ke tak? Kalau rasa tak larat atau tak percaya kat tempat bertuah aku tu..kau boleh balik sekarang,” jawab Zaki agak keras. Zainal yang mendengar jawapan Zaki sedikit tersentak. Tegak lurus badannya dengan mata membulat kerana agak terkejut manakala Rahman dan Safuan menoleh ke arah lain, tidak mahu masuk campur.

Zainal berdehem kasar, begitu juga dengan Zaki. Zaki menyambung langkah meredah pokok senduduk yang tumbuh bersepah di laluan mereka. Diikuti oleh langkah Rahman. Safuan menepuk bahu Zainal perlahan, sebagai isyarat supaya Zainal juga menyambung perjalanan mereka.

Zainal mendongak langit, pandangannya cuba menerobos melalui celah-celah kanopi hutan, mahu mengintai sinaran matahari. Akhirnya langkah pertama diatur, sedikit terkebelakang dari kelompok rakan-rakan sekampungnya yang bertiga itu.

Zaki memang terkenal dengan kehebatannya menjerat burung. Apa sahaja jenis burung, Zaki boleh menjeratnya. Namakan saja, dari burung bayan, serindit sehingga burung tekukur hutan Zaki mampu menjerat dan sangat berkebolehan. Sekarang ada beberapa orang dari kampung sebelah mahukan burung serindit betina berbulu merah di kepala. Zaki sudah mengangguk setuju dan berjanji akan mendapatkan burung serindit betina itu secepatnya.

 Itulah dia mengajak Rahman dan Safuan untuk masuk ke hutan bersamanya. Zainal yang mendengar ajakan Zaki pada waktu itu, langsung mahu mengikut sama. Zaki tidak kisah sama sekali, dia tidak kisah mahu menurunkan ilmu atau petua yang diamalkannya kepada sesiapa yang mahu belajar, tetapi dia tidak boleh menerima sikap manja yang ditunjukkan oleh Zainal. Ini punca rezekinya, sikap Zainal seperti mahu menabur pasir dalam periuk nasinya. Itu yang menerbitkan rasa sebal dan marah di dalam hati Zaki.

Mereka berempat berjalan meranduk semak dan belukar. Tiada denai lama di laluan itu. Zaki berjalan di hadapan sekali. Sesekali kelihatan dia mendongak memerhati pokok-pokok di sekitarnya, mungkin cuba mengamati persekitaran di sekelilingnya.

Keluhan kecil cuba disorokkan dari terlihat oleh kawan-kawannya yang lain. Selepas hampir empat jam berjalan, dia sendiri agak khuatir dengan percaturannya sendiri. Namun dia langsung tidak membuka mulut, malu mahu bertentang mata dengan yang lain, terutama sekali Zainal.

Safuan sudah duduk di atas batang banir yang besar terkeluar dari tanah. Rahman pula menahan tubuh dengan tapak tangannya melekap di batang banir manakala Zainal sedang mencari-cari tempat sesuai untuk dia melabuhkan punggung. Sungguh dia sudah tidak larat lagi. Lantak lah apa sahaja makian dari mulut Zaki nanti, dia tidak peduli. Dia benar-benar keletihan. Berombak dadanya cuba mencuri lebih oksigen.

“Ki..kita rehat lah dulu. Aku sendiri dah letih sangat ni,” kata Rahman dengan nada tegang. Dia sendiri pelik dengan laluan yang dibawa oleh Zaki.

Sudahlah perlu membuat denai baru, bermakna mereka perlu menebas mana-mana pokok renek yang menghalang laluan sebelum dapat meneruskan langkah. Letihnya bukan kepalang. Awalnya tadi hatinya bersemangat membayangkan betapa asyiknya memasang pikat di atas pokok tinggi, keterujaan yang mendebarkan apabila melihat burung yang mahu dipikat terbang dekat dengan burung jantan yang dijadikan umpan.

Walaupun terpaksa menunggu tetapi bagi kaki pikat burung seperti dirinya, itulah kepuasan yang tidak terhingga. Namun selepas penat meranduk semak, masih belum lagi sampai ke tempat yang dikatakan Zaki sebagai tempat terbaik untuk memikat serindit, Rahman sendiri jadi kurang bersemangat. Dengan perut yang sudah mula berkeroncong, Rahman hanya menunggu masa mahu meledakkan rasa di hati.

Dalam jerit pekik lotong diselang seli dengan bunyi desiran angin membelah kanopi hutan, Zaki yang lebih peka berbanding rakan-rakan yang lain dapat mengecam suatu bunyi yang sangat memikat pendengarannya. Bunyi seolah-olah sekumpulan burung serindit sedang berbual-bual di atas pokok di antara banyak pokok-pokok hutan yang menjulang tinggi. Mata Zaki mula tertinjau-tinjau, kepalanya tegak mendongak melilau ke kiri ke kanan mencari punca bunyi.

“Ki..” Safuan memanggil Zaki.

Zaki memberi israyat tangan menyuruh Safuan diam dahulu. Dia cuba menajamkan telinga. Rahman dan Zainal mula memberi perhatian terhadap perlakuan Zaki. Zaki pula langsung tidak menghiraukan wajah-wajah yang penuh dengan tanda tanya itu. Dia cuba fokus mencari arah punca bunyi burung-burung serindit yang sangat merdu di pendengarannya. Hatinya teruja membayangkan hasil pikatannya nanti.

Jarang sekali dia boleh menjumpai sekumpulan serindit yang bersahut-sahutan begitu. Kadangkala mahu memikat seekor betina pun mengambil masa sehari dua. Zaki mula mengatur langkah tanpa sepatah suara. Mahu tak mahu mereka bertiga yang lain terpaksa mengikut jejak langkah Zaki yang sangat berhati-hati memijak lantai hutan.

Zaki memberi isyarat supaya mereka mengikut langkahnya. Di mana dia memijak di situ jugalah mereka yang lain wajib memijak. Zaki yang penuh bersemangat cuba mengelak dari memijak ranting-ranting kayu kering rapuh yang berserakan di lantai hutan.

Semakin lama semakin jauh mereka meredah belukar hutan. Zaki seperti dirasuk, tidak langsung dia hiraukan juluran pohon-pohon renek yang menghalang laluannya. Semuanya diredah bagai jalan yang lengang tanpa sebarang halangan. Lengannya sudah memercik rintik darah akibat tertusuk hujung ranting atau duri rotan.

Rahman yang berjalan di belakang Zaki juga seperti dipukau. Sudah beberapa kali dia tersadung namun cepat-cepat dia bangun untuk mengejar langkah Zaki yang semakin laju tetapi tidak keruan ke mana hala tujunya. Apabila Rahman jadi begitu, seolah-olah diserang wabak, Safuan yang berjalan di belakang Rahman turut berkelakuan seperti Zaki dan Rahman.

Safuan tidak menghiraukan tamparan pokok-pokok renek yang mengena mukanya. Sedangkan dahan-dahan pokok itu ditahan oleh Rahman untuk melalui kawasan tersebut lalu dilepaskan sejurus dia melangkauinya. Seharusnya sesiapa sahaja di belakang Rahman pasti akan marah apabila ditampar kuat oleh dahan keras itu.

Zainal yang berjalan agak sedikit terkebelakang menjadi hairan melihat perangai kawan-kawannya yang ketara pelik dan berbeza. Beberapa kali nama Safuan dipanggil namun sedikit pun rakannya itu tidak menoleh. Zainal cuba mengejar langkah mereka bertiga yang semakin laju. Perutnya yang bulat bergoyang-goyang ibarat belon berisi air  kerana memaksa tubuhnya berjalan lebih laju. Akhirnya tangan Safuan dapat disentuhnya.

Safuan tidak menoleh walau sama sekali, bahkan tangan Zainal dipegang kejap lalu direntap sehingga tubuh gempal itu terdorong sedikit ke hadapan. Zainal yang pada mulanya mahu mencarut akibat terkejut oleh perbuatan Safuan tiba-tiba sahaja terdiam lalu menunduk memandang tanah. Diturutkan sahaja langkah kaki Safuan yang ketara kelam-kabut mahu mengiringi langkah Rahman yang sudah maju ke depan.

Pada masa ini kalau ada yang memerhati tingkah pemuda berempat itu pasti akan merasa pelik. Zaki bagaikan ibu ayam yang tidak keruan mahu membawa anak-anaknya berlari. Manakala Rahman dan Safuan pula adalah anak-anak ayam yang tidak mahu kehilangan jejak langkak ibunya. Zainal pula?

Hanya menurut tanpa sebarang bantahan. Tangannya masih lagi dipegang kejap oleh tangan sasa Safuan. Tiada bantahan, hanya menurut. Tiada lagi rungutan penat. Akhirnya langkah Zaki membawanya keluar dari kawasan belukar tebal di bawah kanopi hutan yang tinggi menjulang langit itu. Dia memasuki denai yang nampaknya sering digunakan sebelum itu. Tanahnya jelas kelihatan dengan rumput ayam yang pendek. Tiba-tiba Zaki memulakan larian.

Pada pendengarannya, bunyi sekumpulan serindit itu semakin jelas. Dia semakin teruja. Rahman pula yang melihat semangat Zaki menjadi tidak sabar, dia sama-sama naik minyak. Begitu juga dengan Safuan yang masih mengheret Zainal yang kelihatan sudah tidak bertenaga namun gilanya, dia tetap menurut tanpa satu pun rungutan.

Zainal memang sudah langsung tidak berdaya. Tubuhnya sudah mahu tersembam menyembah ke bumi. Kepalanya sudah tunduk bertemu dada. Peluhnya berjujuran.

Kakinya menjadi longlai. Tetapi disebabkan Safuan masih lagi mengheret tangannya, dia menjadi pak turut. Namun akhirnya tubuh gempalnya menyembam ke tanah juga. Safuan menoleh sesaat ketika terasa sentakan kuat di tangannya. Sentakan yang membuatkannya terkejut akibat tubuh Zainal yang tersembam ke bumi.

*****

“Nal…apa jadi?” tanya Safuan bertalu-talu. Dengan bersusah payah dia cuba mengalihkan tubuh gempal Zainal. Namun cubaannya tidak berjaya. Dia sendiri berasa tersangat letih dan tidak bertenaga sama sekali.

 Akhirnya Safuan duduk bertinggung di hujung kepala Zainal. Dari bertinggung Safuan akhirnya duduk terus di atas tanah. Bahu Zainal ditepuk-tepuk berulangkali namun Zainal masih begitu, pengsan barangkali. Safuan terlelap selepas lebih dari sepuluh minit cuba menyedarkan Zainal. Tubuhnya jatuh perlahan-lahan ke tepi denai. Walaupun kepalanya tertusuk hujung ranting yang tajam, dia tetap tidak sedar.

Matahari sudah semakin tenggelam ke barat. Kawasan hutan menjadi semakin gelap. Denai yang tadinya boleh dilihat sehingga beberapa meter sudah tidak kelihatan lagi. Begitu juga dengan tubuh Zaki dan Rahman yang sudah lama hilang dari pandangan mata. Entah ke mana hala tuju dua pemuda itu mengejar bunyi serindit yang kononnya saling bersahutan dari dahan ke dahan.

*****

CSI-RAMONA ~BAB 18~

BAB 18

“Jangan kau fikir untuk bersama dengan aku, Rashid.” Tegas kata-kata Laila sewaktu dia merebahkan badan di sebelah Rashid di atas katil. Sempat dia menjeling melihat Rashid yang terkulat-kulat mendengar amaran keras itu.

Dalam hati kecil Rashid, dia juga tidak ingin bersama dengan Laila. Kalau bukan kerana takutkan natijah melanggar janji, sudah lama Laila dihalaunya keluar. Tetapi dia terikat, maka mulutnya juga terkunci rapat. Dia hanya boleh menunduk dan mengikut telunjuk Laila.

Kalau boleh mahu sahaja dia lari membawa diri sekali lagi. Ramona sudah mendapat tempat di hati Tok Anjang. Laila juga sudah diterima di rumah besar ini. Laila pandai bermuka-muka. Di depan kedua orang tua itu, pijak semut pun semut tak mati. Manis mulutnya mengalahkan madu liar sehinggakan Mak Mah sangat sayangkan perempuan itu

Nasibnya semakin malang apabila perlu berpura-pura mengasihi Laila sebagai isteri sementelah Mak Mah dan Tok Anjang sudah mengangkat Laila seperti anak kandung mereka sendiri. Sedangkan dia dan Laila tidak punya sebarang hubungan yang sah. Setiap malam perlu tidur sekatil dengan perempuan iblis itu sangat-sangat membuatkan Rashid tertekan.

Malam ini seperti malam-malam sebelumnya, pasti ada sesuatu yang akan berlaku nanti. Laila yang garang sebelum masuk tidur akan berubah menjadi Laila yang sangat manja di waktu embun jantan menitik nanti. Rashid menjadi serba-salah. Dia sentiasa menolak tetapi setiapkali itu juga dia gagal dan tersungkur di kaki Laila. Aura Laila sangat kuat dan mempesona. Rashid jadi tak menentu saban malam.

Separuh dari hatinya, dia mahu saja tidur di ruang tamu atau menyelinap masuk ke dalam bilik yang kosong di rumah itu. Tetapi setiapkali dia memasang niat, kakinya tidak langsung boleh digerakkan. Dia tidak berasa sakit, cuma dia seperti dipaku di atas tilam. Sehinggalah ketika Laila mendatanginya, barulah tubuhnya boleh digerakkan.

Malam itu malam bulan penuh. Dari awal lagi dia sudah tahu kerana cuaca yang gelap bertukar samar-samar disinari cahaya bulan. Sebelum masuk tidur tadi, dia sudah mendongak langit menikmati keindahan malam walaupun ada gundah yang tidak terbendung di hatinya. Tetapi desakan janji dan pesona Laila membuatkan dia lekas-lekas mengatur langkah menuju ke bilik tidurnya yang dulu digunakan untuk dia dan Hasnah memadu kasih. Kenangan yang sudah kabur dari kotak ingatan, kerana sudah berbelas tahun malamnya ditemani Laila. Lebih lama dari tempoh Hasnah memenuhi nafsunya.

Rashid memejam mata. Dibiarkan saja Laila di sebelahnya. Dia tidak peduli sama ada Laila turut memejam mata atau masih lagi berjaga. Dia mahu melayan kantuk matanya. Makin lama makin berat dan akhirnya Rashid terlena. Jauh dia dibuai mimpi yang entah apa-apa. Tiada hujung pangkal mimpinya malam itu.

Dalam pukul 4 pagi, tubuh Rashid dipeluk dari belakang. Rashid resah namun dadanya tetap berdegup kencang. Dia tahu rutin subuhnya setiap hari akan berulang lagi malam itu. Dalam resah ada rasa teruja. Dibiarkan saja tubuhnya dipeluk Laila. Dia sudah biasa Laila akan memulakan segala. Rashid membatu diri seolah-olah dia tidak terkesan sama sekali dengan perbuatan Laila padanya.

Tengkuknya dijilat. Mulanya terasa seperti malam-malam sebelumnya. Masih lagi tubuhnya dikeraskan. Separuh hatinya mahu menguji apa tindakan Laila jika dia buat tidak tahu sahaja. Dia mengikut perancangannya sendiri subuh itu. Semakin lama semakin rakus tengkuknya dijilat Laila. Sehingga terasa basah dengan air liur wanita itu. Rashid menjadi pelik dan rasa tidak selesa dengan keadaan itu. Namun masih lagi dia membiarkan Laila terus-terusan menjilat tengkuknya.

Laila mendengus, semakin lama semakin kuat. Rasa tidak selesa di hati Rashid bertukar menjadi perasaan seram dan takut yang bertalu-talu mengetuk pintu hatinya. Rashid kaku dengan tangannya meramas-ramas cadar tilam. Dia benar-benar jadi tidak keruan ketika itu.

Pada masa yang sama, angin di luar rumah berubah menjadi kuat seperti mahu turun hujan. Berdesir bumbung rumah itu kerana ditimpa oleh dedaunan kering yang diterbangkan oleh angin. Rashid sedar semuanya, tetapi otaknya hanya memikirkan sesuatu yang positif, tidak mahu fikirannya belayar mencari jawapan yang bukan-bukan.

“Oh Rashid…aku mahukan kau,” bisik Laila di cuping telinga Rashid. Berderau darah jantannya ketika itu kerana pada tanggapannya, ungkapan kata itu cuma permainan kata dari Laila walaupun mereka hampir setiap malam terbabas bersama.

Rashid menyentuh tangan Laila yang melekap erat di pinggangnya. Suasana di dalam bilik hanya samar-samar, mencuri sedikit cahaya terang dari ruang tamu yang menerobos melalui celahan dinding bilik itu. Tangan Laila diramasnya.

Rashid terhenti meramas jari-jemari Laila, segera dia melepaskan tangan Laila yang berada di dalam genggamannya. Tangan Laila kasar. Rashid terkejut, tidak pernah dia menyentuh kulit Laila yang sebegitu rasa.

Laila yang menyedari Rashid melepaskan genggamannya secara tiba-tiba, merangkul pinggang Rashid dengan lebih erat lagi. Dia seolah-olah tidak mahu Rashid melepaskanya. Tangannya mencari tangan Rashid lalu dia pula yang menggenggam erat tangan sasa lelaki itu. Rashid hanya menyerah. Akhirnya dibiarkan saja Laila berbuat begitu. Dia meyakinkan diri bahawa apa yang dirasa tadi hanya sekadar mainan perasaan.

“Kau orang suruhanku yang paling patuh, Rashid.” Kata Laila lagi. Kali ini suaranya jauh ke dalam.

Rashid sekadar mengangguk kepala, tidak tahu mahu menjawab apa. Dan dia tidak berbangga pun mendapat pujian sebegitu dari Laila. Ada rasa marah di bucu hatinya, marah kerana menjadi hamba suruhan wanita bernama Laila itu.

Akhirnya Rashid memusing tubuh. Buntang matanya kerana terkejut yang amat sangat.

“Siapa kau?” Rashid melompat turun dari katil.

“Aku Laila,” jawab Laila dengan ketawa kecil yang dibuat-buat. Rashid menjauh sehingga tubuhnya menghimpit dinding.

Terkejut bukan kepalang hatinya apabila melihat perempuan yang merangkulnya itu tak ubah seperti nenek kebayan yang sangat hodoh. Tubuh Laila bongkok sabut, mengecut dan lebih kecil berbanding tubuh biasanya.

“Kau bukan Laila. Bukan! Bukan Laila!” Rashid meracau di dinding bilik. Makhluk yang mengaku sebagai Laila itu hanya ketawa mengekek.

Wajahnya berkerepot. Dengan biji mata yang jauh ke dalam. Soket matanya tersembul dek kerana keadaan wajahnya yang hanya tinggal kulit dan tengkorak sahaja. Rashid masih lagi melekat di dinding bilik dengan lidah kelu tak mampu berkata apa. Tetapi jelas dia berada dalam ketakutan yang teramat sangat. Ditambah rasa jijik dijilat oleh nenek bongkok berkedut seribu itu.

“Aku ini Laila, dan Laila itu aku. Tak ada bezanya, Rashid.”

Rashid seperti mahu muntah hijau ketika itu tatkala membayangkan apa yang sudah berlaku antara dia dan Laila sebelum ini.

“Ke mari kau Rashid,” arah Laila sambil tanggannya menggamit Rashid supaya datang mendekat. Rashid tetap kaku. Seinci pun kakinya tidak melangkah. Dia tak ubah seperti batu sungai yang besar, kaku dan tak mudah digerakkan.

Laila menepuk-nepuk bantal Rashid memberi arahan supaya Rashid mendekat, namun Rashid masih lagi kaku melihat Laila begitu. Kepalanya digelengkan beberapa kali. Penolakannya membuatkan ketawa Laila terhenti. Suasana di dalam bilik itu bertukar menjadi hening sehingga berdesing telinga dibuatnya.

“Aku tak mahu,” akhirnya meletus juga dari mulut Rashid.

“Kau tak mahu?” tanya Laila keras. Dia sudah duduk mencangkung di atas katil dengan mata merenung tajam ke arah Rashid yang sedang menggelengkan kepala berkali-kali.

Laila menjadi berang. Tiba-tiba dia melompat dan melekat seperti cicak di atas siling rumah. Rashid yang melihat seakan tidak percaya apa yang dialaminya ketika itu. Melihat nenek kebayan itu melekat dan mengengsot di atas siling bilik sangat menakutkan, lebih-lebih lagi kepala Laila kini berpusing 180 darjah memandangnya. Sangat menyeramkan ketika mendengar bunyi tulang  tengkuk Laila berderap ketika memusingkan kepala seperti ranting kering dipijak orang.

Sepantas kilat, Laila kini berada di atas kepala Rashid. Laju benar dia bergerak. Mata Rashid sendiri tidak dapat mengikut pergerakannya. Tadi ada di atas siling di tengah bilik, alih-alih sudah melekap di atas kepalanya dengan kepala bertemu kepala.

Kain batik Laila sudah terlondeh memandangkan kedudukannya kini melekap di dinding bilik dengan kepala di bawah dan kaki di atas. Rashid mendongak, jelas di penglihatannya wajah sebenar Laila. Kulitnya keras dan berkedut seribu. Hidungnya kecil dan tirus seperti tidak mempunyai tulang rawan lagi. Mulutnya lebar dengan air liur yang menjejeh keluar bersama lidahnya yang panjang meliuk lintuk ke kiri ke kanan pipinya.

“Cak!” gurau Laila dengan lidahnya panjang cuba menjilat dahi Rashid. Rashid tidak dapat mengelak. Tubuhnya yang seperti dipaku itu terpaksa membiarkan sahaja lidah Laila menjilat seluruh mukanya. Dengan air liur yang menjejeh-jejeh jatuh dari mulut Laila yang ternganga. Bau busuk menusuk ke rongga hidung, Rashid sudah terjeluak menahan muntah.

Laila ketawa mengejek melihat gelagat Rashid.

“Malam ini mahu tak mahu kau tetap perlu melayan aku, Rashid!” Laila berkata berang. Emosinya berubah secara tiba-tiba. Kata-katanya tidak boleh dibantah. Rashid terpaksa akur walaupun hatinya tidak mahu dan berasa sangat jijik ketika itu.

Laila berbau lumpur. Air liur Laila berbau bangkai. Rashid sudah kembang tekak namun dia menahan semua itu. Kalau dia muntah, lebih teruk lagi dia dikerjakan Laila nanti.

Akhirnya subuh itu, segalanya berlaku juga. Mahu tak mahu dia tetap terpaksa menyerahkan segala. Tetapi kali ini, kalau boleh Rashid mahu tatkala terjaga nanti, semua itu hanyalah mimpi ngeri yang boleh dilupakan begitu sahaja. Namun Rashid sedar, itu lah kenyataan yang perlu dibawa sehingga ke akhir hidupnya nanti.

*****

“Ehem!” Ramona berdehem lembut, cuba mencuri perhatian seseorang.

Seseorang yang dimaksudkan itu adalah Shamsul, jejaka kacak yang tidak mempedulikan kejelitaannya sewaktu kenduri dulu. Kebetulan dia terserempak dengan lelaki itu sewaktu mencari cendawan liar di pinggir hutan. Shamsul berseorangan ketika itu, sedang memotong dahan kering mahu dibuat kayu api.

Shamsul menoleh seraya menguntum senyum tanda menyedari kehadiran Ramona. Hanya beberapa saat sebelum dia kembali dengan kerjanya, iaitu memotong dahan kayu kering itu. Ramona terasa semakin tercabar dengan sikap kaku lelaki kacak itu. Dalam hatinya sudah berbakul sumpah seranahnya. Ramona mengetap bibir. Ternyata lelaki itu tidak tertarik dengan kecantikannya.

“Boleh aku tahu nama mu?” tanya Ramona tidak berputus asa. Dalam sumpah seranahnya, dia semakin tertarik dengan sikap dingin Shamsul. Dia mahu bermain-main dengan Shamsul. Dia memasang tekad mahu menjinakkan lelaki itu.

“Shamsul.” Pendek jawapan dari Shamsul. Ramona menjadi semakin sakit hati. Tidak pernah dia dilayan dingin seperti itu.

“Nama ku Haslina.” Ramona memperkenalkan diri tanpa ditanya. Dia berusaha mencipta topik perbualan agar dapat menarik perhatian lelaki itu. Shamsul sekadar mengangguk tanda faham. Tetapi tangannya lincah menyusun keratan dahan itu lalu diikat dengan anak rotan.

“Aku balik dulu, Haslina. Jangan berlama di pinggir hutan ini. Hari sudah semakin petang.” Kata Shamsul diiringi nasihat untuk Ramona. Lelaki itu menaikkan batang-batang kayu yang sudah diikat itu ke atas bahu kanannya. Dia lalu berpusing menghadap Haslina.

“Abang shamsul tak mahu berbual denganku?” pancing Ramona lagi.

Shamsul menggeleng kepala. Melihat pelawaannya ditolak, mencetuskan rasa tidak puas hati Ramona terhadap lelaki itu.

“Balik dulu. Sampai berjumpa lagi.” Kata Shamsul sebelum dia melangkah mahu meninggalkan Ramona. Tidak langsung dia menoleh kembali, malah memandang tepat ke wajah Ramona pun tidak sekali dia lakukan. Shamsul tenang memikul seberkas kayu di atas bahu, melangkah perlahan mengelak akar-akar kayu yang berselirat tersembunyi di atas lantai hutan yang ditutupi dedaunan kering.

Ramona yang ditinggalkan merengus geram.

*****

Mak Mah sibuk di dapur, menyediakan juadah untuk makan malam mereka sekeluarga. Dia tidak melatah apabila Laila langsung tidak ringan tulang mahu membantunya. Sudah lama dia tidak melayan makan minum sesiapa kecuali selera Tok Anjang yang dia sendiri sudah naik muak mahu melayan.

Kali ini kehadiran cucunya begitu membuai rasa gembira di jiwa wanita tua itu. Begitu bahagia dirasakan bila cucunya yang berbelas tahun dipisahkan darinya muncul kembali, sekurang-kurangnya dapat mengubat rasa rindu terhadap arwah Hasnah.

Laila dan Rashid acapkali tiada di rumah. Ke mana mereka pergi Mak Mah tidak ambil pusing. Padanya cukup cucunya ada menemani dia di rumah walaupun kadangkala sikap Haslina agak pelik kerana sering berbual seorang diri. Namun itu juga dia tidak ambil peduli. Apa yang penting, Haslina sudah ada di depan mata.

“Lina…ayah kamu ada?” tanya Mak Mah lembut sambil tangannya mengacau gulai di dalam periuk. Sekejap lagi siaplah gulai ikan kegemaran cucunya itu. Dia puas hati melihat warna dan kepekatan gulai tersebut. Aromanya pula memang memanggil orang untuk menjamu sama.

Ramona hanya menjungkit bahu. Sebenarnya di dalam hati dia merasa sebal tiapkali dia disuakan dengan soalan mengenai Rashid. Padanya Rashid bukan ayahnya. Baginya Rashid adalah Abang Rusdi, lelaki suruhan ibunya Laila. Tiada kaitan darah dengannya sama sekali. Padahal dia tahu siapa Rashid yang sebenar. Dalam sebal ada marah. Dalam kemarahannya terselit juga rasa ngilu di hati kerana kepiluan mengenang betapa Rashid mengabaikannya sejak lahir lagi.

“Pergi cari datuk dan ayah kamu, Lina. Kalau ibu Laila kamu ada, panggil dia sekali. Nenek nak hidangkan makanan dulu,” kata Mak Mah separuh mengarah. Ramona mengangguk kepala tanda akur.

Dari dapur dia melangkah anak tangga untuk naik ke rumah atas. Kebiasaannya Tok Anjang ada di serambi rumah duduk-duduk sambil menggulung rokok daun. Begitu juga dengan Rashid yang akan berbual mesra dengan bekas ayah mertuanya itu.

Memang benar telahannya, dari tengah rumah dia sudah dapat menangkap bual bicara lelaki di luar rumah. Dia kenal suara Tok Anjang yang garau dan agak lantang itu. Dan dia juga kenal benar dengan suara Rashid yang mendatar, seolah-olah terlalu hormatkan orang tua itu. Meluat Ramona mendengarnya.

Namun dia tetap juga melangkah ke depan. Berdiri di muka pintu sambil memerhati wajah datuk dan ayahnya. Bertambah-tambah meluat dia melihat kedua wajah tersebut.

“Tok…nenek panggil,” tegur Ramona secara tiba-tiba. Serentak dua kepala menoleh memandangnya. Tok Anjang menguntum senyum manakala Rashid lebih selesa mengalih pandang ke julai pepohon kelapa di luar rumah.

“Makan?” tanya Tok Anjang cuba beramah mesra dengan cucunya. Orang tua itu sedar ada sesuatu yang canggung dalam hubungannya dengan gadis itu.

Ramona sekadar mengangguk mengiakan. Bibirnya dipaksa mengukir senyum mesra. Ada suatu perasaan yang sukar untuk dia tafsirkan setiap kali berkomunikasi dengan datuknya. Ada jurang yang memisahkan mereka. Mungkin memori lama masih lagi menghantui gadis cantik itu.

Tok Anjang bingkas bangun. Dia mengajak Rashid sekali namun Rashid meminta masa. Alasannya mahu membetulkan urat badan yang sakit-sakit. Tok Anjang percaya bulat-bulat. Langkahnya langsung diatur menuju ke dapur.

Ramona masih lagi berdiri di tempat yang sama. Hatinya menjadi semakin sebal melihat wajah Rashid yang sedikit menunduk merenung lantai.

CSI-RAMONA ~BAB 17~

BAB 17

Secara tiba-tiba, Rashid meluru ke arah Tok Anjang yang masih lagi bersila membatu diri. Dia melutut dengan mencium kaki bekas mertuanya itu. Dengan tangisan yang dibayangi ketakutan yang teramat sangat tetapi ditunjukkan kepada semua bahawa itu adalah tangisan keinsafan.

Dicium berulangkali lutut Tok Anjang sambil meminta maaf atas segala dosanya. Rashid menangis mendayu-dayu. Tangan Tok Anjang yang sasa ditarik walau dalam keadaan terpaksa, Tok Anjang hanya merelakan. Tidak kuasa dia mahu berkeras ketika itu.

“Kau bercakap dengan siapa di luar tadi?” tanya Tok Anjang tiba-tiba. Rashid terpempan, kelu lidahnya mahu menjawab apa.

“Tak ada siapa-siapa, ayah.” Jawab Rashid dengan suara yang tidak meyakinkan. Tok Anjang berdehem.

“Kalau tujuan kedatangan kau ni membawa geruh, lebih baik kau balik.” Tegas suara Tok Anjang.

Tangisan Mak Mah meletus kembali. Ramona yang sedari tadi duduk kaku melihat sandiwara Rashid di depan matanya turut sama mengambil bahagian. Dia mahu masuk ke dalam keluarga ini. Dendamnya pada Tok Anjang perlu diselesaikan. Walaupun ada di sudut kecil di hatinya yang berasa belas apabila didakap oleh neneknya tadi. Namun itu hanya sekadar beberapa titik putih di permukaan hatinya.

Bahu neneknya didakap. Dia turut sama mengalirkan airmata. Tok Anjang mengangkat muka memandang Rashid yang sudah berteleku di hadapannya dengan esak tangis seorang lelaki. Rashid membiarkan sahaja airmatanya mengalir, supaya jelas di penglihatan Tok Anjang.

“Sudah la tu bang..maafkan lah Rashid tu, dia dah menyesal tu bang..lagipun dia bawa pulang cucu kita ni..” pujuk Mak Mah lagi sambil mengusap-usap tangan Ramona yang terletak di atas pahanya.

“Tok…tok marahkan Lina ke? Selama ini Lina rindu benar nak jumpa nenek dan atok,” akhirnya Ramona berkata dengan suara yang bergetar menahan sebak. Mak Mah semakin sayu. Dia mahu suaminya berkalih pandang melihat wajah cucunya itu.

Harapanya menjadi nyata, Tok Anjang melabuhkan pandangan ke setiap inci wajah cucunya yang sememangnya cantik seperti arwah anaknya dulu. Hatinya terus ditusuk rasa pilu yang teramat sangat. Terasa benar-benar dia rindukan anak tunggalnya, Hasnah. Anak manjanya yang diberikan segala perhatian. Mahu sahaja dia bangkit dan memeluk Ramona ketika itu. Mana tahu rindunya sedikit terubat.

Sebutir air mata jatuh dari tubir mata tuanya. Dia berdehem berkali-kali seperti sedang melegakan peperangan di dalam hati dan fikirannya. Melihat keadaan datuknya seperti itu, Ramona mengambil kesempatan datang mendekat. Dipeluk tubuh tua datuknya, didekatkan wajahnya dengan muka Tok Anjang. Mahu dipastikan mata Tok Anjang yang berilmu itu dikaburi dengan kecantikan palsunya. Tok Anjang akhirny mengukir senyum.

“Saling tak ubah seperti Hasnah, Mah.” Sayu suara Tok Anjang. Ramona mengukir senyuman kemenangan, namun sempat dijeling ayahnya dengan pandangan tajam. Rashid mengalih pandang. Dia tidak sampai hati melihat Tok Anjang mengusap lembut rambut Ramona yang ikal mayang dan panjang hitam berkilat.  Dia datang memang membawa geruh untuk keluarga itu.

“Atuk.” Ramona memainkan peranan lagi. Sengaja dia menyebut panggilan keramat itu. Dia berjaya lagi apabila lelaki tua itu terus menangis teresak-esak dengan berkata-kata sesuatu yang kurang jelas. Mungkin meluahkan rasa hati dan kerinduannya.

Rashid menyepi. Misinya sudah menjadi. Dia sudah menurut arahan Laila. Dia dan Ramona perlu masuk ke dalam keluarga ini. Perlu hidup bersama keluarga Tok Anjang walau apapun yang berlaku. Walau dihalau dengan keris atau pedang Tok Anjang, Rashid perlu pastikan mereka mendapat tempat di dalam rumah ini.

“Mak Mah, Tok Anjang..saya Laila, isteri Rashid yang menjaga Haslina selama ni.” Tiba-tiba satu suara pecah dalam kesyahduan mereka bertiga. Rashid terduduk, Ramona tersenyum manakala Tok Anjang dan Mak Mah terpinga-pinga kehairanan.

Laila tersenyum mesra. Dia duduk bersimpuh di sebelah Rashid. Tangan Rashid diramas lembut, tetapi Rashid merasa seperti sedang menggenggam bara api. Dipaksa bibirnya untuk tersenyum memandang kedua-dua orang tua itu.

Laila berkebaya labuh dengan sanggul cantik  tersemat di kepala. Senyuman di bibirnya membawa sejuta makna.

*****

“Tahniah Tok…dapat juga Tok berjumpa dengan cucu Tok. Saling tak ubah seiras muka arwah Hasnah masa remaja dulu.” Tegur satu suara memotong lamunan Tok Anjang yang sedang berdiri dari serambi rumah.

Ketua Kampung itu memaling muka mencari siapa orang yang menegurnya. Di belakangnya berdiri Pak Hasan dengan rokok daun di celah jari. Pak Hasan tersenyum lalu dibalas oleh Tok Anjang. Tok Anjang lantas mengangguk kepala sesuai dengan kewibawaannya memegang jawatan tertinggi di kampung itu.

“Kau dah makan, Hasan?” tanya Tok Anjang ramah. Hari ini dia membuat kenduri kesyukuran atas kepulangan menantunya, Rashid dan yang diraikan, cucu tunggalnya yang bernama Haslina. Seluruh kampung dijemput sementelah dia mahu menunjukkan kepada mereka bahawa cucunya sememangnya bukan Ramona, budak perempuan hodoh itu. Dalam hati terbit rasa bangga apabila telinganya jenuh menangkap puji-pujian dari mulut tetamu yang hadir

“Sudah, Tok.” Jawab Pak Hasan ringkas lalu dia meminta diri untuk pulang. Sekali lagi Tok Anjang hanya mengangguk kepala tanda mengizinkan.

Di satu sudut yang lain, di tengah-tengah rumah terletak bilik Ramona yang tingkapnya menghadap ke halaman rumah. Sejak dari selesai bacaan doa, Ramona terus duduk di dalam bilik sahaja. Alasannya kepada Mak Mah, dia mahu bersiap-siap dengan lebih elok lagi kerana mahu bersedia berjumpa dengan orang kampung. Mak Mah menerima alasannya tanpa banyak soal.

Di dalam bilik pula, selepas mengunci rapat daun pintu, Ramona terus duduk di birai katil. Dia kemudiannya menyeru memanggil nama  Mawar, Cempaka dan Anggerik. Sekelip mata suasana di dalam bilik berubah. Pusaran angin muncul dari satu penjuru bilik, membuatkan barang-barang hiasan di atas almari solek bergetaran. Dari pusaran itu muncul satu persatu gadis-gadis pendamping itu. Terbang berlegar-legar di sekitar bilik sambil ketawa gembira.

“Sungguh ramai teruna di luar sana, Mona. Mari..aku siapkan kau.” Kata Anggerik teruja. Ramona yang mendengar juga turut rasa teruja. Dia memperkemas duduknya di atas katil.

Cempaka memanggung kepala di tepi palang jendela. Terkebil-kebil biji matanya memerhati sekeliling melalui celahan daun tingkap yang sedikit terbuka. Sesekali dia mengukir senyum. Sebuah senyuman yang mengandungi sejuta makna. Hanya dia yang tahu.

“Mona rasa tak perlu Mona bersiap keterlaluan, apa pula kata nenek dan atok nanti.” Kata Ramona dengan nada ragu-ragu. Dia melihat ke wajah Anggerik dan Mawar yang turut sama sedang melihat ke wajahnya. Pandangan mereka bertiga dipaku seketika.

Anggerik melayang terbang menjauh dari Ramona. Mawar pula datang mendekati gadis jelita itu dengan senyuman terukir di bibir. Namun senyuman Mawar agak hambar dari kebiasaan. Cempaka masih lagi berteleku mencuri pandang ke halaman rumah yang dipenuhi dengan ramai jejaka kampung yang duduk berkumpul sambil menghisap rokok daun.

Mawar memusing badan, tidak jadi dia menuju ke arah Ramona tetapi dia menuju ke jendela yang sedikit terbuka itu. Mawar menggerakkan tapak tangannya seperti sedang menampar angin, sekaligus jendela itu terbuka dengan sendirinya. Digamit Ramona supaya mendekat.

Jejaka-jejaka kampung di halaman rumah serta merta mengangkat kepala melihat ke arah jendela bilik yang sudah terbuka luas. Ada langsir nipis yang menjadi tirai terakhir sebelum pandangan mata mereka langsung masuk ke dalam bilik tidur itu. Masing-masing terdiam kaku apabila susuk tubuh Ramona yang langsing dan tinggi itu berdiri lentok dengan hanya tangannya yang halus dan putih itu dengan sengaja diletakkan di atas palang jendela. Jari-jemarinya yang runcing mengetuk perlahan kayu cengal yang dijadikan palang itu dengan irama tertentu.

Angin seperti mengerti apa yang diperlukan pada waktu itu. Tiupan angin membuatkan langsir nipis yang menutupi jendela melekat ke tubuhnya. Ada beberapa orang pemuda yang lantas bangun membetulkan kaki seluar, walaupun jelas mata mereka cuba mengintai ke dalam bilik. Ramona ketawa kecil. Dia semakin bersemangat mahu mempermainkan hati dan perasaan pemuda-pemuda di kampung itu.

Jelas di mata Ramona, jejaka kampung di halaman rumah sudah terpaku dan terkesima melihat susuk tubuhnya walau tidak secara langsung. Hatinya teruja. Dalam masa yang sama matanya juga tertancap pada sekujur tubuh yang masih lagi leka menghisap rokok daun dan tidak menghiraukan mereka yang lain yang sedang terpaku merenungnya. Ramona jadi tertarik. Dia menyelak sedikit langsir nipis itu hingga menampakkan separuh wajahnya.

Mereka di halaman rumah bersorak di dalam hati. Terpaku melihat separuh kejelitaan yang diperkatakan oleh kebanyakan orang tua yang mereka temui. Semasa bacaan doa tadi, hanya orang-orang tua sahaja yang layak untuk duduk di atas rumah manakala mereka yang masih bujang perlu duduk di halaman sahaja, bagi membantu menjadi penanggah atau membantu mengemas pinggan mangkuk. Inilah kali pertama mereka berpeluang melihat sedikit dari kecantikan yang diwar-warkan kepada mereka sejak pagi tadi.

“Yang langsung tidak menoleh itu, jangan kau sekali-kali mencuba dengannya?” Cempaka memberi amaran. Ramona hanya berdehem kecil. Hatinya sudah terpaut pada seraut wajah kacak yang langsung tidak menghiraukannya itu.

“Kenapa ya Cempaka?” akhirnya tercetus juga persoalan yang dipendam di dalam hatinya.

Ramona tidak dapat tidak sangat tertarik dengan jejaka nan seorang itu. Masakan tidak, hanya lelaki itu sahaja yang langsung tidak menunjukkan sebarang minat untuk menjamu mata. Hatinya tertanya sendiri. Mengapa?

Langsir diselak lebih luas. Ramona mahu melihat dengan lebih jelas lagi wajah jejaka sombong itu. Hatinya seperti dicuit-cuit mahu mengenali lelaki itu dengan lebih dekat. Mungkin kerana egonya tercalar sementelah lelaki itu buat tidak peduli akan dirinya yang sekarang sedang menjadi perhatian mata dan nafsu lelaki-lelaki lain. Mungkin Ramona berasa tercabar.

“Turutkan saja kata-kata Cempaka itu, Mona.” Tegur Anggerik agak keras dari penjuru bilik.

Anggerik masih lagi menjeruk rasa kerana Ramona menolak untuk dihias tadi. Ramona menoleh memandang Anggerik, tidak disedari langsir nipis itu terselak penuh menampakkan susuk tubuh badannya dengan sangat jelas. Semakin menggila hati lelaki-lelaki muda di halaman rumah.

Ramona kembali berpaling melihat ke halaman, dia menguntum senyum ke arah sekumpulan lelaki yang sedang terliur melihatnya. Dalam hati dia ketawa kecil. Malas mahu melayan Anggerik. Hatinya kini hanya mahu tahu siapa si sombong yang kacak itu.

*****

CSI-RAMONA ~BAB 16~

BAB 16

“Aaa..apa yang kau buat ni?? Lepaskan aku!!” jerit lelaki yang bernama Megat itu. Dia cuba melepaskan diri dari tubuh Ramona yang sedang menghenyak badannya. Ramona tidak membalas dengan sebarang kata.

Dia semakin agresif menolak tubuh Megat ke dinding. Walaupun tubuhnya dan tubuh Megat berbeza saiz, tubuh kecil Ramona mampu mengalahkan Megat yang bertubuh sasa. Megat semakin terdesak, dia menolak tubuh Ramona sekuat hati. Ramona hanya ketawa mengejek. Tangannya merangkul leher Megat dengan kemas, dia mendekatkan dadanya ke dada Megat. Megat menelan air liur

“Lepaskan aku!” jerit Megat kuat. Ramona ketawa sahaja. Dia sama sekali tidak takut dengan wajah bengis lelaki itu.

“Abang Megat tak suka sama aku?” tanya Ramona manja. Megat laju menggeleng kepala.

“Mana kau tahu nama aku?” biji mata Megat membulat. Dia terkejut bila menyedari Ramona menyebut namanya.

“Aku tahu semua tentang Abang Megat.” Jawab Ramona dengan suara manja yang dibuat-buat.

“Wak!! Tolong aku Wak!!” tiba-tiba meletus jeritan Megat meminta pertolongan dari Wak Shoib. Spontan Ramona meletakkan jarinya yang runcing di bibir, memberi isyarat supaya Megat tidak membuat bising. Namun Megat tidak peduli. Dia mahu melaung lagi.

Pang!!! Satu tamparan kuat tepat mengena di pipi kanan Megat. Dia terkesima.

“Kan aku dah ingatkan, jangan bising. Shhhh…” sekali lagi Ramona membuat isyarat supaya Megat berdiam diri.

“Wak dah tak ada. Dah mati barangkali.” Sambung Ramona dengan nada mengejek. Buntang biji mata Megat mendengar kata-kata gadis gila itu. Padanya dia terserempak dengan perempuan gila. Dia tidak nampak Ramona selain daripada si gila yang terlepas dari kurungan.

“Kau suka dengan aku?” tanya Ramona lembut. Kali ini rangkulan di leher Megat dilepaskan. Dia melangkah beberapa langkah menjauhi Megat. Megat menggosok-gosok lehernya yang rasa sedikit perit.

“Tidak. Aku tak mengenalimu, saudari. Masakan aku boleh suka pada kau,” jawab Megat dengan nada sopan dan lembut. Serentak itu Ramona berpaling dengan senyuman terukir di bibir. Megat terpempan.

“Benar ni?” tanya Ramona lagi. Dia kembali mendapatkan Megat yang tercegat memandangnya.

“Err..” hanya itu yang mampu keluar dari  mulut lelaki itu.

Matanya tidak berkelip memandang tubuh Ramona yang sudah terdedah di bahagian dada. Sebaik sahaja Ramona berpaling tadi, baju kebayanya lurut jatuh dari bahu. Perlahan-lahan jari-jemari Ramona yang runcing itu membuka bajunya supaya bahagian dadanya tersembul keluar. Dengan senyuman menggoda, baju Megat ditarik, didekatkan bibirnya ke leher lelaki itu yang sudah menggeletar kepala lutut. Ramona ketawa kecil.

*****

Megat menjerit marah selepas sedar apa yang sudah terjadi antara dia dan Ramona. Gadis itu hanya ketawa mengekek melihat reaksi Megat.Mawar turut sama ketawa. Begitu juga dengan Anggerik  dan Cempaka. Mereka bertiga berlegar-legar di sekeliling  kepala Megat yang masih lagi marah-marah.

“Bang Megat di atas Mona..masakan Mona yang punya angkara?” Ramona bermain dengan kata-kata.

“Kau pukau aku kan?” tanya Megat tidak puas hati. Dia memakai semula baju dan seluarnya, manakala Ramona masih lagi bertelanjang bulat. Dia tidak peduli dengan Megat yang marah-marah, malah dia berbaring sambil bermain-main dengan hujung rambutnya yang panjang.

“Haus lagi?” tanya Ramona seperti mengejek.

“Perempuan sial!” Megat mula memaki. Dia cuba menarik rambut Ramona untuk melampiaskan marahnya.

“Dia sendiri yang sedap, dia sendiri yang marah-marah. Patutlah ibu kata cinta pada lelaki tak ada makna. Dasar lelaki tak guna!” Ramona membalas kata. Semakin menyinga wajah Megat jadinya.

Tangannya sudah naik ke udara. Ramona yang pada masa itu sedang menyarung kembali kain batiknya sekadar membiarkan perlakuan ganas Megat. Dia bersahaja membalas setiap carutan yang keluar dari mulut lelaki itu.

“Kau nak ke mana?” tanya Megat apabila melihat Ramona sudah memegang tombol pintu bilik.

“Aku ada banyak urusan lain, Megat.” Sudah tiada panggilan abang dari mulut Ramona.

“Arghhh!!!” Megat menjerit kuat.

“Kau mahu apa lagi dari aku, Megat?” tanya Ramona sebelum dia melangkah keluar.

“Aku mahu kau lagi, Mona.” Jawapan dari Megat memang tidak disangka-sangka. Ramona tersenyum meleret.

“Aku hanya pakai kau sekali sahaja, Megat. Kau dah tak ada makna pada aku. Selepas aku keluar ni, kau keluar.” Ramona menjawab selamba. Jawapannya membuatkan Megat melompat memaut kakinya. Tubuh Megat ditolak dengan lututnya. Megat jatuh terduduk.

“Lelaki selalu mensia-siakan perempuan. Apa salahnya kau tanggung kesalahan bagi pihak kaum kau. Kau boleh balik, dan kau juga boleh pergi mati.” Kasar sekali jawapan Ramona.

“Bunuhlah aku, tak ada makna hidup aku kalau aku tak memiliki kau,” pujuk Megat dengan kata-kata cinta. Ramona menjuih.

“Kalau itu yang kau mahu, apa salahnya.” Ramona membalas seraya menutup daun pintu.

Tidak lama masa untuk Megat bermuram atau menjadi gundah-gulana kerana tidak memiliki Ramona. Sebaik pintu ditutup, Mawar, Anggerik dan Cempaka menyusup masuk ke dalam bilik. Megat yang terkejut dan ketakutan tidak mampu mempertahankan diri apabila lehernya digigit oleh gigi Mawar yang tajam bergerigi. Masing-masing di antara mereka menunggu giliran membaham tubuh Megat yang sudah kejung dengan mata terbelalak ke atas.

*****

“Ibu!! Ibuuu!!!” Ramona menjerit kegirangan. Dia menekap-nekap kulit kepalanya. Muncul Laila yang entah dari mana sebenarnya, mengangkat kening sebagai isyarat bertanya.

“Ibu tengok ni bu. Tengok kulit kepala Mona ni.” Gadis itu menyuakan kepalanya ke muka Laila. Laila menyentuh lembut permukaan kepala Ramona.

“Ibu tak perasan ke? Tengok lah betul-betul, bu.” Ramona yang teruja separuh mendesak.

“Ya, ibu tengah tengok ni sayang. Ada apa sebenarnya?” tanya Laila lembut sahaja, melayan karenah Ramona yang semakin manja dengannya.

“Kulit kepala Mona dan tak berkedut. Ibu nampak tak?” akhirnya Ramona menjawab dengan mencebirkan bibir tanda merajuk. Laila ketawa kecil. Sebenarnya sengaja dia menyakat Ramona.

“Sudah berapa teruna yang Mona ambil?”

Ramona ketawa malu-malu. Dia menunjukkan 3 batang jarinya.

“Tiga?” tanya Laila kembali, dijawab oleh anggukan kepala oleh Ramona.

Dahi Ramona dikucup lembut oleh Laila. Dia memeluk tubuh gadis itu. Sememangnya, tubuh badan serta kulit Ramona semakin berubah. Daripada kulit yang menggerutu, kelihatan sudah semakin lembut dan tegang. Tidak lagi bersopak dan bertampuk-tampuk hodoh.

“Kan ibu sudah beritahu, percayakan ibu.”

Ramona memeluk erat tubuh Laila. Baginya Laila adalah segala-galanya. Laila mengotakan janji, tidak seperti orang lain yang sentiasa meremuk dan menghancurkan hatinya dengan janji palsu atau terus membuangnya jauh-jauh tanpa simpati.

*****

“Kau ni siapa?” tanya Tok Anjang dengan nada tinggi dan suara yang tertahan-tahan. Dia bukan tidak kenal lelaki di depan matanya itu. Malah dia tidak pernah lupa.

Namun rasa marah dan kecewa yang meluap-luap di dalam hati membuatkan dia tidak boleh menyambut mesra kepulangan anak menantunya itu. Pejam celik pejam celik matanya memandang wajah Rashid yang berdiri kaku di muka pintu.

Kedatangan Rashid yang langsung tidak diduga membuatkannya terkejut, dia langsung tidak bersedia. Api kemarahan yang seperti bara di dalam sekam marak kembali.

Mak Mah seperti biasa cuba menenangkan perasaan suaminya. Mata tuanya hanya terumpu pada seraut wajah gadis cantik yang berdiri di sisi Rashid. Agaknya inilah cucunya, Haslina yang pernah disebut oleh Rashid dahulu.

“Ayah..saya minta maaf, yah. Saya buat dosa, maafkan saya.” Bergetar suara Rashid memohon maaf. Tangan dihulur tetapi lama dibiarkan sepi oleh Tok Anjang. Jelas dia langsung tidak sudi menerima salam maaf dari bekas menantunya itu.

‘Kau balik lah!! aku tak nak tengok muka kau lagi!! balik sekarang!!” herdik Tok Anjang dengan suara melangit. Merah padam muka orang tua itu, terketar-ketar tangannya memegang kepala tali pinggang yang melilit perutnya.

Rashid menoleh memandang wajah ibu mertuanya. Perlahan-lahan tangannya memaut tangan Haslina yang hanya berdiam kaku sedari tadi. Akhirnya Rashid menundukkan wajah, dia sudah kelu lidah. Tanpadisedari, Haslina sudah melangkah melepasinya. dengan tenang gadis itu menghulur tangan ke arah neneknya dengan senyuman terukir di bibir.

Tanpa menghiraukan suaminya yang sedang merenung tajam, tubuh gadis itu ditarik ke dalam dakapan. Pecah tangisan orang tua itu. Wajah Ramona dicium-cium tidak puas. Ramona tersenyum di dalam hati. Hasratnya mahu menginjak kaki ke rumah orang tua berpengaruh ini semakin menjadi kenyataan.

******

Suasana malam yang hening menjadi semakin sunyi. Hanya dihiasi oleh samar cahaya bulan yang menerobos di celah-celah dedaun pokok di sekeliling rumah besar Tok Anjang. Sesekali terdengar bunyi lolongan anjing yang panjang dan jauh dari sebalik bukit. Ada juga suara burung hantu yang sekali sekala menyampuk keheningan malam. Menjadikan suasana yang hening itu sedikit meremangkan bulu roma.

Rashid masih lagi menundukkan wajah, hampir sahaja dagunya mencecah dada. Dia sekilas menjeling kelibat Ramona yang masih lagi berpelukan erat di dada Mak Mah. Sempat juga dia menjeling raut wajah Tok Anjang yang masih menyinga sedari tadi. Ingin sahaja Rashid pergi dari situ, namun dia takut melanggar arahan Laila.

Laila memantau keadaan dari jauh. Entah di mana Laila ketika itu tetapi Rashid tahu Laila tidak jauh. Laila ada menghidu dan melihat perlakuannya. Laila tidak akan teragak-agak untuk memenggal kepalanya sekiranya dia lari daripada tugas ini. Rashid tidak mampu berbuat apa-apa.

“Ini ke cucu mak? Ini ke Haslina yang kau katakan dulu tu Rashid?” tanya Mak Mah dengan tangisan yang masih panjang. Walaupun dia tidak kenal siapa Ramona tetapi hatinya kuat mengatakan bahawa gadis itu adalah Haslina, cucunya yang dibawa lari oleh Rashid berbelas tahun yang lalu.

Rashid?? Ramona terkejut. Dia menolak sedikit tubuh Mak Mah dengan lembut lalu berpaling menoleh memandang Rusdi yang sedang menunduk. Tajam matanya merenung wajah Rusdi yang dipanggil Rashid oleh neneknya tadi. Rashid??

Ayahnya bernama Rashid. Adakah?

Ramona mendengus melepaskan rasa sebal di hati. Dia hanya menyerah sahaja apabila tubuhnya ditarik kembali ke dalam dakapan neneknya. Fikirannya menerawang. Teringat peristwa petang tadi semasa Laila menyuruh Abang Rusdi membawanya ke rumah Tok Anjang.

‘Patutlah Abang Rusdi minta maaf dengan atok tadi. Hurmm..’ bisik hatinya yang jauh menerawang. Dengan lembut dia menolak tubuh Mak Mah. Lakonannya sudah tidak boleh dibuat-buat lagi. Hatinya tergugat dengan kebenaran yang sebenarnya Abang Rusdi adalah ayah kandungnya. Hatinya sebal.

Tok Anjang tidak lepas pandang melihat perilaku isteri dan gadis muda itu. Bukan mudah dia boleh menerima gadis yang dibawa Rashid adalah cucunya. Selama ini dia mahu percaya cucu asalnya dibawa lari oleh Rashid. Tetapi akalnya bertanya kembali, dari mana datangnya bayi hodoh menggerutu itu?

“Masuk lah.” Pelawa Mak Mah. Rashid dan Ramona tidak berganjak. Tok Anjang berdehem kasar.

Tok Anjang menghempas punggung ke lantai rumah. Kain hitam di pinggang dililit ke kepala. Orang tua itu menyilang kaki kanan ke atas kaki kiri. Dia diam membatu seakan memikirkan sesuatu. Sesekali dia mendengus kasar seperti harimau yang berada dalam keadaan siap siaga mahu menerkam mangsa.

Di luar rumah, Laila turut duduk di atas rumput. Dia menghembus sesuatu dari tapak tangannya ke arah pintu rumah Tok Anjang yang luas ternganga. Satu hembusan angin kuat menuju ke arah rumah Tok Anjang.

Rashid dan Ramona masing-masing berpeluk tubuh kerana cuaca menjadi dingin tiba-tiba. Begitu juga dengan Mak Mah, hanya Tok Anjang yang masih memejam kedua belah matanya.

Dummm!! Guruh berbunyi di langit, membawa jaluran kilat sabung menyabung. Mak Mah mendongak.

“Abang..sudah-sudahlah tu bang..ini darah daging kita, bang. Anak Hasnah, satu-satunya waris kita.” Kata Mak Mah separuh tegas. Tidak pernah seumur hidupnya bersuamikan Tok Anjang, dia berkata begitu. Dia tidak pernah membantah apatah lagi mahu mengarah. Namun hal cucunya itu sudah terlalu lama dipendam.

Apa lagi yang suaminya mahu? Kalau dulu dikata Ramona itu anak syaitan kerana terlalu hodoh tidak seperti manusia. Dikatanya pula Rashid membawa lari cucu sebenarnya. Dan sekarang, apa lagi yang mahu dipersoalkan? Ternyata yang di hadapannya ini berdiri seorang gadis jelita, saling tak tumpah seperti wajah Hasnah. Malah lebih cantik dan ayu daripada arwah anaknya itu. Ditoleh pandangannya melihat sekali lagi wajah cucunya.

Wajah yang saling tak tumpah seperti Hasnah. Berkulit putih mulus dan gebu, tidak ada sebiji jerawat di wajah Ramona. Dahinya licin dengan kening terbentuk. Matanya bundar bercahaya namun galak sebagai penggoda. Bulu mata lentik dengan mata berwarna hazel tajam menikam. Pandangan gadis itu penuh dengan cerita, memikat sesiapa sahaja yang merenung ke dalam matanya.

Hidungnya mancung terletak, bibirnya bak delima merkah dengan susunan gigi putih yang cantik. Sangat memikat apabila tersenyum. Lupa dia pada Ramona yang berwajah hodoh dengan kulit berkedut dan berlipat-lipat. Gadis bongkok sabut seperti nenek kebayan berusia ratusan tahun. Dia lega Ramona bukan cucunya. Jatuh kasih dan cintanya tatkala pertama kali memandang wajah Haslina sewaktu dia membuka pintu selepas diberi salam oleh Rashid tadi.

Tok Anjang masih lagi berkeadaan sama, mendengus dan merengus dengan kasar. Tajam matanya merenung tikar mengkuang yang menjadi alas duduknya. Kalau diikutkan hati, sudah pasti terbakar tikar mengkuang itu dibuatnya.

“Apa kau buat berdiri membatu seperti itu? Kau mahu aku patahkan tengkuk kau tu ke Rashid?” jerit Laila di cuping telinga Rashid.

Tersentak lelaki itu dibuatnya. Serentak dengan itu, lolongan anjing menjadi semakin kuat, seolah-olah  hanya berjarak beberapa meter sahaja di halaman rumah. Tiada lagi sampukan burung hantu. Angin yang tadinya mati mula bertiup. Dedaunan bergesel menghasilkan bunyi gemersik yang agak menyeramkan.

Rashid menelan air liur. Lututnya menjadi lemah dengan tiba-tiba. Ingin sahaja dia lari, tetapi dia tahu Laila ada di mana-mana. Tak mungkin dia dapat selamat walau sejauh mana dia mampu berlari. Rashid mengangkat muka, pandangan dihala ke halaman rumah. Jelas pada pandangannya ada mata-mata merah yang sedang merenung dari sebalik pokok dan semak samun di hujung halaman. Semakin terketar lututnya ketika itu.

Ramona sudah masuk ke dalam rumah, Tok Anjang masih lagi bersila kejap merenung lantai manakala Mak Mah pula mengekori Ramona yang sudah duduk bersimpuh memandang Tok Anjang. Hanya dia seorang yang berada di serambi rumah. Jelas kelihatan mata-mata merah semakin mendekat.

Pada pendengarannya, terlalu bingit bunyi-bunyi yang dihasilkan oleh makhluk-makhluk bermata merah itu. Namun pada pendengaran yang lain, itu semua hanyalah bunyi desiran angin yang semakin kuat bertiup.

“Jangan sampai kepala dan tubuh kau bercerai, Rashid.” Satu suara garau mengugutnya. Jelas suara itu di cuping telinganya. Terpejam-pejam mata Rashid menahan takut.

“Kau terikat dengan perjanjian dengan aku, Rashid!! Jangan kau ingkar!! Akan aku korek dua biji mata kau dan aku biarkan kau hidup sehingga akhir zaman!!” ugut satu suara itu lebih garau dan jauh di dalam tenggorok. Rashid pejam mata lagi. Kali ini dia takut untuk membukanya.

Namun selepas agak lama memejam mata, akhirnya dibukanya juga. Nah!!! Begitu dekat mukanya dengan satu wajah yang sangat menggerunkan. Wajah seperti mayat berusia tujuh hari dengan isi daging yang membengkak dipenuhi nanah yang busuk. Beberapa ekor ulat meliang-liuk keluar dari rongga hidung, mata dan telinga wajah itu. Makhluk itu menyeringai mengeluarkan bau yang sangat busuk dan memualkan. Rashid terpana. Mahu sahaja dia muntah di situ juga.

“Turut kataku!” arah wajah itu.

Lalu kelibatnya terus hilang. Kedengaran jelas di telinganya suara Laila yang sedang ketawa mengekek dan panjang diselang-seli dengan bunyi lolongan anjing yang semakin nyaring dan mendayu-dayu.

*****

CSI-RAMONA ~BAB 15~

BAB 15

Petang yang mendamaikan, dengan siulan burung-burung yang bertenggek di dahan pokok serta tiupan angin yang sepoi-sepoi bahasa membuatkan hati Ramona menjerit keriangan. Dia terasa bebas bergerak ke sana ke sini meninjau persekitaran pondok tempatnya mengadu nasib selepas pemergian Mbah Wedok lebih kurang setahun yang lalu.

Tubuh badannya sudah tidak lagi bongkok, dia sudah laju berjalan malah kalau mahu berlari pun dia sudah mampu. Tiada lagi tongkat menopang ketiaknya. Badannya terasa segar selepas azab dan sengsara yang dilaluinya.

Walaupun kulitnya masih berkedut dengan kulit kepala yang masih berlipat-lipat, dia tidak berasa janggal sama sekali. Dia yakin dia cantik bila melihat imejnya dalam cermin antik di dalam pondok. Pada mulanya dia langsung tidak percaya akan kata-kata Laila tetapi lama kelamaan dia mula mendapat keyakinan setelah kehadiran Mawar, Anggerik dan Cempaka yang saban waktu mengekorinya.

Ketiga-tiga gadis itu sentiasa mendampinginya, sentiasa menghamburkan kata-kata pujian mengenai kecantikan dan kejelitaannya. Dia menjadi bangga dan kagum setiap kali melihat dirinya sendiri. Kalau dahulu, cermin menjadi musuhnya, tetapi kini cermin boleh dianggap sebagai sahabat baiknya. Tidak lekang dengan cermin tak kira siang atau malam.

“Mawar…Mona mahu tahu apakah itu teruna?” tanya Ramona naif sekali. Mawar yang melayang-layang di sekitarnya hanya ketawa mengekek. Lucu agaknya dengan pertanyaan Ramona tadi.

“Anggerik boleh menerangkan,” jawab Mawar seperti mahu berdolak dalih. Anggerik juga ketawa mengekek menyambung tawa panjang Mawar. Anggerik melabuhkan punggungnya di atas dahan pokok rambutan di belakang pondok. Ramona mendongak mahu mendengar jawapan gadis itu.

Anggerik berjuntai kaki. Dia menggumam lagu keroncong seperti mahu membuang masa. Ramona setia menunggu kerana keinginannya sangat tinggi ketika itu. Dia mahu kekal cantik. Dia mahu terus jadi jelita. Dia mahu kulitnya yang berkedut menjadi mulus. Dia mahu kulit kepalanya yang berlipat menjadi normal dengan rambut ikal mayang persis imejnya di dalam cermin. Dia mahu melihat dirinya jelita tanpa cermin keramat itu. Dia mahu bertambah bangga dipuji dan digilai oleh orang keliling.

Datang pula Cempaka duduk di sebelah Anggerik, menyambung menggumam lagu keroncong yang sama. Mereka berdua sama-sama berjuntai kaki. Kali ini Ramona pula menjadi tidak sabar. Terasa seperti dipermainkan pula oleh kedua-dua gadis itu. Mawar pula masih melayang-layang bermain dengan angin yang mula bertiup agak kencang.

“Cempaka…jawablah soalan Mona tadi.” Rayu Ramona walaupun di dalam hatinya sudah terbit perasaan geram. Namun dia tetap bersabar, kerana hidupnya sudah biasa dengan sikap yang satu itu.

Cempaka tersipu-sipu malu. Merah padam mukanya waktu itu. Dia menutup mulut sambil ketawa kecil. Dia memandang Anggerik yang sedang menjungkit bahu. Dia tahu Anggerik sudah lepas tangan ketika itu.

“Teruna itu…hihihi..” kata Cempaka separuh jalan. Dia menutup mulut lagi. Lalu terus terbang melayang menjauh dari pokok rambutan itu. Ramona mengeluh.

Datang pula Mawar terapung-apung di sebelah kanan Ramona. Ramona mengalih pandang. Terus kedua-dua belah mata Ramona ditutup dengan telapak tangan Mawar. Menggigil lutut Ramona waktu itu. Dia seperti berada dalam keadaan terkejut yang teramat sangat. Akhirnya Ramona terjelepuk di atas tanah.

“Itukah yang dinamakan teruna?” tanya Ramona lemah. Tubuhnya menjadi longlai lalu dia terbaring di atas tanah.

Serentak dengan itu, ketiga-tiga gadis itu ketawa terkekek-kekek. Mereka seperti menari-nari di udara. Seronok benar mereka dapat membuat Ramona menjadi lemah lutut begitu. Mawar tadinya memberi imbasan penuh apakah yang dimaksudkan dengan teruna kepada Ramona. Dalam bayangan Ramona jelas terlihat bagaimana hubungan intim antara lelaki dan perempuan berlaku.

Kerana itulah lemah lutut Ramona. Kerana itulah juga dia rebah terbaring di atas tanah. Tidak disangka itulah maksud teruna. Langsung tidak disangka sama sekali. Berderau darahnya ketika itu, dadanya berombak kencang. Ternyata dia terkejut. Terpejam-pejam  matanya cuba membuang imej yang  dimasukkan ke dalam  kepalanya oleh Mawar tadi. Ramona akhirnya hanya mendiamkan diri tidak tahu sama ada mampukah dia mengambil teruna seorang lelaki.

Seorang sahaja pun sudah payah begitu, inikan pula entah berapa banyak bilangan  yang perlu diambilnya. Ramona menjadi cemas tak menentu.

*****

Ramona kembali ke rumah Wak Shoib pada hari berikutnya. Dia kembali berseorangan. Laila,  sejak dari subuh telah pergi entah ke mana. Memang sudah menjadi perkara  lazim tentang  ibunya, Laila. Datang tanpa diberitahu perginya juga tanpa meninggalkan pesan. Ramona sudah terbiasa dan dia sedikit pun tidak ralat. Lebih-lebih lagi kini dia sudah mempunyai  tiga orang kawan akrab yang sentiasa menemaninya.

Rumah tua itu kelihatan semakin usang. Daun-daun kering berserakan sehingga ke tangga rumah. Selayaknya kelihatan seperti rumah tinggal. Sunyi sepi tanpa sebarang  pergerakan di dalam rumah. Ramona tahu   bapaknya Wak Shoib  sudah lama meninggalkan kampung. Ke mana perginya lelaki tua itu, dia sdr belum mendapat khabar berita.

Ramona duduk berteleku di anak tangga  kedua, memerhati sekitar halaman rumah. Pokok-pokok  bunga sudah banyak yang tinggal batang layu. Sudah tiada seri, tidak seperti  dahulu. Dia teringat  pada seraut wajah mulus milik arwah emaknya, Mbah Wedok. Betapa dia merindui belaian wanita tua itu. Belaian yang sentiasa ikhlas dari hati. Dalam diam dia tidak  sedar  matanya  bertakung  dengan  air jernih.

Tiba-tiba dia mendengar derap langkah menuju ke halaman rumah. Langkah yang teratur tetapi laju. Ramona mendongak seraya menunggu siapa yang bakal muncul. Kebiasannya, dia akan menyorok dan menikus, tidak mahu dilihat sesiapa. Kali ini, duduknya dirapikan supaya kelihatan lebih manis. Tiada langsung rasa panik di dalam hatinya ketika itu.  Entah kenapa sejak kehadiran ketiga-tiga  gadis pendamping di dalam hidupnya, dia menjadi lebih berkeyakinan. Hatinya sukar untuk menjadi gentar, jauh untuk menjeruk rasa seperti dulu.

“Assalamualaikum..” seseorang  memberi salam. Ramona menoleh ke kanan. Kelihatan  seorang  pemuda tinggi  lampai berkulit sawo matang  sedang tersenyum manis memandangnya. Ramona  membalas senyum. Salam dijawab penuh hormat. Lelaki itu kekal berdiri memandangnya seolah-olah sedang takjub dengan kecantikan yang dilihat di depan mata. Tidak berkedip dia memandang Ramona.

Ramona kelu lidah. Ini kali pertama dia berdepan dengan seorang lelaki. Mata mereka bertatapan, secara spontan bibirnya mengukir senyum. Lelaki itu akhirnya berkalih pandang seraya berdehem perlahan. Ramona rasa kagum dan bangga di dalam hati, kerana dari pandangan matanya, dia tahu lelaki itu sudah jatuh hati kepadanya.

Dia tahu lelaki itu sudah terkena panahan kejelitaannya. Masakan tidak, dari cara lelaki itu mengalih pandang, dia sudah kejantanan lelaki itu sudah tergugat. Beberapa kali juga lelaki itu berdehem, mungkin mahu mencuri masa atau masih memikir apa yang mahu dikata.

“Mahu apa?” akhirnya Ramona memulakan bicara. Lelaki itu nampak terkejut.

“Err…hurmm,” hanya itu jawapan yang keluar dari bibir lelaki bertubuh sasa itu.

Ramona tersenyum lagi menampakkan baris giginya yang putih dan tersusun. Dia dengan sengaja membetulkan kebaya yang dipakainya di bahagian dada. Sempat dia mengerling lelaki yang masih berdiri itu, dia perasan lelaki itu cepat-cepat memandang ke arah lain apabila perasan Ramona menjeling. Ramona ketawa kecil.

Memang benar kata-kata Laila, sesiapa sahaja yang memandangnya pasti tidak akan berkalih pandang  dari terus menatap dirinya. Ramona rasa terhibur, hatinya berbunga  setaman. Lalu dia mengukir senyuman lebih manis dan mesra.

“Err..ini rumah Wak Shoib?” tanya lelaki itu gugup. Dia meramas-ramas tangannya, mungkin untuk menghilangkan rasa gemuruh di dalam  dada.

Ramona mengangguk  lembut. Dia tidak menjawab walau sepatah.

“Mona..ini calon yang sesuai buat kamu..dia masih teruna.” Kata Mawar di cuping telinganya. Ramona terasa gelihati namun agak gugup dengan saranan Mawar itu tadi. Ramona bingkas bangun. Dia melangkah gemalai menuju ke arah lelaki tersebut yang masih lagi gugup. Jelas terpancar di raut wajah lelaki itu yang sebenarnya dia sudah lemah dengan gadis di depannya itu.

“Saudara ini siapa?” tanya Ramona dengan nada halus. Lelaki itu seperti terpukau. Anak matanya membesar memerhati  setiap gerak-geri Ramona.

“Err..Saya dari kampung sebelah, datang mahu berjumpa dengan Wak. Wak itu guru saya dahulu.” Jawab lelaki itu dengan perlahan.

Tiba-tiba  pintu utama rumah terkuak. Tiada angin tiada ribut, entah apa yang membuatkan daun pintu itu boleh terbuka dengan sendirinya. Lelaki itu agak terkejut namun dia masih menatap seraut  wajah mempesona dihadapannya.

Mawar, Anggerik dan Cempaka ketawa mengekek mengelilingi lelaki itu. Ramona pula sedaya upaya cuba mengawal memek mukanya daripada turut sama ketawa. Dia tahu semua itu kerja mereka bertiga. Masakan pintu kayu berat dan padu yang dikunci rapi boleh terbuka begitu sahaja.

“Jemput dia masuk ke rumah.” Saran Anggerik. Ramona masih teragak-agak  apa yg perlu dibuatnya waktu itu.

Cempaka pula secara tiba-tiba meniupkan sesuatu di leher lelaki itu. Lelaki itu berdehem-dehem tidak selesa. Dia menggosok-gosok  tengkuknya.

“Saudara  haus?” tanya Ramona lembut.

Lelaki itu mengangguk malu. Dia menundukkan sedikit kepalanya tetapi masih lagi sempat melihat ke dalam anak mata Ramona ketika itu.

“Marilah masuk ke rumah. Nanti saya sediakan air untuk saudara.” Ajak Ramona mesra. Kali ini dia sudah berani mengambil peluang. Ketiga-tiga gadis pendamping bertepuk tangan terlalu gembira. Mahu sahaja Ramona menjerit bersama mereka, tetapi lari pula lelaki itu nanti memandangkan hanya dia sahaja yang boleh melihat ketiga-tiga mereka.

Sempat juga Ramona menjeling mereka bertiga dengan jelingan yang penuh makna, tetapi jelingannya disalah anggap oleh lelaki itu. Hati lelaki berbunnga, dia merasa gugup tetapi dalam masa yag sama rasa teruja membuak-buak di dalam dada. Dia sudah hilang rasional tidak mampu berfikir panjang. Langkahnya teratur mengekori Ramona naik ke atas rumah.

“Ambil teruna dia, Mona..ambil.” Anggerik bersorak kuat seperti ketua pasukan sorak bersorak untuk pasukan bola jaring sekolah. Dia dengan perangai gila-gilanya sejak dari tadi bertindak sebagai batu api. Disokong pula oleh Mawar dan Cempaka yang masing-masing masih lagi bertepuk tampar keriangan.

Ramona gugup tetapi teruja. Dia mahu melanjutkan usahanya untuk kekal jelita. Jadi, apa yg perlu dilakukan akan tetap dilakukannya. Dia tidak peduli.

*****

Sebaik sahaja Megat naik ke atas rumah Wak Shoib tadi, sebenarnya dia semakin rasa terpukau dengan kecantikan Ramona. Gadis jelita yang dilihatnya dari halaman rumah sahaja tadi, kini benar-benar di depan mata, hanya berjarak satu atau dua meter sahaja. Gadis itu bukan setakat jelita, malah ada pesona yang akan memukau mana-mana lelaki yang melihatnya. Bau tubuhnya juga sangat harum. Sekilas dia menjeling ke lurah baju Ramona. Ramona yang berkebaya pendek dengan kain batik lepas yg diikat rapi melepaskan rambutnya yang panjang dan hitam berkilat.

Sengaja digoyang-goyangkan kepalanya ke kiri dan ke kanan untuk mendapat perhatian dari Megat. Ternyata dia berjaya. Megat tidak berkalih pandang sama sekali.

“Apa yang saudara mahu dari bapak saya?” tanya Ramona seraya membongkok menampakkan alur punggungnya untuk mengambil gelas di dalam almari. Dia kemudiannya memusing kepala  melihat kepada Megat yang sedang menelan air liur.

“Ermmm..sudah lama tidak mendengar berita dari Wak.” Jawab Megat gugup. Ramona mengangguk kepala. Dia menuang air putih dari dalam kole ke dalam gelas yang berhabuk. Rumah itu sudah setahun tidak berpenghuni, masakan gelasnya tidak menyimpan habuk. Tetapi Megat tidak nampak semua itu.

Dia mendatangi Ramona perlahan-lahan. Bahu gadis itu disentuh lembut. Ramona sudah tersenyum lebar sampai ke telinga waktu itu. Godaanya berjaya. Dia berjaya melumpuhkan iman seorang lelaki bernama Megat.

“Namamu?” soal Megat seraya merenung ke dalam anak mata Ramona yang hitam. Tangan Megat kini mengelus lembut rambut Ramona yang panjang berkilat.

“Ramona..saudara boleh panggil Mona saja.” Jawab Ramona manja.Gadis-gadis  pendamping turut sama ketawa. Suasana menjadi hening apabila Megat sekadar tercegat  menelanjangi wajah jelita Ramona.

Ramona menghulur gelas yang berisi air dari dalam kole. Air berkeladak dengan beberapa ekor kutu kayu mati terapung di dalamnya. Megat menyambut gelas itu lalu terus diteguknya. Berubah wajah lelaki itu semasa mahu menelan air tersebut. Namun sentuhan jemari Ramona yang mengena tangannya membuatkan dia lupa peliknya rasa dan bau air yang ditelan itu.

“Mahu lagi?” tanya Ramona lembut. Megat mengangguk laju.

“Haus ya?” tanya Ramona seraya ketawa kecil. Dia menuang lagi air dari dalam kole ke dalam gelas yang sama. Kali ini gelas tersebut disua ke bibir Megat. Dengan senyuman Megat menelan air berkeladak itu, dengan beberapa ekor serangga mati di dalamnya.

“Lagi?”

“Haus lain..” perlahan saja suara Megat menjawab.

Ramona ketawa kecil. Tangan Megat yang berurat dicapai lalu digenggamnya erat. Megat terkaku, sentuhan Ramona benar-benar membuatkan dia spontan mahu rebah. Ramona membawanya masuk lebih jauh dari kawasan ruang tamu itu. Mereka melangkah  menuju ke dalam bilik. Tanpa banyak soal Megat menurut.

*****

CSI-RAMONA ~BAB 14~

BAB 14

Rusdi sibuk dengan segala macam barang-barang persiapan yang perlu disediakan bagi upacara malam ini. Dia merenung ke arah letaknya kain pelikat Tok Anjang, sehelai rambut beruban Mak Mah yang dililit di lidi penyapu serta pakaian dalam arwah isterinya dahulu, Hasnah.

Rusdi adalah Rashid, yang hilang di dalam hutan berbelas tahun yang lalu. Dia terimbau kenangan yang amat menggilakan sewaktu hari kelahiran Ramona dahulu. Bagaimana dia kehilangan isteri tercinta. Masih lagi terngiang-ngiang suara Hasnah yang merayu meminta nyawa kerana dibelasah teruk waktu itu.

Dia hilang akal. Dia hilang hidupnya dan kini dia hilang jiwa. 15 tahun yang lalu, Laila menemuinya terikat di perdu pokok tualang kerana diikat oleh Sulaiman. Laila yang entah muncul dari mana menghulur bantuan. Dia yang pada waktu itu sudah mula sedar, menyambut huluran bantuan Laila dengan sepenuh hati. Laila yang cantik, Laila yang pandai menggoda, Laila yang nampak sangat baik hati. Rashid benar-benar hilang pedoman waktu itu.

“Mari..aku bawa kau ke rumahku.” Ajak Laila lembut. Rashid masih boleh mengingati peristiwa itu dengan jelas. Tangan Rashid ditarik kemas. Rashid yang belum lagi sedar sepenuhnya cuba untuk mengikut naluri.

Nalurinya memberitahu Laila bukan sebaik yang disangka. Laila bukan secantik yang dilihat. Laila bukan semanis senyumannya dan seghairah godaannya. Rashid tahu semua itu kerana dia juga manusia berilmu. Tetapi mungkin kerana kesedihan yang dirasa akibat perbuatannya sendiri terhadap Hasnah atau rasa bersalah akibat meninggalkan Hasnah yang sudah tidak menguit mengaburi percaturannya. Akhirnya Laila berjaya. Rashid dengan tidak berfikir panjang terus mengikut langkah Laila tanpa banyak soal.

“Sebentar lagi kita akan sampai ke rumah Laila.” Laila berkata lembut. Ditarik tangan Rashid supaya melangkah dengan lebih pantas. Rashid mengikut sahaja. Dia menebarkan pandangan. Tiada apa di hadapannya kecuali pokok-pokok besar dan tinggi, serta rimbunan tumbuhan renek yang menyukarkan langkahnya.

Tiada denai yang menjadi panduan Laila. Buta-buta sahaja dia meredah hutan rimba yang tebal itu. Terkial-kial Rashid mahu mengikut langkahnya. Sekejap-sekejap dia tersadung akar kayu yang berselirat di lantai hutan.

Tidak seperti Laila, langkahnya teratur seperti sedang melayang sahaja tidak jejak ke tanah. Laila mencari tangan Rashid lalu digenggamnya erat. Rashid menoleh ke belakang untuk melihat denai yang mereka lalui tadi. Namun tiada apa. Pokok-pokok renek itu masih sama, seperti langsung tidak terusik atau dipijak-pijak olehnya. Rashid menjadi pelik namun tangan Laila yang lembut dan sejuk membuatkan hatinya tidak mahu berfikir yang bukan-bukan.

Sehingga kini, sudah 15 tahun dia menjadi orang suruhan Laila. Itulah hutang yang terpaksa dibayar akibat menerima bantuan Laila. Terpaksa menukar nama menjadi Rusdi. Itu pun atas arahan Laila. Dia tidak tahu siapa Laila. Dia tidak pernah nampak kelibat atau wajah Laila sebelumnya. Dia tidak tahu mengapa Laila hidupnya di dalam hutan. Dia juga tidak tahu bagaimana Laila boleh hidup dengan harimau di dalam hutan tebal seperti itu.

Apa yang dia tahu, Laila tidak pernah berubah sejak dulu lagi. Malah Laila semakin cantik berganti tahun. Lidahnya  sentiasa  kelu bila berdepan dengan Laila. Dia mahu marah, dia mahu menengking, dia mahu meluah rasa sakit hati atau benci, namun dia seperti terikat. Dia sentiasa akur, tidak pernah dapat membentak walau di dalam hati dia sudah menjerit-jerit menyumpah wanita itu. Entah apa yang mengikat dia tidak  tahu. Namun jauh di lubuk hati, Rashid yakin Laila bukan seperti yang dilihat mata kasar . Laila benar-benar sesuatu..

Rashid melepaskan keluhan berat dari dalam dada. Dikerling tubuh fizikal Ramona yang masih berbaring  di ruang  tamu. Kenapa tidak mati sahaja anaknya  itu dulu? Dengan adanya gadis itu di depan mata, seolah-olah mengejek dirinya. Rashid kabur dalam jiwanya yang kosong. Rashid buta dalam iman yang tidak bersisa.

*****

Ramona menggigil kesejukan, terketar-ketar bibirnya menahan sejuk yang menusuk sehingga ke tulang hitam. Giginya berlaga sesama sendiri kerana kedinginan yang melampau. Dia berpeluk tubuh, tapi apalah yang dapat dihangatkan sekiranya tubuhnya sendiri tidak berlapik sebarang kain waima sehelai benang pun.

Laila dan Rusdi sudah lama meninggalkan dia di kawasan sungai itu. Dia ditemani pantulan cahaya bintang yang berterabur di kaki langit. Bayang-bayang pepohonan hutan yang besar dan tinggi dilihat begitu menakutkan. Ditambah pula dengan bunyi-bunyian yang pelik di sekelilingnya, menambahkan lagi getar hati Ramona.

Arus sungai berbatu itu menerpa kaki Ramona. Dia diarahkan untuk duduk di atas batu di tengah sungai dengan kaki mencecah air sehingga ke paras betis. Angin malam yang bertiup sederhana membuatkan dia membeku ditambah dengan rasa takut yang teramat sangat. Dalam diam dia merintih memanggil nama Laila. Namun rintihannya menjadi rintihan bisu semata. Dia tetap ditinggalkan.

Dari tengah sungai, air sungai yang mengalir laju berubah menjadi pusaran yang besar. Ramona segera menoleh, namun pengihatannya terhad. Dia cuma dapat mendengar bunyi air berpusar dengan agak kuat. Hatinya takut, badannya kaku dan fikirannya hanya satu, lebih baik mati sahaja daripada berdepan lagi dengan situasi begini. Dia sudah tidak sanggup.

Tiba-tiba, muncul beberapa orang gadis terbang melayang ke arahnya. Kain labuh yang dipakai oleh gadis-gadis itu melayang-layang ke kiri dan ke kanan. Kaki mereka tidak mencecah air. Berpakaian serba putih dengan kemasan sanggul di kepala. Ramona terkesima melihat ketiga-tiga gadis tersebut. Yang kecantikan mereka mengalahkan kecantikan Laila, atau Hasnah, dua orang wanita yang sangat cantik pada pandangan matanya setakat ini.

Ramona menutup dadanya, terasa malu pula dia berkeadaan seperti itu. Terasa rendah diri dengan kehodohan dirinya. Hilang sudah rasa takut di hati, berganti dengan rasa kagum dan seronok melihat kecantikan dan kejelitaan mereka bertiga.

Gadis yang pertama terapung di depannya, gadis kedua terapung di sebelah kanan dan yang ketiga terapung di sebelah kiri. Masing-masing tidak berkata apa, tetapi mengukir senyum di bibir. Ramona ikut membalas senyuman. Dia rasa terbuai dengan apa yang terhidang di depan matanya kini.

Pada masa itu juga bulan yang ditutupi awan dari tadi muncul menerangi kawasan tersebut. Semakin jelas penglihatan Ramona melihat ketiga-tiga gadis tersebut. Walaupun mereka terapung-apung, hati Ramona sedikit pun tidak gentar. Kerana yang muncul malam ini bukan berwajah hodoh dengan bau yang busuk. Gadis-gadis terapung ini membawa sekali bau haruman yang sangat wangi. Ramona berasa selesa.

Gadis di depannya menghulur tangan, Ramona menyambut tanpa teragak-agak. Gadis itu menarik Ramona masuk ke dalam sungai. Juga Ramona akur tanpa banyak soal, malah hanya menurut apa kemahuan gadis tersebut. Manakala yang di kiri dan kanannya juga mengikut Ramona dan terapung kembali di bahagian sisi gadis hodoh itu. Gadis pertama menyentuh lembut kepala Ramona lalu dia menolak Ramona lebih dalam lagi ke dalam sungai. Sehingga tercungap-cungap gadis itu mencari nafas. Gadis-gadis di sisi Ramona kembali melayang-layang di sekeliling Ramona dengan ketawa halus dan panjang.

Angin menjadi mati. Suasana menjadi hening. Tiada langsung bunyi penghuni rimba pada waktu itu. Hanya bunyi arus sungai menerjah batu yang kuat kedengaran. Bunyi-bunyian di sekeliling Ramona juga turut hilang. Ketawa kedua-dua gadis itu semakin panjang dan kuat. Ramona tidak berasa gentar walaupun dia seperti sudah mahu putus  nafas dibuat gadis pertama.

“Namamu Ramona?” tanya gadis yang menolak kepalanya ke dalam sungai. Ramona mengangguk penuh kepayahan. Gadis itu mengukir senyuman. Manis tetapi menyeramkan.

“Namaku Mawar, yang bersanggul emas itu namanya Anggerik dan yang bersanggul perak itu namanya Cempaka. Kami bertiga akan menemani kamu sehingga kamu sembuh seperti manusia lain.” Terang gadis pertama yang bernama Mawar itu. Ramona sudah tidak berendam di dalam sungai lagi. Dia sudah duduk di batu yang sama dengan berkemban kain pelikat Tok Anjang.

Pelik dari mana datangnya kain pelikat itu. Tahu-tahu sudah sedia ada di atas batu besar itu. Namun Ramona malas mahu memikirkan semua itu. Dia masih kagum dengan kata-kata Mawar tadi. Tubuhnya juga tidak sesejuk tadi. Terasa hangat dibungkus  oleh kain pelikat.

Anggerik mengambil sesuatu dari atas batu. Sehelai rambut yang dililit di atas sebatang lidi penyapu pendek. Rambut tersebut dimasukkan ke dalam mulut. Anggerik terbang tinggi ke udara dan tak lama selepas itu dia menjunam ke arah kepala Ramona yang berambut nipis. Ditekap telapak tangannya ke atas ubun-ubun kepala Ramona. Sesuatu yang bercahaya terbit dari telapak tangan Anggerik. Ramona seperti biasa sahaja, seperti tiada impak atas perlakuan Anggerik  itu tadi.

“Mona tak mahu jadi seperti manusia biasa. Mona mahu jadi lebih cantik dari ibu Hasnah atau ibu Laila.” Kata Ramona jujur. Mawar ketawa besar. Begitu juga dengan Anggerik dan Cempaka. Ramona menjadi terpinga-pinga dengan respon ketiga-tiga gadis itu.

“Mahu lebih cantik dari Laila dan Hasnah?” tanya Cempaka. Ramona mengangguk laju.

“Kamu tidak boleh bercinta, tidak boleh mencintai dan tidak boleh membenarkan dirimu dicintai. Itu syaratnya.” Terang Cempaka dalam samar-samar cahaya bulan. Sekali lagi Ramona mengangguk setuju. Terlalu naif gadis itu menilai cinta.

“Mona turutkan syarat tersebut. Ibu Laila juga sudah acapkali mengingatkan Mona tentang syarat itu. Mona boleh lakukan, asalkan Mona jadi cantik dan tidak dihina lagi.” Kata Ramona penuh yakin.

“Kamu berjanji akan menerima segala keburukan jika kamu ingkar akan janji kamu?” tanya Mawar dalam nada yang tegas dan keras.

“Mona berjanji.”

Zasssss!!!!

Sesuatu mengalir dari leher Ramona. Dia terasa pedih dan sakit tetapi dibiarkan sahaja kerana mahu menunjukkan betapa dia kuat menahan segalanya. Dia benar-benar mahu keluar dari sumpahan hodoh ini biar apapun yang berlaku. Dia nekad menerima segalanya.

Mawar datang mendekat. Kepalanya berada di leher Ramona. Ramona terasa seperti ada lidah yang menjilat tengkuknya. Dia terasa pedih dan seperti sedang dihisap oleh Mawar. Kemudian Anggerik pula dan akhir sekali Cempaka juga berbuat seperti apa yang dibuat Mawar tadi. Ramona menjadi agak lemah kerana dihisap darahnya oleh ketiga-tiga gadis itu.

Namun, selepas beberapa ketika dia merasa panas yang teramat sangat, seolah-olah dia sedang berjemur di bawah cahaya matahari yang sedang tegak di atas kepala. Dia segera melucutkan kain pelikat yang dipakainya dan terus merendamkan badan ke dalam sungai. Gadis-gadis itu pula melayang-layang dengan gelak ketawa sesama mereka. Penghuni rimba kembali bersahut-sahutan. Meriah suasana di sekitar kawasan sungai itu. Ramona bermain air dengan ketiga-tiga gadis tersebut. Dia seperti menjadi Ramona yang baru. Ramona yang tidak gentar menghadapi hidup. Ramona yang lain sehingga dia sendiri tidak kenal siapa dia waktu itu.

*****

“Cantiknya anak ibu, bangun sayang, bangun.” Laila mengejutkan Ramona dari tidurnya yang lena. Ramona terpisat-pisat membuka mata. Silau mentari yang menyusup masuk dari celah papan pondok menyakitkan matanya.

Di depannya, Laila duduk bersimpuh dengan senyuman lebar ke telinga. Ramona menjadi pelik kerana sudah agak lama dia tidak diberi perhatian yang sebegitu rupa dari Laila. Ramona melihat sekeliling, dia seperti kenal tempat dia berbaring itu. Pastinya bukan di dalam rumah di tengah hutan.

“Iya sayang, anak ibu di pondok lama kita dulu.” Laila seperti dapat menebak apa yang ada di hati Ramona. Ramona mengangguk sambil tersenyum. Dia melihat dirinya, sama seperti dahulu juga.

Hatinya terasa sebal dan sedih namun tiada airmata yang mampu terbit. Dia takut dimarahi Laila. Dia takut Laila pergi darinya seperti yang pernah berlaku dahulu. Jadi Ramona hanya mendiamkan diri. Dalam hatinya dia berasa sangat marah selepas apa yang dialami dan dihadapinya, dia masih lagi Ramona yang sama. Dalam melayan amarah di hati, dia tidak sedar dia juga sudah berubah.

“Apa yang ibu buat pada Mona? Mona tak cantik pun, bu..Mona tetap hodoh.” Akhirnya tercetus juga rasa sebal di hati. Laila sedikit tersentak mendengar hamburan kata-kata  Ramona. Namun akhirnya dia mengukir senyum.

“Kenapa ibu tersenyum?? Ni tengok kulit Mona ni, masih berkedut-kedut!” kata Ramona dengan penuh emosi. Dia jadi tidak sabar apabila melihat senyuman Laila yang dirasakan sedang mengejeknya.

Laila bangun lalu pergi ke dinding yang tergantung cermin besar dan antik itu. Diangkat cermin itu lalu dibawa ke depan Ramona. Ramona malas mahu memandang, dia melabuhkan pandangan ke arah luar pondok yang agak semak dengan rumput dan pokok-pokok pisang.

“Tengok ke dalam cermin, sayang.” Kata Laila lembut. Ramona masih buat tidak endah. Dia hanya membatu diri dan mengeraskan tubuh.

“Rugi tahu kalau Mona tak dengar cakap ibu.” Pujuk Laila lagi. Dia menyentuh bahu Ramona yang kekal membatu diri. Diusap-usap bahu anak gadis itu.

Akhirnya Ramona menoleh. Bukan kepalang terkejutnya dia apabila melihat imej di dalam cermin itu. Betapa cantik wajahnya. Dengan mata yang bundar tetapi galak, dengan alis mata dan kening yang terbentuk kemas, hidungnya mancung dan bibirnya merekah bak delima ranum. Ramona berkalih memandang Laila yang terus-terusan tersenyum.

“Semua yang memandang Mona selepas ni akan melihat Mona yang di dalam cermin ini sayang..jadi jangan khuatir lagi.” Ujar Laila sambil melihat ke dalam anak mata Ramona.

“Tapi..Mona nampak Mona masih macam dulu lagi, bu. Mona tak akan sembuh ye bu?” tanya Ramona ingin tahu. Laila menggeleng kepala lembut.

“Mona bukan tidak sembuh langsung,” jawab Laila lembut.

“Ada sesuatu yang Mona perlu lakukan untuk menjadi kekal seperti di dalam cermin ini.” Jawab Laila. Segera Ramona bertanya apakah yang perlu dilakukannya.

“Mona perlu mengambil teruna lelaki.” Jawab Laila dengan kata-kata yang sangat mencurigakan.

“Teruna?”

“Ya sayang..teruna, tapi Mona tak boleh jatuh cinta.”

“Teruna tu apa bu?”

“Hihihi…nanti Mona tahu sendiri.” Jawab Laila dengan ketawa yang masih belum berhenti. Ramona hanya mendiamkan diri. Di dalam hati, perkataan teruna disebut berulangkali.

Dia seronok melihat imejnya di dalam cermin. Terasa tidak sabar pula dia mahu mengambil teruna lelaki walaupun dia masih tidak tahu apakah maksudnya syarat yang satu itu. Matanya masih tertancap pada imejnya sendiri di dalam cermin. Laila sudah tidak dipedulika. Dia menyentuh pipinya, hidungnya, bibirnya tanpa henti.

Laila meninggalkan Ramona bersendirian. Nekadnya hanyalah satu, dia mahu kecantikan yang dilihatnya terzahir menjadi miliknya yang kekal. Dia tidak kisah apapun syaratnya. Kecantikan dan kejelitaannya yang melebihi kecantikan Hasnah dan Laila sangat mengujakan hatinya. Dia tidak takut, dia tidak gentar. Walaupun dia belum tahu apakah teruna yang Laila maksudkan.

*****

CSI-RAMONA ~BAB 13~

BAB 13

“Rashid??” Mak Mah terkejut bagai ternampak hantu. Sudah berbelas tahun sejak Rashid menghilangkan diri. Pagi ini wajah menantunya itu terjengul di muka pintu dapur.

Rashid di luar rumah tersenyum serba salah. Dia tahu banyak dosanya pada keluarga mertuanya itu. Tetapi hari ini, dia rasa sudah sampai masa untuk dia pulang. Walaupun entah apa tindakan yang bakal diterimanya nanti. Tok Anjang mungkin boleh membunuhnya saat pertama mereka bertentang mata. Itu kemungkinan terburuk yang boleh difikirkan, namun dia sanggup menerima apa sahaja.

“Abang.!” laung Mak Mah yang masih lagi terkejut tidak percaya. Pintu rumah masih lagi separuh terbuka. Tidak dijemput Rashid untuk masuk ke dalam rumah.

“Abang..ni..” kata-kata Mak Mah tergantung di situ.

Rashid terus memegang kayu pintu. Dia menghalang Mak Mah dari memanggil Tok Anjang turun ke dapur. Dia tahu Tok Anjang ada di anjung rumah, sudah diintainya tadi. Kerana itulah dia ke dapur untuk mencari ibu mertuanya dahulu. Walaupun sanggup menanggung risiko, dia belum bersedia berdepan dengan bapa mertuanya itu.

Mak Mah terpempan seketika. Dia membiarkan Rashid membuka pintu dapur seluasnya. Namun lelaki itu masih kaku berdiri di luar rumah. Rashid memandang wajah Mak Mah dengan mata yang sayu. Ada sesuatu yang tersekat di kerongkongnya.

Mak Mah menyapu airmata yang tidak dapat tidak keluar juga akhirnya. Walaupun kejadian pada hari kematian Hasnah masih belum berjawab, tetapi apabila Rashid muncul dia merasakan jawapan pada misteri pada hari itu akan terjawab juga. Hati tuanya akan lega bila semua perkara menjadi jelas. Biarlah dia dapat jawapan sebelum matanya tertutup untuk selamanya.

“Kau nak masuk, Rashid?” tanya mak Mah dalam sendu. Rashid menggeleng kepala perlahan. Sesekali dia melihat ke tangga tengah takut-takut Tok Anjang muncul tanpa diduga.

“Tak apa lah mak..hurmm, saya datang ni ada tujuan.” Kata Rashid perlahan.

Suasana menjadi hening. Rashid menunduk wajah serba salah untuk meminta bantuan orang tua yang sudah lama ditinggalkan tanpa sebarang alasan. Mak Mah membulatkan biji mata. Geram juga dengan sikap lelaki itu yang muncul selepas sekian lama tetapi mempunyai tujuan tertentu rupanya. Bukannya mahu meminta maaf atau paling tidak bertanya khabar.

Rashid masih menunduk. Entah apa yang ada di dalam hati lelaki itu sukar untuk ditebak. Dia seperti sedang memikirkan sesuatu yang jauh. Wajah Rashid sudah agak dimakan usia. Walaupun dia tidak terlalu tua tetapi garis kedut di kening dan di dahinya menampakkan dia lebih tua dar iusia sebenar.

“Mak..anak saya dengan Hasnah sedang sakit.” Ucap Rashid perlahan. Dia tidak jadi menyambung kata. Dipandang wajah ibu mertuanya itu terlebih dahulu. Mak Mah sudah mengurut dada pada masa itu. Airmata semakin banyak merembes keluar, terkejut bukan kepalang mendengar kata-kata dari mulut Rashid.

Anak Hasnah? getus hati kecil Mak Mah.

“Anak kau Rashid? Kau tahu pasal Ramona?” Mak Mah menggigil mahu bertanya dengan lebih lanjut. Dicapainya kerusi kayu yang tidak jauh dari pintu dapur lalu dilabuhkan punggungnya. Dia tidak dapat bertahan kerana terasa lemah lututnya pada masa itu.

“Ramona, mak? Saya tak tahu siapa Ramona.” Jawab rashid kehairanan.

Mak Mah semakin terkejut. Teringat kata-kata Tok Anjang yang mengatakan Rashid membawa pergi anak Hasnah yang sebenarnya.

“Anak kau dengan Hasnah ke Rashid?” tanya Mak Mah sayu. Rashid mengangguk lemah.

“Saya bawa lari cucu mak, maafkan saya, mak.” Sayu suara Rashid. Dia memandang wajah Mak Mah dengan pandangan pilu dan sayu.

“Jadi, bayi yang ada di dalam bilik waktu itu, bukan anak kau ke Rashid?” menggigil suara Mak Mah bertanya.

“Saya tak faham apa mak cakap ni, mak. Bayi mana?” jawab Rashid dengan tanda tanya dalam nada suaranya.

Mak Mah mahu memanggil Tok Anjang. Pasti Tok Anjang tidak akan mengamuk atau memarahi Rashid kerana telahan orang tua itu tepat. Dia tahu suaminya juga amat merindui cucu tunggal mereka. Namun Rashid menghalang. Dia meminta Mak Mah mendengar kata-katanya terlebih dahulu. Mak Mah akur.

“Nama cucu mak, Haslina, mak..dia sedang sakit sekarang. Orang yang mengubat tu minta saya carikan kain pelikat datuknya yang sudah digunakan dan tak dibasuh lagi. Dengan sehelai rambut mak. Boleh ke saya dapat kan barang-barang tu mak?” tanya rashid seraya merenung ke dalam anak mata Mak Mah.

Mak Mah mahu bertanya cucunya sakit apa, tetapi lidahnya jadi kelu. Dia sekadar mengangguk kepala. Bukan seperti dipukau tetapi Mak Mah jadi tak sabar untuk mendapatkan barang-barang tersebut. Dia tidak bertanya pun di mana cucunya sekarang. Apa yang bermain di mindanya ketika itu, cucunya hidup, cucunya bernama Haslina, bukan Ramona.

“Boleh Shid, nanti mak ambilkan.” Kata Mak Mah laju. Dia bingkas bangun.

“Mak…saya perlukàn pakaian dalam Hasnah, mak.” Tambah Rashid dengan nada serba-salah. Mak Mah yang tidak berfikir panjang hanya mengangguk kepala.

Rashid menunggu di luar rumah dengan rasa tidak sabar. Matanya melingas-lingas melihat sekeliling. Walaupun rumah mertuanya ini jauh dari rumah orang kampung yang lain, tapi risau juga kalau-kalau ada orang kampung yang datang menjengah mahu meminta pertolongan atau mengadu hal.

Sepuluh minit sudah berlalu. Mak Mah memasukkan kesemua barang-barang yang diminta Rashid ke dalam plastik. Dia berjalan ke pintu dapur. Rambutnya yang panjang dan memutih itu ditarik sehelai lalu disentap kuat.

“Nasib baik ada pakaian Hasnah mak tak buang lagi. Kalau ikutkan bapak kau memang semuanya mahu dibakar,” omel Mak Mah seraya menghulur plastik tersebut kepada Rashid. Lelaki itu menyambut dengan tergesa-gesa.

Rashid cuba mengukir senyum namun senyumannya kelihatan janggal. Tiba-tiba sikap Rashid berubah, dia seperti mahu lekas. Jelas dia tidak betah berlama-lama di situ. Kalau ikutkan hatinya mahu sahaja dia berlalu tanpa berkata apa-apa.

Mak Mah mematahkan lidi penyapu sepanjang sejengkal. Rambut putih yang sehelai itu digulung dengan lidi penyapu itu dan kemudian di masukkan ke dalam plastik yang berisi barang-barang milik Tok Anjang dan arwah Hasnah

“Mak jangan beritahu bapak dulu tentang hal ni ye mak. Nanti saya akan bawa Haslina ke sini. Dia boleh duduk di sini.” Rashid menabur janji.

“Benar ni, Shid? Ya Allah!!! gembiranya hati mak ni.” Mak Mah separuh menjerit kerana terlalu bersyukur mendengar janji manis Rashid. Berseri-seri wajah orang tua itu jadinya.

“Cantik ke cucu mak tu?” tanya Mak Mah. Bersinar matanya menunggu jawapan Rashid.

“Cantik mak, Haslina mengikut wajah Hasnah.” Jawab Rashid pendek.

Bukan kepalang gembiranya Mak Mah mendengar jawapan Rashid. Hatinya benar-benar lega.

“Bawa dia ke sini cepat ya, mak rindu sangat.” Pilu suara Mak Mah.

Rashid mengangguk perlahan seraya memberikan senyuman manis kepada orang tua yang sudah jauh dilamun angan-angan. Rashid meminta diri.  Laju orang tua itu mengangguk kepala. Terus Rashid melangkah meninggalkan kawasan dapur rumah Tok anjang. Mak mah menghantar tubuh menantunya itu dengan linangan airmata.

Teringat dia kepada Ramona. Jadi benarlah Ramona itu anak syaitan seperti yang selalu diberitahu oleh Tok Anjang semasa mereka bergaduh. Sudah berbelas tahun pergaduhan tentang Ramona berlarutan. Hati mak Mah dihurung rasa bersalah terhadap sang suami yang sering dilawan cakap. Dengan berat hati pintu dapur ditutup.

“Mah, kau bercakap dgn siapa tadi?” tegur Tok Anjang dari tingkat atas rumah. Tajam matanya memandang wajah isterinya yang sedang terkejut. Pelik dia melihat mata isterinya bengkak seperti baru saja lepas menangis.

Mak Mah menahan sendu sebaik mungkin. Dia tahu suaminya sudah menjangka sesuatu tetapi janjinya dengan Rashid tidak boleh diingkar. Dia takut Tok Anjang mengamuk dan Rashid pula semakin jauh membawa lari cucunya.

“Si Usop minta pinjam beras tadi. Kesian saya dengan Si Melah tu bang.” Jawab Mak Mah penuh yakin. Hidup Melah memang payah. Sudah biasa anak Melah, si Usop datang ke rumah untuk meminjam beras secupak dua.

“Hurmm..yelah! Bawakan aku tuala. Aku nak mandi.” Tok Anjang terus bergerak masuk ke bilik air. Mak Mah menarik nafas lega. Lantas dia berlalu masuk ke bilik mahu mengambil tuala bersih untuk Tok Anjang. Tanpa sedar, bibirnya mengukir senyum.

*****

Ramona membuka mata. Silau matahari membuatkan matanya berpinar. Terasa seperti sudah lama benar dia tidur. Bangunnya dengan tubuh yang segar, seperti apa yang dialaminya hanya mimpi ngeri di waktu tidur. Di melihat sekeliling. Tiada siapa yang menemaninya. Tubuhnya sudah berselimut sehingga ke paras dada.

Dia mencari-cari kelibat ibunya, Laila. Tetapi bayang wanita cantik itu tidak kelihatan dalam jarak pandangannya. Ramona cuba bangun, tetapi apabila mendengar derap langkah dari arah dapur, dia kembali berbaring dan menutup mata. Dia takut mahu berdepan dengan sesuatu yang masih menghantuinya. Biarlah yang datang itu bukan lagi makhluk-makhluk yang menyeramkan yang mengganggunya sejak tiga hari yang lepas.

Jantung Ramona berdegup kencang. Dia membuka sedikit kelopak matanya. Derap langkah kaki itu semakin mendekat, tetapi gadis itu masih takut untnk membuka luas matanya. Dia masih menanti, kedua-dua tangannya yang berada di dalam selimut diramas-ramas dengan hati yang gemuruh.

“Dah kau sediakan barang-barang yang aku perlukan itu, Rusdi?” suara Laila kedengaran bersama derap kaki yang semakin mendekat. Tiada sebarang sahutan dari orang yang dibuat lawan bercakap.

“Malam ini malam penentuan, aku mahukan semuanya siap sedia.” Suara Laila begitu tegas. Kali ini terdengar suara lelaki menyahut untuk mengiakan. Ramona pasti itu adalah suara abang Rusdi.

Ramona membuka matanya kali ini kerana yakin Laila yang datang menghampirinya. Benar telahannya, wanita cantik yang menjadikan dia seorang manusia yang mempunyai ibu melangkah  dengan senyuman yang memenuhi bibir. Laila dengan langkah melenggang-lenggok hanya tersenyum memandang Ramona yang masih lagi berbaring.

“Bagaimana keadaan anak ibu sekarang?” tanya Laila lembut setelah dia melabuhkan punggung di sisi Ramona. Ubun-ubun kepala Ramona diusap penuh kasih. Akhirnya dia mencium dahi gadis itu dengan penuh kelembutan.

“Ibu..Mona takut sangat bu..ada banyak benda dalam hutan yang mengganggu Mona.” Adu Ramona penuh perasaan. Laila yang mendengar sekali lagi tersenyum lebar. Kepala Ramona diusap lagi, tanda kasih yang tak terperi. Terpejam-pejam mata Ramona melayan sentuhan dan belaian kasih seorang ibu. Hatinya menjadi sayu.

“Ibu pernah pesan pada Mona, kalau mahu sembuh hati mesti kuat dan tidak memungkiri janji. Mona ingat tidak?” tanya Laila dengan suara yang seakan berbisik. Ramona mengangguk kepala laju, tanda dia tidak lupa akan janjinya dahulu.

Ramona bangun. Laju saja bangunnya kali ini. Tidak payah seperti sebelumnya. Dia tidak perasan perubahan fizikalnya itu. Gadis itu lalu duduk bersila dengan selimut dilekapkan di dada seperti sedang berkemban. Dia memandang ke dalam anak mata Laila untuk mencari sesuatu yang menjadi maksud wanita itu. Laila tersenyum manis, dibalas Ramona dengan senyuman yang lebih manis. Kemudiannya kepalanya didekatkan ke dada Laila. Laila hanya menerima dengan lapang dada.

Suasana di dalam rumah ketika itu menjadi sangat hening. Di luar rumah pula tiada langsung suara ungka atau unggas rimba memecah kesunyian belantara. Waktu itu sepertinya hanya untuk Laila dan Ramona sahaja. Laila masih mengusap kepala Ramona yang masih melekap tidak terpisah dari dadanya.

“Mona benar-benar takut, bu.” Ramona sudah mula mengongoi. Teringat waktu itu betapa sakit seluruh badannya, betapa azab penderitaan yang ditanggungnya.

Teringat pada semua itu, terus dia memegang kepala. Dia menggosok-gosok kepalanya. Laila yang melihat masih lagi tersenyum. Dia tahu kenapa gadis itu menjadi begitu. Dibiarkan sahaja Ramona kalut meraba ke seluruh kepalanya.

Akhirnya gadis itu menangis. Tiada apa yang berubah. Kulit kepalanya masih lagi berkedut-kedut dan berlipat-lipat. Tetapi dia tidak merasa sakit mahupun pedih, sedangkan mahkluk-makhluk berlidah panjang itu menghisap, menjilat kepalanya sepanjang malam. Malahan kuku-kuku yang tajam mencalarkan sebahagian besar permukaan kulit kepalanya.

“Ibu..Mona tak sembuh pun bu..Mona masih hodoh kan bu?” ratap Ramona sayu. Dia menangis teresak-esak bila memikirkan dia masih lagi gadis hodoh yang sama. Laila pula tiba-tiba berubah laku. Dia  kaku, hanya duduk diam membatu.

“Ibu sudah banyak kali beritahu Mona, jangan merungut kalau mahu sembuh. Jangan takut kalau mahu cantik. Jangan berani mungkir janji. Kenapa Mona tak mahu faham?”  marah Laila secara tiba-tiba.

“Tapi…” Ramona cuba menjawab namun dipotong terus hasratnya oleh Laila.

“Bangun!” pekik Laila kuat. Ramona yang tersentak menurut tanpa banyak cakap. Dia pantas bangun mengikut arahan Laila.

“Kamu tak rasa kamu sudah semakin pulih?” tanya Laila dengan nada sinis. Ramona terkebil-kebil biji mata tidak faham.

“Cuba kamu berjalan,” kata Laila lagi.

Ramona memulakan dengan langkah kanan. Kemudian kaki kirinya turun melangkah. Kemudian kanan semula. Gadis itu tersenyum lebar lalu memandang Laila. Dia menyambung langkah, kali ini lebih laju dari yang sebelumnya. Akhirnya meletus tawa dari mulut yang berkedut itu.

“Mona dah boleh berjalan, bu!!” jerit gadis kecil itu.

Ramona tidak sedar dia melompat kegembiraan. Dia tidak perlu bertongkat lagi untuk menampung tubuhnya yang bongkok sabut. Dia sudah boleh berdiri, badannya sudah lurus, dia berjalan dengan mudah malahan dia sudah boleh melompat-lompat. Tubuh Laila akhirnya dipeluk erat, pipi Laila dicium bertalu-talu.

“Ibu tak suka Mona lemah. Mona kena percaya apa yang Ibu buat akan berhasil. Jangan harap Ibu akan cium dan peluk Mona lagi kalau Mona terus lemah begini!” ugut Laila keras. Ramona terdiam.

“Maafkan Mona, bu.”

“Ibu mahu Mona bersedia untuk malam ini. Jangan buat perangai! Jangan takut! Mona mesti percaya pada Ibu,” potong Laila pantas. Matanya mencerlang garang. Ramona menunduk takut. Sejak beberapa hari ini, ibunya Laila bukan seperti yang pernah dikenal sebelumnya.

Ramona mengangguk laju. Kali ini dia tidak mahu merengek, dia sudah semakin percaya kepada Laila. Hatinya bukan tidak pernah dihurung prasangka. Namun atas desakan hati yang dahagakan kasih sayang, dia telan semuanya. Usia yang muda bukan batasan untuk dia tidak memahami semuanya. Wajah Laila dipandang dengan mata yang sayu, tetapi dibalas dengan pandangan kosong oleh Laila.

Sengaja dia melayan Ramona begitu, supaya Ramona jadi lebih cekal berbanding sebelumnya. Airmata yang menitis dari tubir mata Ramona dibiarkan sepi. Ramona mengesat airmata di pipi dengan belakang tangan. Ramona cuba mengumpul semangat untuk terus berdepan dengan semua ini.

Ramona cuba memeluk Laila untuk kali kedua, namun ditolak mentah-mentah oleh wanita cantik itu. Laila lantas meninggalkan Ramona yang agak terpinga-pinga melihat tingkah Laila. Namun itu hanya seketika, dia tersenyum kembali mengenangkan keadaannya yang sudah boleh berjalan laju. Dia menyambung gembira apabila dia sudah boleh mencapai barang-barang yang agak tinggi kerana badannya sudah boleh diluruskan.

CSI-RAMONA ~BAB 12~

BAB 12

Tiba-tiba, salah seekor dari makhluk itu melompat ke atas belakang Ramona yang bongkok. Terkejut Ramona dibuatnya. Makhluk itu melompat-lompat dia atas badan. Ramona terjerit-jerit kerana terlalu takut.

“Mona, jangan bergerak!” arah Laila

“Mona takut bu.” Rengek Ramona separuh menangis.

“Shhhhh…” hanya itu yg keluar dari mulut Laila.

Dia terkumat-kamit membaca sesuatu. Kemudian seekor lagi daripada tujuh ekor makhluk bermata merah itu melompat naik, kali ini bergayut di bahu Ramona pula. Ramona sudah terkencing kerana rasa takut yang teramat sangat. Kemudian makhluk yang ketiga naik ke atas kepala Ramona. Makhluk ke empat bergayut di tangan Ramona manakala makhluk kelima bergayut di kaki Ramona.

Ramona menjerit setiap kali makhluk itu naik dan bergayut di anggota badannya. Tubuh yang sudah sedia sejuk semakin sejuk dengan sentuhan daripàda makhluk kecil bermata merah itu. Dia mahu lari tetapi dia tidak mahu hilang kasih sayang ibunya, Laila. Lalu dicekalkan hatinya menerima semua yg sedang berlaku waktu itu.

Dummmm!!!! Petir berdentum di langit. Serta merta cuaca berubah mendung.Bulan yang tadinya bersinar penuh mula hilang ditutup awan. Suasana bertukar menajdi gelap gelita. Kalau ada yang memerhati, pasti terasa semakin seram melihat tubuh Ramona dengan mata-mata yang semakin merah menyala.

Secara perlahan-lahan, kelima-lima makhluk yang bergayut di tubuh Ramona meresap masuk ke dalam tubuh gadis itu. Menjerit gadis itu menahan sakit. Suaranya cukup kuat sehingga lolongan anjing dan sahutan serigala tenggelam dalam jeritan kesakitan itu.

“Ibu..sakit bu.Sakittt!!!” rintih Ramona di dalam gelap pekat malam. Laila hanya membiarkan sahaja. Tiada kata-kata pujukan seperti selalu.

Aaauuuuuuuuuuu~~~ aaauuuuuuuuuuu~~~ lolongan anjing dan sahutan serigala semakin dekat, seperti berada di sebelah telinga sahaja. Manakala dua ekor lagi si mata merah terkinja-kinja tidak berhenti. Ramona masih lagi di dalam kesakitan. Badannya menjadi kejang di atas tanah, seperti orang terkena serangan sawan babi. Dia menepis-nepis sesuatu di mukanya. Dia menampar-nampar tubuh badannya.

Akhirnya azab yang dialami o!eh Ramona berakhir juga. Makhluk-makhluk itu lesap tidak meninggalkan sebarang kesan, cuma di seluruh tubuh Ramona yang kelihatan adalah lima biji tahi lalat yang sama warna dan saiz. Makhluk yang meresap masuk ke dalam tubuhnya meninggalkan tahi lalat sebagai tanda mereka menghuni tubuh Ramona.

Ramona kemudiannya ditanam sehingga ke paras leher oleh Laila. Menangis-nangis gadis itu apabila Laila meninggalkannya seorang diri di belakang rumah. Lolongan anjing dan sahutan serigala menemani Ramona yang  kembali menanggung azab dan seksa.

Kemudian, datang pula angin menderu yang sangat kuat. Ramona tidak dapat lari walaupun dia mahu sangat melarikan diri, dia hanya mampu memejam mata. Pergerakannya kaku kerana hanya kepalanya saja yang boleh menoleh ke kiri dan kanan. Dari dalam hutan pula kedengaran bunyi seperti susup-sasap orang berlari. Mata Ramona melingas memerhati sekeliling walaupun hanya likat pekat malam yang menghiasi pandangannya.

“Ibuuuu!!!! ibuuu!!! Mona takut bu!!!”  jerit Mona sekuat hati.

Sshhhhh..satu suara berbisik di telinganya dengan nada sangat perlahan. Hanya suara, tiada langsung kelibat yang dapat ditangkap oleh anak mata Ramona. Suasana menjadi hening. Ketakutan semakin menguasai diri, semakin banyak airmata yang jatuh berjuraian.

“Kau mahu cantik?” bisik suara itu dalam kegelapan malam. Perlahan dan meremangkan bulu roma. Suara itu betul-betul berbisik di cuping telinga Ramona.

Semakin rapat matanya dipejamkan. Dia kaku untuk menjawab ataupun tidak. Bunyi lolongan anjing dan sahutan serigala yang sudah berhenti tadi, kedengaran semula.

“Jawablah wahai gadis, kau mahu jadi cantik seperti ibumu?” tanya suara itu lagi. Bisikan itu jelas tetapi sangat perlahan. Akhirnya Ramona mengangguk kepala.

“Kau sanggup buat apa saja?” bisik suara itu di sebelah telinga yang satu lagi. Ramona sekali lagi mengangguk.

“Kau berjanji?” suara itu ada di depannya. Ramona dapat merasa desah nafas membusuk yang meloyakan. Suara itu mendengus. Semakin kuat dia memejam kedua matanya, dengan mulut dikancing rapat. Dia benar-benar takut waktu itu. Namun begitu, Ramona mengangguk juga walau rasa takut menikam dada.

Bunyi susup-sasap itu datang lagi. kali ini semakin dekat dan akhirnya berhenti di belakang kepala ramona. Tidak lama kemudian, Ramona seperti mahu pengsan apabila kulit kepalanya dijilat dan dihisap rakus.

*****

Cahaya matahari mula terbit dari ufuk Timur memecahkan serakan manik-manik terang di celah-celah dedaunan kanopi hutan. Suasana hening membungkus seluruh alam rimba, begitu juga dengan hati Ramona yang masih kebingungan. Bunyi cengkerik tidak putus-putus, begitu juga dengan bunyi nyamuk yang berdesing di atas kepala dan telinga.

Ramona membuka mata perlahan-lahan. Cahaya matahari yang singgah di wajahnya menyebabkan dia terkebil-kebil melihat sekeliling. Mahu digosok matanya, dia masih lagi tertanam sehingga ke paras leher. Badannya sakit-sakit. Kulit kepalanya pula terasa berdenyut pedih.

Ramona tidak tahu apakah untung nasibnya. Matikah dia akhirnya nanti? Sampai bila dia akan tertanam begitu? Benarkah ibunya, Laila benar-benar mahu membantu? Atau semuanya sekadar mainan manusia terhadapnya. Air mata kembali bertakung di tubir matanya yang sudah sembab. Kalau boleh dia tidak mahu menangis lagi. Sudah penat dia menangis kerana ketakutan malam tadi.

Teringat bagaimana kepalanya diperlakukan sesuka hati oleh entah siapa. Dijilat-jilat dengan penuh rakus, dihisap-hisap dengan penuh nafsu. Makhluk yang menghisapnya pula mengeluarkan bunyi yang tak pernah dia dengar. Bunyi nikmat mendapat sesuatu.

Hatinya mahu menjerit tetapi suaranya tidak langsung keluar, seperti tersekat di lehernya. Hanya bunyi angin yang keluar. dia langsung tidak berdaya waktu itu. Dia hanya mampu berserah hidup matinya pada waktu itu. Menangis airmata darah sekalipun tidak berguna sama sekali, rintihannya langsung tidak didengar. Ibunya Laila memang langsung tidak menjenguk.

Hurmmpphhh!!! Hurrmmpphh!! Begitulah bunyi yang Ramona dengar dengan jelas bila makhluk itu menghisap kepalanya dengan penuh berselera, terasa kuku panjang diketuk-ketuk di kulit kepalanya.

Kekekeee keeekekeke…suara itu ketawa pula. Ramona terasa nyawanya sudah mahu sampai ke hujung nafas kerana terlalu takut, terkencing dia di dalam tanah. Dia sudah tidak tahu mahu berbuat apa. terlalu takut sehingga dia sanggup mati sahaja.

“Benar kau mahu berjanji denganku?” suara garau kedengaran di depan matanya. Tanpa banyak berfikir Ramona mengangguk entah untuk kali ke berapa.

“Jangan sesekali kau membelakangi aku wahai manusia. Keinginanmu aku penuhi maka nafsuku harus juga kau penuhi.”

Ramona angguk lagi.

Serentak dengan itu, angin kencang mulai bertiup. Suara ketawa yang mulanya perlahan dan hanya di telinganya bergema memecah kesunyian hutan. Suara lotong dan beruk saling bercakaran di atas pokok.

Ramona tidak nampak apa atau siapa. Malam yang tiada cahaya di dalam hutan sememangnya sangat menyeramkan. Terpejam-pejam matanya menahan takut. Terjerit-jerit dia dibuatnya setiap kali ada lidah panjang yang menjilat dari tengkuk di belakang kepalanya sehingga ke dagunya. Dijilat berulangkali. Dengan bau hamis, hanyir dan busuk yang menusuk rongga hidung.

Ada juga lidah besar yang lembik menjilat cuping telinganya sehingga mahu masuk ke dalam telinga. Berdengung kepalanya. Azabnya seksaan sepanjang malam tadi. Sehinggalah semuanya berakhir bila embun sudah mula menitis di atas daun.

“Ibu..bu..Mona haus sangat bu.” Rintih hati kecil Ramona. Dia sudah tidak langsung bermaya. Kepalanya terlentok ke kiri dan ke kanan disebabkan terlalu lemah. Kalau mahu ditegakkan kepala, perlu ada yang membantu menopangnya.

Laila meniti dari satu anak tangga ke anak tangga berikutnya untuk turun ke tanah. Dengan berhati-hati dia menatang sebiji dulang lalu dibawanya ke belakang rumah. Suasana yang hening dengan ditemani hanya bunyi-bunyi unggas rimba menjadikan keadaan itu tak ubah seperti ada penderaan yang sedang berlaku. Laila dengan wajah tidak berperasaan manakala Ramona pula terkulai layu ditanam ke separas leher.

“Ibu..bu..ibu.” Ramona teruja melihat kelibat Laila muncul dari tepi rumah. Laila seperti sebelumnya, memandang Ramona dengan wajah selamba. Dia mendekat ke tempat gadis itu. Perlahan-lahan dia meletakkan dulang di atas tanah kemudian dia membelek-belek kepala Ramona.Terteleng-teleng kepala gadis itu yang dibelek ke kiri ke kanan.

Laila membacakan sesuatu lalu ditiup ke kepala Ramona. Menjerit gadis itu dibuatnya. Kulit kepala Ramona mula luluh menampakkan isi, melolong Ramona menahan sakit yang teramat sangat. Laila dengan selamba menarik kulit kepala Ramona yang sudah luruh sehingga ke telinga. Tidak ubah seperti kesan curahan air panas yang sedang menggelegak. Ramona meraung diminta dikasihani namun Laila terus-menerus menarik kulit kepalanya yang berkedut-kedut dan berlipat-lipat itu.

Darah merah hanyir dan pekat mengalir jatuh ke tanah, tetapi seperti ada yang menyedutnya. Darah yang pekat likat itu seperti terserap ke dalam tanah tanpa meninggalkan kesan sama sekali. Ramona akhirnya pengsan kerana terlalu seksa menanggung azab yang teramat sangat.

Di sekeliling mereka, pokok-pokok sebesar sepemeluk bergoyang-goyang seperti ada yang menggoncangnya. Kalau mahu dikata ditiup angin, mustahil kerana angin mati pada waktu itu. Dari satu pokok ke pokok yang lain, gegaran dedaunan semakin kuat, seperti adanya pesta keraian meraikan darah merah likat pekat dan hanyir yang tidak berhenti menitis jatuh ke tanah.

“Hurmm..” Laila menggumam.

Laila mengambil sesuatu dari dalam dulang, lalu dilumur ke atas kepala Ramona. Tersentak Ramona yang sedang pengsan itu dibuatnya. Kepalanya yang hanya tinggal isi daging tanpa kulit itu kelihatan merah pucat. Bahan berwarna coklat kehijauan itu dilumur di seluruh kepala Ramona sehingga ke tengkuk. Ramona kembali dari pengsan lalu menyambung jerit kerana terlalu sakit, merayu-rayu supaya Laila berhenti melakukannya seumpama itu.

“Mona tahan sikit ya..nak sembuh kan?” pujuk Laila lembut. Dilumurkan lagi bahan lembik dan sejuk itu ke seluruh wajah Ramona. Tersentak-sentak kepala gadis itu menahan sakit. Dia mahu lari, tetapi bagaimana? Adalah mustahil dia mampu melarikan diri apabila seluruh tubuhnya masih lagi terbenam di dalam tanah. Dia menjerit sekuat hati, sehingga akhirnya dia tidak berdaya membuka mulut lagi. Hanya matanya yang terkebil-kebil memandang Laila.

Usai melumur bahan coklat kehijauan itu, Laila bangun dan terus melangkah meninggalkan Ramona. Pokok-pokok yang tadinya bergegar sudah kembali seperti biasa. Ramona masih lagi menanggung kesakitan,  dia merasa nyawanya akan melayang tidak lama lagi.

“Ramona, baca apa yg aku ajarkan ini.” Satu suara tiba-tiba kedengaran di telinganya.

Dia yang tiada pilihan, menurut apa yang diarahkan. Mahu dibantah dia sudah tiada daya. Mahu tak mahu, perlahan-lahan mulutnya terkumat-kamit membaca sesuatu. Bahan berwarna coklat kehijauan di kepalanya meresap dan hilang begitu sahaja. Ramona sudah tidak merintih lagi. Dia tenang sahaja, sudah hilang sakit dan perit. Dia tidak lagi terjerit-jerit walaupun masih tertanam separas leher.

*****